Pencerapan kali kedua bermula pada bulan April - Mei 2010....Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Pencerapan bukan untuk mencari kesilapan dan kelemahan seseorang tetapi sebagai jalan untuk mencari titik persamaan untuk memastikan proses pengajaran kita adalah yang terbaik. Kalau ada kesilapan atau kesalahan, kita perbaiki dan jika terdapat kekuatan dalam pengajaran kita teruskan. Proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah harus diubah daripada pengajaran yang berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan murid. Beri peluang sebanyak mungkin kepada murid untuk memberikan idea, pendapat dan cadangan berdasarkan isu yang kita ajar terutama kelas-kelas yang pandai. Minda pelajar harus digerakkan untuk mereka berfikir dan proses menyuap pelajar dengan ilmu harus diubah. Adalah sangat mendukacitakan kerana terlalu ramai pelajar yang berada di peringkat menengah atas tidak dapat memberikan idea dan pendapat ketika proses pembelajaran berlaku. Minda mereka beku dan daya berfikir mereka agak lemah. Selain itu, pelajar hari ini terlalu lemah pengetahuan sedia ada mereka. Kenapa ini terjadi? Ini disebabkan pelajar hari ini tidak suka membaca dan tidak suka menonton rancangan yang boleh memberikan mereka info. Minat pelajar terhadap ilmu sangat hambar. Mereka juga tidak tahu apa tujuan mereka datang ke sekolah. Malah ada sebahagian mereka tidak mempunyai cita-cita. Mereka tidak kisah jika gagal dalam ujian atau peperiksaan. Terdapat juga pelajar, masih mampu tersenyum dan mampu bergelak ketawa biarpun keputusan ujian atau peperiksaan mereka sangat mendukacitakan. Bagi mereka, keputusan itu tidak memberikan apa-apa kesan dalam hidup mereka. Sampai bila budaya ini akan berterusan? Bagi pihak guru, jika ada pelajar yang gagal, mereka tidak tidur malam. Pelbagai strategi, kaedah dan program yang senantiasa bermain di kotak fikiran mereka untuk mengatasi masalah kegagalan pelajar..Berubahlah anak bangsaku
Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Wednesday, April 28, 2010
MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU
Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan Kita. Hari ini Bahasa Melayu makin dipinggirkan. Pengetahuan dan penguasaan pelajar terhadap Bahasa Melayu amat lemah. Pelajar hari ini gagal berbahasa dengan baik. Dimana silapnya? Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Siapa yang harus dipersalahkan? Sampai bila hal ini akan berterusan? Tepuk dada, tanya hati. Guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu sudah pasti dapat memberi jawapannya. Fenomena ini sangat menyedihkan. Sebahagian besar pelajar Melayu sendiri tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik. Mereka bertutur sekadar orang lain boleh memahami tuturkata mereka sahaja tapi ayatnya tunggang langgang. Sepatut dan sewajarnyalah pencinta bahasa berasa gelisah dan cemas dengan situasi ini. Apa akan jadi dengan Bahasa Melayu 10 tahun akan datang jika hal ini tidak diperbetulkan dan tiada langkah memperbetulkan diambil. Mungkinkah identiti Bahasa Melayu akan lenyap sepertimana hampir lenyapnya akhbar Utusan Melayu. Ayuhlah rakan-rakan pencinta bahasa, sama-sama kita gemilangkan Bahasa Melayu. Kita julang dan martabatkan Bahasa Melayu sepertimana orang ingin menjulang Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu juga boleh berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa lain.
Ke Arah SMK Sijangkang Jaya Gemilang 2010
SMK Sijangkang Jaya Gemilang 2010 - Harapan dan cita-cita yang menggunung tinggi daripada pihak pengurusan untuk direalisasikan pada tahun ini. Siapakah yang harus memainkan peranan untuk menggapai impian itu ? Bagaimana impian itu untuk direalisasikan? Apa yang perlu dilakukan oleh warga SMK Sijangkang Jaya? Bilakah kita harus bertindak? Semua persoalan itu harus berada di benak semua warga SMK Sijangkang Jaya....bukan hari ini tapi 5 tahun yang lalu. Jika kita belum mempunyai jawapan bagi persoalan itu...marilah kita bangkit dari mimpi semalam, bersama kita mengorak langkah, sedia berkorban, bangkitlah untuk kita seiring bergerak menuju impian itu. Berazamlah semua warga SMK SJ...baik pentadbir, guru-guru, staf sokongan, pekerja, pelajar-pelajar, ibu bapa dan masyarakat persekitaran..kita julang dan lonjakkan nama SMK SJ. tidak ada yang mustahil selagi kita ada usaha dan ada keinginan.
Subscribe to:
Posts (Atom)