Alhamdulillah, sesi persekolahan 2013 hampir ke penghujungnya dalam masa beberapa jam lagi. Tentunya telah tercatat pelbagai memori sama ada suka, duka, pahit dan manis dalam tempoh setahun yang dilalui. Citra warna memori itu akan terus terpahat dalam ingatan dan sewajarnya kita jadikan pedoman, teladan mahupun tauladan. Semoga memori itu juga mampu mendewasakan kita untuk terus menyelusuri kehidupan mendatang dengan lebih matang, sistematik dan terancang. Yang penting, kita berusaha untuk menjadikan hari esok lebih baik daripada hari hari sebelumnya.
Buat anak anak didik yang akan melangkah ke tingkatan lebih tinggi, marilah kita berazam untuk meninggalkan kerja sia sia yang menjadi rutin kita pada tahun lepas. Bangkitlah dari mimpi lena, sedarilah matahari kian meninggi ; jom kita bina kehidupan dengan lebih sempurna agar kita dapat bersaing secara sihat dengan semua pelajar lain. Kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar lain asalkan kita ada kemahuan dan keinginan. Hanya kita yang boleh mengubah kehidupan kita, hanya kita yang mampu menentukan arah tuju hidup kita. Yakinlah, dan mohonlah pertolongan Allah. Sesungguhnya kita tidak ada daya upaya, semua atas pertolongan Allah.
Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Monday, December 30, 2013
Monday, October 21, 2013
Faktor - Faktor Yang Menyebabkan Kejadian Tanah Runtuh
FAKTOR-FAKTOR (fokus) YANG MENYEBABKAN
KEJADIAN TANAH RUNTUH (isu).
Pendahuluan.
Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, isu tanah runtuh kerap kali terpampang di dada-dada akhbar atau tersiar dalam media elektronik. Isu tanah runtuh ini bukan sahaja menjadi bualan masyarakat sama ada di warung-warung
kopi, di jabatan-jabatan kerajaan malahan telah mendapat perhatian oleh pemimpin pemimpin masyarakat. Persoalannya, mengapakah isu tanah runtuh berlaku? Hal ini perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak dan jalan penyelesaian harus dicari untuk merungkaikan kebimbangan masyarakat terhadap isu ini. Sikap lepas tangan atau ambil mudah akan menyebabkan isu ini akan terus bernanah dan menjadi pekung yang
sukar untuk dibendung. Faktor-faktor kejadian tanah runtuh
ini akan saya jelaskan dalam huraian berikutnya
Antara faktor-faktor yang menjadi punca kejadian tanah runtuh
ialah aktiviti penebangan hutan tanpa kawalan. (MENGAPA)
Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, penerokaan dan penebangan hutan
terpaksa dilakukan untuk tujuan pertanian, perumahan, membina infrastruktur dan
sebagainya. (BAGAIMANA) Apabila penebangan hutan dilakukan, maka akan menyebabkan tanah
terdedah kepada agen hakisan dan mewujudkan struktur tanah yang longgar dan
tidak stabil kerana tiada pelindung atau tanaman penutup bumi hingga
menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Hal ini menjadi lebih parah
apabila adanya pembalakan haram, penerokaan tidak berlesen dan juga pertanian
yang tidak sistematik. Jelaslah bahawa penebangan hutan merupakan factor kejadian
tanah runtuh.
Selain itu, kejadian tanah runtuh juga berpunca daripada
aktiviti penggondolan bukit untuk pembangunan di kawasan tanah tinggi. (MENGAPA)
Aktiviti pemotongan dan penambakan yang tidak mengambil kira
factor-faktor sudut kecuraman cerun, kekuatan tanah atau batuan, darjah
luluhawa, air bawah permukaan serta pengaruh litupan tumbuhan boleh mengundang
kepada tragedi ngeri. (BAGAIMANA) Tanah yang digondolkan akan menyebabkan
struktur tanah menjadi tidak stabil dan boleh menyebabkan berlakunya
gelongsoran tanah yang memungkinkan meragut nyawa dan kehilangan harta benda. Penggondolan
dilakukan untuk pembinaan hotel, perumahan dan pembinaan lebuh raya. Jelaslah
bahawa, penggondolan yang tidak terancang boleh menyebabkan berlakunya tanah
runtuh.
Faktor seterusnya, yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah
runtuh ialah fenomena alam. (MENGAPA) Kita sedia maklum
bahawa fenomena alam bukanlah dicipta oleh manusia tetapi manusia boleh
merancang dan bersedia menghadapi fenomena alam menggunakan kaedah saintifik
dan moden.(BAGAIMANA) Kadar penyerapan air yang tinggi selepas hujan akan
menyebabkan kandungan aliran air dalam tanah menjadi banyak. Tanah akan menjadi
longgar kerana wujud ruang larian air dalam tanah. Tanah menjadi lemah dan
mudah runtuh. Pada kebiasaannya, pergerakan tanah berlaku di kawasan yang mengandungi
kuantiti takungan atau larian air yang banyak. Kesannya akan berlaku tanah
runtuh terutamanya di lereng-lereng bukit. Antara fenomena alam yang
menjadi punca tanah runtuh ialah banjir, gempa bumi, hujan lebat dan
sebagainya. Dapatlah disimpulkan bahawa, fenomena alam merupakan antara punca
berlakunya tanah runtuh.
Kesimpulannya, kejadian
tanah runtuh telah menjadikan imej negara ini terjejas dengan teruknya.
Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak pemaju perumahan amat
diperlukan agar tidak membina projek mereka di kawasan yang berisiko tinggi
seperti kawasan berbukit. Ketiadaan kerjasama atau kedegilan pihak-pihak
tertentulah yang menyebabkan masalah ini sukar untuk dikekang oleh kerajaan
kita. Bak kata orang tua-tua, “nasi sudah menjadi bubur” yang mengingatkan kita
bahawa semua yang berlaku sudah terlewat untuk dikesali kecuali kita sedar lalu
bertindak mengatasinya dengan lebih awal.
Faedah - Faedah Laman Sosial Kepada Pelajar
Rangka Karangan
:
Pendahuluan.
Kebanjiran laman
sosial dalam internet - cendawan tumbuh selepas hujan. Istilah ‘facebook’,
‘twitter’, ‘skype’, ‘whatsapp, ‘wechat’ bukan lagi asing dalam diri remaja
malah saban waktu meniti dari bibir ke bibir.
Isi-Isi Penting.
1.
Mendapatkan maklumat dengan pantas – mengetahui
perkembangan kawan setiap waktu - kebolehan mengakses laman sosial di mana-mana
sahaja –pada bila-bila masa. Maklumat dihujung jari.
2.
Perkongsian pelbagai maklumat – menggunakan laman sosial
untuk perkongsian ilmu yang mendatangkan manfaat - maklumat berkaitan
pelajaran, peribadi dan isu-isu semasa.
3.
Mengeratkan perhubungan sosial – merapatkan ikatan
persahabatan dengan mengenali rakan dengan lebih dekat walaupun tinggal
berjauhan – boleh berbual, sidang video, menghantar gambar.
Penutup.
Laman sosial
mempunyai banyak kebaikan – seharusnya tidak disalahguna kerana mendatangkan
kesan negative dalam kehidupan. Pelajar harus mempunyai jati diri bagi
membendung budaya tidak sihat ketika melayari lama sosial – di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.
Wednesday, October 9, 2013
Perhatian Untuk Calon SPM 2013 -Koleksi Soalan Percubaan SPM 2013
Assalam, calon-calon SPM 2013 boleh mendapatkan koleksi soalan-soalan SPM 2013 dan skema jawapan melalui blog bmspm dan lamanbahasa. Jika terdapat masalah, sila berhubung dengan saya. Dimaklumkan terdapat beberapa skema jawapan belum diperoleh, walau bagaimanapun, skema jawapan untuk kertas 1 boleh dibincangkan dan difikirkan sendiri. Selamat Maju Jaya
Tuesday, October 8, 2013
SPM 2013 Kian Menghampiri
Alhamdulillah, hari ini tanggal 8 Oktober 2013 pelajar-pelajar PMR selesai menghadapi peperiksaan. Sepanjang 5 hari bersama-sama dengan mereka, ternyata budaya dahagakan ilmu kurang terserlah dalam diri sebahagian besar daripada mereka. Bagi mereka peperiksaan tidak memberikan apa-apa makna dalam hidup mereka. Apalah sangat dengan keputusan PMR ? Mungkin, itulah persoalan yang menerjah setiap inci minda mereka. Apa yang jelas, pihak guru lah yang bertungkus lumus untuk menyediakan mereka. Disediakan sarapan pagi dan makan tengahari secara percuma. Disediakan sedikit aktiviti regangan untuk membolehkan mereka tidak mengantuk di dalam dewan peperiksaan. Dilaungkan azan sebelum mereka bergerak memasuki dewan peperiksaan. Tetapi semua itu tidak diendahkan dan tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh mereka. Tidak dinafikan sebahagian kecil daripada mereka sangat menghargai usaha yang dibuat oleh guru. Persoalan yang menghantui pemikiran saya. di mana silapnya? Mengapa proses kemenjadian murid kurang berkesan.
Kini SPM pula akan menyusul. Budaya dahagakan ilmu juga masih belum terserlah. Hanya lingkungan 20 peratus yang nampaknya sedang bertungkus lumus dan gigih berusaha. Bila agaknya kesedaran akan timbul dalam minda 80 peratus pelajar yang lain. Apakah mereka tidak terfikir, SPM merupakan tiket untuk meneruskan pencarian ilmu di menara gading? Adakah sudah terhantuk baru nak terngadah.
Gaya Hidup Sihat Menjamin Kebahagiaan
4. AMALAN GAYA HIDUP SIHAT
(TEMA) Gaya
hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa
impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh
kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa
mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu
tempoh tertentu pula. (ISU) Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang
begitu banyak tekanan ini, gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu
dicapai segera. (ARAHAN) Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh
dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
(ISI) Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan
mengambil makanan yang seimbang. (MENGAPA) Tubuh orang yang mengamalkan
pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. (BAGAIMANA)
Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat
seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak
atau mengandungi kolesterol yang tinggi. (KESAN) Dengan cara itu,
penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan
diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada
mengubatinya. (PENEGAS) Jadi, izharlah bahawa pemakanan yang seimbang membolehkan kita semua mencapai satu
kehidupan yang ceria dan sihat.
(ISI) Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan
atau beriadah. (MENGAPA) Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan
menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan
badan akan mengeluarkan peluh. (BAGAIMANA) Oleh itu, setiap orang
hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu,
sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Seseorang itu boleh bersukan seperti
bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. (KESAN)
Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya
juga cerdas kerana badan cergas, otak cerdas. (PENEGAS) Tegasnya, aktiviti beriadah dan
bersukan dapat menjamin kesihatan seseorang.
(ISI) Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan
kesihatan secara berkala. (MENGAPA) Hal ini akan memastikan anggota
dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas
berfungsi dengan baik. (BAGAIMANA) Melalui cara itu juga, penyakit
berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi
dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. (KESAN)
Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera kerana
alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan
tidaklah sudah terhantuk baru tengadah. (PENEGAS)
Ringkasnya, seseorang itu akan senantiasa memastikan dirinya sentiasa sihat
dengan mendapatkan pemeriksaan doktor secara berjadual sebelum kudis
menjadi tokak.
(ISI) Akhir
sekali, setiap individu perlu menjauhi gaya hidup yang negatif dan tidak sihat
seperti pengambilan alkohol yang banyak, ketagihan rokok dan juga pengambilan
dadah atau pil-pil perangsang. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian
kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat akan menjejaskan kesihatan dan
mengancam nyawanya atau nyawa orang lain. (BAGAIMANA) Pengambilan
alkohol dan dadah akan mendedahkan badan kepada pelbagai penyakit dan masalah
kesihatan seperti obesiti, kencing manis dan kesihatan mental. Selain kita,
setiap orang juga perlu menjauhi amalan mengunjungi rumah pelacuran atau
tempat-tempat maksiat bagi mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit kelamin
dan HIV Aids. (KESAN) Tahap kesihatan rakyat yang baik dapat menjamin
maruah diri dan meningkatkan produktiviti negara. (PENEGAS) Pendek kata,
seseorang yang mengimpikan kehidupan yang sihat akan memastikan dirinya tidak
terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.
(PENUTUP) Secara keseluruhannya,
amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan dengan banyak cara. Amalan-amalan
ini memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. (CADANGAN)
Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk
merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak
diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas
tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang
sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama
ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. (HARAPAN)
Semoga kempen kerajaan iaitu kempen ‘Rakyat Sihat Negara Maju’
dapat direalisasikan kerana rakyat
yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang
produktif.
Subscribe to:
Posts (Atom)