Harapan dan Wawasan sebagai Guru Cemerlang
Kecemerlangan dalam bidang pendidikan memanglah
menjadi harapan dan matlamat kita. Perkembangan dan kemajuan negara banyak
bergantung kepada kecemerlangan dan kualiti pendidikan yang dihasilkan. Untuk
mencapai kecemerlangan, memang kita tidak dapat lari dari peranan yang
dimainkan oleh para guru. Gurulah yang mencorakkan generasi pewaris bangsa sama
ada mereka mampu mengharungi kehidupan sebagai seorang yang bekerjaya atau
sebaliknya. Guru perlu menimbulkan kesedaran dalam diri pelajar agar mereka
dapat merancang masa depan mereka dengan teratur dan sistematik. Guru kreatif
dan inovatif memainkan peranan penting bagi menjayakan wawasan diri pelajar
seterusnya menjadi pemangkin kepada pencapaian wawasan negara.
Bagaimanakah
sikap, tindakan dan tanggungjawab yang harus dimainkan oleh guru-guru bagi
mencapai matlamat ini? Tidak lain dan tidak bukan, jawapannya ialah guru-guru
harus melaksanakan satu perubahan yang menyeluruh dan bersepadu iaitu yang
dinamakan kreatif dan inovatif. Guru harus selalu menilai daya usaha mereka
selama ini, supaya pegangan dan matlamat tidak menjadi sia-sia. Seringkali kita
lihat, kita mengharapkan sesuatu yang luar biasa tetapi cara dan teknik lama
yang kita gunakan dalam proses pengajaran. Guru-guru sepatutnya dapat merancang
setiap pengajaran mereka secara bijaksana dan melaksanakan perancangan tersebut
secara berhikmah supaya hasil pendidikan itu seimbang dengan penat lelah yang
telah dicurahkan. Adalah sesuatu yang amat malang, jika jerih perih dan penat
lelah yang kita usahakan tidak mendatangkan impak yang ketara dan cemerlang.
Memang
tidak dapat dinafikan, tugas mendidik tidak semudah yang digambarkan. Ibu bapa
yang hanya mempunyai 4 orang anak sudah merasai keperitan mendidik anak-anak
mereka dengan kepelbagaian perangai, sikap dan tingkahlaku. Apatah lagi dengan
guru yang berhadapan dengan 30 pelajar dalam sebuah kelas malah terpaksa
berhadapan dengan beberapa kelas setiap hari. Hanya guru yang mempunyai
kekuatan mental dan emosi yang ampuh sahaja mampu menghadapi situasi ini dengan
baik. Tidak ada bidang pekerjaan lain yang tugas utamanya mengurus manusia
dengan tujuan untuk menghasilkan manusia yang sempurna. Itulah tugas seorang
guru. Manusia bukan barangan atau robot yang boleh dijangka hasilnya secara
objektif. Justeru itu, tugas menghasilkan manusia tulen yang dapat berjalan
dengan baik di muka bumi ini sangat rumit dan sukar. Oleh demikian, situasi ini
memerlukan seorang guru yang kreatif dan inovatif. Bak kata peribahasa Melayu
alah bisa tegal biasa. Itulah hakikat yang terpaksa dihadapi oleh semua guru.
Guru
perlu melakukan suatu perubahan atau refomasi dalam pengajaran dan pembelajaran
atau dengan kata lain guru perlu membebaskan diri daripada pemikiran lama yang
membelenggu mereka dalam kaedah pengajaran. Kaedah ‘chalk and talk’ atau murid
hanya membisau haruslah tidak berlaku lagi dalam situasi pembelajaran hari ini.
Sebagai guru cemerlang kita hendaklah senantiasa bersedia sebelum kita
melangkah masuk ke dalam bilik darjah supaya dapat mendatangkan hasil yang
baik. Janganlah menganggap merancang pengajaran hanya perlu dilakukan oleh
guru-guru pelatih sahaja. Sebagai guru, perancangan pengajaran amat penting
supaya proses penyampaian ilmu kita tidak tersasar daripada kehendak sukatan
pelajaran.
Di
dalam menjalankan tugas mendidik, guru perlulah tekun, tabah, gigih dan
inisiatif. Hanya dengan sifat-sifat ini sahaja guru-guru akan dapat mencapai
kejayaan dalam usaha mereka. Guru perlu disiplin yang kuat bagi mencapai sifat
dedikasi dalam pembelajaran. Apa yang diperlukan dalam pembentukan disiplin
ialah pengawalan yang datang dari dalam diri seseorang hasil daripada
pembentukan hati kecil dan kesedaran untuk menghasilkan tingkah laku yang baik.
Pengawasan atau disiplin dari dalam diri memerlukan penggunaan pemikiran dan
penaakulan seseorang. Pembentukan disiplin dalam profesion perguruan perlu
ditanam, semasa seseorang itu menjalani latihan perguruan dan perlu dikekalkan
selagi seseorang itu menjadi guru.
Dalam
membicarakan tentang wawasan dan harapan guru ini, seseorang guru itu perlulah
memberi sepenuh perhatian terhadap apa yang diajar di dalam bilik darjah. Guru
yang benar-benar berjaya dalam pengajarannya ialah guru yang mengibaratkan
dirinya seperti lilin yang terus menyinar walaupun dirinya kian hancur. Guru
yang baik iaitu guru yang dapat menerangkan isi pengajaran dengan teratur dan
lancar serta dapat difahami oleh pelajarnya.
Kearah
melonjakkan sistem pendidikan, masa kini, seseorang guru perlu membanyakkan
latihan, tunjuk ajar, kelas tambahan dan sebagainya untuk memastikan
pelajar-pelajarnya memahami dan memanfaatkan sepenuhnya apa yang diajar.
Melalui langkah ini, sudah pasti guru yang rajin akan disanjung tinggi dan
secara tidak langsung mampu memberi kejayaan cemerlang kepada
pelajar-pelajarnya.
Untuk
menjadikan kita guru cemerlang, beberapa ciri penting perlu disemai. Seseorang
guru itu perlulah melengkapkan diri dengan ilmu yang cukup dan bersepadu sesuai
dengan bidang pengajarannya dan juga ilmu-ilmu sampingan yang lain. Pendek
kata, guru perlulah bersedia kearah seorang guru yang serba boleh dan berketerampilan.
Kesepaduan ilmu juga penting untuk membuktikan bahawa kita adalah guru yang
hebat. Sebagai guru Bahasa Melayu, kita perlu menyepadukan dengan ilmu-ilmu
bantu yang lain seperti sains dan teknologi, keagamaan dan sejarah.
Selain itu, guru juga
seharusnya mempunyai sifat bertolak ansur dalam melaksanakan aktiviti
pengajaran. Sesungguhnya guru perlu menunjukkan minat yang mendalam terhadap
tugas walaupun di luar waktu kerjanya. Sebagai seorang guru, ikhtisas perguruan
haruslah dijaga supaya tidak dicemarkan oleh sifat-sifat yang tidak baik. Guru
hendaklah bertanggungjawab terhadap rakan setugas dengan menasihatinya jika
beliau melanggari tatasusila profesion perguruan. Jika terdapat rakan-rakan
yang cemerlang, guru-guru harus mengikut jejak langkahnya serta menjadi guru
cemerlang tersebut sebagai suri teladan untuk diri mereka.
No comments:
Post a Comment