Wednesday, August 14, 2013

Sampai Bila Jalan Raya Terus Menjadi Sungai Maut

Oleh : MOHD ALI MUHAMAD DON

SEORANG pelumba superbike warga Itali Andrea Antonelli terkorban selepas terjatuh daripada motosikalnya dan kemudian dilanggar pula oleh pelumba lain ketika menyertai pusingan pembukaan perlumbaan Kejohanan Supersport Dunia di Litar Moscow baru-baru ini. Dengan kelajuan kira-kira 250km sejam kesilapan yang sedikit pastinya membawa padah walaupun kebiasaannya mereka dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang canggih dan termoden masa kini.

Bayangkan pula bagaimana segelintir kenderaan penumpang dibawa pada kelajuan tinggi di atas jalan raya awam sambil berlumba sesama sendiri. Terdapat pula yang seolah-olah menjadi samseng jalan raya hingga merasakan bahawa mereka sahaja yang berhak menggunakan kemudahan tersebut dan mengetepikan hak pengguna yang lain.

Perbuatan yang seperti ini adalah salah dan jauh menyimpang daripada nilai-nilai yang murni. Golongan yang suka memandu laju dan berbahaya sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada kecelakaan. Malah yang lebih memilukan apabila disebabkan oleh kecuaian mereka pengguna jalan raya yang lain pula terpaksa menanggung sengsara.

Ada yang terlibat dengan kemalangan dan ada pula yang terpaksa menunggu berjam-jam lamanya di atas jalan raya hanya kerana sikap segelintir pemandu yang tidak berhemah dan mementingkan diri sendiri.

Di sudut yang lain terdapat pula segelintir pemandu yang memandu terlalu perlahan sehingga menimbulkan kemarahan dan cacian. Dalam hal ini syariat Islam yang suci menggalakkan umatnya untuk sentiasa bersederhana dalam apa jua keadaan. Malah berhemah dan bertimbang rasa ketika di jalan raya dilihat mampu mengurangkan statistik kemalangan terutama pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya banyak-banyak bersabar, tidak memandu melebihi had kelajuan ditetapkan dan cuba sedaya upaya untuk mengikut peraturan lalu lintas demi kebaikan bersama.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Berhati-hati merupakan perintah Allah manakala tergesa-gesa adalah amalan syaitan". Untuk itu umat Islam diseru mempraktikkan sunnah ini dalam segenap lapangan pekerjaan termasuklah ketika pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Suruhan ini sangat bertepatan dengan perintah Allah SWT yang melarang umatnya menjerumuskan diri kepada lembah kebinasaan yang merugikan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang yang berusaha supaya baik amalannya." (Surah al-Baqarah:195)

Malah jika diperhalusi aspek pemeliharaan nyawa menurut perspektif Islam terkandung dalam objektif utama penurunan syariah ke atas umat manusia sehingga segala sesuatu yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa hendaklah dipandang serius dan seboleh-bolehnya dielakkan.

Seyogia diingatkan agar setiap pemandu sentiasa bertimbang rasa dan bersabar semasa memandu. Perancangan rapi dan mengikut cadangan perjalanan yang dicadangkan oleh pihak PLUS untuk pulang ke kampung halaman masing-masing juga mampu mengelak sebarang musibah dan kemalangan yang tidak diingini.

Dalam hal ini umat Islam digalakkan banyak berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT agar sentiasa dipelihara sepanjang perjalanan dan dijauhi daripada sebarang musibah yang menimpa. Antara doa tersebut ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya" (Surah Hud:41) dan firman-Nya lagi yang bermaksud: "Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya." (Surah al-Zukhruf:13).

Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia, kira-kira 600,000 kenderaan menggunakan lebuh raya PLUS pada waktu kemuncak di hujung minggu pada hari-hari biasa. Ia kemudiannya bertambah menjadi sehingga tiga kali ganda kepada kira-kira 1.5 juta kenderaan pada waktu kemuncak ketika musim perayaan. Dengan peningkatan bilangan kenderaan yang begitu tinggi sikap berhati-hati sangat dituntut untuk direalisasikan oleh semua pengguna jalan raya.

Justeru,  sempena cuti umum menjelang Hari Raya Aidilfitri setiap pengguna jalan raya dinasihatkan tidak hanya memandu secara berhemah apabila mengetahui terdapat operasi had laju oleh PDRM ataupun ketika Ops Selamat yang berlangsung mulai 1 Ogos hingga 15 Ogos ini. Peraturan lalu lintas sedia ada hendaklah sentiasa dipatuhi demi menjaga keselamatan diri dan orang tersayang. Semoga dengan cara itu musibah dapat dielakkan dan semua dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.

Ajal maut sememangnya ketentuan Tuhan begitu pula musibah dan kemalangan ketika di jalan raya tidak dapat dijangka. Akan tetapi jika setiap pengguna jalan raya mengamalkan sikap berwaspada dan mematuhi had laju dan peraturan jalan raya ia secara umumnya dapat dielakkan.

Malah bagi kaum Muslimin inilah masanya untuk mula melestarikan nilai kesabaran yang diperoleh sepanjang Ramadan. Selama hampir setengah hari setiap individu Muslim sanggup bersabar menahan lapar dan dahaga, takkan berada hanya beberapa jam di jalan raya nilai kesabaran mula sirna lalu memandu secara berbahaya serta membabi buta.

Perlu juga diingat Ramadan yang masih berbaki memerlukan para Muslimin memecut laju mengejar keistimewaan Ramadan yang akan berakhir menjelang ketibaan 1 Syawal yang mulia. Semangat juang yang tinggi untuk mengharunginya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi juga sangat diperlukan pada masa ini. Ramai yang dikhuatiri tertewas kerana tidak sanggup menanggung ujian di penghujung Ramadan yang ternyata lebih sukar berbanding sebelumnya.

Umat Islam turut diseru mempersiapkan diri mencari malam lailatulqadar dengan segala kudrat yang ada kerana ia peluang seumur hidup yang kemungkinan tidak diberikan lagi pada tahun-tahun mendatang.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment