Thursday, August 30, 2012

Kupasan Konserto Terakhir




KUPASAN KONSERTO TERAKHIR :

SINOPSIS:
Novel ini mengisahkan Hilmi datang ke Kuala Lumpur untuk mencari bapa saudaranya yang bernama Datuk Johari. Dia berjaya menemui bapa saudaranya dan tinggal di rumah tersebut sebagai tukang kebun. Ketika keluarga Datuk Johari bercuti, Hilmi mula memberanikan diri bermain piano. Sejak itulah bakatnya mula berkembang dan dia mendalami bidang muzik daripada pakcik Bakar. Hubungan Hilmi dengan Hayati begitu akrab dan tidak disenangi oleh Datin Salmah. Oleh sebab selalu bertemu anak pakcik Bakar iaitu Azizah, akhirnya berputik perasaan cinta lalu mereka berumahtangga.

Azizah merupakan seorang yang materialistik menyebabkan hubungannya dengan Hilmi berakhir dengan penceraian menyebabkan Hilmi tertekan. Ketika pertunjukan Orkes Perdana akan berlangsung, Hilmi tersungkur dan tempatnya digantikan oleh Hayati. Hilmi dimasukkan ke hospital. Tidak beberapa lama kemudian, Hilmi meninggal dunia. Datuk Johari terkejut apabila mendapat tahu bahawa Hilmi ialah anak kandungnya. Akhirnya Datuk Johari juga meninggal dan Datin Salmah insaf.


TEMA:

Tema untuk novel Konserto Terakhir ialah perjuangan hidup dan kegigihan seorang anak muda yang berasal dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara.

Berikut ialah bukti-bukti yang menunjukkan bahawa watak Hilmi adalah seorang yang gigih.

1.Gigih menghadapi penghinaan daripada Datin Salmah ketika bekerja sebagai tukang kebun di rumah Datuk Johari. Penghinaan ini berlaku disebabkan beliau hanya seorang pemuda kampung dan berpendidikan rendah.

2. Gigih mempelajari muzik daripada Encik Bakar walaupun pada masa yang sama terpaksa membahagikan masanya untuk bekerja di sebagai pembantu di stesen minyak sehingga menjadi seorang pemuzik yang terkenal.

3. Gigih mencipta lagu pelbagai lagu sehingga lagu yang diciptanya terkenal di seluruh tanah air.

4. Gigih menghadapi masalah rumah tangganya walaupun akhirnya terpaksa berpisah dengan isterinya disebabkan sikap Azizah yang mementingkan kekayaan.

5. Gigih berusaha bagi memastikan kejayaan konsert perdananya walaupun terpaksa mengabaikan kesihatan dirinya sendiri.


PERSOALAN/ MESEJ:
1. Kegigihan berusaha untuk mengubah kehidupan dan masa depan: Contohnya Hilmi menyedari dia anak kampung yang tidak berpelajaran dan hanya bersekolah darjah 4 sekolah Melayu. Dia sering mendapat penghinaan khususnya daripada Datin Salmah. Hilmi mendapat dorongan daripada Pak Amat supaya berusaha gigih untuk mencapai cita – citanya iaitu menjadi seorang pemuzik dan secara tidak langsung telah mengubah corak hidup dan masa depannya.

2. Cinta dan kasih sayang sesama manusia: Contohnya dapat ditunjukkan melalui kasih sayang antara Hilmi dan Hayati serta cinta dan kasih sayang antara Hilmi dan Azizah. Cinta dan kasih sayang dilihat pada awalnya lebih kepada simpati.

3. Agama yang dapat mengembalikan ketenangan hidup: Contohnya Hayati ialah seorang gadis yang penuh dengan kebebasan tetapi telah berubah dan berasa tenang setelah mula mendekati agama melalui ibadah solat dan mendalaminya melalui buku – buku agama seperti Hidup Sesudah Mati.

4. Semangat kerjasama yang membawa kejayaan: Contohnya kejayaan Orkes Hilmi merupakan kejayaan berkumpulan dan semangat itu ditunjukkan ketika Hilmi dimasukkan ke hospital dan pertunjukan Orkes Perdana itu berjaya dan mendapat pujian.

5. Sikap segolongan masyarakat yang terlalu mementingkan pangkat dan darjat: Contohnya Datin Salmah menghina Hilmi kerana menganggap Hilmi hanya seorang pemuda kampung dan tidak berpendidikan tinggi.

6. Gaya hidup segolongan masyarakat yang bersifat kebaratan: Contohnya Datin Salmah sering menghadiri “morning coffee” manakala rumah datuk Johari terdapat sebuah “mini bar”.

7. Sikap suami atau isteri yang curang: Contohnya walaupun sudah bersuami, Hayati masih mencintai Hilmi dan bertemu Hilmi sebelum ke luar negara bersama dengan Mohsin.

8. Sikap sesetengah golongan masyarakat yang masih mempercayai perkara karut dan khurafat: Contohnya Datin Salmah percaya bahawa Hilmi menggunakan ubat guna-guna terhadap Hilmi.


NILAI/ NILAI MORAL:
1. Kegigihan : Contohnya Hilmi gigih mempelajari muzik daripada Encik Bakar sehingga akhirnya beliau menjadi seorang pemuzik dan pencipta lagu yang terkenal.

2. kasih sayang : Contohnya Hayati amat mencintai kekasihnya Hilmi sehingga beliau berubah daripada seorang gadis kebaratan kepada seorang gadis yang taat akan agama.

3. Keimanan : Contohnya Hayati taat mengerjakan sembahyang setelah membaca kitab bertajuk “Hidup sesudah mati”.

4. Kerjasama : Contohnya Hayati menggantikan tempat Hilmi untuk memimpin kosert perdana setelah Hilmi dimasukkan ke hospital dan kerjasama itu menjadikan konsert tersebut mendapat pujian.

5. Merendah diri : Contohnya, Datin Salmah tidak memiliki sikap rendah diri kerana menghina Hilmi serta bersikap bongkak dan mementingkan darjat.

6. Kejujuran : Contohnya, Hayati tidak jujur kepada suaminya kerana masih mencintai Hilmi walaupun beliau telah bersuamikan Mohsin.

7. Patuh perintah ibu bapa : Contohnya, Hayati memamatuhi perintah ibunya dan mengikut kemahuan ibunya supaya berkahwin dengan Mohsin.


PENGAJARAN:

1. Kita mestilah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita yang diinginkan: Contohnya Hilmi gigih mempelajari muzik sehingga Berjaya menjadi pemuzik dan pencipta lagu yang terkenal.

2. Kita mestilah sentiasa mengamalkan kerjasama untuk memburu kejayaan: Contohnya Hayati menggantikan tempat Hilmi semasa beliau dibawa ke hospital dan kerjasama itu membolehkan konsert perdana tersebut Berjaya.

3. Kita mestilah mengamalkan nilai kasih sayang sesama manusia: Contohnya pada peringkat awal Hayati menyayangi Hilmi kerana rasa simpati dan kemudiannya bertukar cinta kepada kekasih.

4. Kita mestilah sentiasa patuh kepada ibu bapa kita: Contohnya Hayati patuh akan perintah ibunya supaya beliau berkahwin dengan Mohsin.

5. Sebagai seorang isteri, kita mestilah jujur kepada suami: Contohnya walaupun sudah berkahwin dengan Mohsin tetapi Hayati tidak jujur kerana masih mencintai Hilmi.

6. Kita mestilah membantu orang yang memerlukan bantuan: Contohnya Encik Bakar mengajar muzik kepada Hilmi tanpa sebarang bayaran kerana ingin membantu Hilmi menjadi pemuzik terkenal.

7. Sebagai umat, kita mestilah patuh kepada perintah Tuhan : Contohnya Hayati sentiasa mengerjakan solat setelah membaca buku “Hidup sesudah mati”.


WATAK DAN PERWATAKAN:

A. Hilmi

1. Pemuda kampung berpendidikan rendah : Hilmi berasal dari kampung di Kedah dan hanya berkelulusan darjah empat sekolah rendah.

2. Seorang yang rajin : Hilmi rajin mengusahakan taman di rumah datuk Johari sehingga taman itu menjadi cantik serta mendapat pujian daripada rakan-rakan Datin Salmah. Dia juga rajin mengusahakan kebun di rumah itu sehingga sayur-sayurannya berbuah lebat.

3. Seorang yang gigih / tabah : Hilmi gigih menghadapi cabaran hidup apabila sentiasa sanggup berdepan dengan penghinaan Datin Salmah. Kegigihan Hilmi juga dapat dilihat melalui usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari muzik daripada Encik bakar.

4. Seorang yang artistik : Hilmi bijak berusaha mengadun taman di rumah Datin Salmah sehingga taman itu menjadi cantik serta menarik.

5. Seorang yang penyabar : Hilmi sentiasa sabar menghadapi penghinaan Datin salmah. Dia juga tidak pernah menceritakan sikap sebenar Datin Salmah atau memburuk-burukkan mereka kepada Pak Karim semasa dia bertemu Pak Kasim.

6. Seorang yang bercita-cita tinggi : Hilmi merantau ke Kuala Lumpur untuk berusaha mencapai impiannya menjadi orang yang Berjaya. Dia berusaha mengejar impiannya dengan berusaha belajar muzik daripada Encik Bakar sehingga menjadi seorang.

7. Seorang yang kuat agama : Hilmi tidak pernah meninggalkan sembahyang lima waktu walau di mana sekalipun dia berada.

8. Seorang yang bijak/ berkebolehan : Dapat memainkan piano dan mengenal kod piano walaupun hanya dengan mendengar Hayati memetik pianonya.


B. Datin Salmah:
1. Ibu saudara Hilmi : Beliau isteri Datuk Johari dan ibu kepada Hayati.

2. Seorang yang sombong dan mementingkan darjat: Datin Salmah tidak dapat menerima Hilmi kerana Hilmi berasal dari kampung serta berpelajaran hanya setakat darjah empat sekolah rendah. Beliau sering menghina Hilmi dan kerap mencari jalan agar Hilmi dapat keluar dari rumahnya.

3. Hidup secara kebaratan : Datin salmah menjalani kehidupannya seperti masyarakat barat. Beliau dikatakan selalu bertemu rakan yang setaraf di ‘Morning Coffee”.

4. Percaya kepada kepercayaan tahyul : Datin Salmah masih mempercayai kepercayaan karut apabila mempercayai bahawa Hilmi menggunakan ubat guna-guna kepada hayati sehingga Hayati berubah daripada sikap asalnya.

5. Seorang yang suka mengongkong : Datin Salmah ingin menentukan kehidupan anaknya Hayati dengan mengahwinkan hayati dengan Mohsin sedangkan Hayati tidak mencintai Mohsin.

6. Seorang yang tidak beriman : Datin salmah tidak mengerjakan sembahyang sejak hidup sebagai orang kaya dan berharta. Hal ini diceritakan penulis semasa datin salmah menyedari Hayati mula berubah mengerjakan sembahyang.

7. Insaf akan kesilapannya dan ingin menebus dosanya : Datin salmah kesal atas perkara yang telah dilakukannya ke atas Hilmi setelah mengetahui bahawa Hilmi ialah anak datuk Johari. Dia ingin menebus dosanya dengan menyatakan keinginannya untu memelihara anak Hilmi.


C. Hayati

1. Anak perempuan tunggal kepada datuk Johari dan datin Salmah : Berkahwin dengan Mohsin.

2. Seorang yang cantik.

3. Seorang yang penyayang : Hayati amat menyayangi Hilmi. Beliau juga amat sedih apabila Hilmi keluar dari rumah datuk Johari sehingga menyebabkan beliau berubah sikap.

4. Berubah daripada hidup kebaratan kepada hidup berasaskan agama : Sebelum bertemu Hilmi, hayati seorang yang periang dan hidup seperti remaja lain. Apabila Hilmi keluar dari rumah Datuk Johari, beliau berubah menjadi seorang yang mula mendekatkan diri kepada Tuhan dan mula bersembahyang.

5. Patuh kepada arahan ibunya : Hayati sanggup berkahwin dengan Mohsin walaupun beliau tidak mencintai mohsin. Hal ini dilakukannya demi menjaga hati ibunya, Datin Salmah.


D. Datuk Johari

1. Bapa kepada Hayati dan suami kepada Datin Salmah : Merupakan kakitangan kerajaan berjawatan tinggi. Beliau juga merupakan “bapa saudara” kepada Hilmi.

2. Seorang yang baik hati : Datuk Johari sanggup membenarkan Hilmi tinggal di rumahnya. Pada masa yang sama, beliau turut member pekerjaan kepada Hilmi sebagai tukang kebun di rumahnya.

3. Seorang yang bijak : Datuk Johari bijak memberi alasan supaya Hilmi tidak keluar dari rumahnya ketika Datin salmah mencadangkan supaya Hilmi keluar dari rumah itu kerana merosakkan piano Hayati. Pada masa yang sama, Datuk Johari bijak kerana hanya memotong gaji Hilmi sahaja.

4. Hidup seperti masyarakat barat : Kehidupan Datuk Johari yang kebaratan dapat dilihat apabila terdapat sebuah ‘mini bar’ di rumahnya. Beliau seorang peminum minuman keras.

5. Seorang yang tidak kuat pegangan agama : Digambarkan oleh penulis sebagai seorang yang sudah terlalu lama meninggalkan sembahyang lima waktu.

6. Seorang yang tidak bertanggungjawab : Datuk Hilmi meninggalkan isteri pertama sebaik dikahwininya iaitu ibu Hilmi. Beliau juga tidak pernah mengetahui bahawa Hilmi ialah anaknya sehingga diberitahu oleh pak karim. Datuk Johari telah melupakan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa

Tuesday, August 14, 2012

Memupuk Perpaduan Dalam Kalangan Rakyat






Usaha-usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum di Malaysia

Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat.

Usaha pertama untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah denganmengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui aktiviti kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan akibat kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum diMalaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysiaagar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi.Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Langkah Mengatasi Kemalangan Jalan Raya





KEMALANGAN JALAN RAYA – FAKTOR / USAHA


Isu nahas atau kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi masalah negara yang sering menghantui kita setiap hari. Kemalangan jalan raya yang banyak berlaku pada musim perayaan khususnya bukan sahaja satu kerugian kepada keluarga mangsa dan rakan­-rakannya, tetapi kerugian modal insan yang besar kepada negara. Setiap nyawa yang hilang akibat kemalangan jalan raya merupakan kerugian kepada negara kerana banyak wang dan perbelanjaan telah dikeluarkan ke atas mereka bagi tujuan persekolahan, peperiksaan dan latihanpekerjaan. Oleh itu, prakarsa yang pragmatik haruslah dilaksanakan dengan drastik, efektif bagi mengekang kadar kemalangan jalan raya yang saban tahun semakin meningkat.

Sebenarnya pelbagai modus operandi telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan. Ops Pacak, Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran dan termasuk penguatkuasaan dijalankan merupakan antara prakarsa kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya. Ops Sikap yang telah diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini misalnya lebih menumpukan kepada sikap pengguna jalan raya yang menjadi faktor kemalangan dan peningkatan kadar kematian di jalan raya terutamanya pada musim perayaan. Namun, perkara yang masih membimbangkan ialah banyak jumlah kemalangan dicatatkan dan nahas jalan raya kini menjadi ancaman nombor satu diMalaysia yang semakin menggawatkan lebih-lebih lagi dengan penambahan jumlah kenderaan saban tahun. Angka kematian bukan sahaja tidak pernah menurun malah pemandu-pemandu semakin rakus menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba selain, mengambil kesempatan menguji kemampuan kenderaan masing-masing memecut.

Usaha mensifarkan kemalangan jalan raya bukanlah impian pihak kerajaan semata-mata. "Tiada apa yang mustahil di dalam dunia ini." Ungkapan kata ini sangat sinonim dengan sesiapa sahaja yang bertekad untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan. Hal ini juga seolah-­olahnya merupakan kenyataan beramaran bahawa sekiranya seseorang mahukan sesuatu, mereka akan melakukan apa-­apa sahaja. Manusia, sekiranya dalam keadaan terpaksa boleh melakukan sesuatu yang luar biasa. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan bahawa kerajaan tidak mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai menganggapnya mustahil. Menurutnya, keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi nyawa yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya, takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan, Anda Mampu Mengubahnya memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.

Enam belas menara pemerhati polis beroperasi di seluruh negarabermula penghujung Jun tahun ini dalam usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut. Dengan kehadiran polis trafik yang dapat dilihat dari jarak jauh oleh pengguna jalan raya di semua menara berkenaan akan memberikan kesedaran dan mengingatkan pengguna supaya memandu dengan lebih berhemah dan bertimbang rasa. Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengatakan bahawa tiga buah menara itu yang dibina oleh Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad sebelum ini telah terbukti keberkesannya. Manakala, Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) dapat membantu memberikan kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi berkesan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Selain usaha pihak kerajaan mengekang kemalangan jalan raya, langkah yang paling tepat untuk dilaksanakan ialah melalui pendidikan. Tidak ada yang tidak kena dengan kempen atau ops yang dilancarkan setakat ini, cuma pemandu di Malaysia ini perlu diberikan pendidikan, barangkali seawal mungkin. Melalui pendidikan sahaja, sikap pemandu di Malaysia ini berupaya diperbetul. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) yang telah diperkenalkan di 7,601 sekolah rendah terpilih akan dapat membantu memberikan kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi. Begitu juga dengan terlaksananya program keselamatan jalan raya melalui komuniti yang membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik, badan profesional, sukarelawan dan belia juga diharapkan akan menjadi pemangkin bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seluruh warganegara.

Analisis dalam beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain merupakan punca peningkatan kemalangan. Dengan kata lain, pemandu secara umumnya hanya mematuhi peraturan atau bersikap hipokrit apabila ada kelibat polis dan bukan kerana sikap untuk keselamatan jalan raya. Peraturan jalan raya sepatutnya dipatuhi atas dasar sedar tentang kebaikannya dan bukan takut daripada disaman pihak berkuasa. Sebenarnya, kesediaan untuk mematuhi peraturan, arahan, dan barisan tidak memerlukan kita berpendidikan tinggi dan tidak pula menjatuhkan apa-apa juga nilai baik yang ada dalam diri kita. Kempen Keselamatan Jalan Raya bukanlah untuk menyusahkan tetapi memberikan faedah kepada pengguna. Segala peraturan jalan raya, serta papan-papan tanda amaran adalah sebagai panduan bagi memelihara keselamatan jalan raya untuk semua pemandu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini mahu kaedahpemberian mata 'demerit' kepada pesalah jalan raya dihidupkan semulabagi memastikan pemandu kenderaan yang banyak menerima saman disenaraihitamkan. Sistem tersebut berupaya beroperasi dengan baik sekiranya diselenggarakan dengan betul. Malah, kaedah pemberian mata 'demerit' itu mampu mengurangkan masalah kemalangan jalan raya kerana lesen pemandu yang kerap melakukan kesalahan jalan raya tidak dibenarkan diperbaharui. Pada awal tahun ini, PDRM meminta supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghidupkan kembali kaedah pemberian mata "demerit" kepada pesalah jalan raya bagi membendung jumlah kemalangan maut yang semakin serius sehingga mencecah 6,000 kematian setiap tahun dan mengakibatkan negara kerugian kira-kira RM9 bilion setiap tahun. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman ketika itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) II Nooryah Md. Anuar memberitahu, sistem pemberian mata demerit bagi setiap kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pemandu itu terbukti mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Melalui kaedah yang diperkenalkan di bawah Sistem Keselamatan Jalan Raya (KEJARA) pada 1997 itu, rekod pesalah diwujudkan melalui notis saman berkaitan dengan kesalahan terjadual dan mata 'demerit' akan dikira. Selagi JPJ tidak menghidupkan semula sistem itu, pihaknya tidak dapat menguatkuasakan penggunaan kaedah berkenaan yang dilihat sebagai kaedah terbaik menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya. Menurutnya di Paris, jumlah kematian akibat kemalangan hanya 50 orang setahun dan hal ini amat memeranjatkan, serta terbukti sistem demerit berkesan dalam mengurangkanjumlah kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Pemasangan Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang antaranya berfungsi sebagai perangkap had laju dan merakamkan pelbagai kesalahan trafik akan dipasang di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dan sekitar Kuala Lumpur, serta Shah Alam. Pemasangan kamera itu yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa sehingga 2010. Di bawah fasa pertama dan kedua,Unit Kamera Pengawasan Bergerak telah diwujudkan untuk memantau pemandu dan pengguna jalan raya yang memandu dengan laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. Di bawah fasa ketiga, kamera pengawasan akan mengawasi aspek kesalahan lalu lintas yang lain seperti memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan. Pemasangan sistem yang dilaksanakan oleh JPJ itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan sebagai bukti pendakwaan. AES ialah antara empat projek yang dicadangkan kementerian itu di bawah Pelan Induk Keselamatan Jalan Raya selama lima tahun (2006-2010). Projek lain pula membabitkan program dalam pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, dan perlindungan alam sekitar. AES akan diletakkan di lorong-lorong kenderaan awam di Kuala Lumpur, lampu-lampu isyarat di seluruh Shah Alam dan juga di kawalan perangkap had laju di Lebuh Raya Utara Selatan. Melalui AES, kamera mengawasi setiap pergerakan kenderaan dan mencatat kelajuan dan maklumat itu dihubungkan ke pusat kawalan untuk mengenal pasti kenderaan yang melakukan kesalahan lain lintas. Anggota JPJ yang bertugas di pusat kawalan itu nanti akan memproses gambar yang diterima itu bagi mengenal pasti identiti dan alamat pemandu. Sistem itu terbukti berkesan dalam mendisiplinkan pemandu dan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas itu. Negara-negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Eropah, China, dan Korea Selatan telah lama menggunakan sistem ini dalam usaha mendisiplinkan pemandu dan pengguna.

Secara tuntas, pihak polis atau penguat kuasa memang sentiasa berusaha sedaya-upaya untuk mengekang kemalangan daripada terus bertambah. Namun, soal keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab setiap individu sebagai pengguna jalan raya dan bukannya tanggungjawab pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata. Pengguna perlu menganggap sasaran menurunkan statistik kemalangan jalan raya ke peringkat sifar merupakan satu tuntutan sosial. Usaha mensifarkan nahas jalan raya tidak kira sama ada sempena perayaan mahupun di luar musim perayaan bukanlah suatu perkara yang mustahil. Tegasnya, setiap pengguna haruslah mempunyai komitmen yang perlu ditunaikan setiap kali berada di jalan raya.



Fakta – Usaha-usaha Keluarga / Ibu Bapa untuk Membentuk Keluarga Bahagia

1. Melengkapkan Diri Dengan Ilmu Keibubapaan

Ø Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka.

Ø Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagiamelalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan.


2. Memberi Perhatian dan Kasih Sayang

Ø Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.

Ø Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlumeluangkan sekelumit masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka.


3.Memperkenalkan dasar cuti pada Sabtu pertama dan ketiga

Ø Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula , turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Setiap ahli keluarga menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama-sama ahli keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti diluangkan untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.

4. Memberi Didikan Agama dan Moral

Ø Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah.

Ø Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik-beradik. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing mestilah dijadikan amalan dalam kehidupan berkeluarga. Peribahasa hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah pula seharusnya menjadi azimat sebagai kunci kebahagiaan sejati. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.


5. Peranan Media Massa menayangkan /paparan program/rencana yang menyemai bibit-bibit kemesraan dalam keluarga.

Hal ini boleh dilakukan melalui iklan di televisyen dan surat khabar.Sebagai contoh, terdapat iklan yang menggalakkan ahli keluarga berhubung melalui telefon bimbit. Terdapat juga iklan yang mempengaruhi orang ramai supaya balik ke kampung pada hari-hari perayaan. Oleh itu jelaslah bahawa media massa memainkan peranan penting untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.
Iklan – iklan yang dihasilkan oleh Petronas- iklan musim perayaan,
- Kartun Upin Ipin
- Filem Anakku Sazali-kemewahan yang keterlaluan
- Filem I’m Not Stupid- kisah kanak-kanak yang kurang pandai tetapi mempunyai sahsiah mulia


Penutup
Ø Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Benarlah ungkapan Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Nah sudah terang lagi bersuluh betapa pentingnya slogan maju keluarga, majulah masyarakat kerana pincang keluarga, musnahlah masyarakat.

Usaha Merapatkan Hubungan Dalam Keluarga




HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG SEMAKIN RENGGANG – 
USAHA-USAHA MERAPATKANNYA.

Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang (Kesan, faktor dan usaha)


Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang mengalami transformasi daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara yang pesat dan rancak pembangunannya. Dewasa ini, Malaysia mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang kian deras. Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara, perkara yang acap kali merimaskan masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Dalam keghairahan mengejar kebendaan dan kemewahan, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mula berakar umbi sejak dahulu lagi. Keluarga boleh ditakrifkan sebagai satu institusi yang terdiri daripada orang‐orang yang tersayang dan dikasihi termasuk keturunan moyang yang sama. Keluarga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, yakni keluarga nukleus dan keluarga besar. Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak serta adik. Keluarga besar pula terdiri daripada keluarga nukleus, nenek, datuk, sepupu, mak cik, dan pak cik. Mutakhir ini, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dan bobrokkian menggamit perhatian semua pihak.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mampu menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan daripada kemelut ini ialah kegagalan ahli keluarga dalam memahami serta saling menghormati antara ahli keluarga sendiri. Hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dapat dilihat dengan ketara menerusi beberapa kejadian yang bobrok. Sebagai contoh, keratan akhbar daripada Berita Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang bapa bertindak mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan orang lain di rumah. Kejadian sumbang mahram ini merupakan satu insiden yang amat menyedihkan dam memalukan. Seandainya hubungan kekeluargaan semakin renggang, ahli‐ahli keluarga akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi dan saling bertukar fikiran. Hal ini demikian kerana hubungan yang renggang ini telah memusnahkan jalinan kekeluargaan yang akrab dan erat. Oleh itu, ahli‐ahli keluarga tidak memahami antara satu sama lain dan seterusnya konflik dan perselisihan faham mudah berlaku. Kejadian ini akan mengakibatkan pergaduhan dan sekali gus ahli‐ahli keluarga bermusuhan sesama sendiri.

Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang turut menyumbang kepada masalah pengabaian ahli‐ahli keluarga khususnya golongan tua dan bayi. Penghantaran golongan warga emas yang uzur dan pembuangan bayi yang masih belum mencecah usia tiga bulan tidak lagi asing kepada masyarakat metropolitan khususnya di Kuala Lumpur. Masyarakat moden pada hari ini beranggapan bahawa golongan warga emas merupakan suatu beban yang menyusahkan mereka. Oleh itu, mereka bertindak menghantar golongan ini khususnya ibu bapa mereka yang tua dan uzur ke rumah orang tua‐tua. Mereka langsung tidak memahami perasaan ibu bapa mereka yang terasa diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain itu, ada pula golongan ibu bapa yang masih muda dan mentah pemikirannya bertindak membuang bayi mereka ke dalam tong sampah mahupun meletakkannya di tepi jalan dan di kaki lima. Perbuatan yang hina ini dipercayai dilakukan atas sebab ibu bapa tidak bersedia dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab untuk membela seorang bayi. Angkara mengabaikan ahli keluarga khususnya warga emas merupakan senario yang amat memalukan. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.

Peribahasa Melayu ada mengatakan masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada angin yang bertiup. Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli keluarga itu sendiri. Isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang kian hangat diperdebatkan oleh media massa. Memang tidak dapat dinafikan bahawasikap ibu bapa yang individualistik dan materialistik merupakan pemangkin utama kepada kemelut ini. Dewasa ini, golongan ibu bapa taksub mengejar kebendaan dan beranggapan bahawa kerjaya dan wang ringgit adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri. Mereka turut beranggapan bahawa kemewahan dan kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menilai status sosial mahupun kemampuan individu dalam masyarakat. Anggapan ini adalah salah sama sekali kerana keluarga merupakan aset paling berharga bagi semua insan di seantero marcapada. Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat ditukar beli dengan wang ringgit. Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih mementingkan kerjaya semata‐mata untuk kepuasan dan keselesaan diri sendiri telah mengabaikan anak‐anak mereka dan menggantikan kasih sayang dengan sogokan wang ringgit. Anak‐anak ini telah kehilangan satu wahana untuk bertukar fikiran dan pendapat dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak mencari rakan sebaya dan meluahkan segala isi hati kepada rakan yang dipercayai berupaya membantu mereka. Bertitik‐tolak dari sinilah, gejala sosial mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya.

Isu ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru haruslah ditangani dengan segera. Pelbagai langkah penyelesaian yang pragmatik, sistematik dan konkrit haruslah diambil secara berterusan. Ahli keluarga haruslah lebih banyak meluangkan masa untuk keluarga. Masa yang diperuntukkan pula haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Sebaik‐baiknya, segala konflik atau masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja dalam keluarga itu hendaklah dibawa berbincang bersama-sama. Tambahan pula, ahli‐ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai hari keluarga supaya ahli keluarga dapat bersama‐sama tanpa gangguan aktiviti lain seperti mesyuarat dan aktiviti kokurikulum.

Selain itu, ahli‐ahli keluarga khususnya golongan remaja haruslah didedahkan kepada didikan agama dan moral. Masyarakat kontemporari acap kali memandang enteng mengenai didikan agama dan moral. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Melalui pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (1989), subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama telah diperkenalkan. Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai‐nilai murni dalam jiwa pelajar khususnya dalam menghargai dan mencintai keluarga. Namun demikian, pelajar mutakhir ini hanya menganggap bahawa subjek‐subjek ini lebih berorientasikan peperiksaan daripada ilmu praktikal. Dengan erti kata yang lain, ilmu teori lebih diutamakan daripada ilmu praktikal. Jadi, pihak sekolah dan pelajar haruslah berganding bahu sama ada dalam memberikan kesedaran tentang kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan kekeluargaan agar pergolakan mahupun konflik tidak ditimbulkan sesama ahli keluarga.

Sebagai intiha bicara, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua pihak. Penerapan nilai‐nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak‐anak muda haruslah dilakukan sejak dari usia yang muda lagi. Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang sepatutnya dijadikan azimat demi kebahagiaan sejati . Generasi muda khususnya golongan muda haruslah diberikan kesedaran mengenai keperluan sebuah institusi keluarga yang harmonis. Remaja merupakan pemangkin dan pelopor kepada kepimpinan negara kelak. Merekalah bakal pemimpin dan akan mengetuai pucuk pimpinan negara kelak. Tambahan pula, remaja haruslah melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral supaya hubungan kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita menjangkau sehabis tangan dan menggembleng tenaga dalam membendung kemelut ini. Janganlah menjadikan Malaysiasebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis dari segi kebudayaan dan nilai-nilai murni. Namun demikian, sekarang bukanlah masanya untuk menopang dagu dan menuding jari. Misi dan visi rakyat jelata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor dan terkemuka di seantero marcapada pasti bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat ditangani. Institusi keluarga yang harmonis amatlah penting dalam melahirkan golongan pemimpin negara kelak. Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga yang sempurna. Pendek kata, segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara haruslah berganding bahu dalam menangani kemelut hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Jadikanlah “Rumahku Syurgaku” sebagai tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Jangan jadikan rumah sebagai lembah pergaduhan mahupun pertelingkahan. Rumah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat yang gembira dan bukannya sebagai satu tempat yang menimbulkan suasana yang tegang.

Ciri-ciri Pelajar Cemerlang / Berkualiti




CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG / KUALITI


Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan namun, remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno pernah mengungkap, “Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa.

Kecemerlangan dari aspek akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik Rakyat sihat, negara maju dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu, remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti peribahasa, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalihRemaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan. Remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Selain itu, remaja yang berkualiti juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan masyarakat sakinah dan madani pada suatu hari nanti.

Sementelahan pula, remaja yang berkualiti perlu kreatif dan inovatif untuk memacu kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baru akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak.

Intihanya, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Isu Pelancongan di Malaysia




CARA MENINGKATKAN BILANGAN KEDATANGAN PELANCONG KE MALAYSIA :
Daya tarikan sektor pelancongan di Malaysia ]

1. Perkhidmatan hospitaliti bertaraf antarabangsa
2. Infrastruktur pelancongan yang moden serta sistem pengangkutan yang selesa
3. Kaya dengan masyarakat majmuk ( kebudayaan, kesenian dan agama )
4. Makanan yang menyelerakan
5. Destinasi pelancongan yang menarik
6. Homestay
7. Ekopelancongan
8. Warisan sejarah
9. Pantai dan pulau yang indah
10. Pusat beli-belah yang moden.

FAEDAH MELANCONG DI DALAM NEGARA

1. Dapat mendalami pengetahuan tentang hal-ehwal negara kita.
2. Membantu perkembangan industri pelancongan tempatan
3. Boleh menjimatkan kos perbelanjaan
4. Mengurangkan pengaliran keluar wang negara
5. Mempertingkat rasa cinta akan negara
6. Keselamatan lebih terjamin di dalam negara

FAKTOR MENDORONG PELANCONGAN DOMESTIK

1. Peningkatan pendapatan isi rumah
2. Kualiti hidup yang lebih baik
3. Penawaran harga kompetitif oleh syarikat penerbangan tambang murah dan MAS
4. Pakej percutian domestik yang berpatutan
5. Pelaksanaan masa bekerja lima hari seminggu
6. Dapat berjimat cermat ekoran krisis kenaikan harga minyak

Sumber : Koleksi Rencana Umum 1 oleh Tn Hj Samat Buang

Panduan Mengarang - Karangan Cemerlang




KARANGAN RESPONS TERBUKA

1. APAKAH PERENGGAN ?
Perenggan merupakan satu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalahpenting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan. Setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru.

PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :
Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :

1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.
2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.

PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.

1. Perenggan pengenalan
2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan

PERENGGAN PENGENALAN :
Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
1. Ayat rangsangan.
2. Ayat arah.

AYAT RANGSANGAN :
Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.

(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.

(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.

(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.

AYAT ARAH :
Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Ayat arah :
Kesemua siri peperangan yang berlaku ini sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.

PERENGGAN ISI :

1. APAKAH AYAT TOPIK ?
Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topikmempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.

2. APAKAH AYAT HURAIAN ?
Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.

3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?
Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :

1. Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
2. Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3. Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.

4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Contoh peribahasa/ ungkapanyang boleh digunakan:

1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.

PERENGGAN PENUTUP :

Penutup merupakan kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.

JENIS AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP:

1. Ayat kesimpulan umum
2. Ayat pendapat
3. Ayat cadangan
4. Ayat komen
5. Ayat penilaian
6. Ayat harapan
7. Ayat penutup

Ayat kesimpulan umum : Masalah disiplin.
Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.

Ayat pendapat : Kesan peperangan.
Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.

Ayat cadangan : Kesan peperangan.
Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.

Ayat komen : Ulasan cerpen.
Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

Ayat penilaian : Kesan peperangan.
Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.

Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.
Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.

Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ayat Penutup: Kesan peperangan
Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayukalah jadi abu, menang jadi arang.

Diubahsuai dari Blog Bahasa Melayu 1.

Saturday, August 11, 2012

Nasib Bahasa Melayu di Negara Sendiri




KUALA TERENGGANU  8 Ogos - Anehnya, di negeri dan negara yang bahasa Melayu merupakan bahasa rasminya kita masih lagi terpaksa berkempen sesama sendiri dalam usaha mendaulatkan atau meletakkan ia di tempat sewajarnya.

Malah diadakan program Bulan Bahasa saban tahun di seluruh negara dengan pelbagai kegiatan menyemai kecintaan dan memperluaskan penggunaannya di samping ikrar dan tekad pihak berkuasa mempertahankannya.

Kerap kedengaran diadakan seminar atau apa sahaja pertemuan khusus untuk membincangkan masa depannya, justeru lahir pelbagai resolusi, usul bernada rayuan, desakan dan laungan agar kedengaran dan diberi perhatian.

Anehnya, kita berhabis masa dan wang untuk tujuan itu yang akhirnya bagaikan pesta bermusim kononnya mempertahankan sesuatu yang sebenarnya menjadi milik sendiri dan tidak perlu dipersoalkan sesiapa.

Jika bahasa dikatakan sebagai jiwa bangsa, alangkah kacau dan celarunya jiwa bangsa kita apabila semakin ramai yang merasakan sukar menggunakan atau berbahasa ibunda dalam perhubungan harian terutama dengan bangsa lain.

Maka, di negara ini, makin ramai rakyatnya yang gagal bercakap dalam bahasa itu dengan baik mengetepikannya dalam urusan perniagaan dan perkhidmatan sekali gus makin melenyapkan jati diri mereka malah jati diri bangsa.

Seorang pencinta bahasa, Sulong Taib berpendapat, di negeri dan negara yang diterajui oleh bangsa sendiri soal bahasa sebenarnya tidak perlu didesak dan dipandu arah oleh sesiapa dalam memperjuangkannya.

"Tetapi apa sebenarnya yang telah kita lakukan, di luar sedar sebenarnya kita meruntuhkannya. Betapa mudah kita ke tepikan bahasa sendiri seperti kesediaan menggunakan bahasa Inggeris untuk lokasi-lokasi atau produk atas nama pelancongan.

"Melucukan, seolah-olah tiada ayat yang sesuai dalam bahasa Melayu maka wujudlah nama-nama Kuala Terengganu Waterfront, Payang Walk, T-Shoppe dan lain-lain. Lihat juga di papan tanda perniagaan dan perumahan di merata negeri.

"Apakah pelancong tidak akan datang dan orang tidak membeli jika ditulis atau dinamakan dalam bahasa Melayu. Apakah mereka ingin melihat nama dan bukannya segala tarikan yang sepatutnya disajikan," katanya yang merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Cendering, dekat sini.

Inilah yang turut mengecewakan Gagasan Pendidikan Melayu Kebangsaan (Gagasan) negeri Terengganu dan bersama Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), mereka mengadakan sidang meja bulat baru-baru ini.

Ia suatu usaha kecil mereka agar sekurang-kurangnya suara mereka didengari pihak berkuasa bandar raya di negeri Warisan Pesisir Air ini kerana bahasa itu warisan yang tidak harus dikesampingkan.

Mereka ingin menyatakan rasa kesal dan bimbang dengan gejala pengabaian dan pencabulan bahasa Melayu termasuk di kalangan pihak berkuasa dan orang Melayu sendiri di mana sahaja kini.

Sidang meja bulat mengenai masa depan bahasa itu dipengerusikan Munsyi Dewan, Nawi Ismail dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri yang kemudiannya menerima resolusi untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

Penyertaannya amat menggalakkan dengan 40 peserta yang diundang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), institusi-institusi pengajian tinggi serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan.

Sebanyak 17 resolusi digariskan termasuk penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai lapangan perlu mencerminkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan warisan bukannya sebagai bahasa pinggiran dan diperlekehkan dengan pelbagai alasan.

Mereka antara lain berharap kebijakan dan kemahuan pemerintah wajar diperteguhkan untuk menguatkuasakan dan melaksanakan semua dasar yang berkaitan dengan bahasa itu dalam semua urusan terutama dalam soal pengiklanan, bahan penyebaran dan paparan umum.

Mereka juga mendesak pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab dalam penamaan sesuatu tempat atau meluluskan papan iklan melantik panel merujuk kesalahan bahasa atau merujuk kepada agensi bertanggungjawab seperti DBP sebelum meluluskannya.

Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, mungkin kerana bahasa itu tidak memberi sebarang pulangan dari segi pengaruh politik dan ekonomi maka ia tidak memerlukan langkah segera.

"Ada ahli politik dan pemimpin yang menegaskan tidak bangga dengan bangsa dan warisannya semata-mata untuk lunak didengar oleh bangsa lain dan dapat menarik sokongan mereka," ujarnya.

Katanya, bagi golongan itu bahasa Melayu tidak perlu diperjuangkan dan mereka sedia mengetepikannya kerana apa yang lebih utama adalah peluang mendapatkan kedudukan dan kuasa.

"Ada pula yang merasakan penggunaan bahasa Inggeris lebih gah dan memberi kesan lebih besar terutama dalam perniagaan apatah lagi jika ia dikaitkan dengan budaya ilmu dan pelancongan," katanya.

Menurut beliau, segala usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan kerja pejuang atau mereka yang mencintai bahasa itu semata-mata tetapi harus dihayati para pemimpin segenap lapisan masyarakat.

Beliau memetik kenyataan Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan yang menyebut: "Kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi umumnya ternyata begitu prihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya.

"Adalah perlu diakui ada penjawat awam, sarjana dan kalangan sektor lain yang memahami erti dan sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara, tetapi pada masa sama dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang tidak peduli akan nasib bahasa Melayu di bumi sendiri,'' katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/