Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Tuesday, March 15, 2011
4 Sasterawan Negara Pertahan Novel INTERLOK
Teks sastera bukan dokumen rasmi pemerintah perlu dirapi atau diperindah
KUALA LUMPUR: Empat Sasterawan Negara mempertahankan novel Interlok yang menerima bantahan terutama oleh kaum India sehingga dijadikan isu politik dengan menegaskan teks sastera tidak boleh disamakan dengan teks politik, sejarah atau geografi.
Mereka berpendapat, ini kerana hasil sastera adalah mengenai jiwa, perasaan, nilai serta kepentingan dalam konteks zaman dan sejarah.
Selain itu, teks sastera bukan dokumen rasmi pemerintah yang perlu dirapikan atau diperindahkan sebelum disebar kepada orang ramai kerana ia dihasilkan berdasarkan hakikat kehidupan yang tidak semuanya rapi dan cantik.
Perkara itu ditegaskan Profesor Dr Tan Sri Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Tan Sri Noordin Hassan dalam kenyataan media bersama yang diedarkan semalam.
“Marilah kita rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.
“Benarkan penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawan untuk menulis, berfikir dan berpendirian,” kata kenyataan itu yang mempertahankan karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein.
Kontroversi timbul selepas Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) Tingkatan Lima bermula tahun ini kerana didakwa mempunyai perkataan yang menyinggung perasaan kaum India.
Beberapa pertubuhan mewakili masyarakat India termasuk MIC menggesa supaya buku itu ditarik balik dan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi mencari penyelesaian.
Januari lalu, kerajaan memutuskan membuat pindaan pada kandungan novel berkenaan dan akan terus digunakan sebagai teks KOMSAS. Bagaimanapun, masih ada pihak cuba membangkitkan isu itu apabila pertubuhan tidak sah, Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) mengadakan de-monstrasi di ibu negara bagi membantah penggunaan Interlok di sekolah.
Kumpulan Sasterawan Negara itu juga berkata, jika pengarang terus didesak mengubah karya asal mereka , selain perubahan hanya membabitkan satu kaum dan tidak pada kaum lain, karya berkenaan tidak lagi seimbang dan benar.
“Kami tidak melihat masalah pada istilah dan lukisan yang digambarkan pengarang dan kami tidak mengesan tujuan menghina mana-mana kaum,” katanya.
Mereka juga berpendapat ramai yang menganggap pelajar kurang mampu menilai apa yang dibaca, sedangkan mereka sudah dituntut dan dilatih untuk membuat pertimbangan, memilih dan membuat kesimpulan sendiri. Sasterawan Negara turut kesal kerana parti politik Melayu tidak memberi sokongan kepada Abdullah dalam isu berkenaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment