Saturday, September 5, 2015

LATIHAN PERIBAHASA 2015

LATIHAN PERIBAHASA

Bina satu ayat bagi setiap peribahasa di bawah ini supaya jelas menunjukkan maksud dan penggunaannya.

i. air muka
ii. rambang mata
iii. bagai isi dengan kuku
iv. seperti cicak makan kapur
v. belakang parang diasah lagikan tajam
vi. kalah jadi abu, menang jadi arang  [6 markah]



*Cadangan :
Gunakan kata hubung 'kerana' untuk membantu calon menunjukkan maksud peribahasa dalam ayat.

Contoh jawapan murid:

i. Ahmad telah menjatuhkan air muka saya kerana melakukan perbuatan yang memalukan saya dalam majlis yang diadakan di rumahnya itu.
ii.  Puan Aminah rambang mata ketika membeli belah di pasar raya kerana pasar raya tersebut menawarkan potongan harga yang rendah.
iii. Hubungan Ali dengan Abu bagai isi dengan kuku kerana mereka berkawan rapat sejak kecil.
iv. Amira seperti cicak makan kapur kerana terjatuh apabila tersepak tunggul kayu di depan kawan-kawannya.
v. Walaupun kurang cerdik, tetapi jika rajin membuat latihan dan ulang kaji, kita pasti akan memperoleh kecemerlangan kerana belakang parang diasah lagikan tajam.
vi. Perbalahan antara Azmi dengan Hashim bagaikan kalah jadi abu, menang jadi arang kerana kedua-duanya mendapat kecederaan.

PRAKTIS SPM 2015 - LATIHAN PROSA MODEN - CERPEN IDOLA

PRAKTIS SPM 2015 - LATIHAN PROSA MODEN - CERPEN IDOLA

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
    "Misalkan saja saudara minat memancing atau menangkap ikan. Apakah kerana minat itu saudara harus menjadi nelayan? Bukankah saudara tetap sebagai penjaga panggung? Begitulah juga saya yang minat menjadi hero. Apakah kerana minat itu saya mesti menjadi hero? Tentu tidak, bukan? Saya akan tetap bernama pelakon."

    "Kenyataan saudara itu memeningkan saya."

   "Tidak, saudara. Sebenarnya terlalu mudah untuk saudara memahami kata-kata saya itu."

   "Bagaimana?"

   "Saudara berhentilah memuji saya. Sau ... saudara pujilah diri saudara sendiri," sambut si hero sambil menancapkan sorot matanya kemas-kemas ke wajah si penjaga panggung.

   Si penjaga panggung melongo, terkelip-kelip matanya menatap renungan si hero yang tidak terdaya ditafsirkannya itu.

   "Saudara, kita selalu lupa pada kenyataan yang membeliti hidup kita sebenarnya. Kita lebih terkesima akan sesuatu yang pada lahirnya tampak cemerlang dan cerlang sinarnya, walhal di sebaliknya tidak lebih daripada seberkas sampah yang hanya layak digilai lalat dan gagak, saudara."

   Si penjaga panggung terus melongo.
  
   "Saudara, bukankah hidup ini bagai sandiwara?"

   Si penjaga panggung mengangguk-angguk lesu.

(Dipetik daripada "Idola" dalam antologi Dirgahayu Bahasaku)
i.    Apakah maksud kenyataan yang membeliti? [2 markah]

ii.   Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh golongan artis supaya lebih dihormati oleh masyarakat? [3 markah]

iiii.  Huraikan satu latar masyarakat dalam petikan di atas dan satu latar masyarakat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]

Latihan Prosa Tradisi - Pelayaran Yang Penuh Perisitiwa

FOKUS SPM 2015 - PROSA TRADISI - PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri. 

     Mendengar percakapan itu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak tersabar lagi lalu menyampuk,
“Wahai tuan-tuan sekalian, adakah patut orang yang serupa ini berhutang rial kepada patik? Sebenarnya dagang yang hina inilah yang telah menjadi tawanannya. Dia seorang pahlawan yang handal.”

     “Kalau begitu,” kata Awang Sulung pula, “memanglah benar kata adinda itu, kerana kakanda telah menewaskan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang hendak merampas kekanda daripada tangan adinda dan sekarang hutang pun sudah berbayar, piutang pun sudah diterima, maka memohonlah kakanda kembali ke Bandar Mengkalih.”

      Oleh sebab terlalu hampa mendengarkan titah Awang Sulung itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa hendak terjun ke laut, tetapi segera dihalang oleh hulubalang yang ada di situ lalu dibawanya masuk ke magun. Di situ Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah tidak sedarkan diri.

      “Ampun Tuanku, janganlah Tuanku sakat lagi puteri itu, kalau berlaku sesuatu hal kita juga yang susah,” sembah hulubalang itu.
      Kemudian Si Kembang Cina pun berpantun:

“Jangan ditebang gelenggang itu,
      Pucuknya ada berjurai-jurai;
 Jangan dikenang yang hilang itu,
     Sudah jauh digonggong murai.”


(Dipetik daripada ’Pelayaran yang Penuh Peristiwa’ dalam antologi Harga Remaja)



(i) Berikan maksud memohonlah kakanda kembali dalam petikan di atas. [2 markah]

(ii) Apakah tindakan-tindakan hulubalang dalam petikan di atas? [3 markah]

(iii) Perbuatan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang mahu terjun ke laut adalah tidak wajar.
       Berikan alasan anda. [3 markah]



Jawapan:
(i)  -Awang Sulung meminta izin untuk balik

(ii) -menghalang cubaan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang hendak terjun ke laut
-membawa tuan puteri masuk ke magun/ bilik
-meminta Awang Sulung tidak menyakat tuan puteri lagi (kerana akan menyusahkan mereka)

(iii) -salah di sisi agama
-menjejaskan imej baginda sebagai puteri raja/ menjejaskan imej keturunan raja
-menunjukkan bahawa baginda tidak berfikiran matang/ membuat keputusan terburu-buru
-membahayakan keselamatan diri sendiri

Latihan Rumusan 3

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca berlakunya rasuah  dan kesan-kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Rasuah bukanlah satu fenomena baru yang wujud dalam masyarakat moden. Kewujudannya telah dikesan sejak ribuan tahun yang lalu dan masalah ini berlaku dalam semua masyarakat sejak manusia mengenal erti peradaban. Rasuah boleh diertikan sebagai penyuapan, pemerasan atau penyelewengan dalam apa-apa juga bentuk kuasa sama ada melibatkan kewangan atau perkhidmatan dan sebagainya untuk sesuatu kepentingan. Banyak orang lupa bahawa sebab dan asal-usul amalan rasuah atau korupsi itu berbagai-bagai, bukan satu dan bukan dua. Kewujudannya dapat dilihat dalam pelbagai bentuk, saiz, tempat, dan situasi. Oleh sebab itu, penyelesaiannya pun tidaklah begitu mudah.

Salah satu punca yang menyebabkan kegiatan rasuah terus berleluasa adalah kerana sikap segelintir masyarakat yang ingin mengejar kemewahan hidup. Ditambah lagi dengan didikan dan penghayatan terhadap nilai-nilai dan peraturan agama yang senipis kulit bawang, akhirnya seseorang itu mudah tertewas dengan tuntutan hawa nafsu. Apabila diri telah dikawal oleh nafsu, akhirnya jadilah dia seorang yang lemah, mudah dikaburi wang ringgit, tamak, iri hati, dengki, tidak suka melihat kesenangan orang lain dan tidak berasa puas dengan apa-apa yang dimiliki. Rasuah juga sering dikaitkan dengan mereka yang menghadapi masalah kewangan. Hakikatnya itu bukanlah satu alasan yang bijak kerana didapati pada masa ini perbuatan rasuah juga dilakukan oleh golongan yang berpendapatan sederhana dan tinggi. Sebenarnya perbuatan rasuah tidak akan terjadi jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran agama, dan bertakwa.

            Selain itu, rasuah berlaku disebabkan oleh kegagalan pegawai penyelia memantau pekerja-pekerja di bawah tanggungjawabnya. Terlalu banyak penurunan kuasa tanpa pengawasan yang bijak oleh pegawai atasan juga membuka banyak ruang berlakunya perbuatan rasuah. Hal ini akan memudahkan individu tertentu mengambil peluang untuk melakukan penyelewangan, penyalahgunaan kuasa, dan rasuah. Oleh hal yang demikian, kesedaran yang jitu dan unggul para pegawai atasan  dalam sebuah organisarsi perlu ada dalam diri masing-masing agar terhindar daripada perbuatan rasuah. Dalam pada itu, ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang bagi membendung rasuah merupakan suatu yang dialu-alukan. Bagi menyelesaikan masalah ini komitmen dan sokongan daripada semua pihak khususnya anggota masyarakat sangat diperlukan. Di samping itu, sikap hidup yang suka bermegah-megah seperti kata orang Perak “biar pape asal bergaye” menjadi amalan yang menyebabkan berlakunya rasuah.

 Rasuah juga disebabkan kelemahan kepemimpinan dalam sesuatu institusi yang berkaitan. Selain itu, rasuah berlaku disebabkan oleh pemahaman bahawa perbuatan itu bukan satu kesalahan tetapi lebih merupakan ganjaran atas bantuan atau perkhidmatan yang diberikan. Keadaan ini berlaku kerana keuntungan yang diperoleh daripada kegiatan rasuah itu adalah jauh lebih besar berbanding risiko yang bakal dihadapi. Oleh sebab itu, amalan rasuah di negara-negara dunia ketiga didapati lebih serius berbanding negara-negara maju.

Secara tuntasnya, rasuah merupakan gejala yang boleh merebak dan berjangkit sehingga menjadi rangkaian kejahatan yang besar. Apabila keadaan ini berlaku, usaha untuk membanteras rasuah akan menjadi lebih sukar. Memang tidak dinafikan rasuah tidak akan berlaku tanpa adanya dua pihak iaitu pemberi dan penerima. 

 
(Dipetik dan diubahsuai daripada
 Memerangi rasuah hingga ke akar  umbi”
 oleh Hj Samad bin Buang, Dewan Siswa, Jun 2005.)

 

 Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan Latihan 5 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 
(i)         Berikan maksud rangkai kata senipis kulit bawang.                        

[2 markah]

 (ii)         Apakan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi amalan rasuah?                                                                                                                                      [3 markah]

 

 

(iii)           Sebagai seorang anggota masyarakat yang prihatin, apakah peranan yang anda boleh lakukan untuk mengatasi masalah rasuah yang kian berleluasa di negara kita.

 

                                                                                                                        [4 markah]

 

Tuesday, September 1, 2015

Latihan Rumusan 2

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang formula untuk mewujudkan perpaduan kaum di negara ini dan kepentingannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

             Naluri semula jadi manusia adalah ingin hidup berkelompok dan bersatu padu. Hari perpaduan yang disambut pada 16 September pada setiap tahun bertujuan untuk mengingatkan rakyat tanpa mengira sempadan negeri ataupun wilayah tentang kepentingan semangat perpaduan dan patriotisme demi kestabilan dan kesejahteraan negara. Perayaan ini juga berperanan untuk memupuk dan menggalakkan semangat perpaduan pelbagai kaum di negara ini melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan di peringkat negeri dan kebangsaan.

            Perpaduan merupakan pemangkin dalam mewujudkan kestabilan sosial dan pembangunan sesebuah negara. Suatu ikatan perpaduan yang erat perlu dijalin demi mewujudkan sebuah negara  yang maju dengan memberi tumpuan kepada konsep pembangunan komuniti tanpa mengabaikan nilai-nilai murni kemasyarakatan. Resepi utama perpaduan ialah sikap hormat-menghormati dan tolong-menolong yang merupakan landasan pertama ke arah mewujudkan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk di negara  ini. Semangat ini perlu dipupuk dalam generasi muda sejak mereka berada di bangku sekolah rendah lagi agar dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang aman damai.

            Sikap perkauman tidak harus dijadikan amalan kerana boleh menjejaskan usaha untuk mewujudkan perpaduan. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, setiap orang perlu menghindari perasaan dengki, pilih kasih, sombong, dan pelbagai sikap buruk yang lain. Di peringkat sekolah, pelbagai kegiatan dijalankan bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar yang berbeza latar belakang. Antaranya termasuklah penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Tambahan pula, semua aktiviti ini dilaksanakan bertujuan untuk memupuk semangat setia kawan dan meningkatkan keharmonian hubungan pelbagai kaum. Selain itu, sistem pendidikan juga merupakan saluran utama untuk mewujudkan perpaduan kaum. Setiap warga pendidikan di seluruh negara perlu menjadikan agenda perpaduan ini sebagai keutamaan dalam semua program dan aktiviti pendidikan yang dilaksanakan sepanjang masa di sekolah. Di samping itu guru-guru juga perlu berusaha menerapkan nilai-nilai murni melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran agar semangat perpaduan terus subur, Seterusnya warga pendidik perlu menentukan dan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program di luar bilik darjah demi memupuk perpaduan dalam kalangan warga sekolah.

            Sememangnya perpaduan amat penting dalam apa-apa situasi sekalipun sama ada ketika senang dan lebih-lebih lagi ketika susah. Perpaduan yang perlu disuburkan dalam kalangan rakyat tidak harus terhad kepada aspek tertentu seperti perpaduan kaum, malah harus meliputi segala perkara yang melibatkan kepentingan bersama khususnya dan kepentingan negara amnya.

 

(Diubahsuaikan daripada rencana bertajuk 16 September Hari

Perpaduan: Menyelusuri Formula Mewujudkan Perpaduan

oleh Hj. Samat Buang, dalam Fokus SPM, September 2002)

 
Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan Latihan 3 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata  semangat perpaduan terus disuburkan.

[2 markah]
(ii)         Mengapakah Hari Perpaduan diadakan pada setiap tahun?                                    

[3 markah]
(iii)        Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menggugat semangat perpaduan dalam kalangan rakyat?

                                                                                                                         [4 markah]

Latihan Rumusan

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang punca-punca berlakunya keracunan makanan dan kepentingan makanan berkhasiat kepada orang ramai.  Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

            Kes keracunan makanan terutamanya di sekolah semakin kerap disiarkan  oleh media sejak akhir-akhir ini. Isu ini bukan suatu perkara yang baharu tetapi  telah lama dibincangkan oleh pihak-pihak yang terlibat. Keracunan makanan bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi di mana-mana sahaja disebabkan berlakunya pencemaran makanan.  Malah keracunan makanan juga boleh berlaku di rumah jika cara penyediaannya tidak dijaga dengan baik.

            Namun, kita sering memerhatikan bahawa ramai pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan makanan yang dihidangkan kepada pelanggan mereka, sama ada di kantin sekolah, restoran, gerai di tepi jalan atau di pasar malam.  Sepatutnya pengendali makanan mengamalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan sebelum menyentuh atau menyediakan makanan. Mereka juga dilarang menghisap rokok, batuk dan meludah semasa menyediakan atau mengendalikan makanan.  Bahan yang digunakan untuk memasak makanan hendaklah bersih.  Proses memasak makanan juga memainkan peranan yang penting. Makanan yang tidak dimasak dengan sempurna akan menyebabkan berlakunya pembiakan mikroorganisma berbahaya terutamanya dalam bahan makanan yang berprotein tinggi seperti daging, ayam, makanan laut, telur dan hasil tenusu. Makanan dari peti sejuk mestilah dinyahbekukan dengan sempurna dan dimasak secukupnya untuk memastikan bakteria berbahaya terhapus. Bakteria juga boleh membiak dengan cepat pada suhu bilik. Makanan yang telah dimasak atau disediakan awal jika tidak disejukbekukan akan terdedah dengan pembiakan bakteria yang mencemarkan makanan. Malah makanan yang disimpan pada suhu bilik dengan begitu lama juga tidak selamat walaupun telah dipanaskan kerana cara ini tidak akan menghapuskan bakteria atau kuman penyebab keracunan makanan.

            Keracunan makanan juga boleh berlaku apabila seseorang individu mengambil makanan dan minuman yang tercemar oleh bakteria, virus atau organisma berbahaya. Keadaan ini berlaku disebabkan penyediaan makanan yang tidak bersih di samping penggunaan bekas makanan yang tercemar. Malah penggunaan bahan kimia dan bahan beracun yang semakin berleluasa terhadap sayur-sayuran juga akan mencemarkan bahan makanan itu tanpa mengira cara memasaknya. Gejala yang dialami mangsa keracunan juga berbeza mengikut individu bergantung pada tahap ketahanan seseorang. Keracunan makanan juga akan berlaku dalam kalangan bayi, kanak-kanak, warga tua dan individu yang mempunyai imuniti yang rendah terhadap penyakit. Mangsa keracunan makanan akan mengalami gejala-gejala yang berikut seperti loya atau pening, muntah, cirit-birit, sakit di bahagian abdomen dan demam.

            Isu keracunan makanan dapat diatasi jika semua pihak melaksanakan peranan masing-masing dengan baik. Yang paling penting, kesedaran semua pihak terhadap kepentingan memakan makanan yang bersih dan berkhasiat.  Mencegah sesuatu lebih baik daripada mengubatinya.

 (Dipetik dan diubahsuai daripada Keracunan Makanan, Dewan Siswa, Oktober 2007).

 

 
Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan HIKMAH 2 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata hasil tenusu.                                                         

[2 markah]
(ii)         Apakah keadaan yang menggalakkan pembiakan bakteria dalam makanann?                  

                             [3 markah]

 (iii)        Sebagai seorang pelajar, apakah tindakan yang perlu dilakukan jika anda mendapati makanan di kantin sekolah anda tidak bersih dan boleh menyebabkan berlakunya keracunan makanan?

                                                                                                                                                               [4 markah]

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sunday, April 12, 2015

Latar Masyarakat dan Klimaks Dalam Novel


SET 1

4 : Novel
(15 markah )


Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel-novel berikut:

(i) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(ii) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
(iii) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(iv) Renyah karya Gunawan mahmood
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Kembara Amira karya Amer Hamzah l. Kadir
(vii) Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah
(viii) Sutera dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan



(a) Cerita dalam novel sememangnya memaparkan latar masyarakat sezaman. Nyatakan
tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang telah anda baca.              

 (7 markah)


(b) Klimaks merupakan unsur utama dalam plot sesebuah cerita. Daripada novel yang
telah anda baca, jelaskan persitiwa yang menjadi klimaks dalam novel tersebut.
                                                                                                                       

(8 markah)

 

 

 

 

 

 

 

 



 

Conton Jawapan
Soalan (a)
Konserto Terakhir

Novel Konserto Terakhir menggambarkan beberapa latar masyarakat dengan jelas sebagai salah satu unsur penting dalam penyampaian cerita. Antara gambaran latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini ialah gambaran masyarakat yang sombong dan mementingkan darjat. Datin Salmah tidak dapat menerima Hilmi kerana Hilmi berasal dari kampung serta berpelajaran hanya setakat darjah empat di sekolah rendah. Beliau sering menghina Hilmi dan kerap mencari jalan agar Hilmi dapat keluar dari rumahnya. Dia juga menghalang Hayati daripada merapati Hilmi. Azizah juga tidak mahu menerima Hilmi pada awalnya kerana Hilmi hanya seorang tukang kebun.

Selain daripada itu, novel ini juga menggambarkan masyarakat yang rajin dan tekun. Hilmi rajin mengusahakan taman di rumah Datuk Johari sehingga taman itu menjadi cantik serta mendapat pujian daripada rakan-rakan Datin Salmah. Dia juga rajin mengusahakan kebun di rumah itu sehingga sayur-sayurannya berbuah lebat. Hilmi juga tekun dalam usahanya mempelajari muzik daripada Encik Bakar sehingga berjaya menjadi seorang pemuzik terkenal. Demikian juga dengan Encik baker yang rajin dan tekun mengajar Hilmi hingga berjaya menjadi seorang pemuzik terkenal.

Watak Datuk Johari dan Encik Bakar dalam novel ini menggambarkan masyarakat yang baik hati. Datuk Johari sanggup membenarkan Hilmi tinggal di rumahnya. Pada masa yang sama, beliau turut member pekerjaan kepada Hilmi sebagai tukang kebun di rumahnya. Datuk Johari juga berusaha menghalang Hilmi daripada dihalau oleh Datin Salmah apabila Hilmi merosakkan piano dengan tidak sengaja. Encik Bakar pula sanggup mengajar Hilmi bermain alat muzik dan memberi dorongan kepada Hilmi sehingga Hilmi berjaya menjadi seorang pemuzik yang terkenal.

Conton Jawapan
Soalan (a)
PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!)

Salah satu unsur penting dalam sesebuah novel ialah latar. Jika sesebuah novel itu menceritakan kisah masyarakat, sudah sememangnya latar masyarakat dalam novel itu lebih jelas. Demikian juga dengan novel PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!). Ia memaparkan beberapa latar masyarakat dengan jelas sebagai salah satu unsur penting dalam penyampaian cerita.

Antara latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini ialah masyarakat pelajar dalam novel ini.
Intan Julia belajar di tingkatan empat dan lima di Sekolah Seri Gading iaitu tempat ibunya mengajar. Semasa di tingkatan lima, Rasylan telah berpindah ke sekolah itu dan mereka berkenalan. Mereka telah menyambung pelajaran dan menjadi seorang siswa dan siswi setelah mendaftar di pusat Matrikulasi UIA. Mereka berjaya melanjutkan pelajaran di situ setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM. Mereka belajar di situ selama beberapa tahun sehingga ke kampus induk UIA. Sepanjang belajar di situ, mereka sering berjumpa untuk berbincang tentang pelajaran dan masalah masing-masing.

Dari sudut kemasyarakatan pula, novel ini menggambarkan beberapa ciri masyarakatnya. Antara lain ialah gambaran masyarakat yang penyayang. Watak utama iaitu Intan Julia sebagai anak amat sayang kepada ibunya Intan Maliana serta bapanya Jeffri. Jeffri juga amat sayang kepada isterinya Maliana. Hubungan mereka intim setiap masa sehingga Intan Julia berasa cemburu dan meluat melihat gelagat mereka. Dia tidak sanggup untuk berkahwin lagi apabila disarankan oleh Mak Cik Noraini walaupun isterinya sedang koma. Jeffri juga amat sayang kepada anaknya Intan Julia,
tambahan lagi Intan Julian merupakan anak tunggalnya. Dia mengambil berat tentang pelajaran Intan Julia. Malah pada saat dia ingin ke majlis akad nikahnya, Jeffri sanggup membatalkan pernikahan itu jika Intan Julia tidak membenarkannya.

Latar masyarakat lain yang terdapat dalam novel ini ialah masyarakat yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Jeffri memberikan sepenuh kasih sayang kepada isterinya Intan Maliana menjadikan hubungan dan rumahtangga mereka bahagia. Dia telah memberikan sokongan moral kepada isterinya semasa isterinya mengandung dan saat melahirkan anak. Semasa isterinya koma, dia sentiasa pergi ke hospital untuk melawat isterinya. Malah dia telah membawa isterinya pulang ke rumah supaya dia dapat selalu menjaga dan memerhatikan isterinya. Selama isterinya koma, dia menjalankan tanggungjawab untuk menghantar dan mengambil anaknya Intan Julia dari sekolah selain daripada mengambil tahu perkembangan pelajaran Intan Julia sehinggalah Intan Julia belajar di UIA.

Contoh Jawapan
Soalan (b)
Konserto Terakhir
Plot terdiri daripada empat unsur utama. Salah satu unsur plot yang penting ialah klimaks. Ia didasari oleh rentetan beberapa peristiwa yang penting. Dalam novel Konserto Terakhir, klimaks bermula apabila Keretakan rumahtangga Hilmi dengan Azizah tidak dapat diselamatkan lagi. Usaha Encik Bakar tidak berhasil. Azizah terlalu cemburu terhadap Hilmi. Malah Azizah mengajar anaknya memanggil Hilmi dengan panggilan “bapa jahat”. Azizah cemburu kerana pada anggapannya beberapa buah lagu yang telah digubah khas oleh Hilmi adalah untuk Hayati. Kemuncak daripada konflik itu Azizah telah meninggalkan Hilmi. Tragedi yang menimpanya menyebabkan dia mencipta sebuah lagu yang diberi tajuk “Cinta dan Tangis”. Lagu “Cinta dan Tangis” menjadi inspirasi kepadanya untuk menggubah lagu-lagu lain dan menulis sendiri sari katanya.

Peristiwa seterusnya ialah peristiwa yang berlaku di Dewan Tunku Canselor. Hilmi tidak kelihatan. Ketua Pengarah itu tidak puas hati lalu pergi ke rumah Hilmi. Mereka mendapat tahu daripada seorang pemuda Cina bahawa Hilmi sakit dan dimasukkan ke hospital. Hilmi dalam bahaya dan berada di unit rawatan rapi ( ICU ). Doktor juga telah memberitahu bahawa nyawa Hilmi terancam dan dia tidak mungkin dapat memimpin Orkes Perdana. Ketua Pengarah telah mengarahkan Borhan supaya mencari pengganti Hilmi. Tiba-tiba muncul Hayati, wanita yang ingin menonton pertunjukan tersebut. Dia ingin menggantkan tempat Hilmi. Ketua pengarah membenarkan Hayati memimpin Orkes Perdana tersebut.

Setelah pertunjukan selesai Hayati bergegas ke hospital, begitu juga Datuk Johari dan Datin Salmah apabila mengetahui perkhabaran tersebut. Di hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya iaitu bapa Hilmi yang baru sampai dari kampung. Suasana menjadi bertambah pilu dengan kehadiran Azizah, ibunya serta Hakim, anak Hilmi. Abang sepupunya itu kemudian menceritakan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah bahawa Hilmi selalu memuji kebaikan pak cik dan mak ciknya itu. Akhirnya abang sepupunya iaitu Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi sebenarnya anak kandung Datuk Johari.

Contoh Jawapan
Soalan (b)
PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!)

Plot terdiri daripada empat unsur utama. Salah satu unsur plot yang penting ialah klimaks. Pada peringkat ini, perkembangan plot sesebuah cerita memuncak. Ia digambarkan dengan peristiwa pertentangan antara dua watak atau antara watak dengan dirinya sendiri.

Peristiwa yang menjadi klimaks dalam novel PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!) berlaku pada bab 18 apabila Intan Julia pulang ke rumah dari asrama. Dia sampai ke rumah dalam keadaan diam sehingga bapanya dan Mak Cik Noraini tidak menyedari kepulangannya. Niatnya hanya untuk memeranjatkan Mak Cik Noraini dan membuatkan Mak Cik Noraini melatah. Semasa dia menuju ke dapur, dia terdengar perbualan Mak Cik Noraini dengan bapanya. Mak Cik Noraini menyarankan bapanya berkahwin lagi. Walaupun bapanya risau tentang Intan Julia yang mungkin tidak dapat menerima, Mak Cik Noraini berpendapat Intan Julia akan memahami dan dapat menerimanya suatu hari nanti.

Intan Julia terus naik dan masuk ke biliknya. Dia berdoa sambil menangis agar apa yang didengarnya sebentar tadi tidak akan menjadi kenyataan. Dia tidak rela bapanya mencari pengganti ibunya. Dia turun semula ke tingkat bawah dan mendapati bapanya yang membaca majalah yang mengandungi artikel tentang poligami. Intan Julia tidak menyenangi perbuatan bapanya itu, tambahan pula apabila mengingatkan hubungan bapanya dengan Aisyah. Intan Julia sudah tidak tahan lagi menanggung rasa marah terhadap sikap bapanya. 


Intan Julia terus terang menyatakan tujuan bapanya membaca artikel tentang poligami kerana bapanya ingin berkahwin lagi. Intan Julia dengan jelas menyuarakan perasaan tidak senang hati dengan hubungan bapanya dengan Aisyah. Seterusnya dia mengatakan bahawa bapanya telah tidak setia dengan ibunya. Malah Intan Julia menuduh bapanya curang. Kata-kata itu menyebabkan bapanya marah dan Intan Julia ditempeleng. Intan Julia kecewa dengan tindakan bapanya dan pulangke asrama pada awal pagi keesokan harinya. Dia hanya berada di asrama dan tidak pulang selama beberapa minggu.