Sunday, October 16, 2011

Dasar Bahasa dan Sikap Bangsa




Mendaulatkan Bahasa Melayu.

DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah Prof. Adjung Universiti Utara Malaysia

BULAN ini, kita sekali lagi menggerakkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Suatu gerakan yang mula dilaksanakan pada 2009 menggantikan gerakan sebelum ini seperti Gerakan Cintai Bahasa Kita dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Kesemuanya diurusetiakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Segala kegiatannya akan mengingatkan rakyat bahawa Malaysia memiliki satu Dasar Bahasa Kebangsaan.

Seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1957, kini sudah mencapai usianya yang ke-54. Sepanjang lima dekad lebih, itulah juga usia kedaulatan Malaysia setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Bagi seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1963, kini pula sudah menjangkau usia 48 tahun, sekiranya tanggal pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 diambil kira. Soalnya kenapa selama beberapa dekad itu, isu dan persoalan bahasa tidak putus-putus diperkatakan.

Fungsi bahasa Melayu dan bahasa lain dengan jelas dan tegas disebut dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Disemak 1971). Malahan daripada kedua-dua sumber tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain, serta dalam peraturan-peraturan jabatan dan surat pekeliling Kerajaan.

Apakah rakyat Malaysia tidak peduli atau mereka benar-benar tahu bahawa Malaysia mempunyai satu dasar bahasa yang sangat molek? Apakah semua agensi baik di peringkat pusat, negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana rangkaian institusi kerajaan cekal mendukung dan bertindak dalam usaha-usaha pelaksanaan dasar bahasa?

Sungguh aneh seandainya kepemimpinan di pelbagai peringkat tadi bersikap 'acuh tidak acuh', bersikap 'tidak apa' atau 'sambil lewa' atau lebih banyak mendiamkan diri, berpuas hati setakat kemajuan pencapaian rutin yang ada.

Dalam mana-mana peradaban dunia sekalipun, bahasa itu adalah asas pembinaan tamadun bangsa. Memang Malaysia itu sebuah negara berbilang kaum, lalu tercitralah berbilang budaya, bahasa, agama, kepercayaan, warisan seni dan sebagainya, tetapi kepelbagaian itu bukan penghalang kepada kesatuan.

Jika keluhuran Perlembagaan dijunjung dan kedaulatan undang-undang dihormati, maka Malaysia sedang berada di jalan cerah disuluhi pedoman aspirasi Perlembagaannya. Tonggak-tonggak kenegaraan sudah kejap dikanunkan secara persetujuan bersama melalui 'kontrak sosial' yang asal.

Di Malaysia jelas ada tanda-tanda bahawa perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang unggul, bahkan sehingga mencapai taraf salah satu bahasa komunikasi dunia dihambat oleh sikap dan tabiat bangsa Malaysia sendiri.

Bangsa Melayu pemilik asal bahasa ini pun tidak memiliki suatu keyakinan penuh. Senario mutakhir sedikit goyah, ditambah pula dengan sikap rakyat yang terlalu bermain politik dalam gelanggang semua perkara. Sebahagiannya terheret di sebalik perjuangan perkauman sempit bukannya wawasan kenegaraan.

Dasar bahasa kian terganggu apabila sikap terhadap bahasa Inggeris yang terus 'didewa-dewakan' dan tidak diletakkan dalam perspektif yang benar. Kita bukannya tidak tahu pengimportan budaya yang berorientasikan bahasa Inggeris banyak mendorongkan nilai-nilai budaya negatif 'hedonisme', 'vandalisme' dan 'kriminalisme'.

Selain dari rakyat bukan Melayu yang belum menyeluruh menjiwai bahasa Melayu sebagai milik bersama, penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian telah mencetuskan tanggapan baharu.

Kemajuan kononnya hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap sangat luar biasa itu. Sikap kita ini sangat berbeza dengan sikap negara-negara lain di Asia seperti Jepun, Korea, Taiwan dan China atau Jerman, Perancis di Eropah.

Sesungguhnya rakyat bukan sukar memahami bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa negara adalah milik bangsa Malaysia. Bahasa Melayu itulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Slogan 1Bahasa 1Bangsa 1Negara tetap mendukung konsep 1Malaysia kerana kita ada satu bahasa bersama untuk satu bangsa Malaysia di negara Malaysia yang cuma satu.

Pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu telah merentasi sempadan kaum, etnik dan sukuan, komuniti dan wilayah. Sayangnya kemajuan dan pengembangannya semakin kehilangan penegasan disebabkan sikap bangsanya.

Di Malaysia, ada tendensi dalam pengurusan dan pentadbiran, BM mula digunakan secara bercampur dengan BI. Situasi rasmi dan tidak rasmi mulai kabur. Kewibawaan BM turun naik. Apakah kemungkinan kesan penggunaan bahasa dalam perspektif yang tidak betul?

Jika suasananya berterusan maka akan terjadi masalah dan implikasi besar pada masa hadapan. Apakah kita tidak terfikir bahawa suatu waktu bahasa Melayu sebagai bahasa negara akan pupus? Tabiat dan sikap negatif yang berterusan boleh membawa kepada kemusnahan.

Penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan hendaklah diinsafi semua pihak. Usaha pemertabatannya mungkin tidak menjadi isu lagi kerana statusnya sudah berada di tahap tinggi sebagai bahasa negara. Apa yang perlu dilihat ialah dari segi penyusunan rancangan strategik pelaksanaannya.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggerakkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Apakah matlamatnya telah disejajarkan semua agensi, institusi, organisasi dan sektor berkaitan?.

Penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa memang perlu dilakukan. Tetapi kita kena melihatnya dari banyak sudut. Cuba teliti tahap kesedaran terhadap Dasar Bahasa Negara, fungsi sebenar bahasa Melayu, pencapaian pelaksanaannya, masalah utama pelaksanaan, peranan agensi perancangan bahasa yakni DBP, peranan agensi pengembangan bahasa yang lain yakni pelbagai pihak berkuasa kerajaan dan perancangan strategik bagi pembangunan, pengembangan dan kemajuannya menjelang tahun 2020.

Di pentas dunia global kini, sikap yang harus diambil adalah bagaimana bahasa negara sendiri diperkukuh martabatnya, di samping kita tidak memisahkan diri menguasai bahasa-bahasa utama yang lain. Bahasa Melayu salah satu bahasa yang besar. Jumlah 300 juta penuturnya itu bukan suatu angka yang kecil.

Bahasa Melayu juga salah satu bahasa antarabangsa, bahasa serantau dan bahasa nasional di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Kita boleh kecundang sekiranya bahasa asing dijunjung tinggi sehingga kita kehilangan bahasa dan jati diri negara bangsa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Bahasa Melayu Kian 'Menggelupur'




Oleh : Salbiah Ani

Beberapa hari lepas berlangsung pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) kerana tahun ini Melaka menjadi tuan rumah pada program tahunan yang diraikan dengan penuh gilang-gemilang pada setiap Oktober. Khabarnya tahun ini, Kementerian Pelajaran memberi peruntukan RM3 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat yang bertanggungjawab kepada pelaksanaan program yang dihidupkan pada 2009 bagi menggantikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Sudah nampak usaha DBP selaku Sekretariat BBK untuk membabitkan sama masyarakat bukan Melayu dan bukan orang sastera pada program kali ini apabila ada antara program yang diatur turut membabitkan masyarakat Baba dan Nyonya, Portugis serta Chetti untuk program di Melaka.

Selain itu, meskipun Melaka menjadi tuan rumah, DBP juga mengatur beberapa program di seluruh negara dalam memastikan setiap negeri di seluruh negara turut dilibatkan sama dengan program BBK dan sememangnya pendekatan ini perlu bagi memastikan setiap anggota masyarakat turut sama bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu.
Dalam kesibukan DBP meraikan BBK 2011, penulis mendapat khabar bekas Timbalan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, meletakkan jawatan sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU), China, dan akan kembali ke badan berkanun terbabit.

Khabarnya surat tawaran untuk Dr Awang kembali ke DBP kini sedang dalam proses penilaian di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapat restu daripada Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Salleh Yappar.Jika benar Dr Awang kembali ke DBP bererti, tokoh bahasa itu adalah orang pertama yang sudah melepasi usia persaraan, tetapi ditawarkan untuk berkhidmat semula di badan berkanun terbabit kerana sebelum ini hanya jawatan Ketua Pengarah DBP yang pernah ‘melanggar’ peraturan ini.

Penulis sempat bersembang dengan rakan diskusi mengenai perkara itu dan teman ini nampaknya berharap dengan kembalinya Dr Awang ke DBP, nasib bahasa Melayu di Malaysia yang seperti hidup segan mati tak mahu, baik dalam sektor awam apalagi swasta, dapat dipulihkan. “Jika benar Dr Awang akan kembali ke DBP, hendaknya beliau dapat membantu Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, mengatur program lebih mantap lagi berkesan bagi memastikan maruah bahasa mahupun sastera Melayu kembali ke tempatnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.”

Ada benarnya pandangan rakan diskusi ini kerana terlalu banyak perkara menyakitkan mata, membocorkan telinga dan menusuk hati, melanda bahasa Melayu mutakhir ini oleh tindak-tanduk anak Malaysia baik Melayu yang tidak sedar diri, begitu juga di kalangan orang politik, korporat, cendekiawan mahupun biasa, sehingga maruahnya tercalar lagi tercela.

Gerakan menghidupkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan sekolah aliran Inggeris di sekolah kebangsaan oleh kelompok yang mendewa-dewakan bahasa penjajah itu semakin menjadi-jadi serta seperti sengaja diatur-atur bagi meraih simpati dan perhatian, selain sengaja diulang tayang berkali-kali bagi membangkitkan kemarahan!

Penjelasan berulang kali baik daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Kementerian Pelajaran, seperti jatuh di telinga orang yang tuli, ibarat mencurah air di daun keladi.Tindak-tanduk menafikan wibawa bahasa Melayu nampaknya bukan saja melanda pada peringkat sekolah rendah dan menengah, tetapi juga universiti dengan langkah penarafan yang kini menjadi kegilaan sesetengah universiti awam negara ini, sehingga seolah-olah sudah menjadi wabak pula.

“Sedih aku, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, hatta pada peringkat sarjana muda juga sudah terganggu-gugat dengan kegilaan pada penarafan universiti yang sememangnya terang-terang menjadi pilihan Universiti Malaya sekalipun dibantah sesetengah sarjananya dengan tindakan berhenti meskipun memegang jawatan kanan.
“Pengumuman Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Ir Zaini Ujang, kelmarin, bahawa universiti itu akan mengurangkan pengambilan pelajar peringkat Ijazah Sarjana Mudanya daripada 20,000 kepada 15,000 menjelang 2012 sesuai dengan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan. “Langkah ini sama seperti penarafan universiti dan memberi kesan kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini. Semuanya dilakukan demi kepentingan mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dengan memberi ruang kepada pelajar antarabangsa dan mengorbankan peluang anak tempatan?”

Dapat penulis fahami kebimbangan teman ini melalui langkah yang sememangnya akan memberi kesan kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lebih-lebih lagi peluang anak tempatan mendapatkan peluang pendidikan di universiti awam yang ternama di negara ini. Tidak pula dapat dipastikan apakah langkah ini bertujuan membantu universiti awam kurang terbilang mendapatkan pelajar kerana permohonan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), banyak bertumpu kepada universiti awam terbilang sehingga ada yang tercicir peluang pendidikan universiti.

Jika benar Dr Awang akan ‘dikembalikan’ di DBP, hendaknya beliau bukan saja memberi perhatian kepada beberapa perkara yang dibangkitkan itu, tetapi juga menegur dan mengambil tindakan kecenderungan sektor swasta memperlekehkan bahasa Melayu mengikut sesedap rasa mahupun waktu.
Janganlah hendaknya tindak-tanduk memperkotak-katikkan bahasa Melayu seperti penamaan Beautiful Places sedangkan pengisian program dalam bahasa Melayu dan Kerinchi menjadi Bangsar South dibiarkan berleluasa seperti virus yang tiada ubatnya!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Friday, October 14, 2011

Faedah Menabung Sejak di Bangku Sekolah




FAEDAH MENABUNG SEJAK KECIL

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik, kita seyogianya memahami kemaslahatan wang. Cendekiawan memfasiqkan bahawa dengan wang, kita dapat melakukan segala-galanya tetapi wang tidak dapat membeli segala-galanya. Oleh hal yang demikian, menabung memang sinonim dengan wang dan masa depan. Orang yang mengabaikan amalan ini diumpamakan orang yang menagak cabaran pada hari muka. Realitinya, peribahasa Melayu ada menjelaskan bahawa “sediakan payung sebelum hujan”.

Dalam marcapada, menabungkan wang dikatakan dapat mendisiplinkan diri kita. kesabaran dan kesanggupan berkorban demi masa depan menjadi titik tolak seseorang menabung. Apabila menabung, prinsip “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”. Wang tabungan ini dapat mengekang diri kita daripada lalai dalam merancang masa hadapan. Disiplin diri yang terbentuk dalam amalan menabung dapat diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Ringkasnya, menabung merupakan rencah untuk mengawal diri daripada memboros.

Walakin begitu, amalan yang dituntut agama ini dapat memupuk pemikiran yang mengapresiasi kesusahan mencari wang. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam “bagai lebah mengumpulkan madu” demi membiayai kos kehidupan yang meningkat harus kita sedari. Baki wang saku yang diberi mestilah dimasukkan ke dalam tabung. Apabila kita memerlukannya pada kala kecemasan, pertolongan orang lain tidak diperlukan. Oleh sebab itu, nilai berdikari dapat ditanam di samping mengetahui setiap sen merupakan hasil titik peluh dan keringat yang bermakna.

Ibu bapa memainkan peranan sebagai mencorakkan amalan ini kepada anak-anak sejak kecil lagi kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak bagaikan kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkan dan mewarnakan kehidupan mereka dengan amalan murni seperti menabung. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat diajar tentang perancangan masa hadapan. Mereka akan menyedari hakikat kepentingan berjimat cermat. Anak-anak yang pandai berjimat-jimat nescaya dapat berusaha dengan lebih giat untuk menjamin masa hadapan kerana “asal ditugal, adalah benih”.

Wang tabungan yang dikumpulkan acap kali dibawa ke bank untuk disimpan. Di samping menabung, kita juga berpeluang untuk mempelajari perkembangan dunia perbankan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan kita warga yang sentitif akan perkembangan ekonomi semasa. Daripada perspektif ekonomi, kita dapat memainkan peranan sebagai penjana virus yang dapat membebaskan negara daripada serangan wabak kemelesetan ekonomi. Tegasnya, simpanan tidak seberapa yang kita laburkan dalam simpanan bank dapat digunakan oleh pihak bank untuk pelaburan mega lain sekali gus menstabilkan ekonomi negara.

Walhasil, sebagai anak bangsa yang bakal dibentuk menjadi modal insan kepada nusa tercinta, kita sewajarnya menjadikan amalan menabung sebagai rutin kehidupan. “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” merupakan kata-kata mutiara yang mesti kita hayati. Dengan menabung, kualiti kehidupan yang lebih baik dapat kita nikmati. Wang yang ditabung boleh menjadi modal melanjutkan pelajaran demi memberi pulangan kehidupan yang lebih baik kepada ayahanda dan bonda tercinta. Pulangan yang lumayan daripada amalan menabung dapat dirasai bukan sahaja untuk diri justeru kepada seantero jagatraya.

Diubahsuai hasil catatan Cikgu Azhar

Punca-Punca Jerebu



(Untuk rujukkan murid-murid kelas MPV dan PD)

KARANGAN: PUNCA FENOMENA JEREBU
Punca Fenomena Jerebu


Fenomena cuaca berjerebu merupakan duri dalam daging kepada pihak kerajaan dan rakyat. Fenomena ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda negara. Realitinya, keadaan negara yang berjerebu ini amat membahayakan kesihatan rakyat. Keadaan berjerebu ini seolah-olah tiada noktah akhirnya. Bagaimana jerebu berlaku? Apakah punca-puncanya ? Persoalan inilah yang akan dirungkaikan di bawah ini.

Punca utama fenomena jerebu melanda negara ialah pembebasan asap daripada kenderaan. Hal ini demikian kerana bilangan kenderaan yang semakin meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Masyarakat tidak suka berkongsi kenderaan hingga menyebabkan kenderaan terlalu banyak di atas jalan raya. Kenderaan seperti lori, trelar, bas dan banyak lagi mengeluarkan asap karbon monoksida sehingga mencemarkan udara.Keadaan menjadi lebih parah jika kenderaan tidak di servis mengikut jadual hingga mengeluarkan asap yang terlalu tebal dan melebihi had yang sepatutnya.

Selain itu, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka juga menyebabkan keadaan jerebu terjadi-jadi. Pembakaran secara terbuka di lakuakan untuk membersihkan kawasan pertanian atau membersihkan kawasan persekitaran rumah. Sampah sarap dibakar sesuka hati dan sisa hasil pertanian dibakar menyebabkan asap memenuhi ruang udara. Sikap masyarakat yang dikatakan bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sangat membahayakan persekitaran kita. Natijahnya, jika perkara ini berterusan, maka rakyat akan diserang sesak nafas dan penyakit asma.

Sebagai sebuah negara perindustrian, pengeluaran asap kotor dari kilang juga dikenal pasti sebagai punca fenomena jerebu berlaku. Situasi ini bertambah buruk terutamanya di kawasan perindustrian kerana pihak pengilang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Kesan langsung apabila situasi ini berlaku, makan akan turun hujan asid dan penyakit kulit pasti menyerang kita.

Sementara itu, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar sendiri akibat suhu meningkat sehingga menyebabkan jerebu berlaku. Hal ini demikian kerana fenomena pemanasan global. Oleh itu, sudah sampai masanya kita menyelamatkan bumi.

Selain faktor cuaca, kegiatan penebangan hutan yang berlaku dengan leluasa juga menyebabkan keadaan cuaca berjerebu. Pembalak di kawasan hutan membuka hutan dengan jalan mudah ini. Mereka bersikap tidak bertangungjawab sehingga menyebabkan negara-negara jika terpaksa menerima padahnya.

Di samping itu, pembebasan debu daripada letupan gunung berapi juga menyebabkan keadaan cuaca berjerebu. Gunung-gunung yang masih aktif di negara Indonesia tamsilnya mengeluarkan asap tebal sebagai fenomena gunung berapi akan meletus. Hal ini menyebabkan jarak penglihatan terbatas dan penerbangan tergendala.

Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam soal penjagaan alam sekitar. Kualiti udara yang bersih amat penting untuk menjamin kesihatan penduduk di rantau ini. Oleh itu, kita harus memikirkan setiap perbuatan yang melibatkan pembakaran supaya dapat mengelakkan fenomena jerebu.

(Diubahsuai hasil catatan Cikgu Azhar)

Wednesday, October 5, 2011

Anak Didik Cemerlang



Duhai Anakku...
ketahuilah
sekian lama langkah menimba ilmu
kini kita di penghujung perjalanan
hampir tiba di jeti pelayaran
hampir berhenti di stesen landasan

Anakku,
Berapa banyak ilmu tertampung di minda
Berapa berat ilmu terpikul di bahu
Berapa tinggi ilmu telah digapai
Bolehkah dihitung?
Bolehkah dikira ?
atau kita tidak pasti...

Anakku...
Terlalu banyak liku kita lalui
terpijak onak, tertusuk duri
Kadangkala tumbang dek tersalah langkah
Pernah jatuh...terluka...
Tapi kita tetap terus melangkah
Demi untuk tidak kecewa
bersama seribu kekuatan jiwa

Anakku....
Kegembiraan akan terserlah
Tangisan bangga akan menjelma
Jika usaha telah kita jayakan
Jika tekad telah kita bulatkan
tapi...
kedukaan akan terserlah
tangisan derita akan menjelma
jika kealpaan dan kelalaian dilaksanakan
jika kemalasan bermaharajalela

Kita tunggu detik itu...
sebagai noktah penentu
sebagai pembuktian yang nyata
sama ada kejayaan atau kegagalan
yang tertulis dan terpapar...
sebagai bekalan untuk hari muka

Namun...
Kuiringimu dengan sebuah doa
sebuah harapan
semoga dirimu berjaya


Catatan Anak Desa,