Wednesday, May 18, 2011



Kongsi2.. jgn simpan sorang2 sbb dengar cakap setan
1)Ketika anda membawa Al-Quran, respon syaitan ialah biasa-biasa saja…tengok je..
2)Ketika anda membukanya, syaitan mulai curiga.
3)Ketika anda membacanya, dia resah dan gelisah.

4)Ketika anda memahaminya, dia mula terkejang-kejang
5)Ketika anda mengamalkan Al-Quran dlm kehidupan setiap hari. Dia stroke. …………
Teruskan membaca Al-Quran & mengamalkannya agar syaitan terus stroke .
Ketika anda ingin menyebarkan pesanan ini, syaitan pun mencegahnya. Syaitan kata “jgn SEBARKAN, kerana ia tidak penting langsung !”

Tuesday, May 17, 2011

Bimbingan Hati



LANCAR KAJI KERANA DIULANG

BINA AYAT

KATA DASAR= JAJAR membawa maksud banjar, deret atau baris

i.. sejajar = terletak sebaris, sederet,sebanjar,setaraf, selari
a. sebaris
Kedudukan kereta saya sejajar dengan kereta Cikgu Leha.

b. setaraf
Status negara kita sejajar dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang teknologi
maklumat.

c. selari/searah
Tiga garisan itu mesti sejajar di antara satu sama lain.

iii. menyejajarkan = membuat supaya sebaris, meyamakan kedudukan

a. membuat supaya sebaris,
Pengawas-pengawas sedang menyejajarkan barisan pelajar di sepanjang jalan masuk ke
sekolah.

b.menyamakan kedudukan/menyetarafkan
Kementerian Pelajaran Malaysia berusaha gigih menyejajarkan sekolah-sekolah di negara
ini dengan negara-negara maju nyang lain.

iv. kesejajaran = perihal sejajar
a. Seorang pelajar dianggap berjaya apabila ada kesejajaran antara pencapaian akademik
dengan penghayatan agama yang mantap.

v. penyejajaran= persamaan taraf, perselarian
a. persamaan taraf
Penyejajaran dalam masyarakat di negara ini sering dibincangkan oleh para cendekiawan.

b. perselarian/persamaan arah dan jarak di antaranya
Penyejajaran rumah-rumah di bandar itu telah dirancang dengan baik oleh arkitek
lulusan Universiti Teknologi Malaysia.

vi. menjajarkan= mengatur supaya berjajar, berderet, berbaris, menjadi selaras/menyamakan
kedudukan
a. Guru disiplin sedang menjajarkan pelajar-pelajar di kantin sekolah.

vii. jajaran= deretan, barisan, banjaran

a. Jajaran rak-rak buku di perpustakaan disusun oleh perpustakawan sekolah.
b. Semenanjung Malaysia ditulangi oleh jajaran banjaran yang membanjar dari utara ke
selatan .

viii. penjajaran= perihal menjajar
a. Kerja-kerja penjajaran tiang-tiang pengukur dilakukan oleh pasukan arkeologi dari
muzium nageri


PERIBAHASA
A. LATIHAN MEMBINA AYAT DENGAN PERIBAHASA


Ayat atau kelompok kata yang mengandungi susunan tetap dan pengertian tertentu


Bina ayat menggunakan peribahasa.


1. selembap-lembap puntung di dapur di tiup menyala juga
- sesuatu pekerjaan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh lambat-laun berhasil juga.

Contoh ayat:
Ali tetap dapat menyiapkan sebuah kertas projek tentang pencemaran di negara ini kerana komitmen dan kesungguhannya menjalankan penyelidikan tersebut umpama peribahasa selembap-lembap puntung di dapur ditiup menyala juga


2. kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek
- lebih mementingkan kerja orang lain daripada kerja sendiri

Contoh ayat:
“Lebih baik kamu siapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru daripada asyik menolong kawan kamu itu menyiapkan kerja rumahnya ,jangan sampai kerja raja dijunjung kerja sendiri dikelek,” leter ibu kepada Krishnan.


3. dijunjung merekah kepala,dipikul meruntuh bahu
- hukuman, peraturan,perintah yang sangat berat dan keras.

Contoh ayat:
Hukuman lucut jawatan ketua kelas yang dikenakan ke atas Halim kerana merosakkan komputer sekolah dirasanya bagai dijunjung merekah kepala, dipikul meruntuh bahu kerana melibatkan maruah dirinya.


B. LATIHAN MEMBINA AYAT MENGGUNAKAN RANGKAI KATA.

Cari makna rankai kata terlebih dahulu

1. kecut hati: takut, gerun, gentar

Contoh ayat:
Kecut hati Lam Ting apabila melihat kemunculan guru displin di hadapan kelas.


2. hati kadau: hati yang jahat dan busuk dalam diri seseorang/ hati iri/hati tamak/hati dengki/hati busuk/hati sakit

Contoh ayat:
Jangan ada sedikitpun hati kadau dalam diri kita jika mahu perpaduan kekal dalam masyarakat negara kita.


3. dapat terpijak: memperoleh sesuatu dengan mudah atau dengan tidak perlu berusaha

Contoh ayat:
Keadaan hidup Melati yang dapat memenuhi semua kehendak hati setelah berkahwin dengan Amir yang kaya raya itu boleh diumpamakan seperti peribahasa dapat terpijak.


4. laut lepas: laut yang terbentang luas

Contoh ayat:
Fuad merenung laut lepas di hadapannya dengan perasaan sayu.


B. LATIHAN MEMBINA AYAT MENGGUNAKAN PERIBAHASA

1.Bina satu ayat dengan peribahasa di bawah yang menunjukkan anda faham akan makna peribahasa tersebut


1.Adu tenaga-
mempertandingkan kekuatan
Contoh Ayat: "Adu tenaga kamu di gelanggang jika mahu menguji kehandalan!" Tok Wali
memberi amaran keras kepada ahli-ahli silat itu.

2.Adu nasib -
mencuba untung
Contoh ayat: Demi masa depan yang gemilang, akan saya adu nasib dalam bidang perniagaan herba.


3.Alah sabung menang sorak-
biarpun kalah namun masih cakap besar
Contoh ayat: Sikap pasukan ragbi itu tidak disenangi oleh jurulatihnya kerana masih lagi bercakap besar walupun sudah tewas umpama peribahasa alah sabung menang
sorak.

4.Ayam beroga itu jika di pinggan emas sekalipun diberi makan,ke hutan juga perginya
Orang dagang, bagaimana senang di negeri orang, ingat juga akan negerinya sendiri.
Contoh ayat: Abu Bakar seorang ahli perniagaan yang berjaya di Brunei tetapi dia umpama ayam beroga itu jika di pinggan emas sekalipun diberi makan ke hutan juga
perginya kerana dia tetap rindu akan kampung halamannya di Kota Bahru.

( AYAM BEROGA= AYAM HUTAN )

5.Ayam bertelur di atas padi mati kelaparan
Orang yang menderita kesusahan di tempat yang mewah.
Contoh ayat: Walaupun negara ini kaya dengan pelbagai hasil bumi, namun kita akan menjadi seperti ayam bertelur di atas padi mati kelaparan jika kita malas berusaha dan tidak mahu belajar bersungguh-sungguh, kita pasti akan hidup susah.

Gurindam Buat Semua Guru



KEPADA RAKAN-RAKAN YANG BERGELAR GURU...INI GURINDAM UNTUK RENUNGAN :


Kalau tak ada padi, semua kerja tak menjadi, bagaimana nak berbakti?
Kalau tak ada beras, kerja takkan deras, bagaimana nak dibalas?
Kalau tak berusaha, kerja tak berjaya, orang takkan percaya;
Kalau tak amanah, kerja jadi tak tentu arah, hati akan sentiasa resah;
Kalau tak muafakat, kerja tidakkan lekat, bagaimana nak berkat?
Kalau tak ada wang, kerja tak berulang, bagaimana nak dapat peluang?
Kalau kerja tiada budaya, kerja seperti batuk ditangga, anak murid pasti merana?
Kalau imbuhan ditagih janji, kerja kadang-kala tidak menjadi, anak murid menjadi benci?
Guru mesti pegang hakikat, jangan angguk pada yang tak tepat, nanti hidup tidak berkat
Guru mengajar cerita benar, jangan iakan cerita onar, mesti berani berkata benar



Justeru, kerjalah dengan ikhlas, rajin-rajinlah jangan malas;
Insya-Allah jasa bakti akan dibalas....SELAMAT HARI GURU!!!

Sunday, May 15, 2011

Fahami dan Hayati Tanggungjawab Sebagai Guru



Kejayaan sistem pendidikan bergantung kepada kesediaan pendidik berdepan cabaran

KECEMERLANGAN hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari daripada pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan dan guru. Sumbangan itu sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan guru membimbing ke arah kecemerlangan
Statistik menunjukkan bilangan guru ialah seramai 380,000 manakala bilangan anak kita yang berada di alam persekolahan ialah 5.4 juta orang. Lihat betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik anak kita ini.

Tanggal 16 Mei dipilih sebagai hari bersejarah untuk kita semua memperingati dan menghargai sumbangan guru terutama dalam mendidik dan menjana tranformasi pendidikan bagi membina negara bangsa.

Sesungguhnya seorang guru adalah insan mulia kerana mereka diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.”

Sejarah ketamadunan Islam mencatatkan guru atau ulama adalah golongan amat dihormati oleh masyarakat dan pemerintah. Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika seorang khalifah sanggup berjalan ke rumah seorang ulama, semata-mata untuk menuntut ilmu.
Diriwayatkan, Imam Malik bin Anas pernah menolak tawaran untuk mengajar di istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan, ilmu itu didatangi bukan mendatangi.

Kisah Imam Malik juga adalah contoh murid yang menghormati guru. Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih suka merujuk kepada gurunya terlebih dulu.

Beliau pernah berkata, “Aku tidak mahu menjawab permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dulu kepada orang lebih alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan kebenaran.”

Lihatlah sikap merendah diri dan rasa hormat seorang imam dan ulama terbilang seperti Imam Malik.

Begitu juga yang berlaku kepada Imam Shafie yang amat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata, “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama negeri Hijaz ini.”
Saidina Ali juga pernah berkata, “Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepadaku.”

Dalam menjana tranformasi pendidikan, tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga berperanan sebagai murabbi untuk membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan akhirat.

Mereka berada di saf hadapan untuk membangun bangsa cemerlang yang akan menentukan sebuah negara maju, aman dan dihormati. Maka, dalam merialisasikan harapan tinggi itu, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian serta maklumat supaya selari kehendak diperlukan bagi mencapai aspirasi negara.

Walau bagaimanapun kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya.

Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu ke arah kecemerlangan pendidikan. Bagi mencapai hasrat itu, tuntutan kepada ilmu pengetahuan berbentuk fardu ain dan fardu kifayah diperlukan demi memenuhi tuntutan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Amalan memisahkan pendidikan fardu ain dan fardu kifayah akan melahirkan masyarakat yang tempang sekali gus menggagalkan usaha membentuk modal insan yang gemilang.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluknya dengan dalil dan bukti) bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat serta orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali-Imran, ayat 18)

Anak bangsa yang berkualiti harus bermula daripada orang yang mendidik mereka. Keupayaan ini mestilah didokong bersama guru dan masyarakat terutama ibu bapa. Jika tidak, nescaya harapan negara ke arah melahirkan generasi modal insan kelas pertama berjiwa ‘Ulul Albab’ akan sia-sia.

Mimbar percaya hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru penting supaya usaha mengasuh dan mendidik anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Ibu bapa dan masyarakat perlu menjalin hubungan erat dan berterusan dengan pihak sekolah supaya permasalahan diselesaikan secara muhibah. – Khutbah JAKIM

Thursday, May 12, 2011

Muhasabah Diri ; Renungan Seketika


PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Wednesday, May 11, 2011

Selamat Hari Guru Buat Semua Warga Pendidik



Salam, beberapa hari lagi untuk sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 16 Mei 2011 ini, kali ini Negeri Sarawak akan menjadi tuan rumah, cikgu-cikgu mesti tak sabar nak tuggu hari tersebut kan, yang pastinya sambutan hari guru adalah hari yang paling dinanti dan disukai oleh Guru mahupun pelajar. Tahun ini Tema hari guru 2011 adalah “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”. Psstt!! Mesti laku Kad Ucapan Hari Guru nie, hehehe

So agaknya apa hadiah hari guru yang bakal menjadi sambutan yea?, zaman sekolah-sekolah dulu memang Kad Ucapan Hari Guru tak pernah tinggal, siap buat sendiri lagi tu, bangga sangat dapat buatkan Cikgu Kad Hari Guru, dan semestinya akan memberikan bunga ros merah, yang di beli pada hari sambutan hari guru tersebut.

hiks, dah 33 tahun meninggalkan zaman persekolahan tapi kenangan tu tetap indah, mengingatkan barisan guru-guru yang banyak berjasa, guru disiplin yang garang bak singa tapi baik hati, gelagat rakan-rakan semasa disekolah..arggghh!! ku rindu masa-masa dahulu.

Pengorbanan seorang guru amat besar nilainya, teruskan mendidik anak bangsa, jangan pernah jemu, kuatkan hati dan tabahkan hati dalam mendidik anak di arus moden ini, sudah tentu pelbagai ragam warna warni yang lebih mencabar dihadapi, moga guru-guru semua terus sukses membimbing anak bangsa.

Moga Tema Hari Guru tahun 2011 ini dapat dicapai selaras dengan perkembangan transformasi semasa iaitu ”Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”

Lagu Hari Guru

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

Melihatkan dan menghayati bait lirik lagu diatas, pastinya ramai guru dan bekas guru-guru akan menitiskan air mata.

**Selamat menyambut hari guru juga buat rakan-rakan blogger yang bergelar guru**

Suka duka zaman persekolahan sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata...banyak sangat kenangan yang berlegar dalam kotak minda...Alhmadulillah, yang pasti akhirnya aku jua bergelar guru...

Latihan Kendiri 2 : Karangan Umum dan Novel



Soalan 1: Soalan karangan bahagian B (lebih daripada 350 patah perkataan)

Alam sekitar yang bersih dapat menjamin kesihatan kita. Bincangkan peranan anda.


Soalan 2: Soalan Kajian Novel

Berdasarkan novel Papa..akhirnya kau tewas jua! (tingkatan empat) dan Novel Interlok (tingkatan lima)

a. Jelaskan lima peristiwa yang menunjukkan nilai kasih sayang watak utama dalam kedua-dua novel di atas (8 markah)

b. Pengarang telah memaparkan semangat ketabahan dan kegigihan dalam diri watak utama kedua-dua novel ini. Jelaskan lima peristiwa yang menunjukkan watak utama tabah dan gigih menghadapi rintangan dalam setiap novel yang anda kaji (7 markah)


Soalan Karangan Umum :

Pilih SATU daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya LEBIH DARIPADA 350 PATAH PERKATAAN.

1. Anda telah dilantik sebagai pngawas sekolah. Sebagai pengawas, bincagkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yng berdisiplin.

2. "Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu." Situasi seperti yang di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebua masyarakat. Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dlaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.

3. Negaraku,
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhn kurniakan
Raja kita selamat bertakhta.
Lirik lagu Negarku di atas antaranya menyentuh soal perpaduan, ksyukuran dan taat setia rakyat kepada taja dan negara.
Huraikan peranan setiap rakyat Malaysia dalamd enjamin kesejahteraan negara sebagaimana yang dihasratkan dalam lirik tersebut.

4. Penyakit berjangkit seperti selesema burung, influenza A (H1N1) dan meningitis atau radang otak telah menjadi isu global.
Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara-negara di dunia untuk menangani wabak penyakit tersebut.

5. Peribahasa "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan" membawa maksud bahawa jika ada azam dan usaha, pasti ada kejayaan.
Tulis sbuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa tersebut.