Friday, September 3, 2010

Kerja Rumah Masa Cuti : Bahasa Melayu Kertas 2.

Soalan 1:Rumusan
(30 markah)

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan guru dalam bidang pendidikan dan cabaran yang dihadapi pada masa kini. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Guru merupakan tunggak atau agen utama kepada keberkesanan pendidikan. Betapa baik sistem pendidikan sekalipun, kalau agen yang menyampai itu tidak efektif, maka matlamat untuk mencapai kesempurnaan insan tidak akan tercapai. Kejayaan dan keberkesanan pendidikan adalah berhubung rapat dengan kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab sebagai pendidik di samping mempunyai ilmu yang cukup dan sahsiah yang luhur. Sebagai seorang pendidik, guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan di samping mempunyai keluruhan peribadi yang tinggi. Hal ini penting kerana segala tindak tanduk guru sering diperhatikan dan dicontohi oleh masyarakat.
Berbalik kepada peranan guru, guru yang selalu diumpamakan bagai lilin membakar diri sendiri memainkan banyak peranan dalam bidang pendidikan sama ada di peringkat menengah rendah mahupun menengah atas. Salah satu peranan utama guru ialah memberikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar. Ilmu pengetahuan yang disampaikan termasuklah Sains, Matematik, Ekonomi, Kimia dan sebagainya. Hasilnya lahirlah golongan profesional, tokoh tersohor, ahli korporat, politikus terkemuka malah termasuk seorang Perdana Menteri yang menerajui kepimpinan negara. Selain itu, guru turut berjaya melahirkan suatu generasi yang prihatin, cekap, dan berwawasan dalam membangun dan memajukan negara. Dalam hal perpaduan, sumbangan guru sememangnya amat besar. Pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa dapat bertolak ansur, bermuafakat, bekerjasama dan tolong – menolong. Hasil kesepakatan ini akan memudahkan pihak kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Tugas guru bukan setakat menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar, bahkan membimbing pelajar – pelajar supaya berbudi pekerti, berahlak mulia, berdikari, rajin berusaha dan bertanggungjawab. Di tangan gurulah terletaknya harapan bagi membentuk masyarakat beragama, berilmu, beriman, berakhlak, berteknologi dan berbudaya. Dalam hal kasih sayang, guru sangat mengasihi anak didiknya seperti mana dia menyayangi anaknya sendiri. Sikap kasih sayang yang ditunjukkan oleh guru akan dapat membentuk disiplin pelajar yang baik dan seterusnya wujud perasaan hormat kepada guru – guru, rakan sebaya dan dengan ini mudahlah bagi guru untuk memberi didikan atau bimbingan.
Seorang guru yang baik sentiasa memberi nasihat, bimbingan dan dorongan kepada pelajarnya. Dorongan dan motivasi yang diberikan ini mampu melahirkan pelajar yang cemerlang sama ada dari segi akademik mahupun kokurikulum. Seperkara lagi, pada zaman sekarang ini, guru akan berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar. Mungkin ada dalam kalangan pelajar yang nakal dan buruk akhlaknya. Bagaimanapun situasi ini berjaya ditangani oleh guru dengan cara yang halus, bersopan dan mendidik.
Hakikatnya tugas sebagai guru sungguh mulia kerana guru telah diamanah untuk mendidik anak bangsa. Maka biarlah amanah itu dipikul oleh orang – orang yang benar – benar ikhlas dan komited mendidik bangsa dan bukan sekadar untuk mendapatkan gaji.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Guru Berkualiti
Pemangkin Kegemilangan, Dewan Siswa, Mei 2004)

Soalan 2: Pemahaman

Soalan 2(a): Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan – soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata “bagai lilin membakar diri sendiri.”
(2 markah)

(ii) Apakah jasa atau sumbangan guru yang amat berharga kepada masyarakat dan
negara?
(3 markah)

(iii Pada pendapat anda, mengapakah profesion perguruan kini menjadi pilihan utama
golongan yang mencari pekerjaan?
(4 markah)


Soalan 2 (b): Petikan Prosa Moden

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Mariah segera menangkap secebis rasa kecewa Cikgu Tini.
Wajarkah keperihalan ayah yang mabuk dan memaksa anaknya menghulurkan wang diceritakan.Anak itu pula masih bersekolah yang tentunya memerlukan bantuan ayah.Percayakah Cikgu Tini kalau didedahkan itu?
“Cerita yang terlalu pelik Cikgu.”
Mariah melihat sebaris gigi Cikgu Tini yang cantik ketika Cikgu itu tersenyum.
“Cikgu difahamkan ayah Mariah sakit.Apakah sekarang sudah sembuh?”
Siapa agaknya yang menceritakan rahsia-rahsia hidup dirinya ini? Edah? Atau jiran-jiran seperti Mak Som dan Pak Usu Dolah?Apakah Cikgu Tini mengenali mereka selain Edah?
Mungkin Edah atau kalau tidak Edah siapa lagi? Edahlah yang tahu.Tetapi Edah sudah berikrar dan bersumpah tidak akan pecah di mulut.
Cikgu Tini terlalu bijak memerangkap,fikir Mariah berulang kali.Kalau Edah diperangkap,tentunya Edah terpaksa berterus terang.
“Ada masa sihat dan ada masa sakit,Cikgu,”ujar Mariah dengan segala kekuatan keyakinan.

(Dipetik daripada Mariah,Antologi Kerusi)

(i) Apakah masalah yang dihadapi oleh Mariah dalam petikan di atas?
(2 markah)

(ii) Pada pendapat anda,apakah yang harus Mariah lakukan untuk menyelesaikan
masalah yang dihadapinya?
(4 markah)

(iii) Nyatakan peristiwa yang menyebabkan bapa Mariah berkeadaan seperti dalam
cerpen di atas.
(3 markah)

Soalan 2 (c) : Petikan Prosa Tradisional.

Baca petikan prosa tradisional di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka sahut perempuan itu. “ Nama hamba Dang Raya Rani. Hambalah pengetua Tuan Puteri Gunung Ledang. Nantilah hamba di sini biar hamba persembahkan segala kata tuan hamba ini pada tuan puteri.”
Maka Dang Raya Rani dengan keempat perempuan sertanya itupun lenyaplah. Ada kadar sesaat, maka kelihatan seorang perempuan tua, bongkok belakangnya, berlipat tiga. Maka ia berkata pada Tun Mamat , “ Adapun segala kata-kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada Puteri Gunung Ledang. Akan titah tuan puteri, “ Jikalau Raja Melaka hendakan aku, perbuatkan aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang ini. Akan peminangannya, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan, dan darah raja semangkuk, dan darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau boleh demikian, kabullah tuan puteri akan kehendak Raja Melaka itu.”
Telah sudah ia berkata-kata demikian lenyaplah ia. Maka pada suatu riwayat orang tua yang berkata-kata itulah Puteri Gunung Ledang, merupakan dirinya seperti orang tua.

(Antologi Anak Laut, Peminangan Puteri Gunung Ledang , halaman 32)

(i)Apakah maksud rangkai kata kabullah tuan puteri akan kehendak Raja Melaka itu ?
( 2 markah )

(ii)Mengapakah Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat yang berat kepada Raja Melaka ?
(3 markah)

(iii)Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan buruk jika Raja Melaka berkeras mahu
memenuhi permintaan Puteri Gunung Ledang?
( 3 markah

Soalan pemahaman Pusi Moden (2 d)

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Aku Menjadi Lebih Berani

Kali ini
kau berbaju biru
dan bajuku ungu
Sayang, hanya aku tahu
hatimu
tidak setulus hatiku
yang berbaju ungu

Bila begini
sebilah pisaumu aku tidak gentar
sepatah kata
bisa
aku merasa

Hati dan rasa mengajarku
aku menjadi lebih berani


(i) Apakah sikap penyajak dalam sajak di atas ?
(2 markah)




(ii) Pada pendapat anda, mengapakah sifat berani itu penting dalam kehidupan
(3 markah)



(iii) Huraikan unsur gaya bahasa sajak tersebut
(4 markah)

No comments:

Post a Comment