Tuesday, August 12, 2014

Kepentingan Riadah Dalam Kehidupan Masyarakat

KEPENTINGAN AKTIVITI BERIADAH DAN REKREASI

                                          Harum sudah cempaka hiasan,
                                          Berpuput semilir laungan jiwa,
                                          Aktiviti riadah pencetus wawasan,
                                          Pastinya lahir nusa wibawa

            Pantun di atas jelas mengetengahkan kepada kita betapa pentingnya aktiviti riadah. Mengapakah aktiviti riadah kembali diperhangatkan dan menjadi polemik perbualan masyarakat? Marcapada ini,seiring dengan era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, masyarakat kita sering berlumba-lumba mengejar unsur kemewahan. Tanggapan kekayaan merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah yang menjadi salah satu amalan dalam mempraktikkan gaya hidup sihat. Sesungguhnya, aktivit rekreasi dan riadah yang boleh didefinsikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran merupakan elemen yang penting dalam menjayakan segala aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi bubur.

Pertama, aktiviti riadah dan rekreasi boleh menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini demikian kerana apabila kita beriadah,kadar lemak yang terkumpul di dalam badan manusia boleh dikurangkan. Contohnya, kita boleh berjoging pada waktu lapang,terlibat dalam aktiviti senamrobik atau berkayak dan sebagainya. Tambahan lagi, jantung dapat mengepam darah dengan lancar. Secara tidak langsung, pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi dapat dihindarkan secara total .Dalam konteks ini, berekreasi dan beriadah  adalah penting supaya badan kita sihat dan otak kita cerdas bak kata peribahasa Melayu, badan cergas otak cerdas.Oleh itu,kita perlu menjadikan aktiviti riadah dan rekreasi sebagai agenda harian agar kesihatan badan yang hakiki dapat dinikmati kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

            Menyingkap daripada sudut perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan pada setiap minggu mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan dalam diri seseorang.Bayangkan jika individu terbabit perlu bekerja selama 60 jam dalam 5 hari,bukankah mereka akan mula mengalami tertekan? Kepenatan,keletihan dan beban kerja yang memberatkan akan menyebabkan mereka menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti mudah marah,letih,lesu dan tidak bersemangat. Hal ini demikian akan menyebabkan prestasi mereka sama ada di tempat kerja mahupun sekolah mengalami kemerosotan dan mengundang pelbagai impak negatif seperti mendapat teguran daripada pihak atasan,dilucutkan jawatan dan sebagainya. Dengan aktivitinya riadah,hal ini akan membolehkan kita melakukan aktiviti yang kita gemar. Hal ini menjadi cara yang efektif untuk menghiburkan kita. Kita dapat melupakan beban yang ditanggung dan menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, wajarlah aktiviti riadah dipraktikkan dalam kehidupan kita untuk mengurangkan tekanan yang dialami.

            Sementelahan pula, melakukan aktiviti riadah turut memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan hubungan antara keluarga mahupun taulan. Hal ini dapat menjadi medium ke arah pembentukan keluarga sakinah.Misalnya, pada hujung minggu, seisi keluarga boleh turun padang untuk melakukan aktiviti riadah bersama-sama sama ada di taman atau padang. Bukan itu sahaja, ahli keluarga boleh berkongsi pandangan ,pendapat dan masalah sepanjang masa mereka bersama-sama. Dengan itu,setiap ahli keluarga boleh memahami antara satu sama lain seterusnya merapatkan jurang antara mereka. Keseronokan melaukan aktiviti riadah juga akan lebih dinikmati dengan adanya orang yang disayangi di sisi kita. Dalam hal ini kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, hubungan kekeluargaan yang erat dapat dilahirkan dengan melakukan aktiviti riadah.

Selain itu,aktiviti beriadah juga dapat membentuk integrasi kaum. Marcapada ini,kita acap kali melihat pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum khususnya aktiviti yang berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara. Contohnya aktiviti berkayak,mendaki gunung dan meluncur. Kondusi ini akan memanifestasikan elemen kesepakatan dalam kumpulan masing-masing.  Sesungguhnya, muafakat merupakan inti kepada perpaduan.Setiap ahli akan bersatu ibarat kata peribahasa Melayu, serumpun bagai serai,selubang bagai tebu. Hal ini dapat menjadi medium yang efektif bagi menyatukan kaum sekali gus membina semangat perpaduan. Oleh hal yang demikian,aktiviti riadah yang melibatkan unsur kerjasama ibarat aur dan tebing dapat menjadi wahana ke arah pembentukan integrasi kaum.

            Dalam fasa itu, kebaikan aktiviti beriadah yang dapat dinikmati ialah mengelakkan remaja daripada terlibat dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana masa lapang remaja dapat diisi dengan aktiviti yang menghiburkan dan menyeronokkan kerana masa itu emas. Masa senggang seorang remaja agak banyak kerana tidak perlu menanggung tanggungjawab seperti orang dewasa.  Seandainya  masa lapang itu tidak dipenuhi secara bijaksana,remaja akan terjerumus untuk mendorong diri melakukan aktiviti yang kurang berfaedah seperti melepak,bermain komputer tanpa batasan dan berbual-bual kosong ibarat menghitung bulu kambing. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti riadah,mereka tidak akan melakukan aktiviti yang kurang berfaedah kerana telah merasai keseronokan aktiviti riadah, bak kata peribahasa Melayu sambil menyelam minum air. Oleh itu, remaja dapat menghindarkan daripada terlibat dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti riadah.

            Secara tuntas,kita perlu mencapai kesedaran yang tinggi dalam usaha mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi. Semua pihak perlu berganding bahu ibarat aur dengan tebing bagi menanamkan kesedaran dalam diri masyarakat mengenai kepentingan aktiviti riadah dan rekreasi dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi masa hadapan yang sihat seterusnya menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.
 
http://noraini-ismail.blogspot.com/2011/07/contoh-karangan-cemerlang-spm_06.html
 
Disediakan oleh:
Khairunnisak bt Hassni,Ida Nur Izzaty bt IKhwan Goh,Siti Hawa bt Mahfar dan Nur Baiti Bt Mohd.Aini (5 Sc 1)

Thursday, August 7, 2014

Latihan Rumusan

Soalan 1 : Rumusan

(30 markah)

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang khasiat kunyit dalam bidang perubatan dan masakan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

             Kunyit merupakan sejenis tumbuhan tradisi yang berasal daripada keluarga Zingiberaceace. Tumbuhan ini mempunyai pelbagai nama. Di negara China, kunyit dikenali sebagai Jiang Huang dan Yu Jin. Bagi masyarakat Arab, kunyit sinonim dengan panggilan Kurkum. Masyarakat Indonesia pula memanggil kunyit sebagai Indian Saffraon, Curcuma dan Kunir. Mengikut catatan, kunyit banyak terdapat di kawasan – kawasan tropika dan negara asal yang dikenal pasti bagi tumbuhan ini ialah India. Hal ini memang ada kebenarannya kerana kalau kita perhatikan, masyarakat India kebanyakannya menggunakan tumbuhan tersebut terutama sekali  sebagai ramuan dalam masakan.

            Sebagai sejenis tumbuhan herba, kunyit sememangnya banyak mempunyai khasiat. Selain menjadi rempah ratus dan penyedap dalam masakan, kunyit turut digunakan  dalam perubatan tradisional. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu, ibu kunyit dapat membantu wanita yang baru bersalin untuk membersihkan dan mengecutkan rahim. Mereka juga menggunakan kunyit bersama – sama lada hitam untuk memanaskan badan. Perubatan tradisional turut menggunakan kunyit untuk mengubati penyakit seperti darah tinggi, demam kuning, cirit – birit, batuk, lelah dan sebagainya. Caranya adalah dengan menumbuk kunyit sehingga lumat dan kemudiannya  ditapis untuk diminum.

               Kunyit juga dipercayai dapat mengubati penyakit seperti sakit perut, asma, selain dapat mengurangkan rasa gatal pada mata. Bagi bayi yang menghidap penyakit kulit susu, kunyit yang dicampur dengan kapur dipercayai dapat mengatasinya dengan cara menyapukannya pada bahagian yang berkurap. Kunyit bersifat analgesik dipercayai dapat menyembuhkan luka serta dapat mengurangkan kesakitan. Hal ini dapat dilakukan dengan cara menumbuk kunyit hingga lumat dan seterusnya ditampal pada bahagian yang luka. Kecergasan ibu – ibu selepas bersalin dapat dipulihkan dengan cara mengisar kunyit dan pegaga kemudian airnya diminum. Bukan itu sahaja, malah cara ini dapat menghilangkan keputihan dalam kalangan kaum wanita.

                Di negara China, kunyit telah digunakan sejak beratus – ratus tahun dahulu sebagai bahan perubatan. Menurut pengamal perubatan tradisional negara China, kunyit dapat melancarkan peredaran darah manusia dengan cara menjadikan kunyit sebagai bahan minuman. Bagi seseorang yang mengalami  rasa lebam dan darah beku, ianya akan dapat dihilangkan dengan cara menyapu kunyit yang telah ditumbuk pada bahagian yang tertentu. Di Thailand, penduduknya menggunakan kunyit untuk menghilangkan kesan bisa akibat dipatuk oleh ular tedung. Perubatan tradisional India turut menggunakan kunyit sebagai salah satu bahan herba yang amat mujarab  sebagai pencuci di samping dapat mengubati penyakit kulit atau gatal – gatal. Sebenarnya masih banyak lagi khasiat yang terdapat dalam kunyit. Kita berharap agar para penyelidik akan terus melakukan penyelidikan terhadap tumbuhan tersebut dan seterusnya kunyit dijadikan ubat penyakit kronik yang mujarab.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Kunyit Kaya dengan

Pelbagai Khasiat Boleh diperoleh, Melaka Hari Ini, 20 Julai 2011)

 

 

Sembang Santai



 



Salam hormat buat semua,

Didoakan kepada semua yang sudi mengunjungi blog ini agar sentiasa dalam sejahtera dan beroleh kebahagian hidup. Kebahagian hidup yang sebenar hanya mampu dikecapi apabila kita diberikan kesihatan yang baik.

Alhamdulillah, selepas mencuba beberapa kali, blog saya mampu berfungsi pada petang ini. Sebenarnya saya berhasrat untuk mematikan blog ini pada petang ini kerana terdapat masalah teknikal yang menyebabkan saya tidak dapat menulis atau memuat naik bahan. Sebenarnya saya terharu pada hari ini, kerana beberapa orang pelajar saya membuat komen tentang blog saya yang tidak dikemaskini. Oleh sebab itu, saya berazam untuk membina blog baharu seandainya blog sedia ada ini masih lagi menimbulkan persoalan. Keajaiban tercipta dan saya rasa sangat teruja apabila saya mampu menulis dan memaparkan bahan santai ini.

Ramadhan telah berlalu, semoga kesan Ramadhan mampu menyaluti diri kita agar terus istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab terhadap Allah dan juga melaksanakan tanggungjawab sebagai warga Negara. Tanamkan niat suci untuk bekerja membina agama, bangsa dan Negara bagi mendapatkan keredhaan Allah. Semoga segala usaha kita mendapat ganjaran dan diterima sebagai ibadah untuk bekalan hari hari mendatang.

Syawal masih sempat kita lalui. Biarpun bebanan tugasan tidak pernah habis dalam kehidupan kita, namun Syawal tetap kita raikan dengan penuh rasa kesyukuran. Semoga kita mampu menyelesaikan tugasan dengan menentukan keutamaan yang perlu kita laksanakan. Amalan bermaafan di bulan ini sewajarnya kita manfaatkan agar tiada kekhilafan yang terus bersarang dalam diri kita.

Buat anak-anak didik, Syawal yang menjelma menandakan waktu yang kian suntuk. Dalam beberapa minggu anda akan berhadapan dengan peperiksaan percubaan SPM dan PT3. Kita semua menginginkan pencapaian yang cemerlang namun pernahkah kita terfikir...apa yang kita lakukan untuk cemerlang? Adakah usaha kita setanding dengan orang yang pernah cemerlang? Adakah budaya hidup kita sama seperti mereka yang cemerlang? Adakah jadual pembelajaran kita sama seperti mereka yang cemerlang? Jika jawapannya tidak, itu bererti kita masih bermimpi di siang hari...kita masih berangan-angan..kita belum mampu untuk berjaya.

Marilah kita berubah. Kejayaan kita atas usaha kita. Persekitaran kita hanya mampu membantu dan usaha gigih seharusnya kita yang laksanakan. Jangan hanya kerana sedikit kealpaan dan kecuaian kita, seluruh masa depan kita akan tergantung dan tidak menentu. Belajarlah secara sistematik, agar kejayaan mampu kita julang.

Puteriku



 Comelnya dia...anakanda saya Nurul Batrisyia bt Saharuddin. Kini menjangkau usia 4 tahun



Latihan Novel Papa..


Lengkapkan tempat-tempat kosong di bawah.


Novel ini mengisahkan ______________ (1) yang hidup bahagia dengan bapanya, ___________(2) dan mamanya, _______________ (3) serta pembantu rumahnya, ___________ (4) di ____________ (5). Intan Julia yang berumur ___________ (6) bersekolah di ____________ (7). Di sekolah ini juga ibunya Intan Maliana menjadi guru ____________ (8). Bapanya juga pernah menjadi guru ____________ (9) di sekolah yang sama. Kemudian bapanya menjadi pensyarah ekonomi di ____________ (10). Intan Maliana mengandung lagi bagi memenuhi kehendak suaminya. ____________ (11) dan Mak Cik Noraini melarang Intan Maliana mengandung kerana 17 tahun lalu dia pernah pengsan ketika melahirkan Intan Julia. Doktor terpaksa memerah susu kerana bayi itu enggan minum susu tepung. Intan Julia dilahirkan tidak cukup bulan, hanya ____________ (12) sahaja. Mak Cik Noraini ialah ____________ (13) Jefri. Dia kematian suami dan anak-anak 17 tahun lalu akibat kereta berlanggar dengan lori tangki semasa dalam perjalanan dari __________ (14) ke__________ (15). Mereka hendak pulang berhari raya. Mak Cik Noraini tidak setuju dengan tindakan Jeffri membeli dua buah katil bayi sebagai persiapan menyambut bayi anak kembar. Intan Maliana telah melahirkan anak kembar Siam bernama ____________(16) dan ____________(17) di _______________________________________ (18) di Cheras, Selangor. Anak kembar ini mati di dalam perut dan Intan Maliana koma selama ___________ (19). Jeffri membawa pulang isterinya dan dirawat di rumah sahaja. Selepas SPM, Intan Julia belajar di Kolej Matrikulasi, ___________________________ (20), Gombak, Selangor. Dia tinggal di asrama dan papa keseorangan di rumah. Dia sesekali pulang ke rumah dan menjaga ibunya yang koma. Dia telah berkenalan dengan pelajar baharu bernama __________ (21) semasa di bangku sekolah lagi. Mereka selalu bersama ke perpustakaan, minum di Restoran Starbuck Coffee di Mid Valley dan restoran makanan segera . Dia terserempak dua kali dengan bapa dan ___________ (22) minum bersama. Aisyah merupakah gadis cantik, anak hartawan dan tinggal di Kelana Jaya. Dia merupakan pelajar Jeffri. Di selalu bermain _________ (23) dengan Jeffri dan Intan Julia di Kelab sukan Kelana Jaya. Secara berseloroh Intan Julia menyuruh bapanya berkahwin dengan Aisyah. Rasylan menasihati Intan Julia agar tidak membantah bapanya berkahwin dengan Aisyah. Jeffri pernah menampar Intan Julia kerana isu itu. Rasylan ialah ____________ (24) antara pensyarah UIA, ___________ (25) dengan pembantu rumahnya warga ___________ (26). Pembantu rumah itu balik ke ___________ (27) dan meletakkan bayi itu di tepi jalan kerana malu tidak berbapa. Muaz al Khalibi telah pulang ke Jordan. Jabatan Kebajikan Masyarakat menyerahkan bayi itu kepada _______________ (28) yang tinggal di Taman Sri Andalas , Kelang. Jefri melarang Intan Julia rapat dengan Rasylan kerana tidak ketahuan keturunannya. Rasylan menjadi ________________ (29) Datuk Mustakim. Dia tidak mendapat kasih sayang dan ditinggalkan di rumah sahaja. Rasylan ditinggalkan di rumah ketika keluarga Datuk Mustakim pulang ke kampung di Kuala Kangsar. Jeffri 'bermusuh' dengan Datuk Mustakim kerana ibu bapanya mati dilanggar oleh Datuk Mustakim. Atas rasa bersalah, Datuk mustakim memberi bantu kewangan kepada keluarga Jeffri. Jefri melarang Aisyah masuk ke bilik isteri pertamanya Intan Maliana kerana ___________ (30). Setelah 3 tahun koma dan terbaring di rumah, Mama boleh membuka mata. Mama terkejut apabila melihat Aisyah yang sedang mengandung di sebelah suaminya. Papa memperkenalkan Mak Cik Aisyah dan menjelaskan sebab-sebab dia berkahwin lagi. Namun begitu, mama kelihatan tidak dapat menerima kenyataan itu. Mama tiba-tiba nazak dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sejak kelahiran Julia, papa tidak pernah menangis, namun kali ini papa akhirnya tewas jua

 

 

Blog Mengalami Masalah Teknikal

Blog saya mengalami masalah sejak April..tak boleh nak update bahan. Mohon maaf

Thursday, April 24, 2014

Kepentingan Semanagat Kejiranan

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN
             Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
            Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
            Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
            Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.
            Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka  melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.
            Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.
            Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.
(Dikongsi dari Blog Bahasa Melayu SPM)