Friday, June 17, 2011

Kesan Buruk dan Cara Mengatasi Kebanjiran Pendatang Asing




Malaysia kini dibanjiri oleh pekerja asing daripada pelbagai bangsa sebagai kesan dasar pintu terbukanya. Dasar tersebut telah membawa pelbagai implikasi buruk dan perlu diperketat semula.

Huraikan kesan-kesan buruk dasar tersebut dan kemukakan langkah-langkah proaktif untuk membendungnya.


Format : Tiada


Pendahuluan:

Kedatangan pekerja asing ke negara kita bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan - Pekerja asing merujuk kamus bermaksud tenaga kerja yang datang dari negara lain seperti Indonesia, Bangladash, Filipina, Thailand, dan sebagainya – dianggap sebagai lombong emas kerana di mana ada gula, di situ ada semut – Sektor yang menjadi tumpuan – sektor pertanian, perkilangan dan perladangan – Dasar kerajaan yang membuka lebih luas peluang pelaburan serta memberi layanan dan kemudahan kepada pelabur asing untuk membina kilang mereka di sini merancakkan kedatangan mereka lagi – membawa kesan-kesan negatif


Isi-isi:

Kesan-kesan negatif:


(a) menyekat peluang pekerjaan penduduk tempatan – sikap majikan di negara gemar mengupah pekerja asing – kadar upah murah – sikap tidak memilih pekerjaan – hidup penduduk tempatan tersepit – kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan – Buktinya, hampir 2.1 juta rakyat tempatan hilang peluang pekerjaan – kadar pengangguran semakin meningkat


(b) Peningkatan jenayah - tidak mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan – kos sara hidup semakin meningkat sebagai akibat kemelut ekonomi global - pecah rumah, kecurian, rogol, rusuhan, dan lain-lain – Mantan Ketua polis Negara ( KPN) Tan Sri Musa Hassan mengakui pendatang asing yang melebihi 2.4 juta orang di negara ini menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah


(c) Kesan ekonomi – pengaliran keluar mata wang negara pada kadar yang banyak pada setiap bulan – merugikan negara dari segi tukaran wang asing dan menguntungkan negara asal pekerja asing ini - sistem transaksi canggih di bank-bank negara kita – proses pertukaran wang dapat dilakukan dengan mudah dan cepat serta perkhidmatan yang murah – Bukti statistik, sebanyak RM9.124 juta telah dihantar ke negara asal pekerja asing di antara bulan Januari hingga Jun 2008 – membebankan kewangan negara – RM1.169 juta digunakan sehari oleh kerajaan sebagai kos untuk penahanan PATI – akan merugikan negara dari segi kerancakan perniagaan dan melemahkan kerancakan ekonomi di negara kita






Langkah-langkah membendungnya:


(d) mengehadkan pergantungan kepada buruh asing - menimbulkan pelbagai masalah sosial dan keselamatan – pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu mengikut negara sumber yang diluluskan kerajaan - pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini - Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembantu rumah, mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat asing yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan oleh kerajaan - Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.


(e) menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas - Hal ini kerana banyak pekerja asing adalah pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut.


Penutup:

Kedatangan pekerja asing ini tetap ada kebaikannya - kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial – kesejahteraan dan pembangunan negara

Bantuan Untuk Membantu Negara Yang Dilanda Bencana



Bencana alam yang berlaku di dunia ini banyak mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda.

Nyatakan pendapat anda tentang bantuan yang dapat diberikan untuk membantu negara-negara yang dilanda bencana ini.


Format: Tiada


Pendahuluan:

Banyak negara di dunia dilanda bencana alam – bencana alam sering melanda dan menunjukkan belang – satu fenomena yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau - banjir, gempa bumi, letupan guunung berapi – bencana alam menyebabkan pelbagai kesulitan yang dihadapi – sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan, kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban – bantuan segera perlu diberikan kepada negara-negara yang terlibat


Isi-isi:

(a) Memberikan sumbangan kewangan – kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma – derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini – tidak hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan - setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini - pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia - meringankan beban – berat mata memandang, berat lagi bahu memikul – kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita

(b) Sumbangan dalam bentuk tenaga dan kepakaran – mencari mangsa-mangsa yang tertimbus atau hilang – pasukan sukarela atau badan-badan bukan kerajaan turut memberikan bantuan – pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa – membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini – sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.


(c) Memberikan rawatan kesihatan dan kecemasan – pelbagai jenis penyakit akan merebak selepas bencana akam – bekalan air bersih akan terjejas – keadaan persekitaran akan kotor dan tercemar - doktor-doktor pakar dihantar untuk memberi rawatan terbaik kepada mangsa-mangsa bencana dan mendirikan pusar rawatan atau hospital sementara - memastikan lebih banyak nyawa mampu diselamatkan


(d) Bantuan psikologi – bimbingan dan kaunseling kepada mangsa bencana alam – mereka menjadi trauma – memberikan semangat baru untuk meneruskan kehidupan – Sokongan yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.


(e) Bantuan membina prasarana dan infrastruktur yang rosak semula – sekolah, hospital, klinik, jalan raya – membantu menggerakkan sektor ekonomi yang lumpuh semula - Kerajaan menghantar pegawai-pegawai perancang ekonomi bersama-sama ahli perniagaan tempatan untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi yang sudah lumpuh di kawasan bencana itu. Hubungan ekonomi ini memastikan masa depan penduduk terbabit bertambah baik.


Penutup:

Semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing – peka dengan permasalahan yang dihadapi oleh negara jiran – walau di mana-mana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna – amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali - Semua pihak haruslah bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih – perasaan muhibah dapat dipupuk – melahirkan dunia aman dan sejahtera

Mengelakkan Diri Daripada Terjerumus Dalam Kancah Masalah Sosial




Banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan kes gejala sosial dalam kalangan remaja. Sebagai remaja yang berwawasan, apakah yang akan anda lakukan untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kancah gejala sosial ini.


Format : Tiada


Pendahuluan:

Pujangga pernah mengatakan bahawa generasi berwawasan pemangkin pembangunan negara sememangnya kata-kata ini tidak dapat disangkal lagi - Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita saban hari pantas meniti dari bibir ke bibir – banyak gejala sosial berlaku dalam kalangan remaja – terutama mereka yang tercicir dalam pelajaran – merempit – pergaulan bebas – merokok dan penagihan dadah – memberikan kesan kepada kehidupan remaja itu sendiri – remaja perlu bertindak sebelum nasi menjadi bubur


Isi-isi penting:

(a) Mempunyai jati diri yang mantap - unsur negatif baik dari Barat mahupun daripada rakan sebaya dapat ditolak dengan baik - sebagai contoh, rakan mengajak merokok, berpeleseran, dan berlumba motosikal di jalan raya akan ditolak kerana mengetahui perbuatan tersebut tidak membawa sebarang faedah


(b) Pilih rakan sebaya yang mempunyai wawasan untuk berjaya dalam hidup - pilih rakan sebaya yang mempunyai kecenderungan untuk berjaya dalam pelajaran - agar tidak tersasar daripada matlamat hidup -tidak bergaul dengan rakan-rakan yang runtuh akhlak – menjauhi rokok dan dadah – sikap kawan akan mempengaruhi diri sendiri


(c) Mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah – membaca buku – mengulang kaji pelajaran – tidak melakukan perkara-perkara yang membazir masa – menonton televisyen – melepak dan berbual-bual kosong – masa itu emas


(d) Mempelajari agama – agama dapat mengelakkan diri seseorang daripada melakukan sesuatu yang tidak baik – menghadiri kuliah-kuliah agama – membaca buku-buku agama - Dengan agama juga, remaja dapat mengetahui sesuatu perbuatan itu halal ataupun haram.


(e) Menggunakan akal sebelum bertindak – tindakan yang dilakukan adalah betul – membezakan antara yang baik dan buruk – tidak menimbulkan kesan yang tidak baik – tidak menyesal sebelum melakukan sesuatu – sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya


Penutup:

Mengharapkan diri terhindar daripada sebarang gejala sosial – menjejaskan nama baik diri sendiri dan keluarga – tidak berjaya dalam pelajaran – kehidupan akan terjejas


Mengekalkan Budaya Warisan Rakyat Malaysia




Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis.
Sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.


Format : Tiada


Pendahuluan:

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas – warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi – kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara – Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa – remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita



Isi-isi:

(a) Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional – menyertai aktiviti dalam kelab tersebut – saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia – tak kenal maka tak cinta – menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita – warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi – di mana ada kemahuan, di situ ada jalan


(b) Anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya – kita akan memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang banyak daripada amalan tersebut – kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut – anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur – pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial – warisan dan amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga – tidak menconteng arang di muka ibu bapa kita


(c) Golongan pelajar seperti saya sewajarnya memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional – pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya – memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan – pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional – bangga jika busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia – harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang


(d) Kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaan makanan tradisional – Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini – nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya – makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda


(e) Peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka – golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan yang baik kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia – membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau – mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita - menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka


Penutup:

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan – arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar – warisan kita tanggungjawab kita – kita harus mengekalkan warisan nenek moyang kita –menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain – Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Kempen Budi Bahasa ; Tak Lapuk Dek Hujan, Tak Lekang Dek Panas.



Oleh : Tan Sri Lee Lam Thye

DILIHAT daripada kelakuan dan sikap sebilangan besar rakyat Malaysia, saya mempunyai kesangsian tentang keberkesanan usaha yang diambil setakat ini untuk mempromosikan pengamalan kempen budi bahasa dalam kalangan rakyat.

Saya ingin menegaskan betapa pentingnya rakyat Malaysia berbilang kaum memperbaharui usaha menjayakan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni.

Promosi dan pengamalan ini adalah dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai-nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan besar rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda.

Kebanyakan pelajar sekolah hari ini tidak bersedia mengucapkan ungkapan terima kasih apabila menerima sesuatu. Bahkan ramai yang tidak menghargai apa yang kita lakukan untuk mereka.

Contohnya, saya pernah menghadiri beberapa majlis penyampaian sijil atau anugerah kepada para pelajar sebagai menghargai pencapaian akademik mereka. Mereka menerima anugerah dan pergi begitu sahaja tanpa mengucapkan terima kasih.

Sifat kebiadaban dan tidak berbudi bahasa dalam kalangan rakyat dapat dilihat daripada cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan.

Isu-isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan; merokok di kawasan larangan merokok; meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk untuk warga tua, kurang upaya dan juga wanita hamil.

Adalah tepat pada masanya bagi rakyat untuk menangani isu-isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai-nilai murni tersebut.

Menganjurkan kempen mempromosikan pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni ini adalah penting tetapi apa yang lebih penting ialah untuk menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang dilancarkan itu sebagai suatu amalan harian.

Kempen peningkatan budi bahasa dan nilai murni dalam kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama negara semasa kita melangkah ke hadapan untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu, tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi.

Negara kita perlu memiliki rakyat yang berbudi bahasa, hormat-menghormati, beramanah, jujur serta integriti kerana sistem nilai itu menjadi pengukur sebenar sebuah negara maju.

Adalah tidak bermakna pembangunan dilaksanakan dengan pesat dan maju tanpa sistem nilai yang sewajarnya. Tidak guna infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya mempunyai mentaliti kelas ketiga sehingga gagal menjaga dan menghargai segala kemudahan disediakan.

Sebelum budaya masyarakat kita terus merosot, kita harus sedar dan mempraktikkan semula nilai murni dan budi bahasa.

Penulis ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Perjuangan Kemerdekaan & Harapan Untuk Masa Hadapan




Buat tatapan semua saudara sebangsa denganku,

Tanah tumpah darah kita, bukanlah terjelma dengan senyum tawa atau terbentuk dengan hilai manja. Dalam ketenangan hari ini, pejuang-pejuang kita telah banyak yang terkorban dan terpaksa menanggung derita. Izinkan saya memaparkan keperitan jasmani, jiwa, emosi, dan rohani dalam mempertahankan tanah air ini.

Masih terbayang di ruang mataku, rakan-rakan seperjuanganku terpaksa memikul senjata dan mengangkat mata pedang untuk mempertahankan maruah diri, keluarga, bangsa dan negara. Dalam situasi itu, terdapat rakanku yang gugur sebagai bunga bangsa. Tubuh mereka berlumuran dengan darah perwira, ada juga diantara mereka yang terpaksa menanggung derita kerana kehilangan pancaindera atau anggota badan. Berlinangan air mata, pilu rasa hati menyaksikan kejadian itu. Bayangkanlah, tubuh aku terpaksa mengesat percikan darah dan cebisan anggota tubuh mereka yang mengenai tubuhku. Betapa besarnya, jasa pejuang ini dalam mempertahankan negara.

Saudaraku,
Tentunya kita masih ingat, negara kita pernah dijajah oleh bangsa Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Kehadiran penjajah ini bukan sekadar untuk berniaga tetapi juga cuba mengambil kekayaan hasil bumi dan menguasai ekonomi negara dan lebih parah cuba menjajah negara kita. Masih aku ingat, pejuang Melayu seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut dan beberapa pejuang Melayu lain yang bangun sebagai pejuang bangsa dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara kita. Mereka tidak sempat untuk berehat, beriadah dan berhibur seperti warga Malaysia hari ini. Dalam jiwa mereka padat dengan semangat patriotik dan kental jati diri. Siang dan malam mereka berfikir untuk membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah durjana. Mereka lupakan keinginan untuk berseronok bersama ahli keluarga.

Penderitaan paling menyiksakan ketika negara kita dicerobohi oleh Jepun. Ramai rakyat yang kebuluran dan terpaksa mengikat perut. Ramai bangsa kita yang disiksa terkorban dan dipancung dalam memenuhi impian tentera Jepun di tanah air tercinta. Lebih malang, apabila ada dalam bangsa kita menjadi talibarut kepada tentera Jepun dan mereka "menikmati kebahagiaan atas penderitaan bangsa mereka" sendiri. Kejam, kejam dan sangat kejam mereka berperangai seperti ini. Biarpun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Seterusnya,aku terpaksa berhadapan dengan kemunculan gerombolan pengganas komunis. Pengganas bintang tiga ini sangat tidak berperikemanusiaan. Mereka merampas hak rakyat, menganggu kehidupan, menyiksa masyarakat dan melakukan kekejaman. Ribuan anggota tentera terkorban dalam mempertahankan tanah air ini. Masih terbayang dimataku, beberapa orang rakanku terkorban dalam jerangkap samar dan tidak kurang juga yang menjadi kudung akibat ledakan bom serta tembakan senapang pengganas komunis. Kita dapat saksikan kekejaman mereka jika kita menonton filem Bukit Kepong. Itulah hakikat kehidupan aku dalam zaman komunis tapi syukur aku selamat untuk membolehkan aku berkongsi keperitan hidup diketika itu.

Saudaraku,
Daripada celotehku dalam perjalanan hidupku lebih 85 tahun lalu, banyak pengajaran yang dapat kita ambil dan mesti dijadikan ikhtibar agar kemerdekaan yang kita kecapi lebih 54 tahu lalu mampu dipertahankan. Harapanku kepada pewaris bangsa ;

a) Binalah kekuatan jati diri dan semangat patriotisme yang jitu demi untuk menjadi bangsa yang sayang akan diri, masyarakat, bangsa, negara dan agama tercinta. Jangan biarkan diri kita dipengaruhi oleh anasir luar atau kita terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh memusnah hidup kita.

b) Bersama-sama kita pertahankan kestabilan politik dalam negara kita. Berfikirlah dengan semasak-masaknya apabila membuat tindakan dan keputusan. Selalulah muhasabah diri dan pastikan setiap tindakan kita mempunyai banyak kebaikkan daripada keburukkan. Pilihlah pemimpin yang berjuang untuk negara bukan untuk keuntungan diri sendiri atau kaum keluarga.

c) Pastikan kekayaan negara kita diagihkan sama rata untuk rakyat di negara kita dan pastikan kekayaan negara diagih secara adil supaya tidak timbul rasa kecewa dalam diri rakyat negara ini. Kekecewaan yang timbul akan mencetuskan suasana tidak harmoni dan boleh menggugat keamanan.

d) Bina dan mantapkan perpaduan kaum. Perpaduan membolehkan kita hidup dalam suasana harmoni bersama dengan kaum lain. Elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyentuh sensitiviti kaum. Keistimewaan sebagai kaum peribumi hendaklah dihormati dan jangan dipersoalkan.

e) Bersikap terbuka dalam semua perkara. Bersedialah untuk dikritik dan bersedialah untuk menerima pandangan orang lain. Sesungguhnya kita bukanlah insan yang sempurna, insan yang terlalu hebat dan insan yang terlalu baik. Setiap kita ada kelemahan dan kekurangan. Akur dengan apa yang kita ada dan kita bina kekuatan dengan sokongan pelbagai pihak lain.

f) Dalam era ledakan maklumat, semua masyarakat dan rakyat telah matang dan memperoleh pelbagai maklumat daripada banyak pihak. Janganlah kita melakukan perkara-perkara "bodoh" dengan menyangka masih terdapat masyarakat yang akan mengangguk apa sahaja yang kita lakukan.

g) Berpolitik secara bijaksana, matang jujur dengan melakukan perkara-perkara yang boleh memberi faedah dan manfaat kepada majoriti rakyat dan masyarakat. Jangan bersikap berat sebelah dalam apa jua hal dan janganlah melindungi orang-orang ternyata tidak baik dimata rakyat.

h) Binalah dasar negara sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, undang-undang dan sebagainya berpandukan agama dan syariat Islam agar Allah sentiasa meredhai kita semua. Yakinlah bahawa Islam adalah cara hidup yang terbaik.

Saya yakin jika harapan di atas dipenuhi, rakyat di negara ini akan menyokong kerajaan dan mendokong dasar-dasar yang ingin dilaksanakan. Rakyat hari ini lebih matang untuk menilai antara kaca dan permata dan mampu memilih intan disebalik jutaan serpihan kaca yang bertaburan. Ketelusan dan kejujuran kerajaan akan memberi impak besar dalam pembangunan negara.

Hanya ini yang dapat saya coretkan dalam warkah ini. Semoga negara Malaysia yang dicintai akan terus maju, makmur dan sejahtera untuk mengharungi hari-hari mendatang dan dalam menghampiri wawasan 2020.

Sekian, terima kasih.

Monday, June 13, 2011

Sajak Perpustaakan (tINGKATAN 4)




ANALISIS SAJAK "DI PERPUSTAKAAN" (LIBRARY IN THE EYE OF A MALAY POET)

Sajak kedua dalam antologi "Harga Remaja", teks komsas tingkatan 4, begitu jelas dan ringkas tajuknya iaitu "Di Perpustakaan". Namun, di tangan Shafie Abu Bakar, mantan profesor persuratan Melayu UKM, dan kini seorang ahli politik, pemilihan kata (diksi) yang begitu puitis menyebabkan lontaran idea dalam sajak tidak sejelas dan seringkas tajuknya. Unsur perlambangan, walaupun tidak menjadi fokus kajian komsas, menjadi teras kekuatan sajak ini.

Perhatikan rangkap pertama:

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Penyajak cuba menggambarkan perbezaan yang ketara sebaik sahaja seseorang melangkah ke dalam ruang perpustakaan, iaitu daripada "kehangatan merata" kepada "kedinginan yang menerpa". Penyajak melanjutkan gambaran suasana perpustakaan yang "terlalu hening". Ringkasnya, suasana hiruk-pikuk di luar berubah kepada suasana tenang tenteram di perpustakaan.

Bait "Gua pendeta bersemadi" pada baris ke-6 boleh dianggap sebagai definisi atau takrifan perpustakaan dalam bentuk yang paling konservatif. Gua melambangkan satu lingkungan atau ruang yang eksklusif, pendeta ialah bijak pandai, manakala bersemadi melambangkan pengekalan sesuatu idea atau kebijaksanaan. Maka, perpustakaan merupakan tempat himpunan pemikiran bijak pandai dipelihara.

Dalam keadaan perpustakaan yang senyap sunyi (di puncak sepi) memberi peluang kepada pengunjung memberi tumpuan terhadap pembacaan (kepala-kepala runduk meneliti). Maka, apa-apa yang dibaca dapat diproses oleh otak (Mata dan fikir bersebati).

Jika rangkap pertama ialah gambaran penyajak tentang suasana perpustakaan, rangkap kedua pula memasukkan "aku" (penyajak sendiri) sebagai pengguna buku di perpustakaan.

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Setiap satu daripada 15 baris rangkap kedua walaupun amat ringkas, tetapi begitu sarat makna. "Aku" yang maju ke ruang buku berasa begitu kerdil justeru "terapung di laut ilmu". Buku yang diibaratkan sebagai khazanah ilmu yang melaut luasnya menyedarkan "aku" bahawa dirinya tidaklah sehebat mana!

"Aku" seterusnya berasa bahawa walau sekuat manapun dia berusaha, (betapapun kulayari) tidak mungkin baginya menguasai semua ilmu yang termuat dalam buku-buku di perpustakaan yang menghimpunkan kebijaksanaan zaman-berzaman. "Aku" menyatakan dia hanya mampu mencatat sedikit sahaja ilmu (Hanya setitik dari tinta) dan memperoleh sedikit sahaja kebijaksanaan (Hanya sebiji dari mutiara). Perpustakaan juga disifatkan sebagai warisan peradaban manusia sejak sekian lama.

Rangkap ketiga merumuskan kedudukan "aku" di perpustakaan sebagai seorang "pelayar yang dahaga". Penyajak mengungkapkan:

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tidak pernah langsai

Kali ini gambaran khazanah ilmu di perpustakaan lebih luas daripada laut, iaitu Di dada samudera, Tak berpantai. "Aku" sebagai pencinta ilmu kini berada di tengah-tengah lautan ilmu (samudera) yang tidak bertepi. Meneguk air laut (masin) pastinya tidak menghilangkan dahaga, bahkan sebaliknya. Maknanya, proses pencarian ilmu tidak pernah menemui noktah..


Tugasan

Soalan petikan:

a) Berikan maksud Satu pertukaran yang kontras (rangkap 1, baris 2) (2 markah)

b) Mengapakah penyajak menyifatkan dirinya kerdil apabila berada di perpustakaan? (3 markah)


Soalan komsas:

c) Jelaskan dua persoalan dalam sajak. (4 markah)

d) Nyatakan empat nilai murni yang dipaparkan oleh penyajak. (4 markah)


Soalan KBKK

e) Huraikan dua cara bagi menarik perhatian orang ramai mengunjungi perpustakaan awam.
(4 markah)

f) "Kempen membaca hanya akan berkesan jika terdapat kemudahan perpustakaan yang
mencukupi."
Terangkan dua alasan anda untuk menyokong atau menolak pernyataan di atas. (4 markah)

PIBG Perlu Diperkasa Untuk Menjadi Pemangkin Kecemerlangan Sekolah



Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak program dan langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang boleh mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.

Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa. Banyak salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak apabila berlakunya kejadian salah laku di kalangan pelajar. Kebanyakan ibu bapa lebih percaya akan kata-kata dan acuman anak-anak berbanding fakta sebenar daripada pihak guru. Bertolak dari situlah mereka mulai memandang serong kepada guru. Guru sering kali disalahkan untuk segala yang berlaku di sekolah. Ini termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Ekoran itu, mereka mulai memulaukan sekolah dan mendendami guru tertentu. Namun dengan inisiatif PIBG, semua bentuk salah faham ini boleh diuraikan. Perbincangan yang lebih kerap, selain mesyuarat tahunan PIBG mampu menjernihkan suasana.. Hasilnya, situasi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

Selain itu, PIBG sebagai sebuah organisasi yang berwibawa boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah. Tabung ini boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu. Dana yang terkumpul ini boleh digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah dan para pelajar. Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan ditingkatkan. Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah amnya dapat memaksimunkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dicita-citakan.

Di samping itu, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para pelajar di setiap sekolah. Program seperti ini penting demi memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan berasa insaf dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi.

Peranan lain yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai terhadap perjalanan sekolah. Dengan kata lain, ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal akademik mahupun kokurikulum. Susulan daripada itu, perbincangan boleh diadakan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah demi mengatasi sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Di samping itu, pihak persatuan juga boleh berfungsi sebagai penjamin atau penyelamat kepada guru sewaktu menjalankan tugas di sekolah. Hal ini wajar dilakukan kerana ramai kalangan guru berasa tertekan dan terancam apabila menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

Kejadian memukul, mengancam, memusnahkan kereta dan membakar rumah guru merupakan gejala yang boleh mematahkan semangat guru. Tindakan PIBG membela nasib guru yang menjulang amanah ini akan menjadikan mereka lebih bersemangat dan selesa ketika bertugas. Ini secara tidak langsung dapat membantu sekolah meningkatkan pencapaian dalam semua bidang.

Akhir sekali, PIBG boleh juga mengadakan beberapa sesi gotong-royong di sekolah, misalnya gotong-royong menyiapkan bangunan tambahan, membina Taman Sains sekolah dan sebagainya. Gotong-royong yang diadakan ini bukan sahaja akan dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pelajar, malahan juga dengan guru di sekolah. Hubungan yang mesra ini mampu melenyapkan prasangka antara ibu bapa dengan guru. Hasilnya, akan wujud kerjasama lain antara mereka. Dengan itu, segala bentuk program yang dirancang oleh sekolah akan berjalan dengan lancar. Ini sudah pasti membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelaj ar yang berkualiti pada masa hadapan.
Sesungguhnya PIBG dan sekolah ibarat ‘aur dengan tebing’ yang perlu saling membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan.

Sumber : http : //mazlan66.wordpress.com

Pelajar Perlu Ubah Sikap. Jangan Guna Bahasa SMS Dalam Karangan



PERKEMBANGAN pesat teknologi maklumat dan penggunaan gajet serba moden lagi canggih sejak akhir-akhir ini bukan saja merubah cara manusia berkomunikasi menjadikannya lebih pantas biar pun di mana berada, malah ia juga mampu merubah gaya hidup mereka. Satu daripada perubahan ketara yang berlaku sehingga menjadi satu fenomena terutama di kalangan generasi muda kini ialah penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber. Memandangkan ia sudah menjadi amalan kehidupan seharian golongan muda, penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber didapati semakin mempengaruhi kehidupan dan urusan harian mereka terutama pelajar termasuk dalam menyiapkan tugasan sekolah dan tesis pada peringkat pengajian tinggi. Bahasa yang digunakan dicampur aduk dan diringkaskan sehingga hilang ejaan, struktur ayat dan kosa kata asalnya menjadikan golongan bukan sebaya sukar memahaminya. Penggunaan singkatan SMS menerusi telefon bimbit atau laman sosial memang bukan satu kesalahan, namun kesannya terhadap pelajar jika sudah terbiasa sehingga terbawa-bawa dalam penulisan karangan atau menulis jawapan dalam peperiksaan yang mereka duduki boleh menjejaskan masa depan. Menyedari kesan negatif ini, mereka harus lebih berhati-hati dan tidak terbawa-bawa dengan gaya penulisan tidak beretika ini dalam setiap urusan rasmi. Tentunya tidak wajar bahasa singkatan ini digunakan bagi tujuan penulisan karangan di sekolah mahupun tesis atau tugasan di pusat pengajian tinggi. Pelajar harus bijak membezakan bila mereka patut menggunakan bahasa singkatan dan bila pula menggunakan bahasa rasmi standard.

Guru juga tidak harus menggunakan bahasa singkatan ini ketika menulis nota, membuat catatan atau menjawab mesej daripada pelajar kerana ia boleh menjadi alasan bagi mereka terus mengguna pakai bahasa singkatan SMS dalam pelajaran. Anggaplah pendedahan yang dibuat menerusi laporan akhbar ini semalam dan kelmarin sebagai peringatan semua pihak termasuk pelajar supaya lebih berwaspada ketika membuat tugasan tertentu. Gejala bahasa singkatan SMS ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kualiti bahasa Melayu dalam peperiksaan. Oleh itu ia harus dibendung segera dan disekat dengan berkesan sebelum menjadi semakin kronik. Pihak sekolah hendaklah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini dan sentiasa mengingatkan pelajar agar tidak menggunakan bahasa tidak rasmi ketika menulis karangan, termasuk tesis di peringkat pengajian tinggi. Oleh kerana gejala ini berlaku secara berleluasa di kalangan pelajar Melayu khususnya, kita khuatir satu hari nanti pencapaian pelajar Melayu bagi subjek Bahasa Melayu akan lebih teruk berbanding bukan Melayu. Kegagalan pelajar menulis bahasa standard kerana sudah terbiasa menggunakan bahasa singkatan SMS atau chatting ini pada peringkat sekolah akan memberi kesan negatif terhadap keyakinan mereka menghasilkan penulisan bermutu apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Justeru, adalah wajar pelajar sendiri mempunyai kesedaran untuk menggunakan bahasa betul dan tidak terpengaruh dengan bahasa singkatan SMS dan siber ketika membuat tugasan sekolah sejak peringkat awal lagi.