Tuesday, December 11, 2012

Karangan Terlalu Bombastik Mengundang Padah



Dimana silapnya.

Lihat dan perhatikan :

Contoh Jawapan Calon (Pendahuluan).

Dalam era pasca perindustrian dan pasca modenisasi dewasa ini serta menelusuri  isu aktiviti Hari Kebangsaan semakin hangat diperkatakan melalui corong-corong radio, laman sesawang, di dada-dada akhbar dan paparan skrin televisyen. Perkara yang berkaitan dengan aktiviti Hari Kebangsaan turut menjadi buah mulut pemanis bicara dan perbincangan setiap lapisan masyarakat majmuk di seluruh pelosok dunia yang mendambarkan keamanan. Hal ini juga turut mendapat perhatian para pemimpin negara yang lunak bersuara dan diimplementasikan serta dibincangkan di kedai-kedai kopi, di pasar-pasar malam bahkan di Dewan Parlimen. Perdana Menteri Malaysia juga menegaskan bahawa isu yang dibincangkan ini perlu diberi perhatian supaya tidak mendatangkan kesulitan pada masa akan datang. Oleh itu, aktiviti-aktiviti yang sesuai diadakan di sekolah bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan negara kita akan dikaji dengan ironinya, teliti dan mendalam sehingga ke akar umbi supaya memberi impak yang positif kepada seluruh masyarakat 1 Malaysia.


Isu :
Hari Kebangsaan.

Fokus Soalan :
Aktiviti-aktiviti  yang sesuai diadakan di sekolah.

Komen :
1. Program ini hanya melibatkan aktiviti diperingkat sekolah dan tidak logik jika diperkatakan sehingga ke seluruh dunia.
2. Fokus soalan hanya tentang aktiviti sempena hari kebangsaan di sekolah dan tidak perlu ada istilah dikaji dengan teliti hingga ke akar umbi. Jika melibatkan isu yang besar tentang masalah pencemaran, punca kemalangan jalan raya atau masalah pendatang asing -  ayat ini mungkin sesuai.
3. Istilah pasca perindustrian dan pasca modenisasi kurang bersesuaian dengan isu Hari Kebangsaan.
4. Penggunaan istilah yang tidak bertepatan dengan situasi atau ayat.
5. Ayat menjadi tidak gramatis dan tidak jelas.

Mohon komen seterusnya dari penulis-penulis blog yang lain.

SETULUS PENGHARGAAN BUAT SEMUA PENULIS BLOG BAHASA MELAYU



Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kehadrat Illahi kerana masih memberi ruang dan peluang untuk saya terus menulis dalam blog ini. Sesungguhnya idea yang datang adalah daripada anugerahNYA yang membolehkan saya menukilkan di atas paparan skrin ini.
Semoga perkongsian ilmu dari kita dapat membantu anak-anak watan yang sedang membelek, mencari, mencedok, menggali, dan menerokai ilmu berkaitan dengan bahasa Melayu. Kesudian mereka untuk bersama-sama kita sangatlah dihargai kerana mereka sememangnya mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada kita sebagai bekalan untuk mereka terus berjuang di medan ilmu.

Sejak 5 November 2012, saya cuba menganalisis bahan-bahan yang kita paparkan untuk tatapan anak-anak didik kita di serata pelosok negara. Pada masa yang sama saya menyemak dan memerhati skrip jawapan pelajar, ternyata banyak bahan-bahan kita yang pelajar gunakan untuk diterjemahkan dalam skrip jawapan mereka. Semoga perkongsian ilmu kita itu dapat terus dimantapkan untuk hari-hari mendatang.

Apa yang jelas, analisis soalan-soalan percubaan negeri banyak membantu pelajar untuk mendapat markah yang tinggi dalam jawapan mereka. Secara kebetulan, analisis kita digunapakai untuk pecutan akhir sebelum kertas bahasa Melayu mereka jawab pada tarikh tersebut. Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penulis blog yang sudi bersama-sama saya untuk kita kongsikan bahan-bahan yang dapat membantu pelajar untuk menjawab soalan bahasa Melayu. Jasa baik tuan/puan sangat dihargai dan disanjung tinggi. Semoga ilmu tuan/puan akan menjadi amal untuk bekalan sebagai jutawan akhirat.

Adalah menjadi harapan saya, agar para pelajar dapat menggunakan pendidikan maya ini sebagai satu alternatif mereka untuk mendapatkan ilmu. Kita mungkin tidak mampu untuk menyediakan bahan secara bersendirian tetapi perkongsian bahan yang kita muatkan seboleh mungkin dapat dimanfaatkan oleh sebahagian besar pelajar dan juga guru-guru yang baharu. 

Semoga kita terus dapat bersama-sama dalam menyumbangkan ilmu untuk Memartabtkan Bahasa Melayu.

  

Wednesday, December 5, 2012

Muhasabah Diri




PERIBAHASA MASYARAKAT  MELAYU

Kalau Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Masyarakat pada zaman lampau mencipta peribahasa, antaranya adalah untuk menasihati golongan muda dan generasi seterusnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan perilaku yang baik dan yang terlarang; dan tidak kurang pula yang memberikan perangsang dan semangat untuk memperingati serta mengekalkan jati diri bahasa, budaya dan bangsa supaya terpelihara dan lestari sepanjang zaman. Peringatan terhadap semangat ini dikaitkan dengan peribahasa “Kalau benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau” dan “manikam dijatuhkan di lembahan takkan hilang cahayanya. Peribahasa ini menggambarkan usul menunjukkan asal dan bahasa menunjukkan bangsa. Peribahasa Madura juga ada menyebutkan hal ini, iaitu “Basanantowagi bangsa” yang bermaksud bahasa  menunjukkan bangsa dan “Basa gambaran nan Budhi” yang memperlihatkan keperibadian seseorang melalui cara dia berbicara. Dalam bahasa Inggeris juga terdapat peribahasa seumpama ini, iaitu Dogs bark as they are bred

SPM 2012 - Hampir di Penghujungnya,




Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, pelajar-pelajar SPM 2012 akan menamatkan pertempuran mereka dalam peperangan peringkat menengah atas. Kebanyakan pelajar aliran Sains sudah menyimpan alatan persekolahan mereka. Mereka juga telah mula bersantai dan merancang percutian panjang. Ada dalam kalangan mereka sudah boleh mencongak keputusan yang bakal diperoleh berdasarkan jawapan yang telah dinukilkan dalam skrip jawapan masing-masing. Mungkin ada yang tersenyum, ada yang keluh kesah dan tidak kurang juga ada yang mula berhasrat untuk mengulang semula pada tahun hadapan. Biar apapun, kita harus tunggu dan terus menunggu keputusan yang bakal diumumkan dalam bulan Mac 2013. Itulah keputusan muktamad dan realiti yang harus kita terima.

Pada waktu yang sama, para pemeriksa skrip peperiksaan sedang bersengkang mata dan bertungkus lumus memperincikan dan membaca skrip jawapan pelajar. Sudah pasti para pemeriksa kertas pada waktu ini terpaksa mengorbankan cuti penggal persekolahan dan waktu berehat bersama seisi keluarga demi menjalankan tugas yang diamanahkan dan untuk memartabatkan sistem pendidikan negara. Sudah pasti, semua kerja ini akan dilakukan dengan penuh dedikasi, amanah, bertanggungjawab dan beretika. Kita mahu apa yang diluahkan oleh para pelajar di atas skrip jawapan dinilai dengan teliti dan ditimbang tara tanpa ada prasangka dan prejudis. Yang penting, yang cemerlang tetap akan cemerlang dan yang alpa dan lemah harus mengakui hakikat pencapaian diri masing-masing.

Pihak Lembaga Peperiksaan juga sudah semestinya sedang bersiap sedia untuk memproses data dan membuat analisis berdasarkan markah yang dikemukakan oleh pemeriksa kertas. Semua pertautan kerja yang dilakukan antara pemeriksa, Lembaga Peperiksaan dan pihak yang terbabit dengan urusan pemarkahan ini perlu dilakukan dengan teliti untuk meminimakan kesilapan. Kerja ini bukanlah kerja mudah yang boleh dilaksanakan secara sambil lewa atau ambil mudah kerana maruah Kementerian Pelajaran terpikul dibahu kita bersama-sama. 

Semoga usaha bersama-sama antara kita akan mampu mengangkat martabat profesion perguruan.