Wednesday, August 13, 2014

Kepentingan Perpaduan Kaum Dalam Kalangan Masarakat

KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM
 
Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang unit lantaran rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Ramai penduduk dunia tertanya-tanya apakah formula ampuh yang telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin berwibawa di Malaysia sehingga rakyatnya dapat hidup bersatu-padu dan aman damai tanpa sebarang pertelingkahan. Namum, persoalan sedemikian hanya dapat dijawab apabila semangat perpaduan itu tersemat di dalam diri setiap anak watan yang akan mewarisi tampuk pentadbiran Malaysia. Tambah pula, aspek perpaduan telah dianggap sebagai tulang belakang kepada kegemilangan Malaysia. Oleh sebab itu, setiap rakyat Malaysia perlu sedar akan kepentingan perpaduan kaum kerana aspek perpaduan ini memberi impak yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia.


Dalam hal ini, perpaduan kaum amat penting untuk mengekalkan kestabilan politik. Kestabilan politik dalam setiap jabatan amat  perlu bagi menjamin keutuhan struktur pentadbiran Malaysia. Fungsi pentadbiran Negara pula perlu dilaksanakan secara sistematik kerana banyak negara luar yang gemar berurusan dengan pemimpin Malaysia. Impak positif yang berlaku ialah Negara Malaysia dapat melebarkan ruang lingkup jalinan persahabatan dan perdagangan bagi mencakupi arena global. Umpamanya, kestabilan politik di Johor telah memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Oleh itu, perpaduan kaum yang telah menyumbang ke arah kestabilan politik memberi pulangan yang lumayan kepada Malaysia bak kata pepatah Melayu’ pucuk dicta, ulam mendatang’ kerana kedua-duanya memberikan faedah kepada Malaysia.



Seperkara lagi, perpaduan kaum dapat menjamin Negara Malaysia. Amnya mengetahui bahawa Malaysia terdiri  daripada berbilang bangsa di mana majoriti rakyatnya terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India yang mempunyai pelbagai adat resam, agama dan kepercayaan sejak lima dekad yang lalu. Pemimpin-pemimpin yang lalu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambathan serta ramai pemimpin berwibawa yang lain telah berunding dan bertolak ansur untuk mencapai perpaduan demi sebuah negara yang tercinta. Kini, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk terus memelihara perpaduan yang telah kita warisi sejak zaman-berzaman lagi. Melalui perpaduan dan keharmonian, Malaysia telah mengorak langkah serta melalui satu fasa perubahan yang drastik sehingga kita standing dengan negara-negara maju yang lain dan dikagumi oleh seluruh pelusok dunia. Tambahan pula, ada segelintir pemimpin dunia yang menjadikan Malaysia sebagai suri teladan untuk membentuk perpaduan rakyat mereka seterusnya mencetuskan keharmonian negara,


Selain itu, perpaduan kaum juga dapat mengelakkan semangat assabiah iaitu semangat kekitaan yang hanya mementingkan diri sendiri ala 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'. Semangat assabiah ini akan menimbulkan permusuhan antara kaum. Hasilnya, Malaysia dapat menjadi contoh terbaik kepada negara lain seperti negara Amerika Syarikat yang mengamalkan Dasar Aparteid. Dasar Aparteid ialah dasar yang mewujudkan jurang perbezaan antara golongan berkulit putih dengan golongan berkulit hitam. Akibatnya, wujudlah pelbagai masalah sosial yang melibatkan perkauman berdasarkan warna kulit. Sebagai iktibar, masayarakat Malaysia wajar mengekalkan perpaduan demi mengelakkan semangat assabiah terjadi di atas bumi Malaysia ini.

Dalam nada yang sama, perpaduan kaum amat penting bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi pelbagai kaum di Malaysia. Melalui penemuan satu formulasi ekonomi iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke- 2, Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1970, beliau berjaya merungakai satu masalah yang membelenggu rakyat Malaysia yang mana, pada masa itu satu kaum telah memusuhi kaum yang lain dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Impak positif daripada formulasi ini, wujud semangat bertolak-ansur dalam kalangan rakyat dalam usaha membasmi kemiskinan. Tindakan ini juga jelas dapat dilihat apabila pihak kerajaan sendiri berusaha meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin melaui proses memodenkan kawasan luar bandar. Intihanya, usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum amat penting dalam usaha memupuk perpaduan kaum.


Di samping itu, kepentingan perpaduan yang lain pula ialah perpaduan dapat membangunkan ekonomi negara. Perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi dapat hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung. Selaras dengan itu, ekonomi negara akan berkembang dengan kemasukan palancong asing. Masyarakat Malaysia juga dapat berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Pelabur dari luar negara juga akan berminat untuk melabur di Malaysia. Rentetan itu, perpaduan kaum yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara akan menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain
 

Akhirulkalam, tanggungjawab menyemai benih perpaduan dalam diri setiap individu menjadi tugas rakyat Malaysia bersama-sama. Moga-moga usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dihargai oleh kita dengan terus memupuk sikap bersatu-padu tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, maupun budaya. Oleh itu marilah sama-sama kita menghayati cogan kata ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran kita tentang peri penting hidup bersatu-padu

Langkah Menangani Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin

 
 
 
Menangani Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin
 
Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara kita telah meningkatkan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama. Lantas, ratusan ribu penduduk dari negara jiran mengambil kesempatan memasuki negara kita secara beramai-ramai. Kehadiran mereka telah mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin dan rakyat tempatan. Oleh yang demikian, kehadiran mereka perlu dibendung dan diawasi.
 
Dalam usaha membendung kehadiran PATI, pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan PATI. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan menyukarkan kemasukan pendatang tanpa izin lalu mengurangkan jumlah PATI di negara kita.
 
Seterusnya pihak polis perlu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori. Para pendatang asing yang ditahan ini harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.
 
Di samping itu, semua pihak yang berkuasa wajar melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar semula pekerjapekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti Operasi Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung limpahan pendatang asing tanpa izin. Operasioperasi seperti ini akan mengurangkan kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan pihak kerajaan.
 
Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja asing tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan. Sesungguhnya sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan berhubung masalah pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan. Golongan ini seharusnya mengubah sikap demi kepentingan negara dan rakyat. Majikan hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan permit kerja yang sah sahaja.
 
Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri, perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan. Malahan adalah perlu untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama bagi menjamin kawalan sempadan yang lebih efektif Selain itu, ejen-ejen yang sah perlu dilantik untuk mengendalikan kemasukan pekerja asing secara lebih teratur dan terkawal.
 
Langkah jangka panjang yang boleh dilakukan ialah dengan penguatkuasaan undang-undang sedia ada. Tindakan lebih tegas perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa sama ada oleh pihak polis, imigresen atau rela untuk menangani isu kebanjiran pendatang tanpa izin. Pendatang yang masuk tanpa kebenaran ini perlu diambil tindakan yang tegas untuk memberi pengajaran kepada mereka. Sikap lepas tangan atau memandang sebelah mata tidak harus berlaku apabila mereka berhadapaan dengan PATI. Tindakan proaktif sebegini akan menimbulkan kegelisahan dan ketakutan mereka untuk berada di negara ini dengan bebas dan aman dan secara tidak langsung mampu membendung kebanjiran mereka.
 
Kesimpulannya, keperluan dan peranan pekerja asing dalam pembangunan ekonomi negara kita memang tidak dapat dinafikan. Namun demikian, limpahan pekerja asing terutamanya pendatang tanpa izin yang tidak dikawal dan berterusan sudah tentu akan memudaratkan kesejahteraan rakyat kita. Kita tidak mahu mereka menggunakan ruang dan peluang ekonomi yang ada di negara ini dengan bebas tanpa memikirkan kesan sampingan jangka panjang yang akan berlaku di negara kita. Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur, barulah kita akan bertindak untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan pendatang tanpa izin ini. 
 
 
 

Usaha-usaha Memajukan Industri Pelancongan Setempat

LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN DESA

Sedasawarsa ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan yang kian berkembang pesat di negara kita. Pada tahun 2000, purata pelancongan yang berkunjung ke Malaysia dianggarkan sebanyak 10.2 juta orang. Senario ini menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling banyak menerima pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa telah juga mendapat tempat di mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung dan menikmati kebudayaan dan adat resam sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri ini agar terus berkembang maju? 

          Minhaj pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini, kerajaan boleh membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Sekiranya pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk memajukan sektor pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang ditelan zaman justeru dapat mengurangkan pendapatan penduduk kampung. Oleh itu, pelaksanaan kempen merupakan langkah pragmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan.

             Minhaj seterusnya untuk memajukan pelancongan desa agar terus berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan di bawah pimpinan Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen haruslah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur di negara kita. Dengan adanya kelengkapan infrastruktur yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi industri desa di negara kita melalui pengaliran mata wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke negara kita jika kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga, maka industri desa akan terus berada pada takuk yang sama. Tegasnya, pihak Kementeriaan Pelancongan perlulah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur agar industri desa di negara kita terus berkembang maju. 
 
Selain itu, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-akitiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak pengurusan inap desa boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai contoh, mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing, congkak, wau, dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian, aktiviti menuai padi, dan pertandingan membuat kraf tangan. Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak dilaksanakan dengan penuh komitmen, sudah pasti industri pelancongan desa akan terus mundur dan berada di takuk lama. Tegasnya, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai uslub penting untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. 

           Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan juga haruslah memainkan peranan mereka dengan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Selain itu, untuk meningkatkan keberkesanan promosi ini lagi, pihak kerajaan juga haruslah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan kehadiran pelancong dalam negara kita ini lagi. Pihak Kementerian Pelancongan haruslah menitikberatkan perkara ini kerana tidak banyak rakyat Malaysia dan pelancong asing mengenali kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan melawat kawasan desa di negara kita. Lebih-lebih lagi, ekonomi negara Malaysia juga bergantung kepada sektor pelancongan dengan pertambahan pelancong dari luar dan dalam negara dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sumber ekonomi negara kita lagi. 

          Minhaj yang lain adalah dengan mengadakan kempen secara giat dan efektif. Pihak media massa dan media elektronik juga haruslah memainkan peranan mereka dalam menjayakan kempen pelancongan ini dengan menyiarkan dan memaparkan lokasi-lokasi di desa yang strategik untuk dijadikan kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di kawasan-kawasan desa yang terpilih untuk menambah minat pelancong lagi untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat di desa itu. Secara tidak langsung, pelancong akan mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan di situ bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, untuk menarik minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan masyarakat di kawasan desa itu. Seandainya langkah untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa tidak diambil serius oleh pihak kerajaan, kempen Cuti-cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia tidak dapat dijayakan, seterusnya menjatuhkan kekukuhan sektor pelancongan di negara kita. Tegasnya, peranan pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri dapat menambahkan kehadiran pelancong di negara ini. 

           Minhaj seterusnya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan desa. Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri pemprosesan makanan, batik dan kraf tangan. Industri desa haruslah diperkembangkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas serta dapat memberi pulangan yang lumayan dalam industri pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus berkembang maju. Tegasnya, untuk memajukan industri desa, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat pelancongan desa.

           Intihanya, peranan semua pihak sangat signifikan dalam memajukan industrI pelancongan desa di negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Selain sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat memakmurkan Malaysia di mata dunia luar. Senario ini secara tidak langsung dapat menangkis pandangan negatif negara-negara Barat yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang penduduknya tinggal di atas pokok dan bercawat. Industri pelancongan secara tidak langsung dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta. Oleh itu, kita sepatutnya mengusahakan industri pelancongan desa di negara kita dengan sebaik-baiknya.
 
Diubahsuai dari blog :
http://anelyza.blogspot.com/2012/09/usaha-usaha-memajukan-industri.html                

Memajukan Industri Pelancongan Tempatan



Usaha-usaha Memajukan Industri Pelancongan Negara
 
              Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula jadi yang unik dengan deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu menjadikan industri pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika alam semula jadi itu dieksploitasi sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke negara kita sejak belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menarik kedatangan pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, menyarankan agar tugas menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja. Saya berpendapat bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelancong mengunjungi Malaysia dan tinggal di negara ini. 

            Antara faktor utama pelancong datang di sesebuah negara ialah adanya kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkap kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak  pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. 

            Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, dan sebagainya turut menjadi faktor penting dalam menarik ramai pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana ini akan menentukan sarna ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap,  hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. 

            Kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat- tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan mewujudkan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada tahun lalu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam nenarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada suatu hari kelak.
 
            Kepelbagaian kebudayaan dan adat resam penduduk tempatan juga dapat menarik banyak pelancong datang ke negara ini. Malaysia yang memang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan seperti tarian Melayu, India, Cina, dan suku kaum di Sabah serta Sarawak mampu menghiburkan pelancong, khususnya kepada pelancong yang gemar kepada sesuatu yang baru. Kebanyakan pelancong memang gemar melihat kehidupan masyarakat di sesuatu tempat. Rumah Budaya di Kuching, Sarawak menempatkan pelbagai jenis rumah dan kebudayaan suku kaum di negeri berkenaan dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana. Kementerian terbabit harus menjadikan pelbagai budaya yang unik di negara kita sebagai daya tarikan utama dalam membangunkan industri pelancongan dengan rnemperkemas persembahan yang sedia ada. 

            Mengadakan promosi di luar negara juga merupakan langkah yang wajar dilakukan oleh LPPM dalam usaha menarik lebih banyak pelancong mengunjungi negara ini. Pelbagai aktiviti seperti rnengadakan Minggu Malaysia di beberapa buah negara di seluruh dunia dan acara pertukaran delegasi kebudayaan dengan negara tertentu adalah antara usaha berkesan memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing. Tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan membuka pusat penerangan di beberapa buah negara membuktikan bahawa usaha yang berterusan telah dilakukan dalam menarik pelancong. Buktinya, program seperti Tahun Melawat Malaysia (TMM) ternyata berjaya menarik ramai pelancong datang ke negara ini, sekali gus memberi keuntungan besar melalui tukaran mata wang asing. Promosi pula perlu dipertingkat bagi menarik kehadiran pelancong walaupun terpaksa rnembelanjakan wang yang besar, namun pulangannya juga lumayan.
 
            Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha menarik pelancong datang ke negara ini. Oleh itu, pihak terbabit harus memikirkan kaedah lain yang lebih berkesan, mudah, dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar sejajar dengan keadaan ekonomi negara yang meruncing dewasa ini. Jadi, tanggungjawab untuk mempromosi keunikan dan keindahan alam semula jadi negara kita kepada pelancong harus dikongsi bersama kerana rakyat juga akan mendapat manfaatnya. Industri pelancongan di negara ini akan terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara jika diusahakan secara lebih profesional.
 
Diperoleh dari blog :
http://anelyza.blogspot.com/2012/09/usaha-usaha-memajukan-industri.html                

Menjaga Keselamatan Anak-anak Di Tempat Awam



KESELAMATAN KANAK-KANAK DI TEMPAT AWAM
Pada era pascamerdeka ini, kes jenayah dan penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi sehingga menjadi topik hangat dalam media massa. Kejadian kehilangan dan kemalangan kanak-kanak seperti yang dilaporkan baru-baru ini meningkatkan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan golongan berkenaan ketika di rumah, sekolah, jalan raya dan tempat awam. Contohnya, kes adik Nurul Huda Abdul Ghani yang telah meninggal dunia dalam usia 10 tahun. Budak yang malang itu telah menjadi mangsa rogol dan dibunuh oleh binatang yang bertopengkan manusia. Begitu juga dengan kes adik Sharlinie dan adik Asmawi yang masih belum ditemui. Kes-kes tersebut turut diperkatakan dari warung kopi hingga persidangan parlimen. Kes jenayah kanak-kanak telah menggusarkan ibu bapa yang mempunyai anak yang seusia dengan kanak-kanak tersebut. Untuk mengelakkan lebih banyak kanak-kanak menjadi mangsa kepada manusia yang tidak berkeperimanusiaan, pelbagai langkah yang efisien patut dilaksanakan untuk melindungi kanak-kanak supaya mereka dapat hidup dalam dunia yang aman, harmoni dan bahagia.

Pelbagai kelompok masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan pandangan masing-masing mengenai keselamatan kanak-kanak termasuk mencadangkan pendidikan mengenai keselamatan diri di sekolah seperti keselamatan jalan raya yang sudah diajar di sekolah rendah. Selain itu mendidik kanak-kanak mengatakan `tidak’ kepada orang yang tidak dikenali dan dirasakan berpotensi membahayakan mereka. Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat tampil memberikan beberapa panduan mengenai keselamatan kepada kanak-kanak sama ada di rumah, sekolah, jalan raya dan tempat awam. Sesetengah panduan itu mungkin nampak ringan kepada segelintir orang, namun jika dipraktikkan ia dapat membantu mencegah kejadian tidak diingini. Naib Presiden Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM), Dr Farah Nini Dusuki berkata, pendidikan keselamatan diri perlu diajar pada peringkat awal kanak-kanak seperti di taman asuhan dan didikan kanak-kanak serta prasekolah. Katanya, ibu bapa juga perlu mendapatkan ilmu bagaimana mendidik anak masing-masing bagi menjaga keselamatan diri. Beliau berkata, pada masa sama, modul pendidikan keselamatan diri perlu diperkenalkan di peringkat sekolah rendah selain dasar perlindungan kanak-kanak bagi memastikan hak dan keselamatan kanak-kanak terjamin di negara ini. “Dasar ini tidak membenarkan mereka yang ada rekod jenayah termasuk keganasan dan jenayah seksual tidak bekerja dalam sektor membabitkan kanak-kanak seperti pengasuh, guru dan pengawal keselamatan di sekolah atau taman asuhan kanak-kanak,” katanya.

Untuk menangani masalah ini daripada terus menjalar, ibu bapa perlu memainkan peranan yang signifikan untuk menyelamatkan cahaya mata yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada mereka. Dalam konteks ini, ibu bapa harus sentiasa memastikan anak mereka tidak lari daripada perhatian mereka ketika berada di tempat awam, terutamanya di pasar malam, pasar raya dan pusat membeli belah. Berikut merupakan perkara-perkasa asas yang perlu dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka sebelum dibawa ke tempat awam. Pertama, ibu bapa perlu memaklumkan perancangan dengan tepat destinasi dan tujuan. Sebagai contoh; mula-mula ke pusat membeli belah Giant dengan tujuan utama untuk membeli pakaian seragam sekolah. Seterusnya, ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk memakaikan kanak-kanak dengan pakaian yang mudah dikenali sebagai contoh baju yang berwarna terang dengan tambahan topi berwarna terang. Kanak-kanak perempuan mungkin boleh dikenakan penutup kepala atau tudung yang berwarna terang agar mudah dikenali apabila berada di tempat awam. Kanak-kanak pada usia awal atau sebelum persekolahan kerap menghadapi masalah untuk mengingati nombor telefon ibu bapa atau alamat rumah mereka sendiri, sehubungan dengan itu, biasakan kanak-kanak ini membawa kad nama ibu bapa yang lengkap dengan nombor untuk dihubungi untuk sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
 
Bukan itu sahaja, ibu bapa mahupun penjaga perlu sentiasa mengingatkan kanak-kanak ini berjumpa terus dengan pihak berkuasa seperti pengawal keselamatan atau pihak polis jika terpisah dari keluarga atau tersesat. Sekiranya tidak berjumpa dengan mana-mana pihak berkuasa, cuba minta bantuan dari jurujual pusat membeli belah tersebut ataupun penjual di gerai jika di pasar malam. Kanak-kanak juga jangan ditakutkan dengan pihak berkuasa polis umpamanya. Kanak-kanak ini kena diberitahu bahawa polis akan menolong kita jika semasa kecemasan atau kemalangan. Jangan panik dan menunjukkan rasa ketakutan dan elakkan cuba meminta pertolongan dari orang yang tidak dikenali. Sementara itu, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa membawa sekurang-kurangnya gambar terbaru kanak-kanak bersaiz pasport, mungkin boleh disimpan di dalam dompet ayah atau beg tangan ibu. Gambar sebegini akan memudahkan dan mempercepatkan pihak berkuasa dan orang awam di tempat kejadian untuk mengecam kanak-kanak tersebut. Tegasnya ibu bapa perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak kecil mereka.

Selain persekitaran rumah dan lokasi percutian, ibu bapa sering mengambil mudah keselamatan kanak-kanak di pusat beli-belah. Ini kerana banyak elemen penting dianggap remeh sehingga menjadi punca kanak-kanak hilang di khalayak awam, cedera akibat tersepit di tangga bergerak atau pintu lif serta terjatuh ketika berlari. Menurut Pengarah Pemasaran Sunway Pyramid, Phang Sau Lian, kanak-kanak berusia lapan tahun ke bawah masih belum matang dan mampu menilai mengenai pentingnya keselamatan di tempat awam. Mereka secara semula jadi tidak akan duduk diam dalam tempoh lama, sebaliknya berlari, memanjat, menjerit dan melompat tanpa sebarang tujuan. Sifat semula jadi kanak-kanak aktif bergerak. Dalam hal ini, ibu bapa atau penjaga seharusnya memberi perhatian ketika berada di lokasi tertentu atau tempat awam yang sering mendedahkan mereka kepada ancaman tanpa diduga.

“Kanak-kanak mempunyai keupayaan luar biasa terutama ketika bermain kerana mereka tidak mengambil kira sebarang ancaman membabitkan diri. Jadi ibu bapa perlu peka mengenai sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kepada kanak-kanak terutama di pusat beli-belah,” jelasnya. Antara panduan yang boleh diikuti bagi mengelak perkara tidak diingini sekiranya berkunjung ke pusat beli-belah adalah dengan memberi penekanan mengenai keselamatan ketika menaiki tangga bergerak. Sebaiknya anak-anak tidak bermain di kawasan tangga bergerak bagi mengelak terjatuh atau tersepit. “Sekiranya kanak-kanak boleh menjaga diri sendiri, penggunaan tangga bergerak mungkin sesuai dengan mereka tetapi tidak bagi si kecil yang masih berada di dalam kereta sorong. Ini kerana kereta sorong perlu digerakkan dan pada masa sama, bayi di dalamnya mungkin boleh terjatuh. Perkara begini sering dianggap tidak berbahaya, namun kami menyarankan ibu bapa menggunakan lif kerana lebih selamat dan mudah,” ujarnya yang meminta ibu bapa memegang tangan anak ketika menaiki tangga bergerak.

Dalam kesibukan ibu bapa membeli-belah, ada sesetengah yang tidak sedar anak-anak terlepas daripada pandangan mata. Bagi mengelak perkara buruk berlaku, penjaga boleh memakaikan anak dengan abah-abah atau gelang khas bagi mengesan si kecil sekiranya terlepas daripada pegangan. “Ketika di rumah ibu bapa boleh menyediakan gelang khas di tangan anak dengan menulis nombor telefon atau sebarang nombor lain yang boleh dihubungi. Apabila anak terlepas daripada pegangan dan jika ditemui orang awam, mereka boleh menghubungi nombor berkenaan. Selain itu, ajar mereka supaya tidak mengikut orang yang tidak dikenali walaupun diberikan manisan atau permainan sebagai umpan,” katanya ketika ditemui pada program Bengkel Keselamatan Kanak-Kanak Kelab Leo di Sunway Pyramid, baru-baru ini.  Selain itu, ramai ibu bapa tidak tahu alat pemerhatian jarak jauh disyorkan bagi membantu mereka mengawasi anak sekiranya si kecil berjalan agak jauh atau terlindung daripada pandangan ibu bapa. Menurut Phang, Sunway Pyramid ada menyediakan alat berkenaan dan ibu bapa boleh membelinya daripada pihak pentadbiran. “Bayangkan ketika leka membeli-belah, kebanyakan ibu terlupa mengenai anak-anak mereka. Alat pemerhatian jarak jauh ini boleh mengesan sehingga jarak tertentu di kawasan pusat beli-belah dan jika anak hilang daripada pandangan, ibu bapa yang menggunakan alat ini akan menerima isyarat atau mereka juga boleh menghubungi pihak keselamatan pusat beli-belah. Alat itu akan mengeluarkan bunyi atau getaran sekiranya anak berada pada jarak tertentu,” jelasnya. Selain itu, bagi mengelak kemalangan ketika menggunakan lif, ibu bapa seharusnya memberi peringatan supaya anak-anak berkelakuan baik ketika masuk dan keluar dari lif. “Pastikan ketika pintu terbuka atau tertutup, si kecil tidak menghulurkan tangan atau kaki mereka. Sekiranya berlaku kebakaran pula, elak menggunakan lif,” katanya.

Selain itu, media massa perlu mendukung kewajipan untuk mencelikkan masyarakat kita supaya peka terhadap isu ini. Media massa terutamanya media elektronik mempunyai pengaruh yang kuat sekali terhadap masyarakat kita. Dalam situasi ini, pihak televisyen dan akhbar perlu menyiarkan rencana atau rancangan yang berkaitan supaya masyarakat kita, khasnya pengusaha tabika dan ibu bapa mengambil tindakan yang drastik untuk mengelakkan anak buah mereka daripada menjadi mangsa kepada manusia yang berjiwa binatang buas. Siaran daripada media massa dapat segera memancing perhatian dan kerjasama daripada masyarakat untuk menghulurkan bantuan bersama-sama demi menyelamatkan budak yang hilang atau kena culik. Dalam masa yang sama, media elektronik patut menyekat rancangan ganas yang dapat mempengaruhi orang ramai. Bahan lucah yang berkaitan dengan seksual kanak-kanak harus dilarang sama sekali sama ada dalam cakera padat digital cetak rompak ataupun dalam internet. Adegan keganasan ini mudah ditiru oleh bukan sahaja kanak-kanak malah orang dewasa juga. Senarionya, unsur keganasan akan diterjemahkan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa. Natijahnya, media massa perlu memainkan peranan dengan menghalang dan menyekat mahupun menapis rancangan yang berunsur ganas dan berusaha menginsafkan masyarakat kita untuk menyelamatkan kanak-kanak kita daripada menjadi mangsa keganasan manusia yang bertopengkan binatang.

Sementelahan itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan alternatif yang ampuh untuk membanteras gejala tersebut. Hal ini demikian kerana hukuman yang ketat berupaya memperingatkan orang ramai supaya tidak menganiaya kanak-kanak di negara kita. Mereka yang mencabuli, memperkosa, menculik dan mendera kanak-kanak perlu dijatuhi hukuman yang berat, seperti hukuman penjara mandatori, hukuman sebat, hukuman gantung sampai hati. Hukuman yang maksimum sedemikian akan menyebabkan mereka yang menganiayai kanak-kanak berasa serik dan takut untuk melakukan kesalahan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak polis juga perlu membuat siasat dengan cepat dan segera. Sindiket perdagangan manusia harus dibendung dengan segera. Alangkah malangnya, terdapat kanak-kanak yang diculik ke negeri Thailand dan Indonesia telah dicacatkan untuk menjadi pengemis . Oleh itu, pihak penguatkuasa perlu melaksanakan tugas mereka dengan komitmen supaya nyawa anak yang bernilai itu tidak diragut oleh manusia yang tidak waras akal fikirannya. Natijahnya, anak merupakan kurniaan Tuhan yang akan membawa kebahagiaan dan hiburan kepada keluarga. Anak juga akan mewarnai masyarakat, nusa dan bangsa kita . Seisi masyarakat kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka supaya membesar dengan aman dan sentosa. Kes jenayah kanak-kanak dan gangguan seksual menjadi fobia kepada ibu bapa untuk menjaga keselamatan anak mereka. Ingatlah pepatah ini, “jangan terhantuk baru tengadah” dan janganlah sampai “nasi menjadi bubur” baru kita sebagai masyarakat ingin membantu dalam melindungi kanak-kanak. Semua pihak yang terlibat tidak patut melepaskan batuk di atas tangga dan berusaha dengan gigih bagi melindungi hak kanak-kanak di negara ini
 
Langkah seterusnya dalam melindungi kanak-kanak di tempat awam ialah dengan menggunakan “harness”. Penggunaan “harness” juga mampu mencegah berlakunya bahaya kepada kanak-kanak di tempat awam. Harness ini sebenarnya alat keselamatan khas untuk kanak-kanak apabila ibu bapa atau penjaga bersiar-siar di tempat awam. Harness ini sangat sesuai untuk kanak-kanak yang suka berlari sana sini apabila berada di tempat awam. Alat kesematan ini sangat membantu untuk ibu bapa untuk sentiasa bersama dengan anak. Malahan, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor pernah menyebut tentang harness ini. Beliau mengalakkan ibubapa mengunakannya apabila keluar agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini. Namun penggunaan harness di Malaysia sangat kurang jika dibandingkan dengan masyarakat di luar negara, mereka sudah menggunakan alat ini dengan lebih luas. Hal ini kerana mereka sudah mempunyai kesedaran dalam aspek keselamatan anak-anak masing-masing.
Kesimpulannya, semua pihak perlu mengambil inisiatif sendiri bagi mengelakkan berlakunya kes-kes berkaitan kanak-kanak di tempat awam. Walaupun, masyarakat Malaysia belum lagi bersedia untuk menggunakan tali pengikat tangan seperti yang banyak diamalkan di luar negara. Kaedah tradisional iaitu tangan kanak-kanak ini mesti dipastikan digenggam walaupun mereka sendiri yang membantah terutama di kawasan sesak dengan orang ramai. Kanak-kanak juga boleh diajar membawa wisel sebagai peralatan tambahan keselamatan. Bagaimanapun mereka ini perlu diajar dan diingatkan agar menggunakan wisel hanya semasa kecemasan dan ketika dikuatiri diancam. Kebanyakan kes kehilangan anak adalah berada di lokasi yang penuh dengan orang ramai, terutama ketika jualan murah diadakan kerana ibu bapa sibuk membeli belah. Ibu bapa atau pendidik perlu mengajar anak mereka serba sedikit pendidikan seks, iaitu bahagian aurat badan mereka yang tidak boleh disentuh oleh orang lain. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka supaya menolak ajakan atau pujukan orang yang tidak dikenali walaupun terdapat gula-gula yang enak. Dalam masa yang sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka tidak berseorangan sama ada di rumah atau di luar rumah. Contohnya adik Nurin Jazlin membeli sesuatu di pasar malam sehingga tidak pulang untuk selama-lamanya. Sementara itu, menurut keratin akhbar Metro, pengacara Wardina Safiyyah, 31, pula menyatakan golongan ibu bapa perlu sentiasa menimba ilmu tentang aspek-aspek keselamatan kanak-kanak melalui pembacaan buku ataupun majalah yang sesuai. Melalui pembacaan, ibu bapa dapat mendidik anak-anak tentang keselamatan diri dengan cara yang kreatif. Itu sekali gus merangsang perkembangan minda dan tumbesaran mereka.
 "Jikalau ibu bapa terlalu obses akan keselamatan mereka sehingga membantutkan pergerakan cergas kanak-kanak, sediakan ruang rumah yang lebih selesa untuk bergerak," kata Wardina. Jelasnya, adalah lebih baik para ibu bapa menghadiri kursus membantu kanak-kanak dalam kecemasan di hospital yang berdekatan. "Kursus seumpama ini banyak membantu mereka memberi pertolongan kecemasan sebelum mangsa dikejarkan ke hospital. Kadang kala apabila anak tercedera, ibu bapa panik sehingga gagal memberi pertolongan kecemasan," terangnya . Tambahnya, kanak-kanak yang lebih kecil patut diawasi ketika mereka berada di kawasan luar rumah, baik di halaman sendiri ataupun di tempat awam.
Tegasnya semua pihak harus berganding bahu dalam menjaga kanak-kanak dan melindungi mereka di tempat awam. Masyarakat haruslah prihatin akan masalah yang menimpa kanak-kanak di Malaysia. Setiap hari kita mendengar berita tentang kanak-kanak di akhbar tempatan dimana mereka dibuli, didera dan dirogol. Peristiwa-peristiwa ini berlaku di tempat awam dimana masyarakat dapat melihat sendiri. Masyarakat perlu sentiasa peka akan apa yang berlaku disekeliling mereka. Jika ada sesuatu yang disyaki, sepatutnya bergegas melihat dan menghalang daripada hanya mampu melihat dari jauh. Janganlah kita berdiam diri hanya untuk kepentingan diri sendiri. Ingatlah bahawa nyawa seorang kanak-kanak itu sangat berharga untuk menjamin masa depan negara kita kelak.
 
Diperoleh dari blog :
http://syarifahhaniera.blogspot.com/2013/02/keselamatan-kanak-kanak-di-tempat-awam.html