Wednesday, December 5, 2012

SPM 2012 - Hampir di Penghujungnya,




Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, pelajar-pelajar SPM 2012 akan menamatkan pertempuran mereka dalam peperangan peringkat menengah atas. Kebanyakan pelajar aliran Sains sudah menyimpan alatan persekolahan mereka. Mereka juga telah mula bersantai dan merancang percutian panjang. Ada dalam kalangan mereka sudah boleh mencongak keputusan yang bakal diperoleh berdasarkan jawapan yang telah dinukilkan dalam skrip jawapan masing-masing. Mungkin ada yang tersenyum, ada yang keluh kesah dan tidak kurang juga ada yang mula berhasrat untuk mengulang semula pada tahun hadapan. Biar apapun, kita harus tunggu dan terus menunggu keputusan yang bakal diumumkan dalam bulan Mac 2013. Itulah keputusan muktamad dan realiti yang harus kita terima.

Pada waktu yang sama, para pemeriksa skrip peperiksaan sedang bersengkang mata dan bertungkus lumus memperincikan dan membaca skrip jawapan pelajar. Sudah pasti para pemeriksa kertas pada waktu ini terpaksa mengorbankan cuti penggal persekolahan dan waktu berehat bersama seisi keluarga demi menjalankan tugas yang diamanahkan dan untuk memartabatkan sistem pendidikan negara. Sudah pasti, semua kerja ini akan dilakukan dengan penuh dedikasi, amanah, bertanggungjawab dan beretika. Kita mahu apa yang diluahkan oleh para pelajar di atas skrip jawapan dinilai dengan teliti dan ditimbang tara tanpa ada prasangka dan prejudis. Yang penting, yang cemerlang tetap akan cemerlang dan yang alpa dan lemah harus mengakui hakikat pencapaian diri masing-masing.

Pihak Lembaga Peperiksaan juga sudah semestinya sedang bersiap sedia untuk memproses data dan membuat analisis berdasarkan markah yang dikemukakan oleh pemeriksa kertas. Semua pertautan kerja yang dilakukan antara pemeriksa, Lembaga Peperiksaan dan pihak yang terbabit dengan urusan pemarkahan ini perlu dilakukan dengan teliti untuk meminimakan kesilapan. Kerja ini bukanlah kerja mudah yang boleh dilaksanakan secara sambil lewa atau ambil mudah kerana maruah Kementerian Pelajaran terpikul dibahu kita bersama-sama. 

Semoga usaha bersama-sama antara kita akan mampu mengangkat martabat profesion perguruan.   

No comments:

Post a Comment