Sunday, April 29, 2012

Menulis Pendahuluan Karangan



Jenis-jenis Pendahuluan.

Berbentuk  Soalan/Persoalan.
Berbentuk Definisi
Berbentuk fakta
Bentuk  sejarah.
Bentuk suasana
Bentuk peribahasa
Bentuk puisi
Bentuk gabungan
Petikan tokoh

Contoh-contoh :

Pendahuluan Jenis Persoalan
Marcapada ini, pembangunan negara kita semakin pesat dan rancak. Namun demikian, kerancakan pembangunan itu disusuli dengan isu keganasan rumah tangga yang merupakan penyakit sosial semakin gawat melanda negara kita. Gejala ini ibaratduri dalam dagingApakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya masalah sosial ini. Siapakah yang harus dipersalahkan? Ke manakah hilangnya nilai-nilai kemanusiaan kita? Mengapakah usaha-usaha yang telah dijalankan selama ini gagal mencari  jalan penyelesaian? Bagaimana untuk menangani gejala ini? Apakah rencah yang terbaik untuk membanteras penyakit sosial yang rumit ini?  Inilah persoalan yang harus dijadikan renungan dan perbincangan kita.



Pendahuluan Jenis Definisi.


Pembalakan boleh didefinisikan sebagai kerja-kerja atau usaha-usaha penebangan hutan untuk menghasilkan kayu dengan cara menebang pokok-pokok besar, memotong dahan-dahan pokok dan sebagainya. Pembalakan boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, iaitu pembalakan sah dan pembalakan haram. Pembalakan sah merupakan  aktiviti membalak yang sah di sisi undang-undang kerana telah mendapat kebenaran dan  dokumen daripada kerajaan atau pihak berkuasa. Sebaliknya pembalakan haram merupakan kegiatan membalak yang dijalankan tanpa mengikut atau mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Akibat pembalakan haram, jumlah kawasan hutan di negara kita semakin berkurangan. Oleh itu, langkah-langkah konkrit perlu diambil untuk membendung kegiatan ini.


Pendahuluan Jenis Fakta .
Gejala ponteng sekolah yang berlaku sejak akhir-akhir ini kian menjadi-jadi dan sukar dibendung. Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perdana Menteri membuktikan bahawa masalah ini boleh dikatakan berlaku di seluruh sekolah di dunia. Lebih malang lagi peratusan kes ponteng sekolah di negara kita dikatakan meningkat setiap tahunStatistik Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 membuktikan bahawa gejala ponteng sekolah telah meningkat kepada sebelas peratus berbanding hanya 9 peratus pada tahun 2010. Gejala ponteng sekolah ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Semua pihak sama ada ibu bapa, guru sekolah dan juga masyarakat perlu seia dan sekata serta sederap melangkah bagi menangani masalah ini.

Pendahuluan Jenis Peribahasa.
Orang Melayu memang kaya dengan peribahasa yang mencakupi pelbagai aspek kehidupanAntara peribahasa  yang menggambarkan seseorang yang tidak mengenang budi dan jasa  ialahseperti kacang lupakan kulitdan sepertiulat lupakan daun”. Peribahasaseperti kacang lupakan kulitbermaksud  seseorang yang lupa akan  jasa orang yang menolongnya setelah menikmati kesenangan.Oleh itu sikap seperti ini perlu dikikis dalam hidup kita. Kita haruslah sentiasa menghargai dan berterima kasih atas segala jasa, pertolongan, dan pengorbanan orang lain kepada kita. Orang yang mengamalkan prinsip hidupseperti kacang lupakan kulittidak akan hidup bahagia, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Berikut ini saya huraikan punca-punca pelajar tidak mengenang jasa ibu bapa.

Pendahuluan Jenis Sejarah.
Malaysia dan seluruh pelosok Nusantara mempunyai bahasanya yang tersendiri iaitu bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan atau “lingua franca’ sejak lebih 600 tahun yang lalu, lebih lama daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula pada pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955, bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara. Pada tahun 1957, iaitu selepas merdeka, bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang termaktub dalam perlembagaan. Namun begitu, para pencinta bahasa berasa terkilan kerana masyarakat kian meminggirkan bahasa Melayu dalam kehidupan mereka. Di bawah ini saya perjelaskan cara-cara untuk kita sama-sama memartabatkan bahasa Melayu.


Pendahuluan Jenis Gabungan.



Tiga buah pondok telefon dibakar’, ‘sampah sarap bertaburan di pusat rekreasi’, dantandas awam diconteng dengan kata-kata lucah’. Begitulah bunyinya tajuk-tajuk berita yang sering dipaparkan di media massa. Sejak kebelakangan ini gejala vandalisme semakin berleluasa dalam masyarakat kita. Masalah sosial ini  tidak pernah lali daripada  kamus kehidupan masyarakat ekoran arus pemodenan yang semakin rancak.  Di sana-sini, kemudahan awam dirosakkan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan singkat akalnya. Persoalannya, adakah pembangunan dan kemajuan negara terpaksa mengorbankan kemudahan awam? Siapakah yang harus dipersalahkan? Oleh itu kerjasama daripada semua pihak amatlah diperlukan agar fenomena ini tidak semakin gawat. Janganlah apabila sudah terhantuk baru tengadah. Ketika itu, kita sudah terlambat untuk memperbetulkan keadaan.

Friday, April 27, 2012


Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

Tema 


Cerita ini mengemukakan tema kehebatan dan keistimewaan Awang Sulung Merah Muda. Beliau mampu mengharungi pelbagai rintangan sepanjang pelayarannya ke tanah Jawa.


Persoalan


  • Serangan lanun yang telah wujud sejak zaman dahulu lagi.
  • Dugaan semasa pelayaran seperti serangan lanun dan juga tipu helah anak kapal.
  • Sikap suka berjudi masyarakat zaman dahulu termasuk golongan bangsawan.
  • Sikap berhati-hati dan menghormati tempat yang dilawati. Nakhoda Tua telah berhati-hati agar tidak melanggar adat sewaktu berlabuh di negeri Terengganu.
  • Raja bertindak tanpa terlebih dahulu menyelidik sama ada sesuatu berita itu benar atau palsu.
Watak dan Perwatakan
Awang Sulung Merah Muda
  • Awang Sulung adalah anak kepada Tuanku Si Helang Laut dan cucu kepada Si Helang Mawai.
  • Awang Sulung Merah Muda menyamar sebagai budak hitam yang comot dan hodoh di geliung panjang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
  • Awang Sulung merendah diri. Baginda tidak menunjuk-nunjuk kelebihan dan kesaktian yang dimilikinya.
  • Awang Sulung berwajah tampan hingga menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan Si Kembang Cina terpikat padanya.
  • Awang Sulung memiliki keris dan pedang sakti.
  • Awang Sulung memiliki pelbagai kesaktian seperti:
  • Menenangkan air laut yang bergelora
  • Tidak perlu memegang kemudi sewaktu belayar
  • Menukar air masin kepada air manis
  • Awang Sulung berkahwin dengan Puteri Dayang Seri Jawa.
  • Awang Sulung pandai berpantun.
  • Awang Sulung suka bersabung ayam.


Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
  • Tuan Puteri Dayang Seri Jawa ialah anak kepada Tuanku Nakhoda Tua.
  • Tuan Puteri jatuh hati kepada Awang Sulung.
  • Tuan Puteri terlalu mengikut perasaan dan dan sanggup terjun ke laut apabila Awang Sulung berhasrat untuk balik ke Bandar Mengkalih.
  • Tuan Puteri adalah seorang yang bijaksana dan bertegas untuk membantah pendapat ayahnya yang terpengaruh dengan tipu daya jurumudi.


Si Kembang Cina


  • Si Kembang Cina adalah orang suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
  • Si Kembang Cina taat kepada perintah Tuan Puteri.
  • Beliau juga pandai memujuk Awang Sulung.
  • Si Kembang Cina bersubahItalicat dengan jurumudi untuk menganiayai Awang Sulung.


Tuanku Nakhoda Tua
  • Tuanku Nakhoda Tua adalah ayahanda kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
  • Banginda mudah percaya akan percakapan orang.
  • Baginda kesal akan kesilapannya memandang rendah kebolehan Awang Sulung.
  • Baginda menepati janjinya untuk mengahwinkan kepada sesiapa yang dapat menyelamatkan pelayarannya dengan puteri baginda sendiri.


Jurumudi


  • Jurumudi pandai menipu dengan mendakwa bahawa beliau yang menyelamatkan geliung daipada amukan Tuan Pueri Dayang Nuramah dan lanun.
  • Jurumudi bercita-cita untuk mengahwini Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
  • Beliau berasa iri hati apabila Awang Sulung mendapat perhatian Tuan Puteri Seri Jawa.
  • Jurumudi adalah seorang pengecut apabila beliau lari sewaktu diserang lanun.




Latar Tempat
  • Di dalam geliung panjang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
  • Di Pulau Tapai
  • Di Pulau Salah Nama
  • Di Negeri Pati Talak Terengganu


Latar Masyarakat


  • Masyarakat golongan bangsawan.
  • Masyarakat golongan bawahan yang bekerja untuk raja. Misalnya anak-anak kapal geliung panjang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
  • Masyarakat yang taat kepada pemerintah seperti kepada arahan Tuan Puteri.
  • Masyarakat lanun yang suka merompak.
  • Masyarakat yang suka berjudi seperti menyambung ayam.
  • Masyarakat yang kuat mengamalkan adat resam.


Nilai Murni


  • Nilai berani. - Awang Sulung berani menentang lanun semasa pelayarannya.
  • Nilai merendah diri – Awang Sulung sanggup menyamar sebagai budak hitam yang layak menjadi penunggu reban dan penghalau ayam sahaja.
  • Nilai bijaksana – Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak-anak kapal semasa dalam pelayaran.

Tuesday, April 24, 2012

Peningkatan Tahap Membaca..Murid bagaimana ?





Oleh Adli Shahar dan Mohd Fitri Nizam

KUALA LUMPUR: Tabiat membaca rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan berdasarkan penambahan 33.2 peratus bilangan pinjaman buku yang dicatatkan di Perpustakaan Negara (PN) tahun lalu. 

Statistik pinjaman bahan bacaan di PN pada 2011 menunjukkan peningkatan yang amat ketara iaitu dengan catatan jumlah keseluruhan sebanyak 1.03 juta buku dipinjam oleh pembaca tempatan, berbanding 2010 hanya 776,347 buku.

Ketua Pengarah PN, Datuk Raslin Abu Bakar, berkata faktor utama peningkatan berkenaan disebabkan oleh pertambahan jumlah pinjaman berkelompok dari 289 institusi pada 2011 berbanding 240 pada 2010.

“Kalau 10 tahun dulu seorang rakyat Malaysia cuma membaca dua buku setahun tapi pada tahun lalu kenaikan yang amat ketara dapat dilihat dengan jumlahnya meningkat kepada lapan buku seorang. 

“Peningkatan tabiat membaca ini membuktikan tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai pentingnya ilmu pengetahuan jelas kelihatan dan ia juga sejajar dengan misi kerajaan untuk mencapai status negara maju pada 2020,” katanya ketika ditemui pada pelancaran sambutan Hari Buku Sedunia di Perpustakaan Negara, di sini, semalam. 

Sementara itu, PN juga melancarkan ‘Kempen Bulan Bebas Denda’ kepada peminjam yang gagal memulangkan buku pada tarikh yang ditetapkan tanpa dikenakan sebarang bayaran sehingga 23 Mei ini. 

Raslin berkata, pemulangan boleh dilakukan di PN, perpustakaan komuniti PN di AEON Mahkota Cheras dan AU2 Setiawangsa serta perpustakaan desa di seluruh negara selain menggunakan perkhidmatan pos. 

“Penawaran ini adalah selaras dengan Kempen Bulan Bebas Denda untuk menggalakkan peminjam memulangkan kembali buku yang melebihi tempoh pinjaman tanpa dikenakan denda lewat pulang. 

“Setakat ini sebanyak 162 naskhah buku bernilai RM5,800 tidak dipulangkan semula ke PN pada 2010 manakala 173 naskhah (RM 6,500) pada 2011,” katanya.