Kepentingan Subjek Sejarah Dalam Diri Masyarakat / Pelajar
Perbuatan mengoyak-ngoyak Jalur
Gemilang, mempersendakan kalimat dalam lagu Negaraku, merosakkan sumber alam
semula jadi, bersekongkol dengan musuh negara, rasuah, dan tidak menghormati
undang-undang adalah antara anasir
kerendahan budi bahasa dan lunturnya jiwa patriotik seseorang. Namun demikian,
fenomena seumpama itu seolah-olah menjadi kepuasan kepada sesetengah individu
untuk menunjukkan diri mereka hebat. Mereka berbangga apabila dikatakan berjaya
merobek-robek sistem perundangan, peradaban, dan budaya masyarakat. Tingkah
laku keji seperti ini sudah pasti boleh meruntuhkan nilai patriotisme dalam
kalangan rakyat seandainya tiada sebarang tindakan proaktif diambil.
Menyedarinya, kerajaan telah mengambil pendekatan mewajibkan subjek sejarah
kepada semua pelajar, malahan subjek tersebut diwajibkan lulus pada peringkat
SPM. Walaupun terdapat reaksi pro dan kontra, saya berpendapat langkah tersebut
sebagai kena pada masa dan situasi untuk mengembalikan hak dan maruah negara
agar tidak dicacatcelakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Sejak ribuan tahun dahulu sejarah telah dijadikan
sumber rujukan untuk melahirkan negara bangsa yang sedar akan asal usul dan
akar umbi tamadun. Hal demikian amatlah penting kerana kejahilan terhadap asal usul boleh melahirkan
individu yang mudah menderhaka dan tidak mempunyai jati diri untuk berasa megah
terhadap tanah tumpah darah. Oleh itu, sejarahlah yang munjadi murabbi dan
mujadid untuk memberikan segala maklumat tentang keadaan sebenar tanah air dan
bangsa sendiri. Sama ada dalam bentuk bertulis, monumen, prasasti mahupun
serpihan, segala-galanya menjadi penting apabila boleh dirujuk sebagai bahan
sejarah. Itulah sahaja wadah yang dapat membezakan kewujudan sesebuah negara
dengan negara yang lain. Apabila rakyat telah sedar dan faham hakikat sejarah,
justeru fahamlah mereka akan tamadun tanah air sendiri. Sekiranya prakarsa ini
dapat diterjamahkan, nescaya amat relevanlah syarat wajib lulus sejarah dalam
kalangan pelajar diperkasakan semula.
Rakyat dari satu generasi ke satu
generasi akan berlalu pergi, sebaliknya negara akan terus kekal berdaulat. Demi mempertahankan kedaulatan,
maka sejarahlah yang dapat menjelaskan tentang kedudukan sebenar masyarakat dan
sistem politik di sesebuah negara. Tanpa pengetahuan yang terdidik tentang
sejarah, sudah pasti akan lahir manusia badut yang hanya layak untuk menjadi
pelakon di pelbagai pentas. Mereka gagal
menghayati akan harga sebuah kedaulatan dan tidak teragak-agak untuk merosakkan
tanah air sendiri. Segala imej tentang tamadun, budaya, sosio politik dan
ekonomi yang telah bertapak ribuan tahun akan menjadi catatan di atas kanvas
sejarah sahaja. Oleh sebab itu, rakyat
harus faham dan sedia bertolak ansur dalam kalangan masyarakat yang menganut
pelbagai ideologi, budaya dan adat resam. Rakyat perlu menghormati antara satu
sama lain dan bersatu untuk membentuk bangsa Malaysia yang berasaskan
permuafakatan dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui. Dengan hal yang
demikian, langkah kerajaan itu adalah tepat sebagai strategi mendidik rakyat
agar faham dan tahu akan sejarah terbentuknya negara Malaysia di dalam acuan
masyarakat majmuk.
Tokoh-tokoh silam dan masa kini tidak
pernah berbalah pendapat tentang pernyataan yang menyebut, “Sejarah ialah guru
yang paling benar dan sejarah tidak pernah berbohong”. Atas kebenaran tersebutlah, sejarah menjadi elemen paling penting untuk
mendidik rakyat memahami sistem bernegara. Sejarah merujuk kepada peristiwa
yang pernah terjadi dan peristiwa yang perlu diteladani. Oleh itu, pengalaman
landskap sejarah hendaklah dijadikan sumber untuk mengubah tingkah laku
masyarakat agar faham tentang sistem pemerintahan dan sistem bernegara. Sejarah
mengajar rakyat menghargai negara, menghormati pemimpin yang telah banyak berjasa dan menghargai betapa
bahagianya hidup dalam sebuah negara yang damai dan aman serta makmur. Sebagai
rakyat Malaysia, kita perlu mengambil iktibar daripada catatan sejarah tentang
betapa sulitnya untuk menatijahkan negara ini seperti yang wujud pada hari ini.
Pengalaman-pengalaman pahit yang telah diharungi generasi terdahulu seperti
dalam peristiwa penjajahan kuasa Barat, Perang Dunia Kedua, Darurat dan
beberapa episod pertelagahan kaum sudah cukup untuk pemimpin dan rakyat menjadi
lebih matang.
Sejarah juga telah dikenal pasti sebagai
elemen penting membantu mempercepat pembangunan sesebuah negara. Sesebuah
negara akan terus jumud sekiranya tidak mahu belajar daripada sejarah silam.
Sesungguhnya, pengalaman inilah yang telah menjadikan beberapa negara seperti
Jepun, Korea, Vietnam dan beberapa negara Komanwel di Asia Tengah untuk bangkit
menjadi kuasa ekonomi yang gagah. Semua negara berkenaan pada awalnya pernah hancur
akibat bahana peperangan yang melanda. Namun, dengan kekuatan rakyatnya menilai
semula sejarah, justeru mereka bangkit
untuk membajai semangat patriotisme menjadi bangsa yang berjaya. Hal
yang sama turut dikongsi oleh Malaysia yang mampu bangkit dalam tempoh 57 tahun
sahaja selepas ratusan tahun kita dibelenggu dalam rahang penjajahan. Pada hari
ini, lihatlah sahaja di mana-mana pelosok bumi Malaysia, harapan kejayaan sudah
terhidang di hadapan mata. Benarlah hakikat bahawa, rakyat yang kenal sejarah asal
usul dan jatuh bangun bangsa mereka sahaja yang mampu bangun untuk mengorak
langkah semula
Selain itu, sejarah pasti terus menjadi
agenda untuk melahirkan rakyat yang seia sekata dan sederap melangkah serta
sentiasa bersedia
mempertahankan kedaulatan negara. Perasaan sayang dan terhutang budi kepada
negara akan membentuk peribadi rakyat yang berjiwa patriotik, berintegriti dan
berwawasan. Mereka akan bersedia pada
bila-bila masa untuk menjadi tulang belakang pertahanan negara. Panggilan
keramat dalam lirik,
inilah
barisan kita
yang
ikhlas berjuang
akan terus terpahat dalam jiwa dan
sanubari anak muda demi menggalas amanah keamanan sejagat. Pada hari ini,
walaupun negara sudah aman, panggilan jihad terus terpahat dalam jiwa
warganegara apabila ramai yang rela menyahut panggilan untuk menjalankan misi
keamanan di seluruh pelosok rantau. Sikap patriotik seperti itu sudah pasti
memberi jaminan bahawa ketenteraman dan keselamatan sosial bakal terjamin. Oleh
yang demikian itu, janganlah ada pihak yang ingin menangguk di air keruh dengan
menyatakan langkah mewajibkan lulus sejarah sebagai tindakan selangkah ke
belakang kerana kononnya sejarah tidak mempeunyai nilai komersial.
Ratusan tahun kita berjuang untuk
mengembalikan maruah dan kemerdekaan tanah air. Kini setelah 57 tahun negara
mengecapi kemerdekaan setiap rakyat harus merasai sendiri denyut nadi mengecapi
nikmat kemerdekaan. Kita perlu ingat bahawa, mempertahankan kemerdekaan dan
kemakmuran yang telah lama dikecapi adalah lebih susah. Oleh itu, seandainya
wujud sikap talam dua muka atau gergaji dua mata akibat
buta sejarah maka amat wajarlah kerajaan mengambil langkah segera untuk
mewajibkan syarat lulus sejarah dalam peperiksaan seandainya langkah tersebut
boleh menyelamatkan masa depan negara. Sikap masyarakat yang melupai sejarah akan mengakibatkan hasrat kerajaan untuk merealisasikan wawasan 2020 akan tergugat.
Diubahsuai dari blog Ckg Ishak.