Tuesday, October 21, 2014

Peranan Ibu Bapa Dalam Merealisasikan Budaya Membaca



“ Peranan Ibu Bapa  Sebagai Pendorong Anak-anak Dalam Merealisasikan Budaya Membaca”.

Contoh Pendahuluan :
 
Pendahuluan 1

Apabila kita menoleh semula kepada  sejarah kemajuan manusia, perihal membaca merupakan suatu wahana yang menjadi enjin utama untuk sesuatu bangsa itu maju. Dalam sejarah Islam juga, permulaan madani bermula dengan membaca apabila Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira dengan asas membaca. Seterusnya membaca terus menjadi nadi kejayaan Zaman Renaisance apabila banyak sumber bacaan dalam tamadun Islam berpindah tangan kepada masyarakat Barat selepas berakhirnya Perang Salib. Revolusi ciptaan mesin cetak yang bermula di Jerman telah membuka dimensi pembacaan sebagai sangat penting yang menganjak manusia menemukan pelbagai ciptaan moden hasil pembacaan. Oleh itu, tradisi warisan turun-temurun ini hendaklah diteruskan khususnya dalam kalangan keluarga untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

Pendahuluan 2
Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan sesuatu kejayaan itu bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca.

Isi-isi Penting :

Isi 1 :  Ibu bapa perlu menjadikan aktiviti membaca sebagai agenda wajib dalam rumah tangga – membaca hendaklah menjadi amalan penting setaraf dengan keperluan asasi yang lain seperti makan, minum, riadah dan semua aktiviti keluarga

Isi 2 :  Ibu bapa hendaklah menunjukkan karisme sebagai golongan terpelajar dan berfikir – mencetuskan idea-idea baru, bernas dan matang melalui pengalaman membaca – melahirkan rasa bangga kepada anak-anak atas kebolehan ibu bapa

Isi 3 :  Mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membentuk tabiat membaca – melengkapkan semua sudut di dalam rumah dengan prasarana membaca dan bahan-bahan bacaan yang pelbagai bidang

Isi 4 :  Cuba memahami watak dan kecenderungan anak-anak – menyediakan bahan bacaan yang sesuai dengan minat mereka

 Isi 5 :  Mencuri peluang untuk menanamkan sikap suka berfikir secara intelektual – pemikiran kelas pertama melalui kegiatan membaca – sesi sumbang saran dan pendapat dalam kalangan ahli keluarga

 Kesimpulan :  Dalam semua kecenderungan dan kejayaan anak-anak, sudah pasti ibu bapa adalah sebagai penjana utama. Walaupun tidak dinafikan aspek minat, kecerdasan dan bakat menjadi penentu jalan hidup anak-anak, namun ibu bapa berperanan penting untuk mewarnakan mereka dengan betul. Oleh itu, budaya membaca dalam keluarga akan menjadi mangkin kepada kejayaan anak-anak dalam apa-apa bidang yang mereka minati.

Sumber : Blog Cikgu Ishak

No comments:

Post a Comment