Tuesday, September 1, 2015

Latihan Rumusan 2

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang formula untuk mewujudkan perpaduan kaum di negara ini dan kepentingannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

             Naluri semula jadi manusia adalah ingin hidup berkelompok dan bersatu padu. Hari perpaduan yang disambut pada 16 September pada setiap tahun bertujuan untuk mengingatkan rakyat tanpa mengira sempadan negeri ataupun wilayah tentang kepentingan semangat perpaduan dan patriotisme demi kestabilan dan kesejahteraan negara. Perayaan ini juga berperanan untuk memupuk dan menggalakkan semangat perpaduan pelbagai kaum di negara ini melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan di peringkat negeri dan kebangsaan.

            Perpaduan merupakan pemangkin dalam mewujudkan kestabilan sosial dan pembangunan sesebuah negara. Suatu ikatan perpaduan yang erat perlu dijalin demi mewujudkan sebuah negara  yang maju dengan memberi tumpuan kepada konsep pembangunan komuniti tanpa mengabaikan nilai-nilai murni kemasyarakatan. Resepi utama perpaduan ialah sikap hormat-menghormati dan tolong-menolong yang merupakan landasan pertama ke arah mewujudkan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk di negara  ini. Semangat ini perlu dipupuk dalam generasi muda sejak mereka berada di bangku sekolah rendah lagi agar dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang aman damai.

            Sikap perkauman tidak harus dijadikan amalan kerana boleh menjejaskan usaha untuk mewujudkan perpaduan. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, setiap orang perlu menghindari perasaan dengki, pilih kasih, sombong, dan pelbagai sikap buruk yang lain. Di peringkat sekolah, pelbagai kegiatan dijalankan bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar yang berbeza latar belakang. Antaranya termasuklah penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Tambahan pula, semua aktiviti ini dilaksanakan bertujuan untuk memupuk semangat setia kawan dan meningkatkan keharmonian hubungan pelbagai kaum. Selain itu, sistem pendidikan juga merupakan saluran utama untuk mewujudkan perpaduan kaum. Setiap warga pendidikan di seluruh negara perlu menjadikan agenda perpaduan ini sebagai keutamaan dalam semua program dan aktiviti pendidikan yang dilaksanakan sepanjang masa di sekolah. Di samping itu guru-guru juga perlu berusaha menerapkan nilai-nilai murni melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran agar semangat perpaduan terus subur, Seterusnya warga pendidik perlu menentukan dan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program di luar bilik darjah demi memupuk perpaduan dalam kalangan warga sekolah.

            Sememangnya perpaduan amat penting dalam apa-apa situasi sekalipun sama ada ketika senang dan lebih-lebih lagi ketika susah. Perpaduan yang perlu disuburkan dalam kalangan rakyat tidak harus terhad kepada aspek tertentu seperti perpaduan kaum, malah harus meliputi segala perkara yang melibatkan kepentingan bersama khususnya dan kepentingan negara amnya.

 

(Diubahsuaikan daripada rencana bertajuk 16 September Hari

Perpaduan: Menyelusuri Formula Mewujudkan Perpaduan

oleh Hj. Samat Buang, dalam Fokus SPM, September 2002)

 
Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan Latihan 3 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata  semangat perpaduan terus disuburkan.

[2 markah]
(ii)         Mengapakah Hari Perpaduan diadakan pada setiap tahun?                                    

[3 markah]
(iii)        Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menggugat semangat perpaduan dalam kalangan rakyat?

                                                                                                                         [4 markah]

No comments:

Post a Comment