Thursday, August 7, 2014

Sembang Santai



 



Salam hormat buat semua,

Didoakan kepada semua yang sudi mengunjungi blog ini agar sentiasa dalam sejahtera dan beroleh kebahagian hidup. Kebahagian hidup yang sebenar hanya mampu dikecapi apabila kita diberikan kesihatan yang baik.

Alhamdulillah, selepas mencuba beberapa kali, blog saya mampu berfungsi pada petang ini. Sebenarnya saya berhasrat untuk mematikan blog ini pada petang ini kerana terdapat masalah teknikal yang menyebabkan saya tidak dapat menulis atau memuat naik bahan. Sebenarnya saya terharu pada hari ini, kerana beberapa orang pelajar saya membuat komen tentang blog saya yang tidak dikemaskini. Oleh sebab itu, saya berazam untuk membina blog baharu seandainya blog sedia ada ini masih lagi menimbulkan persoalan. Keajaiban tercipta dan saya rasa sangat teruja apabila saya mampu menulis dan memaparkan bahan santai ini.

Ramadhan telah berlalu, semoga kesan Ramadhan mampu menyaluti diri kita agar terus istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab terhadap Allah dan juga melaksanakan tanggungjawab sebagai warga Negara. Tanamkan niat suci untuk bekerja membina agama, bangsa dan Negara bagi mendapatkan keredhaan Allah. Semoga segala usaha kita mendapat ganjaran dan diterima sebagai ibadah untuk bekalan hari hari mendatang.

Syawal masih sempat kita lalui. Biarpun bebanan tugasan tidak pernah habis dalam kehidupan kita, namun Syawal tetap kita raikan dengan penuh rasa kesyukuran. Semoga kita mampu menyelesaikan tugasan dengan menentukan keutamaan yang perlu kita laksanakan. Amalan bermaafan di bulan ini sewajarnya kita manfaatkan agar tiada kekhilafan yang terus bersarang dalam diri kita.

Buat anak-anak didik, Syawal yang menjelma menandakan waktu yang kian suntuk. Dalam beberapa minggu anda akan berhadapan dengan peperiksaan percubaan SPM dan PT3. Kita semua menginginkan pencapaian yang cemerlang namun pernahkah kita terfikir...apa yang kita lakukan untuk cemerlang? Adakah usaha kita setanding dengan orang yang pernah cemerlang? Adakah budaya hidup kita sama seperti mereka yang cemerlang? Adakah jadual pembelajaran kita sama seperti mereka yang cemerlang? Jika jawapannya tidak, itu bererti kita masih bermimpi di siang hari...kita masih berangan-angan..kita belum mampu untuk berjaya.

Marilah kita berubah. Kejayaan kita atas usaha kita. Persekitaran kita hanya mampu membantu dan usaha gigih seharusnya kita yang laksanakan. Jangan hanya kerana sedikit kealpaan dan kecuaian kita, seluruh masa depan kita akan tergantung dan tidak menentu. Belajarlah secara sistematik, agar kejayaan mampu kita julang.

No comments:

Post a Comment