Tuesday, October 21, 2014

Tindakan Pelbagai Pihak Mewujudkan dan Mengekalkan Perpaduan di Malaysia


 
 
Huraikan usaha-usaha yang dapat dilakukan oleh pelbagai pihak bagi mewujudkan dan mengekalkan perpaduan di negeri ini.

 Tanggal 3 April 2009, tarikh tersebut akan terus terlakar dalam sejarah negara apabila Perdana Menteri Malaysia yang keenam dengan rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Beliau ialah Dato Seri Mohamed Najib Tun Razak yang meneruskan legasi kepimpinan ayahandanya Tun Abdul Razak bin Dato Hussein. Bukan sekadar itu sahaja, malah tarikh tersebut telah menjadi mercu tanda baru satu lagi gagasan Malaysia moden dilancarkan. Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kini menjadi landasan penting untuk pemimpin dan rakyat Malaysia menentukan arah tuju kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang menjelang hari-hari yang mendatang. Oleh hal yang demikian, dalam merealisasikan matlamat keramat itu, para pemimpin dan rakyat Malaysia hendaklah menyumbangkan peranan yang aktif mengikut kemampuan dan kedudukan masing-masing.

Tanggungjawab paling utama ialah para pemimpin hendaklah melaksanakan tanggangungjawab yang telah diamanahkan demi kebaikan rakyat. Tanggungjawab merupakan amanah yang amat penting untuk ditunaikan sejajar dengan sepotong Hadith Rasulullah yang bermaksud, “Setiap daripada kamu mempunyai tanggungjawab dan setiap yang dipertanggungjawabkan akan disoal ke atas diri mereka”. Inilah doktrin yang perlu dipegang dengan kukuh oleh para pemimpin di setiap peringkat. Dalam hal ini, para pemimpin hendaklah mempunyai komitmen yang tinggi agar janji dan manifesto ditunaikan dengan sebaik mungkin. Imej seseorang pemimpin akan terserlah melalui kebijaksanaan mentadbir, pekerti yang mulia, adil lagi berpandangan jauh. Dalam konteks satu Malaysia, keadilan hendaklah disamaratakan dalam kalangan semua kaum agar setiap juzuk kaum tidak terasa diri mereka terpinggir daripada arus perdana. Sesungguhnya, dengan kebijaksanaan dan keadilan pemimpin, rakyat akan bersatu padu dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

 Kredibiliti seseorang pemimpin tidak mungkin terserlah andainya tidak mendapat  sokongan dan kerjasama daripada rakyat jelata. Dengan yang demikian, Imej 1Malaysia hendaklah dijelrnakan daripada kerjasama yang terjalin kukuh antara pemimpin dan rakyat. Antara pemimpin dan rakyat bagaikan irama dan lagu, andai salah satunya pincang nescaya musnahlah kedua-duanya. Oleh itu, amatlah wajar diwujudkan jalinan persefahaman yang kukuh dan harmoni antara kedua-dua pihak.  Sikap saling hormat dan saling menyokong boleh menjadi jambatan yang memperkukuh hubungan. Sebagai pemimpin serlahkan nilai kepemimpinan yang berwibawa agar sentiasa dikagumi rakyat. Manakala sebagai rakyat berilah taat setia yang tidak berbelah bahagi kerana kedua-duanya memerlukan kerjasama erat ibarat ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah dan hati kuman sama dicecah.

 Menjelang era milenium dan dalam perubahan arus perdana global, masyarakat hendaklah memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang paling tuntas. Rakyat seharusnya mempunyai kemahuan yang tinggi untuk meletakkan diri mereka sebagai masyarakat kelas pertama. Mereka wajar berganjak dan bersedia keluar daripada pemikiran jumud dalam kepompong katak di bawah tempurung. Kemampuan berfikir secara global dan berfikir di luar kotak mampu menjanakan transformasi rakyat yang memiliki ciri-ciri kebijaksanaan, produktif, dan gigih berdaya saing. Langkah strategik untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan membangunkan pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran. Langkah terbaik seperti yang sedang berlaku kini adalah dengan wujudnya kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta yang menyediakan pelbagai peluang pendidikan yang bertaraf dunia. Seandainya inisiatif ini terus diperkasakan, nescaya gagasan 1Malaysia pasti menjadi realiti.

 Memetik kata-kata filosof agung Confucious, “Apalah guna kita tidur sebantal jikalau mimpi berbeza-beza, lebih baik berlainan bantal namun mimpi kita masih sama”. Kata-kata yang telah diucapkan sejak lebih 3000 tahun itu benar-benar memberikan impak kepada negara berbilang kaum seperti Malayisia. Demi merealisasikan hasrat 1Malaysia, langkah paling utama ialah masyarakat menjalinkan perpaduan yang sejati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Pemahaman konservatif yang menyatakan, perbezaan dalam aspek agama, budaya dan ragam hidup menjadi perintang perpaduan perlulah diubah segera. Sepatutnya, perihal kepelbagaian daripada pemajmukan itu hendaklah dijadikan aset untuk membentuk suatu negara bangsa yang unik. Sebagai rakyat Malaysia jauhilah fahaman perkauman yang masih menebal, sebaliknya jadilah masyarakat yang berfikiran terbuka dengan mempertingkatkan nilai hormat terhadap kepercayaan agama, adat resam, dan kaum. Insya-Allah, sekiranya nilai taboo ini berjaya disingkirkan pastilah suatu fasa baru  1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan boleh menjadi landasan baru rakyat Malaysia.

 Atas rasa cinta kepada tanah air tercinta, seyogialah seluruh rakyat membuktikan semangat patriotisme mereka. Keharmonian dan kesejahteraan negara perlulah diisi dengan agenda pembangunan. Pembangunan yang meliputi aspek material dan spiritual harus berarak serentak.  Amatlah malang sekiranya, bumi bertuah yang sangat kaya dengan pelbagai potensi ini tidak dimanfaatkan untuk kesejahteraan insan. Kita harus bersama-sama berganding bahu untuk membangunkan dan mempelbagaikan potensi ekonomi negara. Oleh itu, setiap warga dituntut untuk memaksimumkan daya usaha melalui cara berfikir, cara bekerja, dan mematangkan kreativiti. Seluruh rakyat tidak perlu berfikir tentang siapakah dirinya di bumi bertuah ini? Sebaliknya dalam suatu suara 1Malaysia mereka perlu bangkit untuk memaksimumkan daya pengeluaran negara. Oleh itu, sudah tiba masanya kita menjadi negara yang mengeksport produk dan kepakaran daripada sekian lama menjadi masyarakat pengguna semata-mata.
 
                    Memetik lirik-lirik dalam lagu patriotik “Malaysia Berjaya” yang berbunyi “Dari Perlis hinggalah ke Sabah, kita sudah berjaya” memaparkan betapa pentingnya kita bersatu dan berusaha untuk membentuk sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Kini kejayaan tersebut hendaklah direalisasikan oleh generasi baru Malaysia agar segala agenda yang telah dirancang oleh pemimpin yang terdahulu dapat mengimpakkan manfaat yang berganda kepada seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan harus diteruskan dengan pengisian dan keterlibatan menyeluruh oleh rakyat Malaysia.
 
Sumber : Blog ckg Ishak

No comments:

Post a Comment