Saturday, February 25, 2012

Imbuhan Pinjaman



Nota 1 :
(Dipetik dari Blog Cikgu Azmi)

Imbuhan pinjaman…?

Di samping imbuhan asli bahasa Melayu, terdapat juga imbuhan pinjaman yang kita ambil daripada bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, dan bahasa Sanskrit. Perhatikan contoh di bawah;-

•Imbuhan bahasa Inggeris: (pra-, pro-, anti-, auto-, sub-, poli-, supra-,)
•Imbuhan bahasa Sanskrit: (eka-, dwi, tri-, tata-, pasca-, panca-, tuna-, swa-, maha-, )
•Imbuhan bahasa Arab: (-in, -at, -ah, bi-, -wi, -iah)

Contoh penggunaan imbuhan pinjaman dengan kata dasar:-

•prasejarah, prokerajaan, antidadah, automobil, subgolongan, subtopik, poliklinik, supranasional,
•ekabahasa, dwitahunan, tribahasa, tatabahasa, tatacara, pascasiswazah, pancaindera, tunakarya,
•muslimin, muslimat, muslimah, hadirin, hadirat, duniawi, alamiah, lahiriah, biadab, binormal,

Semua imbuhan sama ada pinjaman atau asli dieja rapat dengan kata dasar.

♥ bi- bermaksud tidak > binormal maksudnya tidak normal

♥ tuna- bermaksud tidak > tunakarya maksudnya penganggur

♥ swa- bermaksud sendiri > swalayan maksudnya layan diri


Nota 2 : Dipetik dari blog Panitia Bahasa Melayu
IMBUHAN PINJAMAN : Pra-
Imbuhan pinjaman ialah imbuhan yang dipinjamkan daripada bahasa lain.
Contoh imbuhan pinjaman awalan adalah maha-, pra-, tata-, panca, swa-, tuna, eka-, dwi-, tri, bi-, anti-, dan pro-.

Awalan pra- membawa maksud sebelum atau syarat kepada sesuatu.
Contoh ; perkataan berimbuhan awalan pra- dan maksunya ;

praakhir ~ sebelum akhir
prakata ~ kata pendahuluan
pramatang ~ belum cukup masak atau belum cukup tempoh
pramoden ~ sebelum mencapai zaman moden
prasangka ~ sangkaan buruk terhadap sesuatu sebelum mengetahui hal yang sebenar
prasarana ~ suruktur asas sesuatu sistem, infrastruktur
prasejarah ~ sebelum sejarah
prasekolah ~ tadika
prasiswazah ~ orang yang belum lulus sebagai siswazah
prasyarat ~ syarat awal
pratonton ~ tayangan sebelum tayangan rasmi
prauniversiti ~ sebelum masuk universiti, pengajian sebelum memasuki universiti
prawacana ~ mukadimah, kata pendahuluan

Thursday, February 16, 2012

Industri Pelancongan di Malaysia




Industri pelancongan memberikan sumber pendapatan kepada negara. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memajukan industri pelancongan negara.

Kementerian Pelancongan telah mengisytiharkan Tahun 2007 sebagai Tahun Melawat Malaysia. Rentetan daripada itu, beberapa buah negeri juga telah mengumumkan tahun melawat negeri mereka seperti negeri Melaka, Sabah, Trengganu dan Selangor. Ini membuktikan bahawa pelancongan berpotensi untuk dimajukan di negara kita. Banyak tempat menarik yang terdapat di negara kita boleh dikunjungi oleh pelancong-pelancong asing dan tempatan seperti melihat mercu tanda, tempat bersejarah, kawasan tanah tinggi, alam semula jadi dan sebagainya. Oleh itu pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk memajukan industri pelancongan tersebut sama ada oleh pihak kerajaan sendiri mahupun agensi yang berkaitan.

Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menambah kemudahan pengangutan dan perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Kemudahan pengangkutan ini dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada pelancong untuk pergi ke destinasi yang mereka sukai. Sebagai contohnya, kerajaan telah membina kemudahan lebuh raya baru ke Cameron Highland iaiti lebuh raya yang dihububungi dengan bandar Kuala Lipis, Gua Musang di samping membesarkanjalan melalui Simpang Pulai. Usaha ini dilakukan agar pusat pelancongan ini mudah dikunjungi pelancong. Jadual penerbangan ke Malaysia juga perlu ditambah terutama dengan mengadakan promosi tambang murah kepada pelancong asing yang ingin melawat ke Malaysia. Dengan cara ini, para pelancong akan berasa selesa apabila berkunjung ke Malaysia.

Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginapan seperti hotel dan chalet perlu ditingkatkan. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyakan pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong. Sebagai contohnya, usaha yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut. Selain itu, penginapan ala kampung juga telah dirancang dengan menyediakan program 'homestay' iaitu penginapan bercirikan suasana kampung. Justeru, sekiranya usaha seperti ini dilaksanakan secara berterusan, jumlah pelancong asing yang akan kembali semula ke Malaysia akan bertambah di samping menggalakkan kedatangan pelancong baru.

Malaysia yang mempunyai pelbagai budaya dan agama sangat menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Kerajaan telah memperkenalkan kebudayaan rakyat Malaysia yang berkaitan dengan perayaan, kesenian, pakaian dan cara hidup kepada masyarakat dunia sebagai salah satu pengisian dalam program melawat Malaysia. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh di laksanakan dengan giat sama ada di dalam mahupun di luar negara. Usaha mempromosikan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarkan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat berguna mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong.

Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh pelancong terutama pelancong asing ialah aspek kebersihan dan kemudahan prasarana. Kawasan pelancongan mestilah sentiasa bersih dan diselenggarakan dengan baik. Petugas- petugas di kawasan pelancongan perlu ditambah bagi memastikan kebersihan sentiasa terkawal. Begitu juga halnya dengan kemudahan prasarana bagi membolehkan pelancong membeli-belah dengan selesa. Sebagai contohnya, kemudahan seperti bank, insuran serta pusat membeli belah perlu dibina di kawasan pelancongan. Langkah-langkah seperti ini mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati.

Selain usaha tersebut, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara ini. sikap ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat Malaysia. Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi yang dianggap “duta pelancongan negara” haruslah bersikap ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing bagi mengaut keuntungan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan lembut bahasa kerana “bahasa menunjukkan bangsa”. Jadi, rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan pelancong tempatan atau asing ini dengan lebih baik agar kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberi kenangan manis di sepanjang hidup mereka.


Memandangkan persaingan dalam industri pelancongan semakin sengit, agensi-agensi pelancongan perlu bersikap lebih kreatif bagi menerokai bidang pelancongan baru. Konsep pelancongan perlu diperluaskan dengan memperkenalkan pelbagai jenis pelancongan seperti “ekopelancongan”, pelancongan alam sekitar, pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan dan sebagainya. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu, “tak kenal maka tak cinta”. Jika pelancongan versi baru ini tidak dicuba di negara kita, kita tidak akan mengetahui potensi yang dapat diperoleh daripada industri pelancongan tersebut. Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti sukan seperti Le Tour De Langkawi serta persidangan antarabangsa seperti Persidangan APEC yang diadakan di Kuala Lumpur, mampu menarik jumlah pelancong berkunjung ke Malaysia.

Tuntasnya, “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, jika usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia menjadi nyata? Segala tindakan yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka. .

Saturday, February 11, 2012

Teks Pengacara Majlis Mesyuarat Agung PIBG



(Mesyuarat ini diteruskan juga walaupun YDP PIBG SMK Sijangkang Jaya tidak dapat hadir kerana ayahanda mertuanya telah kembali kerahmatullah - AlFatihah)

Mengumumkan ketibaan:
Yang Berbahagia Dato Hj Sulaiman b. Mohd Karli, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat
diiringi oleh Naib Yang DiPertua PIBG, Puan Pengetua dan tetamu-tetamu jemputan.

Para jemputan dan hadirin dipersilakan duduk
Kasihnya ibu membawa ke syurga
Kasihnya ayah dan ibu berkorban nyawa
Kasihnya guru mencurah ilmu
Pemacu segala pelita dan lampu
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Menjalankan tugas dengan amanah yang berkat
Seribu tahun menjadi hikmat

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera, salam keilmuan dan salam Satu Malaysia.

Yang Berbahagia Dato Hj Sulaiman b. Mohd Karli, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat

Yang Dihormati En Ahmad b. Yahya,
Pegawai Khas kpd Yang Berbahagia Dato’ Hj Nordin b Selamat, Penyelaras Pembangunan Persekutuan, DUN Sijangkang.

Yang Dihormati Tn Hj Zulkapli b. Mohamed,
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Langat,

Yang Berusaha Pn. Hjh Noor Hayati bt Sarbini,
Pengetua SMK Sijangkang Jaya dan barisan pentadbir.

Yang Berusaha Naib Yang Dipertua PIBG SMK Sijangkang Jaya, En Abdul Halid bin Mohd Yassin dan Kepimpinan Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Sijangkang Jaya sesi 2011.

Yang Dihormati lagi dikasihi, guru-guru, ibu bapa dan para hadirin sekalian.

Pada pagi yang permai ini, marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan izin serta limpah rahmat Nya kita diberikan kekuatan untuk berhimpun dalam Majlis Mesyuarat Agung PIBG kali ke-12 SMK Sijangkang Jaya.


Saya bagi pihak majlis mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Dato Hj Sulaiman bin Mohd Karli, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, En Ahmad bin Yahya dan Tn Hj Zulkepli bin Mohamed ke majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG kali ke 12.

Saya juga melahirkan rasa banga dan mengucapkan ribuan terima kasih dengan kehadiran ibu bapa, guru-guru dan para tetamu dalam menunaikan amanah sebagai Ahli PIBG. Inilah ruang dan peluang atau platform terbaik untuk kita mencari kesepakatan, untuk kita mencari titik persamaan bagi menjulang dan meledakkan kejayaan anak-anak kita dalam bidang akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Pepatah Melayu ada menyatakan, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya…kalau kita dapat satukan dan sepadukan idea, pasti kecemerlangan menjadi milik kita bersama.

Bagi memula dan memuliakan majlis, marilah sama-sama kita menadah tangan memohon keberkatan Illahi, agar segala urusan mendapat rahmat. Untuk itu, majlis dengan hormatnya menjemput Al-Fadhil Ustaz Dawami b. Shaien untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Ustaz Dawami b. Shalen atas pimpinan bacaan doa itu tadi.

Hadirin yang dihormati,
Sebagai tanda setia, tanda kasih kepada Negara. Marilah sama-sama kita kumandangkan suara, untuk menyanyikan lagu Negaraku bersama iringan muzik. Para hadirin dipersilakan untuk berdiri.

Majlis merakamkan ucapan ribuan terima kasih atas nyanyian yang dikumandangkan sebentar tadi.
Hadirin dipersilakan duduk.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Kepimpinan diteladani,
Program dirancang dan direalisasikan,
Kejayaan pasti menjelma bukan umpama mimpi

Majlis pada pagi ini dimulakan dengan dengan mempersilakan Yang Berusaha Pn. Hjh Noor Hayati bt Sarbini, Pengetua SMK Sijangkang Jaya merangkap Penasihat PIBG SMK Sijangkang Jaya ke-12 untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Dengan hormatnya dipersilakan.


Demikian tadi ucapan aluan oleh Yang Berusaha Pn. Hjh Noor Hayati bt Sarbini, Pengetua SMK Sijangkang Jaya. Majlis mengucapkan ribuan terima kasih.


Seterusnya, majlis dengan berbesar hati menjemput Naib Yang DiPertua PIBG SMK Sijangkang Jaya, Yang Berusaha En Abd Halid bin Mohd Yassin untuk menyampaian ucapan. Dipersilakan..


Demikian tadi ucapan oleh Naib Yang DiPertua PIBG SMK Sijangkang Jaya, En Abdul Halid bin Mohd Yassin. Majlis mengucapkan ribuan terima kasih.

Sidang hadirin yang budiman,

Kalau Dato’ pikat kenari,
Jangan patahkan batang jerami;
Kepada Dato’ ruang diberi,
Mohon rasmikan majlis kami

majlis dengan sukacita dan penuh takzim mempersilakan Yang Berbahagia Dato Hj Sulaiman b. Mohd Karli, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat bagi menyampaikan ucaptama dan seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SMK Sijangkang Jaya kali ke-12.

Dengan segala hormatnya, dipersilakan.

Dengan Bismillah kita mulai,
Alhamdulillah wassola tannabi,
Dengan takdir Ilahi Rabbi,
Selesai sudah upacara merasmi.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Dato Hj Sulaiman b. Mohd Karli,
atas ucapan perasmian sebentar tadi.

Orang berbudi,
Kita berbahasa.

Sebagai ucapan terima kasih, majlis dengan ini mempersilakan Naib Yang DiPertua PIBG SMK Sijangkang Jaya, Encik Abd Halid bin Mohamad Yassin untuk menyampaikan cenderamata tanda penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato Hj Sulaiman b. Mohd Karli atas kesudian Dato’ menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG SMK Sijangkang Jaya ke 12 tahun 2012.

Tinggi bukit silang-gemilang,
Air pasang tenang-tenangan,
Budi sedikit takkan hilang,
Dalam hati kenang-kenangan.


Majlis pada hari ini diteruskan pula dengan acara cabutan bertuah khas untuk para ibu bapa dan guru SMK Sijangkang Jaya. Hadiah cabutan bertuah kita pada hari ini telah disumbangkan oleh;
Yang Berbahagia Dato’ Hj Nordin bin Selamat.
Penyelaras Pembangunan Persekutuan DUN Sijangkang.

Untuk menyempurnakan majlis , dipersilakan NYDP PIBG bagi menjemput dan mengiringi Yang Berbahagia Dato Hj Sulaiman bin Mohd Karli dan Yang Dihormati Encik Ahmad bin Yahya untuk naik ke pentas untuk membuat cabutan.

Dipersilakan Yang Berbahagia Dato Hj Sulaiman b. Mohd Karli untuk membuat cabutan 5 nombor bertuah.
Encik Ahmad bin Yahya juga diminta untuk membuat cabutan 5 nombor bertuah.


Dimaklumkan, nombor masing-masing tercatat pada buku program hadirin pada hari ini.

Penerima bertuah yang pertama ...................
Hadirin bertuah yang terakhir ialah .................

Hadirin sekalian,
Usah kecewa kerana acara cabutan bertuah masih belum lagi berakhir. Diminta para hadirin untuk bersabar dan setia menunggu sehingga ke akhir majlis.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan di simpan di dalam peti,
Kalau ada khilaf dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Kini selesai sudah Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SMK Sijangkang Jaya 2012. Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato Hj Sulaiman b. Mohd Karli dan para jemputan sekalian, atas kesudian menghadiri majlis pada hari ini.

Majlis dengan ini menjemput Yang Berbahagia Dato dan para tetamu jemputan khas diiringi Pengetua, Yang Berusaha Pn. Hjh Noor Hayati bt Sarbini, untuk menikmati juadah yang disediakan di Bilik Gerakan Sekolah.

Para ibu bapa dan hadirin juga dipersilakan untuk menjamu selera.

Agenda seterusnya iaitu Mesyuarat Agung PIBG SMK Sijangkang Jaya kali ke 12 akan dipengerusikan oleh Naib Yang DiPertua PIBG SMK Sijangkang Jaya, Encik Abd Halid bin Mohd Yassin.

Sekian, wabillahitaufiq walhidayah,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Pengacara Majlis :
EN SAHARUDDIN BIN ABDULLAH
CIK NORLIYANA

Friday, February 10, 2012

Langkah-langkah Membendung Masalah Remaja Terlibat Dalam Jenayah




Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan berita-berita panas yang melibatkan golongan remaja. Kisah berkaitan dengan remaja ini bukan sahaja meniti dari bibir ke bibir masyarakat malah hampir setiap hari dipaparkan dalam media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik. Fenomena ini sangat merisaukan masyarakat kerana goongan remaja ini merupakan pewaris bangsa dan bakal memimpin negara pada masa akan datang. Statistik pihak Polis Diraja Malaysia menunjukkan ramai golongan remaja terlibat dalam kes curi, cabul, penyalahgunaan dadah dan lebih mengejutkan terdapat juga remaja yang terlibat dalam kes bunuh. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Siapa yang harus dipersalahkan ? Apakah tindakan yang sewajarnya kita lakukan? Persoalan-persoalan ini akan dihuraikan secara lebih terperinci dalam perenggan berikutnya.

Pelbagai langkah boleh diambil untuk membendung masalah ini. Sebagai remaja, mereka seharusnya bijak memilih kawan. Kawan yang baik akan membawa remaja ke arah yang baik begitu juga sebaliknya, jika remaja berkawan dengan kawan yang nakal, maka pelbagai kegiatan jenayah dan perkara tidak elok akan dilakuan. Jiwa remaja yang masih muda selalunya mudah dipengaruhi dan mempunyai sifat ingin mencuba sesuatu yang baru. Oleh itu, remaja perlu berkawan dengan sahabat yang boleh menjadi ubat bagi diri mereka seperti bait gurindam yang berbunyai "Cari olehmu akan sahabat yang boleh dijadikan ubat".

Selain itu, remaja juga perlu menyemai, mengamalkan serta memperkukuhkan jati diri. Jati diri boleh dipupuk melalui pendidikan keagamaan. Apabila ilmu agama telah mantap dalam diri remaja, mereka mampu berfikir secara matang dan rasional. Mereka juga dapat membezakan antara perkara yang baik atau perkara yang memudaratkan diri mereka. Nah, ternyatalah bahawa kekuatan jati diri dalam diri remaja membolehkan masalah kegiatan jenayah dapat dikurangkan.

Ibu bapa juga mempuyai peranan besar untuk mengatasi masalah jenayah yang melibatkan remaja Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk berbual dengan anak-anak. Dalam sesi pertemuan itu, ibu bapa perlulah menasihatkan anak-anak supaya mematuhi peraturan dan undang. Ibu bapa juga perlu memahami kehendak anak-anak dan memberi peluang kepada anak-anak untuk menceritakan smua masalah diri mereka. Perkongsian minda antara anak dan ibu bapa mampu mengubah kehidupan mereka yang lebih poitif.

Di samping itu, masyarakat juga berperanan untuk mengurangkan masalah jenayah yang melibatkan remaja. Sikap 'tidak perlu jaga tepi kain orang' dan sikap 'biarkan' akan menjadikan remaja itu lebih liar. Jika masyarakat ternampak remaja melakukan kerja-kerja tidak sihat seperti hidu gam, melakukan maksiat dan mencuri, mereka perlu membuat laporan polis dan memaklumkan hal tersebut kepada pihak keluarga remaja tersebut. Jika hal ini dapat dipraktik oleh masyarakat, maka masalah jenayah dalam kalangan remaja akan lebih terkawal. Bak kata pepatah, sikap cubit paha kanan, paha kiri juga terasa haruslah ditanam dalam diri setiap anggota masyarakat.

Jenayah dalam kalangan remaja ini juga dapat dibendung dengan tindakan bersepadu pihak berkuasa. Pihak berkuasa perlu menggubal undang-undang yang lebih tegas ke atas pesalah remaja supaya dapat memberi pengajaran kepada remaja lain. Remaja yang didapati bersalah perlu diberi hukuman yang setimpal dan hukuman itu perlu diwar-warkan dalam media massa supaya remaja lain berasa gerun dan takut untuk melakukan jenayah. Pihak berkuasa juga perlu mengawal dan mengawasi pelbagai media massa yang boleh mempengaruhi jiwa remaja kearah jenayah seperti filem lucah, filem ganas dan cerita yang tidak memberikan manfaat kepada remaja.Kajian membuktikan, pengaruh media massa ini merupakan punca utama remaja melakukan jenayah.

Daripada huraian di atas, ternyatalah bahawa jenayah remaja ini berpunca daripada pelbagai sudut. Semua pihak, sama ada remaja itu sendiri, ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa harus berganding bahu, sederap melangkah dan sebulat suara untuk mengurangkan masalah ini. Kita perlu kurang bercakap tetapi lebihkan usaha unyuk bertindak bagi membendung masalah jenayah dalam kalangan remaja. Kita tidak mahu sikap sudah terngantuk baru terngadah menjadi amalan semua pihak. Kita perlu ingat apabila nasi sudah menjadi bubur, apa juga usaha yang kita lakukan sudah tidak mempunyai apa-apa makna lagi.

(Karangan ini dibincangkan bersama dengan pelajar 5MPV pada 10 Februari 2011)

Thursday, February 9, 2012

Konserto Terakhir - Kelebihan Watak Hilmi





Kelebihan Watak Hilmi :

(i) Menghormati orang tua .
Hilmi bersalaman dan mencium tangan Datuk Johari.

(ii)Rajin .
Hilmi rajin mengusahakan tanah terbiar di halaman rumah Datuk Johari sehingga mendapat pujian daripada jiran dan sahabat-sahabat Datuk Johari.

(iii)Tabah dan gigih .
Hilmi berusaha gigih mempelajari muzik dengan Encik Bakar sehingga menjadi seorang seniman yang terkenal.

(iv) Pemaaf .
Hilmi tidak pernah memburuk-burukkan Datuk Johari dan Datin Salmah walaupun dia tidak mendapat layanan yang baik daripada mereka.

Pengetahuan dan Kemahiran Berbahasa.




Latihan Pengukuhan Minda :

KESALAHAN EJAAN DAN IMBUHAN :

Cari satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan dalam ayat-ayat di bawah.

1. Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang telah memesan kepada kaki tangannya supaya bekerja bersungguh-sungguh.

2. Kerajaan Malaysia telah melengkapi stesen bas itu dengan pelbagai pasarana untuk golongan OKU.

3. Para belia yang tidak berjaya menyambung pelajaran ke universiti telah disarankan agar mengikut kursus kemahiran di instituisi kemahiran yang ada.

4. Matan Perdana Menteri telah menyeru para belia agar lebih proaktif untuk bangunkan negara.

5. Pengguna jalan raya untuk ke gua Musang telah dinasihatkan oleh pihak berkuasa agar lebih berhati-hati kerana jalan raya tersebut mempunyai beberapa kawasan merbahaya.

6. Permohon untuk jawatan kosong di syarikat itu boleh dihantar menerusi mesin fax sahaja.

7. Pada awalnya, gagasan 1Malaysia telah memberikan pelbagai definasi oleh pihak-pihak tertentu sehingga wujud kekeliruan.

8. Semua calon SPM dijangka akan terima keputusan masing-masing pada bulan Febuari.

9. Hajjah Saorah telah ternobat sebagai Ibu Mithali negeri Melaka pada tahun 2011 atas kejayaan beliau mendidik anak-anaknya menjadi orang berjaya.

10. Semua kenderaan yang berusia sepuluh tahun atau lebih telah dipaksa membayar insuran yang lebih mahal.


KESALAHAN KATA, ISTILAH ATAU TATABAHASA :

Cari satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan bahasa dalam ayat-ayat di bawah.

1. Pelbagai rekaan murid sekolah yang berasaskan daya ubah suai dipamerkan pada pameran itu.

2. Yang Dipertua Bank Negara Malaysia telah dianugerahi bintang kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri.

3. Antara langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi banjir mendadak di kawasan perumahan itu telah dilakukan dengan usaha mendalamkan sungai dan parit.

4. Projek jalan raya besar yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia sedang rancak dilaksanakan oleh pihak kontraktor.

5. Berapa anggaran harga bagi setiap kereta tangan kedua yang dijual di kedai itu?

6. Kertas kerja yang dibina untuk Dr Roslina itu membincangkan peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial remaja masa kini.


PERIBAHASA :

Berikan peribahasa yang tepat dengan maksud setiap ayat berikut.

1. Kehadiran Muthu di kampung itu amat dibimbangi jiran tetangganya kerana dia selalu mengambil barang-barang jiran-jirannya tanpa meminta izin terlebih dahulu.

2. Aminah mempunyai perangai yang tidak digemari oleh rakan-rakannya kerana sikapnya yang suka mengambil barang-barang yang telah diberikannya semula.

3. Keputusannya untuk berhijrah ke Australia tidak dapat diubah lagi walaupun telah dihalang oleh kedua-dua ibu bapanya berkali-kali.

4. Semua ikan yang dipelihara oleh penternak telah terlepas akibat banjir yang melanda kampung itu bulan lalu.

5. Safee Sali ialah seorang penyerang yang disandarkan harapan tinggi oleh pengurus dan peminat untuk menjaringkan gol.

6. Samsuri dan Anizan sering berselisih faham dalam segala hal. Kedua-dua adik beradik ini pantang berjumpa, ada-ada sahaja yang tidak kena.

Hubungi cikgu melalui email, FB atau blog untuk mendapatkan jawapan. Selamat mencuba. Semoga berjaya dengan cemerlang.

Membina Ayat yang Gramatis.



Membina Ayat :

Dalam soalan 3a, calon SPM akan diminta membina ayat. Untuk itu, calon hendaklah membina ayat yang gramatis. Namun kadang kala calon terbawa-bawa ayat dalam bahasa kolokial dalam menyiapkan ayat masing-masing.

Perhatikan dua ayat di bawah:

1. Hashim memberitahu bahawa dia tak tahu susuk tubuh pencuri itu.

Ayat 1 di atas merupakan ayat dalam bahasa kolokial dan tentunya tidak gramatis sebagai ayat bahasa tulisan. Ayat 1 di atas hendaklah ditulis seperti 1a :

1a. Hashim memberitahu bahawa dia tidak mengetahui susuk tubuh pencuri itu.

Ayat 1 itu menggunakan bahasa tidak baku, iaitu pada ungkapan " tak tahu ". Oleh itu, ungkapan yang baku ialah " tidak mengetahui ".

Contoh lain pula seperti berikut:

2. Saya pergi membeli-belah.

Ayat 2 juga ayat dalam bahasa kolokial dan selalu dituturkan dalam bahasa lisan. Bagaimanapun, dalam bahasa tulisan, ayat 2 tidak boleh digunakan. Ayat 2 hendaklah dituliskan dalam bentuk bahasa tulisan seperti ayat 2a berikut:

2a. Ke Alamanda saya pergi membeli-belah pakaian.

Ayat 2a itu mempunyai unsur sendi nama dan objek. Unsur sendi nama di atas penting kerana ungkapan "saya pergi" merupakan ayat dalam bentuk pasif persona pertama. Unsur objek pula penting kerana ayat itu mempunyai kata kerja transitif, iaitu "membeli-belah". Berbanding ayat 2 ialah ayat yang tidak lengkap sebagai bahasa tulisan.

(Dipetik dari Blog Cikgu Mohd Azam)