Friday, October 30, 2015

Perpaduan Kaum di Malaysia

PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA


KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM

Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.

Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.

Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.

Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendahdengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikapmembutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.

Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.

Karya : Rapii B. Salam 
Dimuat turun dari Blog Cikgu Zainafsiah

Perpaduan Semakin Longgar Dalam Kalangan Masyarakat - Kesan dan langkah Membendungnya

Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin longgar sejak akhir-akhir ini. Gejala ini boleh membawa pelbagai kesan negatif jikalau tidak dibendung lebih awal.
Bincangkan pendapat anda tentang kesan-kesan gejala tersebut dan langkah-langkah untuk membendungnya.


Pendahuluan 1        Masyarakat Malaysia telah diasaskan daripada komponen masyarakat yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, dan pelbagai etnik lain seperti di Sabah dan Sarawak. Walaupun terdapat kepelbagaian kaum dan etnik, namun keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia telah menjadi sebutan dan contoh tauladan kepada negara-negara lain. Hal tersebut berlaku apabila wujud sikap bertoleransi dan saling hormat dalam kalangan masyarakat. Sejak merdeka, kehidupan rakyat sungguh harmoni sekali. Namun, laut tidak selalu tenang dan langit tidak selalunya cerah, kerana sejak akhir-akhir ini perpaduan yang telah sekian lama terjalin mula rapuh akibat diganggu gugat dek pelbagai anasir. Bibit-bibit perpecahan yang berlaku dikhuatiri boleh membawa pelbagai ancaman terhadap kestabilan negara. Bimbang akan kemungkinan berlaku bencana yang lebih besar lagi, justeru sebagai rakyat yang prihatin kita hendaklah berusaha untuk memupuk semangat perpaduan tersebut semula.

PENDAHULUAN 2               Apabila berbicara tentang terma perpaduan, justeru, mafhum daripada sepotong maksud ayat al Quran iaitu, “Aku jadikan manusia daripada lelaki dan perempuan dengan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya mereka dapat saling berkenal-kenalan dan bekerjasama” amatlah relevan  untuk dirujuk. Sesungguhnya, perpaduan merupakan teras keamanan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Perbezaan dalam aspek bangsa, budaya, agama, dan warna kulit bukan halangan untuk membentuk perpaduan. Demikianlah, hakikat sebenar yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, dengan anjakan pelbagai pengaruh, bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sungguh membimbangkan. Fenomena ini telah memungkinkan pelbagai implikasi negatif akan melanda negara. Sedar akan pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, maka sudah tiba masanya seluruh warga Malaysia menggemblengkan usaha untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke kancah pertelagahan yang lebih parah
Apabila perpaduan dalam kalangan rakyat sudah mula goyah, musibah besar yang bakal menimpa ialah keamanan dan keharmonian negara akan tergugatHal demikian tidak dapat dielakkan lagi apabila masing-masing mula menyimpan perasaan syak wasangka. Keadaan pasti lebih parah apabila api persengketaan mula menular dalam kalangan masyarakat majmuk. Masing-masing berlagak menjadi hero kaum serta cuba menyemaikan bibit perkauman dengan cara menangguk di air keruh. (H) Isu-isu remah cuba disensasikan sehingga tercetus api kemarahan.  Kesudahannya meletuslah persengketaan yang sukar dikawal seperti Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 dan perbalahan kaum di Kampung Medan pada tahun 2003. Akhirnya, masing-masing menanggung rugi ibarat tempelak peribahasa, kalah jadi abu menang jadi arang.


         Musibah yang amat nyata apabila berlaku perbalahan dalam kalangan masyarakat sudah pasti menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara. Ekonomi ialah tiang seri dan pasak kekuatan kepada sesebuah negara. Tanpa sokongan ekonomi yang mapan, kemajuan negara akan terbantut. Krisis kemanusiaan seperti kebuluran yang melanda negara-negara di Afrika, seperti Somalia, Burundi dan Sudan adalah berpunca daripada runtuhnya sistem ekonomi dan sosial mereka yang terlalu parah. Sebaliknya, apabila kita menoleh kepada negara-negara yang aman, seperti Jepun, Norway,  dan Hongkong, justeru potensi ekonomi mereka berjaya dibangunkan sehingga menjadi kuasa ekonomi yang tersohor. Sebenarnya, apakah resipi istimewa di sebalik kejayaan tersebut? Jawapannya, tentu sekali kejayaan mereka berpaksikan kepada sikap toleransi dan saling memahami yang wujud dalam kalangan rakyat. Sesungguhnya, Malaysia juga tidak terkecuali sekiranya acuan perpaduan berjaya direalisasikan dalam kalangan  rakyat pelbagai kaum nescaya potensi ekonomi negara bertuah ini dapat dimanfaatkan.
Sudah lumrah, sesekali berarak juga mendung nan kelabu dan kadang-kadang gigi dan lidah pun boleh tergigit. Demikianlah hakikat pertelagahan dan perselisihan yang sering menjadi duri dalam daging yang menghalang perpaduan. Demi negara yang tercinta ini kembalilh kepada slogan “Bersatu teguh, bercerai roboh” dan peribahasa bulat air kerana  pembetung, bulat manusia kerana muafakat  sebagai prakarsa  untukmenyuburkan semula semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Kita hendaklah menjadi rakyat yang berfikiran rasional dan dingin kepala dalam menghadapi sesuatu masalah. Kita perlu bersatu di bawah panji-panji negara yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhnya, kita wajar menilai semula akan harga kemerdekaan dan kebebasan yang kita kecapi kini adalah terlalu mahal. Demi negara, kita hendaklah menyanjung tinggi kedaulatan watan dengan menghayati sedalam-dalamnya wadah, “Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”. kita harus peka tentang apakah untung atau ruginya jikalau bersengketa?  Kita khuatir akan kesudahannya, kalah jadi abu menang jadi arang apabila berbalah sesama kita. Oleh itu, amalkan petunjuk daripada falsafah Confucious yang menyebut, “Apalah guna tidur sebantal jikalau mimpi berbeza-beza, lebih baik berlainan bantal namun mimpi tetap sama”.


          Semangat patriotik dan perasaan berbangga menjadi rakyat Malaysia hendaklah sentiasa subur dan mekar di dalam jiwa raga setiap rakyat. Anggaplah kelahiran kita di bumi Malaysia ini sebagai suatu rahmat. Apabila sudah ditakdirkan kita dilahirkan di sini, justeru inilah negara yang perlu dicintai dan tumpahkan seluruh taat setia. Jangan ada sikap mengggunting dalam lipatan dan telunjuk lurus kelengkeng berkait dalam kalangan rakyat Malaysia. Sikap sesetengah pihak yang sentiasa mengagumi negara lain sedangkan sesuap nasi untuk dirinya masih berada di sini amatlah dikesali.  Ingatlah, seberapa tinggi sekalipun, seseorang itu mengagung-agungkan negara lain, sesudahnya dirinya diibaratkan tidak jauh seluang melaut akhirnya balik juga ke muara.


Kesimpulan : Penanda wacana + tema + harapan/penilaian
        Dalam usaha mencari penyelesaian isu ini,  ambillah panduaan peribahasa Melayu yang menjelaskan, sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Salah faham dan pertikaian yang berpanjangan dalam kalangan kaum hanya mendedahi kita kepada kemusnahan. Keamanan yang telah terbina sejak sekian lama akan terkubur begitu sahaja. Oleh itu, amalkan sikap saling bersatu, ibarat ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Insyaa-Allah, sekiranya falsafah daripada peribahasa tersebut dipegang dengan kukuh, nescaya akan lahirlah suatu bangsa Malaysia yang kuat kerana berpegang kepada tonggak perpaduan, bertolak ansur, sejahtera, dan harmoni.


Disalin daripada blog Cikg Ishak -

Kepentingan Amalan Membaca

KEPENTINGAN AMALAN MEMBACA

SOALAN:
Kempen-kempen untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang kebaikan membaca perlu diteruskan dan dipelbagaikan kerana banyak kebaikannya. Bincangkan kebaikan membaca kepada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja.




Pada era globalisasi ini, pendidikan dalam semua lapisan masyarakat semakin penting dan diutamakan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memupuk amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat masih rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan negara kita negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.



Memang tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah dipasarkan di pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat hendaklah rajin membaca supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan.



Selain itu, membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan kata yang kita miliki. Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis perkataan baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang Sains kita akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam bidang berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila seseorang telah mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar dalam bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai sesuatu bahasa dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna dalam menongkah arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam pelbagai disiplin ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Dengan ini, kita haruslah rajin membaca supaya dapat menambahkan perbendaharan kata dalam minda kita.

Tambahan pula, budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan keputusan yang cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran tertentu yang memerlukan pembacaan yang banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Mata pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang luas kerana kita akan dapat maklumat atau isu semasa yang amat berguna dalam penulisan esei. Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan mahupun di rumah. Dengan ini, perpustakaan hendaklah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih selesa seperti meja, kerusi, penghawa dingin dan kemudahan ICT supaya pelajar-pelajar dapat menjalankan pembacaan mereka dalam keadaan yang kondusif. Secara eksplisit, pelajar akan mengingati lebih banyak ilmu pengetahuan daripada bahan bacaan tersebut. Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang rajin membaca. Oleh itu, semua pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian agar mendapat keputusan yang cemerlang.



Membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita. Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa itu emas. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa dengan amalan membaca.



Di samping itu, budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Hal ini demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat membantu meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, Negara Jepun yang maju dalam bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi secara automatik. Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita dan ilmu-ilmu yang diperoleh ini bolehlah digunakan dalam memajukan sektor-sektor tertentu seperti sektor pelancongan. Apabila sektor-sektor dibangunkan, ekonomi negara kita akan pesat membangun seperti Cendawan Tumbuh Selepas Hujan. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain. Kemajuan negara pula perlu disusuli dengan budaya menulis buku. Oleh itu, kita hendaklah rajin membaca supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan dimajukan. Malah, kita dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik.

Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.


Dipetik dari Blog Cikgu Zainafsiah

Monday, October 19, 2015

Kupasan Gurindam Tonggak Dua Belas

GURINDAM TONGGAK DUA BELAS

Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.

Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.

Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.

Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.

Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.

Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.



Soalan berdasarkan petikan

(i)    Sebagai pekerja dalam sesebuah organisasi, seseorang perlulah memiliki dan mengamalkan beberapa sifat baik. Berdasarkan gurindam nyatakan sifat-sifat tersebut. [3M]
Sifat baik seorang pekerja :
-          menghargai masa
-          tekun dan gigih bekerja
-          tidak membazir
-          teliti / adil dan saksama
-          sabar / tenang
-          tunjukkan kebolehan ikut kemampuan


(ii)      Apakah nasihat penyair kepada mereka yang berbakat? [3M]
-    memberikan tunjuk ajar kepada orang lain
-    meningkatkan bakat yang ada supaya lebih maju
-    jangan bersikap sombong dengan bakat yang ada

(iii)  Berdasarkan gurindam tersebut, nyatakan tiga ciri penting untuk melahirkan pekerja cemerlang. [3M]
-    bijak menghargai masa
-    gigih ketika menjalankan tugas yang diamanahkan
-    mempunyai perasaan gembira ketika bekerja

(iv)    Apakah kebaikan nilai kesabaran dalam gurindam tersebut? [2M]
-    fikiran menjadi tenang
-    pekerjaan yang sukar akan menjadi mudah
-    keputusan yang dibuat tidak mengikut perasaan


Soalan berdasarkan maksud

(i)         Berikan maksud ‘perkara susah menjadi senang’. [2M]
-    sesuatu hal/ masalah / kesulitan dapat diselesaikan dengan mudah

(ii)       Berikan maksud rangkap pertama “Gurindam Tonggak Dua Belas”. [2M]
 Maksud rangkap pertama - masa yang ada hendaklah digunakan dengan sebaik-
 baiknya dan jangan membazirkan masa


(iii) Berikan maksud rangkai kata 'baik buruk dijadikan sempadan'. [2M]
-  perkara yang elok atau tidak menyenangkan perlu dijadikan panduan hidup.

(iv) Berikan maksud ‘Pengaruh kepimpinan melalui teladan, baik buruk jadikan sempadan’. [2M]
Maksud - Seseorang pemimpin menjadi teladan kepada orang lain, setiap kejadian dapat dijadikan panduan hidup

(v)       Apakah maksud baris  ‘jangan dinanti esok lusa’?. [2M]
Maksud - usah / tidak bertangguh

(vi)    Apakah maksud ‘ketelusan hati jadi bekalan’? [2M]
Maksud - kejujuran sebagai amalan hidup


Soalan berdasarkan pendapat (KBAT)

(i)    Pada pandangan anda, apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang pekerja untuk mendapat nikmat keseronokan bekerja? [3M]
Cara-cara untuk mendapat nikmat keseronokan bekerja:
-    menanam minat kepada kerja / tugas
-    menganggap kerja sebagai ibadat
-    bergaul dengan semua orang / tidak sombong
-    sentiasa jujur dan ikhlas

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah kita dilarang menangguh-nangguhkan pekerjaan yang telah diamanahkan kepada kita? [3M]
-     untuk mengelakkan berlakunya kerugian
-    agar kerja yang dilakukan tidak bertimbun / tidak menjadi beban / dapat diselesaikan dengan segera
-     agar tidak membazirkan masa
-    kita tidak tahu apakah yang berlaku pada masa hadapan yang menghalang kita untuk bekerja.
-    untuk menghindari sifat tidak bertanggung jawab / tidak berdisiplin dalam pekerjaan / tidak mematuhi waktu bekerja @ peraturan kerja
-     untuk menghindari sifat pemalas
-  untuk mengelakkan bekerja pada saat akhir yang akan menjejaskan kualiti kerja / produktiviti

(iii)    Sekiranya anda merupakan seorang pemimpin, apakah ciri-ciri kepimpinan yang anda harap dapat diteladani oleh rakyat bawahan? [3M]
Ciri-ciri kepimpinan yang dapat diteladani oleh rakyat:
-    bersikap amanah dalam menjalankan tugas  
-    cekap dalam menjalankan tugas  
-    berilmu tinggi  
-    berakhlak baik/ mulia  
-    mempunyai wawasan dan matlamat yang jelas  
-    memimpin ke arah kebaikan sejagat  
-    berintegriti dan berlaku adil  
-    tidak mementingkan diri sendiri  
-    bertanggungjawab kepada orang yang dipimpin  
-    tidak egois dan sombong  
-    bertimbangrasa

(iv)    Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu menghargai masa?
Kita perlu menghargai masa kerana masa yang lepas tidak akan berulang lagi. Kita perlu menghargai masa agar kita tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan. Dengan menghargai masa, kita dapat menyiapkan kerja kita dengan lebih sempurna.

(v)       Sekiranya anda merupakan seorang pemimpin, apakah ciri-ciri kepimpinan yang anda harap dapat diteladani oleh rakyat bawahan?
-    bersikap amanah dalam menjalankan tugas;
-    bertindak adil dalam mengambil sesuatu tindakan;
-    cekap dalam menjalankan tugas.

(vi)    Mengapakah bakat yang ada harus dikembangkan?
-    agar kebolehan diri dapat dikenal pasti;
-     dapat menjadi haluan kepada kerjaya masa hadapan;
-    untuk menunjukkan potensi diri agar dapat dinilai oleh orang lain.

(v)       Berikan pandangan anda tentang cara-cara untuk menjadi insan yang cemerlang.
-    melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan;
-    sentiasa berfikiran positif;
-    bijak dalam mengambil sesuatu tindakan.

(vi)    Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu bergembira semasa bekerja?
-    agar tidak mengalami tekanan perasaan atau stres;
-    supaya waktu bekerja berlalu dengan cepat;
-    dapat menghasilkan kerja yang berkualiti.

(vii)  Sikap berjimat cermat perlu ada pada seseorang pekerja. Jelaskan.
-    untuk mengelakkan berlakunya amalan membazir;
-    barangan yang dibeli haruslah mengikut keperluan;
-    wang yang dijimatkan dapat digunakan pada masa depan;
-    dapat memaksimumkan keuntungan syarikat atau jabatan.

(viii)     Pada pendapat anda, apakah kesan buruk amalan suka menangguhkan kerja?
-    akan hilang kepercayaan orang ramai atau pelanggan;
-    kerja tidak dapat disiapkan mengikut jadual;
-    akan menimbulkan masalah kepada orang ramai.

(ix)     Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu bersikap sabar dalam menjalankan tugas? [3M]
Sebab-sebab:
- hasil kerja lebih berkualiti
- tidak melakukan sebarang kesilapan
- tidak membazir masa / tenaga

(x)       Pada pendapat anda, mengapakah seseorang itu perlu mempunyai keperibadian mulia dalam kehidupan. Berikan tiga sebab. [3M]
Sebab-sebab:
- sentiasa mengamalkan nilai baik
- dihormati / dipandang mulia
- jujur / amanah dalam menjalankan tugas
- mendapat keberkatan hidup

(xi)     Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri pemimpin yang dapat dijadikan teladan oleh orang bawahannya. [3M]
Ciri-ciri:
- tidak sombong
- sedia mendengar pendapat orang lain / berfikiran terbuka
- bekerja bersama-sama pegawai bawahan
- menjaga/ mengambil berat kebajikan pekerja
- bijak menyelesaikan masalah


Soalan berdasarkan aspek KOMSAS

(i)    Nyatakan tiga pengajaran yang boleh diambil daripada Gurindam Tonggak Dua Belas. [3M]
Pengajaran daripada gurindam:
-  Kita hendaklah bijak menguruskan masa. Contoh: tidak bersikap suka menangguhkan kerja
-  Kita hendaklah tekun dan gigih melaksanakan tugas. Contoh: melakukan kerja yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya
-    Kita hendaklah bijaksana dalam membuat keputusan. Contoh: tidak terburu-buru dalam tindakan dan sentiasa berbincang atau bermesyuarat.

(ii)   Huraikan dua nilai murni dalam gurindam. [4M]
-    Kesederhanaan – mengamalkan sifat sederhana dalam kehidupan
-    Kebijaksanaan – bertindak dengan bijaksana
-    Ketelusan – peribadi yang baik dijadikan amalan
-    Baik hati – sentiasa bertimbang rasa dan bersimpati

(iii) Nyatakan bentuk gurindam di atas. [4M]
Bentuk gurindam:
-    Puisi terikat/ tidak bebas  
-    Mempunyai 12 rangkap  
-    Setiap rangkap mengandungi 2 baris  
-    Mengandungi 4 patah perkataan dalam satu baris  
-    Suku kata antara 9 hingga 15 suku kata. Contohnya: Ja/ngan di/nan/ti e/sok lu/sa iaitu 9 suku kata dan Ke/bi/jak/sa/na/an ber/he/mat per/lu di/u/ta/ma iaitu 15 suku kata sebaris
-    Rima akhir aa. Contohnya : Nikmat mencipta budaya kreatif, Kembangkan bakat semoga aktif

(iv) Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam puisi tersebut. [4M]
Persoalan;
- persoalan menghargai / menepati masa dalam menjalankan tugas - Contoh: tidak bersikap suka menangguhkan kerja
- persoalan kegigihan bekerja demi mencapai kejayaan - Contoh: melakukan kerja yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya

- persoalan kebijaksanaan dalam membuat keputusan - Contoh: tidak terburu-buru dalam tindakan dan sentiasa berbincang atau bermesyuarat.