1. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
semakin hampir. Anda berazam untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan tersebut.
Jelaskan
perancangan-perancangan anda untuk mencapai matlamat tersebut.
Memulakan kalimah bicara ini, saya ingin
meminjam kata-kata hikmat daripada Mantan Presiden Indonesia, Seokarno iaitu,
“Gantunglah cita-citamu di langit yang tinggi walaupun kakimu menjejaki
perlimbahan”. Demikianlah betapa besarnya cita-cita dan wawasan kepada
kehidupan seseorang insan yang normal. Hidup tanpa cita-cita, ibarat subur
sepohon yang rendang tetapi tidak berbuah. Justeru, cita-cita besar yang sedang
saya impikan sekarang adalah untuk menjadi pelajar cemerlang dalam SPM 2014.
Demikianlah hasrat yang turut dikongsi bersama oleh ibu bapa serta guru-guru
saya juga. Sungguhpun begitu, cita-cita
amatlah ideal untuk diucapkan, sebaliknya terlalu perit untuk diterjemahkan
menjadi realiti. Oleh itu, demi memenuhi hasrat murni tersebut, saya hendaklah
bersedia dari sekarang dan banyak prakarsa yang harus saya lakukan.
Langkah
pertama ialah saya perlulah menghargai nikmat kesihatan yang dianugerahi Allah
SWT kepada saya. Nikmat kesihatan merupakan aset peribadi yang tidak boleh
dijual beli. Saya amat bersyukur kerana dilahirkan sempurna dengan wajah dan
paras rupa yang baik. Allah mentakdirkan kepada saya kesihatan yang baik,
pemikiran yang waras, dan emosi yang stabil. Alangkah bernilainya anugerah
tersebut. Benarlah bak kata orang
tua-tua, “Nikmat sihat itu hanya berada pada seseorang yang sakit”. Dalam
usia remaja ini, saya perlu peka terhadap pemilihan makanan dengan memilih
makanan yang baik lagi halal dan menjauhi diri daripada mendekati makanan yang
berbahaya. Saya amat serius tentang bahaya dadah, arak, dan rokok yang dengan
jelas membawa mudarat kepada fizikal dan minda. Pertumbuhan fizikal pun
hendaklah saya kawal dengan memastikan rutin harian dan latihan jasmani serta
riadah dijalankan mengikut jadual. Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan
pesan Nabi SAW dalam sebahagian daripada Hadithnya, “Jagalah nikmat sihat sebelum datang sakit”.
Sebagai
anak muda yang sedang meniti arus perubahan milenium, saya perlu memiliki visi
dan hala tuju yang jelas. Hidup tanpa visi ibarat
bahtera di tengah-tengah samudera tanpa nakhoda. Hidup akan
terumbang-ambing dan tiada masa depan. Visi saya adalah menjadi insan cemerlang
merangkumi dunia dan akhirat. Resepinya, saya perlu belajar ketika usia remaja
dan mengenal pasti bidang kemahiran yang cocok dengan jiwa saya. Andai
dimakbulkan Tuhan, saya berazam untuk menjadi seorang pendidik yang berjaya dan
kompeten dan mampu menggenggam ijazah sihingga ke peringkat Doktor Falsafah
(Ph.D). Walaupun impian itu masih jauh ibarat di seberang lautan, namun
kejayaan cemerlang pada peringkat SPM amatlah penting. Sememangnya, semua pihak
sudah maklum bahawa SPM menjadi pananda aras untuk seseorang itu menentukan
hala tujunya. Insya-Allah sekiranya saya gigih dan digarapi semangat juang,
sesungguhnya di mana-mana ada kemahuan
di situ ada jalan.
Asas utama yang tidak kurang
pentingnya untuk mencapai kejayaan ialah strategi belajar yang berkesan. Dalam masa yang sangat suntuk ini, saya
perlu lebih bijak merancang strategi pembelajaran agar dapat mengimpakkan
hasil. Oleh itu, saya perlu melipatgandakan latihan daripada koleksi soalan
tahun-tahun sebelum. Saya perlu memperkukuh daya ingatan yang kadang-kadang
memerlukan saya menghafal atau membuat latih tubi. Prakarsa yang efektif yang
mampu saya lakukan adalah dengan membuat beberapa nota kecil yang bersaiz poket
dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Konsep belajar secara berkumpulan
juga hendaklah saya amalkan sebagai salah satu daripada strategi belajar secara
berkesan. Percambahan idea dan sikap saling memberi dan menerima dengan
rakan-rakan hendaklah saya utamakan. Pendapat rakan harus diraikan dan tidak
pula lokek untuk menyumbangkan idea. Sesungguhnya, inilah sikap saling membantu
bak aur dengan tebing.
Meminjamkan
sepotong firman dalam al Quran yang bermaksud, “Bertanyalah kepada yang bijak
seandainya kamu tidak tahu” jelas
menuntut supaya saya sentiasa berdampingan dengan tokoh-tokoh ilmuwan.
Mereka itu pastilah para guru, ikon-ikon yang berjaya dan golongan profesional
dalam bidang yang ingin saya ceburi. Sekiranya ingin menjadi tokoh korporat
maka golongan peniaga yang harus didekati atau jikalau mahu menjadi pemimpin
nescaya tokoh-tokoh politik, pemimpin masyarakat, dan NGO yang wajar saya
dekati. Daripada merekalah akan terbina motivasi untuk saya merancang masa
depan. Sikap malas belajar dan malu bertanya harus dikikis daripada jiwa dan
sanubari, bak kata peribahasa minta pada yang ada, mengaji pada yang tahu dan
sentiasa berwaspada sikap malu bertanya sesat jalan, malas berkayuh perahu
hanyut.
Kendatipun, sebagai hamba-Nya, sebanyak
manapun perancangan yang disusun, Allah SWT tidak boleh saya lupakan sama
sekali dalam segala urusan. Allah tahu akan apa-apa yang tersurat dan
tersirat di dalam benak sanubari kita. Saya yakin kepada qada dan qadar yang
telah ditentukan oleh Allah. Namun, atas sifat pemurah-Nya, doa dan kegigihan
tidak pernah menghalang untuk kita berjaya. Saya cukup yakin, hasil ramuan
usaha yang gigih dan doa yang tidak putus-putus kepada Allah pasti segala yang
dihajati akan menjadi kenyataan. Ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain akan
saya implementasikan dengan istiqamah. Saya sangat pasti selangkah kita ke
hadapan mahupun selangkah surut ke belakang, Allah pasti bersama-sama kita.
Oleh itu, dalam menggapai impian dan wawasan, Allah jangan sama sekali dijauhi.
Berburu
ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai
bunga kembang tak jadi
Serangkap pantun di atas mengajari saya bahawa dalam melengkapkan
cita-cita, justeru usaha, ilmu, dan keiltizaman hendaklah diolah dengan sebaik
mungkin. Adat muda memikul tugas dan muda juga tidak berulang datang, justeru
untuk memastikan segala hajat dan impian terlaksana maka usia muda hendaklah
saya manfaatkan dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya, saya amat yakin apabila
segala persediaan diri berada di atas trek yang betul, insya-Allah segala
impian pasti menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment