Langkah-langkah Berjimat Untuk Menangani Kos Sara Hidup Yang Semakin Meningkat
Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, semua pihak telah maklum, bahawa
sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu
getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram.
Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan
krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana
ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda
negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat
menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya
mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis
kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah
antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah
memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa
agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.
Budaya
berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam
situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana
darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat
ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan
hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti
mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu
bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan
sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas
terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu
lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun
segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau
kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru
penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat amalan
sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak yang baik adalah yang
prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan
kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati
terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya
tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi
bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap
bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu
sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan
tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong
untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan
meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian
yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif.
Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya
bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang
masakan dapat terbang bersama.
Walaupun bebanan kos hidup
semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk
memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan
seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di
mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut
dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi
dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu
dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon
tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan
Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan
peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah
mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor
Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih
mencecahi perlimbahan”.
Bak kata peribahasa, daun boleh
melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan
bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian
amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia
dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan
bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik
dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat
susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah
apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang
masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang
sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu,
berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk
dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang
lemak, cerdik membuang saudara.
Kaya atau miskin, susah mahupun
senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian
Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan
cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih
gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang
paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa.
Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai
anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan
sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai
insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan
bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan
dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan
mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib
mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon
petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama
kita.
Kesimpulannya, ketika berdepan
dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga
tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh
tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka
terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi
jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang
sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat
sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.
Sumber : Blog Cikgu Ishak
No comments:
Post a Comment