Wednesday, September 1, 2010

Jasamu Dikenang - Pn Hjh Noor Hayati binti Hj Bakri



6 Oktober 2010 merupakan tarikh perkhidmatan terakhir Tuan Pengetua SMK Sijangkang Jaya sebagai kakitangan perkhidmatan awam. Biarpun masih berupaya untuk memimpin pasukan SMK Sijangkang Jaya namun, beliau mengambil keputusan untuk berehat bagi memantapkan perjalanan hidup beliau.

Sepanjang berada di bawah pimpinan beliau, saya merasa sangat selesa dan bertuah. Beliau seorang yang sangat mesra dan tidak mementingkan status dan kedudukan. Bak kata pepatah ke lurah sama dituruni, ke puncak bukit sama didaki. Situasi ini jarang kita temui dalam kalangan pemimpin sesebuah organisasi. Beberapa program yang saya anjurkan tetap dihadiri oleh beliau walaupun program itu diadakan di luar sekolah dan melibatkan waktu cuti. Antara program yang beliau hadiri ialah Kem Motivasi, Program Akademik, Lawatan Sambil Belajar, Program Kemasyarakatan dan sebagainya.

Apa yang membanggakan, beliau bukan sahaja menghadiri program tersebut tetapi turut merasai apa yang pelajar dan guru-guru rasai. Dalam program hari keluarga, beliau turut sama-sama bersukan, memasak dan sangggup berjaga hingga lewat malam bersama guru-guru. Semua kenangan itu merupakan kelainan yang sukar ditemui dalam kalangan pemimpin sesebuah organisasi.

Beliau juga selalu memberikan suntikan semangat kepada guru-guru untuk terus memperbaiki pencapaian diri dan meningkatkan ilmu. Pantang bagi beliau "beralah sebelum berjuang". Beliau juga seorang yang mementingkan kualiti. Apa sahaja yang dihasilkan mestilah memenuhi dan mencapai tahap kualiti yang disasarkan. Ketegasan beliau ini, menjadikan perancangan dan hasil kerja yang dilakukan oleh guru-guru berada pada tahap yang baik. Secara tidak langsung, mengajar guru-guru untuk lebih memperbaiki tahap kemahiran diri sendiri.

Beliau juga seorang yang sangat pemurah. Banyak program sekolah yang beliau berikan sumbangan bukan setakat idea dan tenaga sahaja malah wang ringgit.Tidak perlulah dicanangkan banyak mana sumbangan beliau tetapi mereka yang menjadi penganjur sesuatu program tentu akan tahu dan sedar akan sumbangan yang telah diberikan oleh beliau.

Persaraan beliau merupakan suatu kehilangan kepada dunia pendidikan amnya dan kepada warga SMK Sijangkang Jaya khususnya. Didoakan semoga beliau terus sihat, sejahttera dan dapat meneruskan kehidupan dengan bahagia.

No comments:

Post a Comment