NEGARA ini kecoh seketika berikutan usaha melaksanakan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terutama melibatkan para guru.
Berikutan bantahan yang diterima, akhirnya pelaksanaan PBS ditangguhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Februari lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.
Namun ia tidak akan sesekali
dimansuhkan dan bakal dilaksanakan setelah kajian bentuk baharu pelaksanaannya
diumumkan pada 1 April depan.
Untuk mendapatkan kupasan
lanjut wartawan Mingguan Malaysia, KHAIRUNNISA SULAIMAN telah mewawancara
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, (NUTP), LOK YIM
PHENG pada Jumaat lepas.
Ujar beliau, diharapkan
selepas 1 April akan ada satu sistem yang boleh menggantikan sistem sedia ada,
yang betul-betul mantap dan boleh menilai semua pelajar dengan mudah kerana ini
amat penting.
Guru sehingga sekarang masih
fobia dengan sistem sedia ada. Ini memberikan impak negatif dan ada kalangan
guru yang tidak tahan tekanan dan memohon bersara pilihan sebab tidak mahu
meneruskan PBS terutama guru senior yang banyak pengalaman dan kita hilang
kepakaran", katanya.
MINGGUAN : Adakah guru dan
kesatuan menentang PBS?
LOK YIM PHENG : Dalam
isu PBS ini kita kena jelas. Saya rasa semua guru dan kesatuan kita tidak
menentang dasar PBS. Guru boleh terima dasar-dasar PBS tetapi mereka tidak boleh
terima di peringkat pelaksanaannya. Peringkat pelaksanaan di mana kita sokong
dasar PBS tetapi sistemnya kita tidak sokong kerana dalam peringkat pelaksanaan
yang melibatkan dan menggerakkan dasar ialah sistem PBS iaitu e-system yang
menggunakan Internet. Masalahnya yang dihadapi oleh guru ialah sistem ini tidak
mantap dan mempunyai banyak masalah. Contohnya apabila guru sudah memasukkan
sehingga 100 orang nama pelajar dan terdapat nama yang silap, mereka tidak boleh
membuat pembetulan. Guru perlu memasukkan semula data kerana semua data itu
telah hilang. Apabila program tidak mantap, ini menjadi masalah kepada guru
kerana program ini sendiri tidak mesra pengguna. Ini yang menjadi kritikan utama
mengenai program ini.
MINGGUAN : Selain masalah
program, apa lagi masalah yang boleh dikatakan agak mencabar
guru?
LOK YIM PHENG : Program
ini menggunakan Internet tetapi ada sesetengah sekolah tidak mempunyai kemudahan
berkenaan terutama sekolah luar bandar. Jadi terdapat guru yang terpaksa membeli
broadband sendiri untuk digunakan bagi memasukkan data dalam program PBS.
Bagaimanapun masalahnya program PBS itu sukar untuk ditembusi kerana ia
melibatkan 430,000 orang guru di seluruh negara. Apabila ini berlaku guru
terpaksa menunggu lama sebab sistem tidak menyokong akses yang terlalu banyak.
Ini berbeza semasa ujian perintis yang melibatkan kumpulan kecil tetapi kini ia
melibatkan 430,000 orang guru jadi trafik padat dan sesak.
Guru tidak boleh memproses data
dan mereka mempunyai tarikh akhir menghantar data menyebabkan guru menjadi
tertekan. Selain sistem dan Internet yang menjadi masalah paling serius, guru
juga menghadapi masalah dengan bahan-bahan yang ditetapkan oleh Lembaga
Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk mentaksir pelajar dengan kurikulum yang
berbeza. Kurikulum yang diberikan lebih padat manakala yang perlu ditaksirkan
kurang padat. Ini menyebabkan guru takut tidak sempat menghabiskan semua
kurikulum kerana perlu proses data. Jika guru ikut saranan LPM mereka bimbang
tidak boleh meliputi silibus. Itu satu kebimbangan kalangan
guru.
MINGGUAN : Bagaimanakah cara
menilai pelajar tanpa peperiksaan?
LOK YIM PHENG : Perlu
banyak bukti untuk menilai sebab tiada peperiksaan. Jadi bagaimana hendak
menilai pelajar adalah dengan menggunakan bukti iaitu item-item subjek misalnya
mengajar tumbuhan perlukan banyak sub dan nilaikan secara sub. Ini menyebabkan
ada sekolah yang mula mengadakan bilik khas menyimpan fail pelajar dan borang
bukti. Dan seorang guru yang mengajar tiga buah kelas perlu mengisi
beratus-ratus atau beribu-ribu borang bukti. Misalnya dalam mata pelajaran
Sejarah ada 100 bukti dengan 300 pelajar, guru kena isi 3,000 bukti dan borang
bukti perlu disiapkan cepat (ada tarikh akhir) dan perlu diisi dari semasa ke
semasa. Jadi guru tidak ada masa untuk fokus kepada pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas. Itu menyebabkan guru rasa tertekan.
MINGGUAN : Adakah ini
menyebabkan guru menentang PBS?
LOK YIM PHENG : Guru
bukan menentang dasar PBS. NUTP telah memainkan peranan proaktif sejak 2011
apabila isu PBS dikemukakan oleh guru-guru kepada NUTP. Kita kumpul guru-guru
ini dan dengar rintihan mereka dan kumpul semua maklumat. Apa kita buat ialah
semua maklumat berkenaan kita kemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM). Hasilnya kita dipanggil mesyuarat dan berbincang dari semasa ke semasa
dengan pihak KPM khasnya LPM mengenai Internet yang sesak, sistem tak boleh
akses dan hasilnya mereka betulkan dari semasa ke semasa. Setakat ini melalui
perjumpaan dan perbincangan, kita berbincang dengan KPM lebih 20 kali sejak 2011
hingga sekarang untuk memantapkan sistem. Kita juga membuat susulan. Cuma
baru-baru ini pada 8 November 2013 NUTP adakan mesyuarat exco yang terdiri
daripada 70 orang pemimpin seluruh Malaysia telah berbahas mengenai isu ini dan
mendapati sistem berkenaan masih belum mantap, banyak gangguan, guru masih tidak
boleh akses, masih pening kepala. Tidak boleh selesai masalah. Jadi kita ambil
keputusan buat sidang akhbar menolak PBS. Apabila kita kata menolak PBS, saya
ucap terima kasih kepada KPM kerana bertindak balas dengan
cepat.
Mereka sudah mengeluar surat
pekeliling kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan NUTP menyatakan PBS
ditangguhkan sehingga 1 April 2014. Surat berkenaan bertarikh Disember 2013.
Guru tidak perlu berbuat apa-apa sehingga diberitahu. Cuma sedihnya apabila kita
dapat tahu surat pekeliling itu tidak sampai kepada semua guru. Apabila sampai
ke sekolah mungkin ada ketua jabatan simpan dan tidak edar kepada guru
menyebabkan ada sekolah-sekolah tertentu, guru masih meneruskan tugas-tugas
memasukkan data, masih isi borang evidence. Ini menimbulkan
kekeliruan.
MINGGUAN : Apakah harapan
NUTP selepas 1 April nanti?
LOK YIM PHENG : Harapan
kita selepas 1 April akan ada satu sistem yang boleh menggantikan sistem sedia
ada, yang betul-betul mantap dan boleh menilai semua pelajar dengan mudah. Ini
amat penting. Guru sehingga sekarang masih fobia dengan sistem sedia ada. Ini
memberikan impak negatif dan ada kalangan guru yang tidak tahan tekanan dan
memohon bersara pilihan sebab tidak mahu meneruskan PBS terutama guru senior
yang banyak pengalaman dan kita hilang kepakaran.
KPM ada mengambil tindakan dari
semasa ke semasa untuk memantapkan sistem tetapi bahagian IT mungkin kurang
cekap kerana sampai sekarang masalah masih belum diselesaikan lagi. Jadi kita
tunggu sehingga 1 April. Bila berhenti dalam tiga bulan, tindak balas guru-guru
ialah mereka dapati lebih banyak masa untuk bersama-sama pelajar dan mereka
mengajar seperti biasa, cuma tiada peperiksaan bermakna tiada penilaian. Tetapi
ada sekolah tertentu masih jalankan peperiksaan setengah tahun dan akhir tahun,
mereka masih terikat dengan peperiksaan sebab kita perlu lihat - susah mahu
mengubah sistem peperiksaan.
Walaupun ia akan mengambil masa
tetapi saya yakin ia boleh dilakukan. Misalnya sekarang peperiksaan setengah
tahun dan akhir tahun sudah cukup, tak perlu banyak peperiksaan. Kemudian pada
masa yang sama biar guru fokus lebih banyak pada kelas pengajaran dan bukti
perlu dikurangkan. Yang penting sekali dalam kenyataan akhbar saya katakan bagi
masa sebab itu PBS perlu ditangguhkan tapi mereka tidak jelas.
Selepas April, harapan kita
akan ada sistem yang betul-betul tidak membebankan guru dan membolehkan guru
menggunakannya dengan mudah sekali. Mula-mula guru tidak merungut. Mereka mahu
mencuba tetapi apabila tidak boleh masuk ke sistem tentu mereka mengadu.
Mula-mula masalah lebih serius tetapi lama-lama nampak kemajuan tetapi kemajuan
itu tidak boleh mengatasi masalah terlalu ramai yang ingin akses masuk. Sistem
mungkin boleh muat untuk 100 orang tetapi kita ada 10,000 sekolah, macam mana
nak muat, itulah masalahnya.
MINGGUAN : Bagaimana dengan
pemahaman PBS dalam kalangan guru serta ibu bapa?
LOK YIM PHENG : Satu
lagi yang saya nampak ialah pemahaman PBS. Pencarian maklumat memang ada.
Kadang-kadang pemahaman kumpulan guru berbeza dengan kumpulan
lain.
Pemahaman JPN lain, Pusat
Pendidikan Daerah (PPD) pemahamannya lain dan guru faham lain. Malah ibu bapa
lebih kurang faham. Ada juga guru tidak faham dan tidak jelas. Semasa menghadiri
bengkel di Institut Aminuddin Baki pada 17 dan 18 Februari, kami dapati ada 100
orang guru yang tidak jelas dengan PBS. Tetapi apa yang lebih penting bukan
pemahaman tetapi sistem sedia ada yang perlu dibaiki.
MINGGUAN : Apa pandangan
NUTP mengenai demonstrasi yang dilakukan oleh sekumpulan
guru?
LOK YIM PHENG : Kita
adalah kesatuan yang berdaftar jadi kita akan ikut cara terbaik dan kita dalam
profesion perguruan. Dalam perkara PBS, KPM telah berunding dengan kita sejak
2011 dan kita tidak perlu buat demonstrasi sebab ada surat rasmi menangguhkan
PBS dan kita bertindak secara profesional. NUTP tidak mempolitikkan isu kerana
kita beri keutamaan kepada pembangunan pelajar dan guru. Itu tumpuan kami. Apa
yang kita lihat di sini ialah kita tidak mahu dipengaruhi dengan politik sebab
kita lebih fokus untuk dilihat sebagai guru bertanggungjawab sebagai melahirkan
modal insan yang boleh membangunkan ekonomi negara.
Apa-apa dasar yang boleh
memberi faedah kepada guru dan murid, kita akan sokong 100 peratus manakala
dasar yang kita anggap tidak boleh diteruskan kita akan suarakan tapi suarakan
secara profesional. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak economy
monitoring review, kita dapati sasaran untuk meningkatkan kualiti modal
insan kena kembali kepada guru. Guru mesti berkualiti. Kalau mahukan guru
berkualiti bermakna apa-apa dasar dilakukan itu mesti capai objektif. Semua ini
dalam satu. Kita suarakan apa yang tidak betul. KPM sudah banyak berunding dan
paling kerap dengan NUTP. Tugas kita mengadu dan kemudian berbincang dengan
saluran betul.
MINGGUAN : Adakah modul PBS mendatangkan faedah?
No comments:
Post a Comment