Sunday, May 8, 2011

Masalah Remaja Yang Semakin Membimbangkan



MASALAH sosial di kalangan remaja serta pelajar sekolah yang melanda masyarakat di negara ini semakin membimbangkan apabila mereka bukan saja berani ponteng sekolah, membuli pelajar lain, peras ugut dan mencuri, malah turut melakukan jenayah lebih besar seperti merompak, penyalahgunaan dadah, merogol, mencederakan orang dan membunuh.

Biarpun statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan penurunan kes juvana yang diterima iaitu 3,484 kes pada 2010 berbanding 3,862 kes pada 2009, namun tindakan lebih berani remaja yang terbabit dalam kes jenayah sungguh membimbangkan.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jenayah seperti merompak, bergaduh, kongsi gelap atau keganasan hingga mendatangkan kecederaan atau kematian dulu lazimnya dikaitkan dengan kumpulan orang dewasa, tetapi kini turut terkenal dilakukan remaja sekolah.

“Kita melihat kebarangkalian remaja sekolah melakukan jenayah lebih berat ini sangat tinggi dan membimbangkan.

“Mereka sanggup mencederakan mangsa tanpa memikirkan kesan perbuatan itu yang mungkin boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Menurutnya, antara punca remaja pada masa kini berani melakukan keganasan dan jenayah berat ialah faktor keganasan yang ‘dipopularkan’ dalam industri hiburan, khususnya perfileman.

“Kita melihat dan menilai bahawa populariti keganasan yang ditonjolkan dalam filem atau drama antara faktor utama remaja melihatnya sebagai perkara hebat.

“Dalam kartun atau animasi juga sering memaparkan keganasan seperti pergaduhan dan apabila sejak kecil dipertontonkan dengan unsur ganas ini, pasti mereka terikut-ikut sebagai cara menyelesaikan masalah atau rasa tidak puas hati,” katanya.

Lee berkata, pihak berwajib termasuk kerajaan perlu lebih tegas dan peka dalam menangani masalah ini, selain perlu lebih konsisten dalam melakukan tapisan, terutama dalam tayangan filem mahupun drama.

“Bukan kita kata filem berkenaan tidak boleh, tetapi adegan di dalamnya perlu diberi perhatian dan ditapis.

“Bila drama atau filem ini memaparkan keganasan dilakukan oleh sesuatu watak khususnya seperti watak seorang hero, tidak mustahil remaja dan kanak-kanak melihatnya sebagai sesuatu yang hebat dan diagung-agungkan, sekali gus mencuba atau meniru watak berkenaan tanpa mengetahui kesan sebenar perbuatan mereka,” katanya.

Selain itu, menurut Lee, masalah dilakukan pelajar itu tidak dirujuk dengan mana-mana pihak, menyebabkan mereka (pelajar) berpendapat perbuatan mereka bukan isu atau masalah besar.

“Ini juga antara faktor mengapa remaja kini semakin berani. Apabila melakukan kesalahan, mereka hanya diberi amaran, dan jika membabitkan pergaduhan, ia dianggap kes terpencil dan disorokkan.

“Apabila ini berlaku dan tidak dirujuk kepada agensi berkaitan, kita khuatir pelajar ini akan menganggap perbuatan mereka sebagai kes ringan dan mengulanginya semula tanpa mengetahui ia boleh menimbulkan bahaya kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani masalah salah laku pelajar daripada ‘merebak’ menjadi jenayah lebih berat, satu program khusus yang memantau pelajar berkenaan perlu diwujudkan.

Katanya, program itu perlu berkisar kepada program pemulihan, bimbingan dan kaunseling yang mendidik mereka supaya tidak menjalar kepada salah laku lebih berat.

“Kebanyakan program yang ada masa kini lebih kepada program pemulihan apabila seseorang pelajar itu benar-benar melakukan kesalahan atau jenayah berat.

“Sedangkan salah laku mereka sepatutnya disekat apabila mereka memulakan kesalahan kecil. Bila ini dilakukan, kita percaya indeks jenayah juvana membabitkan kes lebih besar dan berat akan menurun,” katanya.

Menurut Lee, bagi menjamin kes juvana berkurangan, ibu bapa, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat perlu memainkan peranan.

“Pada masa kini, kita melihat sukar mendapat kerjasama semua pihak bagi menangani masalah ini. Kebanyakan hanya menyerahkan tanggungjawab berkenaan pada sesuatu pihak seperti pihak berkuasa, sedangkan kes dilakukan pesalah juvana berlaku di depan mata masyarakat.

“Oleh itu, kita berharap apabila terlihat perbuatan salah laku pelajar itu di depan mata, ambil tindakan dengan menegur mereka, dan jika khuatirkan keselamatan, ambil gambar salah laku mereka dan laporkan pada pihak berkuasa.

“Ini sedikit sebanyak mampu menimbulkan perasaan takut di kalangan remaja untuk melakukan jenayah,” katanya

No comments:

Post a Comment