Tajuk Perbincangan Kumpulan 3
Tingkatan 5 Sains 2 – SMK Sijangkang Jaya
Anda sebagai editor sebuah akhbar
ditugaskan untuk menulis sebuah rencana yang bertajuk `Ibu Bapa Tonggak
Keluarga Bahagia’.
Tulis rencana tersebut selengkapnya
Ibu Bapa Tonggak Keluarga Bahagia
Nurul Batrisyia bt Saharuddin
Editor Gilapan Permata
Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting
dalam sesebuah masyarakat. Daripada keluarga, lahirnya insan yang
bertanggungjawab terhadap dirinya serta kepada insan lain yang
memerlukan. Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang
memiliki ciri-ciri yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan
sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa
dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya.
Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik-beradik yang
memahami akan membentuk jati diri yang sempurna dalam kalangan ahli keluarga
itu. Namun begitu, pepatah ada mengatakan bahawa bertepuk sebelah tangan, tidak
akan berbunyi. Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab membentuk kebahagiaan
keluarga itu di tangan salah seorang ahli keluarga sahaja sama ada oleh ibu,
bapa atau anak-anak. Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu memainkan
peranan masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling
menghormati di antara mereka.
Antara peranan ibu bapa untuk membentuk sebuah
keluarga yang bahagia ialah dengan menjadi model atau suri teladan kepada
anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi
oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan
dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu bapa juga perlu
menunjukkan shsiah dan akhlak yang baik dan terpuji. Apabila anak-anak melihat
sikap kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu
bak peribahasa Melayu, bapa borek, anak rintik. Jika contoh yang negatif
diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak seperti pertengkaran, pergaduhan
dan ketidakserasian dalam keluarga, situasi ini sudah tentu akan menjejaskan perkembangan
jiwa anak-anak. Jelaslah bahawa ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang baik
kepada anak-anak mereka.
Dewasa ini, masyarakat bertambah sibuk untuk mencari
nafkah bagi meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing. Hal ini disebabkan
kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. Bagi mendepani masalah
kewangan keluarga, ramai ibu yang telah bekerja. Fenomena ini adalah perkara
yang amat menyedihkan kerana tika dan saat ini anak-anak merupakan golongan
yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa
mereka. Oleh itu, demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia, ibu bapa yang
merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang
berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu merancang dan meluangkan
masa untuk bersama anak-anak mereka dengan aktiviti riadah seperti berkelah atau berekreasi. Ibu bapa perlu memberi
peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk
mengeratkan hubungan di antara mereka
Di samping itu, Ibu bapa harus mengawasi
perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur
setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif
seperti menghisap rokok, menyertai lumba haram, pembuangan bayi dan sebagainya.
Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang
buruk akhlak. Keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli
keluarganya. Anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah kehinaan jika mendapat
pemantauan yang rapi daripada ibu bapa kerana perbuatan mereka itu akan
menconteng arang ke muka ahli keluarga dan sekali gus akan meruntuhkan
kebahagiaan keluarga
Seterusnya, didikan agama dan moral yang sempurna
dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah
keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral
yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan generasi
muda. Agama yang mantap, akan membolehkan anak-anak menjalani kehidupan mereka
dengan sempurna dan baik. Agama yang sempurna juga mampu membentuk keperibadian
unggul dalam diri anak-anak.. Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan
agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan
anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling
bekerjasama sesama adik beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul,
yang ringan sama dijinjing
Kesimpulannya, Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya
akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui
pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap
anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak ansur sesama mereka akan
memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya
keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan
masyarakat yang maju. Jika pincang keluarga maka pincanglah masyarakatnya.
Semoga impian negara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang akan dapat
direalisasikan demi kebahagian barsama.
No comments:
Post a Comment