Rumusan
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha pengurusan hutan di
negara kita dan kepentingan mengekalkan hutan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Isu pembalakan haram bukanlah
masalah baru yang membelenggu Malaysia. Sekiranya pembalakan ini berterusan
sehingga lima tahun yang akan datang, bermakna jumlah pokok yang ditebang akan
berlipat ganda. Oleh sebab itu, kegiatan pembalakan perlu dikawal agar tidak
memusnahkan alam sekitar.
Keadaan ini lebih serius apabila
kerja pembalakan haram dilakukan di kawasan sempadan negara. Malaysia pernah
didakwa oleh Indonesia sebagai pembeli balak haram kerana terdapat pihak
tertentu yang cuba menyeludup kayu balak dari Indonesia secara haram ke
Malaysia. Seharusnya Malaysia dan Indonesia bekerjasama untuk memantau kawasan
hutan di sempadan kedua-dua buah negara dengan lebih ketat bagi membanteras
aktiviti pembalakan haram. Kedua-dua negara tidak
harus saling menuding jari sehingga menjejaskan hubungan diplomatik yang
telah sedia terjalin. Teknik mengesan profil deoxyribonucleic acid (DNA) pokok adalah salah satu cara untuk
mengatasi aktiviti pembalakan haram. Teknik ini dikenali sebagai Random
Amplified Polymorphic DNA (RAPD). Setiap spesis pokok mempunyai profil DNA unik
yang berlainan dan tidak menyerupai mana-mana profil pokok yang lain. Melalui
teknik RAPD, balak yang dicuri dapat dipadankan dengan tunggul pokok yang
ditebang secara haram. Teknik ini telah digunakan dengan jayanya di beberapa
buah negara maju.
Walau bagaimanapun, teknik RAPD
memerlukan pihak penguat kuasa perhutanan menjalankan pemerhatian yang kerap di
kawasan yang disyaki berlaku aktiviti pembalakan haram. Rancangan Malaysia
Kelima (RMK-5) berjaya membaik pulih 1.56 juta hektar hutan kekal di negara ini
dan 80 ribu hektar kawasan pembalakan di Semenanjung Malaysia. Pada 1995-2000,
sebahagian kawasan hutan di Semenanjung Malaysia telah digunakan untuk
menjayakan ‘Program Perhutanan Masyarakat’ yang meliputi penubuhan dan
penyelenggaraan hutan lipur, hutan perkampungan, hutan bandar dan sebagainya.
Selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai “negara dalam
taman” dan memulihara alam sekitar, kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk
menanam 50 ribu pokok setahun dan 1.2 juta pokok menjelang tahun 2020 di negeri
masing-masing. Malaysia juga begitu komited untuk melaksanakan pengurusan hutan
secara berkekalan selaras dengan deklarasi RI0 pada Jun 1992. Bagi program
kemajuan ekonomi jangka panjang, kerajaan berusaha memanfaatkan industri
hiliran kayu. Kerajaan memberikan insentif kepada industri berasaskan kayu
seperti perusahaan perabot, papan lapis dan kraf tangan. Selain itu, khidmat
nasihat dan kepakaran diperluaskan untuk sektor ini.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa
aktiviti pembalakan memberikan pendapatan yang lumayan kepada negara. Kayu dan
hasil pengeluaran kayu menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi dan merupakan
eksport ketiga besar negara ini. Sektor ini juga berupaya menyediakan lebih 260
ribu peluang pekerjaan kepada guna tenaga negara. Namun sekiranya aktiviti
pembalakan tidak disekat, kesannya akan dirasai oleh generasi akan datang.
Diubahsuaikan daripada rencana utama ,
‘Pembalakan Haram: Malaysia Terus Menjadi Mangsa,
oleh Awang Azman Awang Par.
Dewan Masyarakat, Februari 2010)
Pemahaman Petikan Umum
Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Terangkan maksud rangkai kata tidak harus saling menuding jari seperti
yang terdapat dalam
petikan di atas.
[2 markah]
petikan di atas.
[2 markah]
(ii) Nyatakan
sumbangan-sumbangan sektor pembalakan dalam meningkatkan pembangunan negara.
[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda,
huraikan cara-cara memupuk sikap generasi muda agar
menyayangi alam sekitar?
[4 markah]
Untuk dapatkan jawapan, sila emel kepada saya - saharuddinabdullah81@yahoo.com.
Semoga dapat dimanfaatkan.