Friday, December 16, 2011

Memartabatkan Bahasa Melayu



MBMMBI GAGASAN JAMIN KETAHANAN BAHASA MELAYU JADI SEMAKIN KUAT

DASAR Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), boleh dianggap sebagai gagasan yang mampu menjamin ketahanan bahasa Melayu, agar terus kekal selain menjadi semakin kuat.

Bermula pada 2012, selain memastikan generasi muda kita cekap berbahasa Inggeris dalam zaman modenisasi dan globalisasi ini, menerusi pendekatan yang lebih berwaspada mengenai imperialisme bahasa Inggeris, ia boleh menentukan generasi muda kita mempunyai perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Pemupukan perasaan begini penting memandangkan zaman ini yang dikuasai oleh bahasa Inggeris sebagai bahasa paling berpengaruh, boleh dan sudah meminggirkan banyak bahasa, khususnya yang kecil dan tidak terkecuali juga yang besar.

Peminggiran ini berlaku kerana negara berkenaan didapati tidak maju ketika menggunakan bahasanya sendiri. Oleh itu, kuasa Barat Inggeris berpendapat bahawa negara mundur ini perlu diserapkan ke dalam sistemnya yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat, selain kejayaan ekonomi negara. Ini sebetulnya pemikiran dominan di sebaliknya pelaksanaan PPSMI pada 2003.

Dengan menggunakan bahasa Inggeris, Malaysia diyakini boleh maju dengan kadar yang lebih cepat dan disanjungi pula di persada antarabangsa kerana dapat ikut menyumbang kepada khazanah budaya global. Khazanah global ini sesungguhnya adalah himpunan peradaban Amerika Syarikat dan United Kingdom. Dua buah negara ini adalah pusat kuasa politik dan ekonomi dunia, yang bukan saja menggunakan bahasa Inggeris, tetapi ingin memastikan bahasa mereka itu ikut digunakan di seluruh dunia.

Atas nama kemajuan dan keantarabangsaan inilah, Malaysia sanggup mengetepikan bahasa pribuminya untuk digantikan oleh bahasa Inggeris, bahasa kuasa besar dunia, untuk pelaksanaan PPSMI khasnya dan pengendalian sistem pendidikan negara amnya. Alasan yang diberikan ialah peralihan bahasa ini bukan saja penting, tetapi amat perlu sekiranya Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam zaman yang mementingkan penggunaan bahasa global Inggeris ini.

Sesungguhnya kita perlu berhati-hati ketika diundang atau bercadang untuk menyerapkan model Barat ini. Jaminan bahawa selepas kita menggunakannya melalui pola linguistik bahasa Inggeris, Malaysia bukan saja boleh menjadi amat maju, tetapi berupaya mengecapi kejayaan politik dan ekonomi yang besar, perlu diwaspadai. Ini adalah kerana dasar imperialisme Barat wujud menerusi pelbagai dakyah licik. Antaranya adalah kaedah sosial dan psikologi untuk membinasakan harga diri rakyat negara yang disasar, selain nilai bahasa dan budaya mereka.

Ini dilakukan antaranya dengan melabelkan pendekatan negara berkenaan mengendalikan sistem di dalamnya, baik yang politik, ekonomi, sosial mahupun budaya, sebagai cara lama. Oleh itu, ia perlu ditukarkan dengan cara baru, yang menggunakan model yang mementingkan bahasa Inggeris.

Oleh sebab kemunduran akibat tidak menggunakan model Barat sebelum ini, kuasa Barat Inggeris berpendapat bahawa negara mundur ini perlu dididik untuk mengamalkan sistemnya, yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan wahana utama. Sehubungan ini, Malaysia ikut terperangkap oleh dakyah halus ini apabila melakukan peralihan bahasa ilmu menerusi PPSMI.

Dengan terlaksananya PPSMI, kita dipuji kerana berjaya melakukan peranjakan daripada tahap lama yang menggunakan bahasa pribumi sendiri, ke tahap moden yang menggunakan bahasa global terpenting. Ia dianggap langkah bijak kerana bahasa Melayu yang didakwa hanya sesuai untuk memaparkan pengetahuan lama yang statik, didapati tidak layak lagi digunakan untuk mengungkapkan ilmu semasa yang dinamik sifatnya. Oleh itu, peranjakan ini bukan saja boleh menjadikan negara kita amat maju, tetapi yang lebih penting lagi Malaysia dianggap moden.

Sebetulnya dengan terlaksananya PPSMI, kita terjebak dengan fenomena rasisme bahasa, yang digunakan kuasa Barat Inggeris untuk memerangkap mana-mana negara yang alpa. Rasisme bahasa merujuk kepada keadaan yang memperlihat diskriminasi antara bahasa negara maju dengan yang sebaliknya. Sehubungan ini, bahasa negara maju dianggap lebih sesuai digunakan dalam kehidupan moden. Manakala bahasa negara tidak maju dihadkan peranannya sebagai layak dikaitkan dengan khazanah budaya lampau saja.

Berlandaskan rasisme bahasa, bahasa yang digolongkan sebagai moden dianggap sebagai sistem linguistik paling sesuai untuk digunakan dalam komunikasi moden. Antaranya dalam sistem pendidikan kini, domain ekonomi semasa dan corak pemerintahan dewasa ini. Sehubungan ini, mana-mana bahasa pribumi hanya sesuai dijadikan lambang jati diri komuniti penutur asalnya. Itupun jati diri lampau saja yang tidak lagi mempunyai sebarang nilai komunikasi moden dan kepentingan budaya pada masa kini.

Oleh itu, dasar MBMMBI perlu memastikan pendidikan bahasa Inggeris dilakukan atas landasan kepentingan bahasa global itu, khususnya dalam bidang pendidikan sebagai bahasa sumber ilmu dan arena antarabangsa selaku bahasa perhubungan. Sebaliknya, imperialisme bahasa Inggeris yang boleh menyerapi domain pendidikan dan lain-lain, perlu ditangani oleh dasar ini.

Dengan cara ini, ia sudah tentu dapat memastikan ketahanan bahasa Melayu. Untuk ini, dasar MBMMBI perlu memastikan peranan bahasa Inggeris di negara ini sentiasa melengkapi, selain mendukungi fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Ini penting untuk mewujudkan ekologi linguistik yang lebih sihat.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tuesday, December 13, 2011

Jangan Persenda Hukum Islam




Islam Sudah Sempurna, Cuma Kita (Manusia) Yang belum Sempurna. Jangan Persoal/Persenda Tentang Hukum Allah.Kita boleh mempersoalkan dan berbahas dalam permasalahan sejagat tetapi jangan dalam hal hukum. Moga kita jadi insan yang sentiasa dalam rahmat ALLAH.

Kolumnis media Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini menyelar pihak yang lantang menghina Islam khususnya hudud dan memberikan amaran kepada mereka.

Tanpa menamakan secara jelas, Mohd Ridhuan dalam tulisan yang disiar akhbar Sinar Harian kelmarin menggambarkan pihak yang dimaksudkannya adalah 'penzina' dan yang 'berlatar belakang menjijikkan'.

Katanya parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, 'jangan terlalu kurang ajar'.

"Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.

"Saya masih lagi boleh bersabar jika mereka tidak menerima ‘hudud Pas’. Tetapi cara mereka bercakap tidak menampakkan rujukan kepada ‘hudud PAS’, tetapi menghina Islam secara keseluruhan dan isi kandung al-Quran. Perbuatan ini amat melampau," tulisnya.

Biarpun tidak dinyata dengan jelas siapa sasaran tulisannya, namun ianya dipercayai ditujukan kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ini kerana, dalam tulisannya itu beliau merujuk kepada kenyataan yang mendakwa pelaksanaan hukum hudud akan membawa kepada kemusnahan ekonomi negara dan binasa diri.

Ianya termasuk dakwaan bahawa pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan “binasa diri” jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia yang pernah diucap Soi Lek pada satu forum di Wisma MCA baru-baru ini.

"Jangan bermain dengan api wahai penzina. Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan ‘binasa diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.

"Persoalan saya, apakah Malaysia akan menjadi daya tarikan pelabur-pelabur dengan lambakan pelacur-pelacur yang datang daripada Cina dan Vietnam yang datang ‘memberi khidmat’?


"Apa matlamat sebenar membawa masuk mereka ini? Apakah mungkin beliau turut melanggan kerana memang menjadi kesukaannya menyimpan mistres?" soalnya lagi.

Dalam nada tegas, beliau yang juga penyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut mengingatkan pihak tersebut tidak mencampuri urusan orang Islam khususnya berkaitan dengan soal hudud.

Apatah lagi katanya jika seseorang itu berlainan bidang kepakaran, maka sewajarnya tidak perlu banyak mengulas tentang bidang yang lain.

"Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan," tegasnya.

Soi lek sebelum ini juga mendakwa sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.

Selain itu beliau turut meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.

"Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum.

"Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional," kata Ridhuan.

Thursday, November 24, 2011

Celoteh - Pengisian Waktu Cuti




Buat semua pelajar di seluruh tanah air,

Selamat mengharungi cuti penggal akhir tahun untuk pelajar darjah 1 - tingkatan 4. Kita akan berjumpa lagi melalui sesi persekolahan 2012 yang akan bermula pada 4 Januari 2012. Peganglah falsafah, cuti penggal ini bukan cuti belajar tetapi cuma cuti daripada menghadirkan diri ke sekolah. Meskipunn begitu, terdapat sebahagian daripada rakan kalian yang berada di tingkatan 2 dan 4 akan terus bersekolah sehingga 15 Disember 2011 sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan PMR dan SPM pada tahun hadapan.

Cikgu mengharapkan agar dalam ruang dan peluang sewaktu cuti ini, semua pelajar dapat merenung dan menilai kembali tahap penguasaan pembelajaran sepanjang tahun ini. Jika terasa ada kekurangan dan kelemahan, cubalah perbaiki dan atasi kekurangan ]]]dan kelemahan itu. Jangan dibiarkan kelemahan itu terus kekal dalam diri pelajar kerana kesannya sangat tidak baik untuk masa depan kita.

Bagaimana kita hendak mengetahui kekuatan dan kelemahan kita ? Jawapannya ialah melalui keputusan peperiksaan akhir tahun (PAT). Pelajar boleh lihat keputusan peperiksaan itu secara online melalui laman web SAPS...cetak dan lihatlah apa yang anda perolehi. Pelajar juga berhak mendapatkan keputusan itu melalui pihak sekolah. Kenalpasti mata pelajaran yang perlu diperbaiki sebelum memulakan sesi persekolahan 2012. Dalam masa yang sama, dapatkan bimbingan daripada kawan-kawan atau guru-guru dalam bab yang anda tidak kuasai. Jika ini anda lakukan, Insya Allah anda akan berjaya dengan cemerlang.

Pelajar harus ingat, dalam dunia tanpa sempadan hari ini, Ilmu sangat penting. Ilmu boleh menjadikan kita popular, ilmu boleh menjadikan kita berkuasa dan ilmu boleh menjadikan diri kita kaya dan yang lebih penting ilmu juga boleh menyelamatkan diri kita daripada menjadi manusia yang tiada hala tuju dalam kehidupan. Namun begitu, pastikan kita mempunyai ilmu dunia dan ilmu akhirat yang seimbang bagi memastikan kita mendapat kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Hari ini, kita dikejutkan dengan pelbagai isu dan masalah yang timbul dalam kalangan pelajar. Sewajarnya, pelajar dapat menilai setiap tingkahlaku dan perbuatan mereka - sama ada, apa yang kita lakukan itu perkara yang baik ataupun perkara yang buruk. Sebagai seorang yang waras, kita tahu kesan jika kita melakukan perkara yang buruk. Oleh itu, sewajarnya kita menjauhi perkara-perkara itu. Janganlah sesudah "nasi menjadi bubur" barulah kita menyesal. Ingatlah buat baik berpada-pada dan buat jahat sangat sesekali.

Akhirul kalam, marilah kita sama-sama membuat anjakan paradigma dan menanam semangat jitu dalam diri untuk menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Tiada orang lain yang boleh mencorakkan kehidupan kita kecuali diri kita sendiri. Kitalah penentu siapa diri kita pada masa depan. Marilah kita berubah demi sebuah kehidupan yang gemilang.

Renungan Calon SPM dan STPM




(Bait-bait ini dipetik dari Blog Bahasa Itu Indah - Cikgu Taufik)

Andai kau tahu...
Ada segunung harapan di hati guru,
Ada sejuta semangat dalam langkah guru,
Ada selangit impian dalam mimpi guru,
Untuk kau berjaya.

Andai kau tahu....
Dalam diam guru, berombak selaut resah,
Dalam tawa guru, berderai serelung gelisah,
Dalam bicara guru, berantai seribu doa dan pasrah,
Agar kau berjaya.

Andai kau tahu...
Guru juga punya perasaan,
bukan cuma punya impian.

Andai kau tahu...
Guru hanya manusia walang,
bukan malaikat, apa lagi Tuhan,
punya khilaf dan juga kelemahan.

Andai kau tahu...
Sayang guru tiada sedikitpun rasa dendam,
Marah guru lantaran masihnya ada rasa sayang,
Rajuk guru kerana mohon pengertian,
agar kau cemerlang,
agar punya cita dan wawasan.

Andai kau tahu,
berkatnya Ilmumu kerana keikhlasan menerima ajaran seorang guru,
sayangnya Allah kepadamu kerana kerendahan hati menerima teguran seorang guru,
kerana siapalah kamu dan kita semua tanpa tunjuk ajar seorang guru.

Monday, November 21, 2011

Isu Pemanasan Global



Tajuk:

Isu pemanasan global sudah menjadi perkara lumrah kini. Pelbagai persidangan sudah diatur untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah kerjasama yang mampu dilakukan oleh pihak masyarakat antarabangsa dalam isu ini?

Contoh Karangan:

Isu pemanasan global dikatakan telah mencairkan ais di kawasan kutub bumi sehingga mempengaruhi perubahan iklim pula. Kejadian hujan lebat bersama-sama angin taufan yang melanda Filipina sedikit masa lalu telah membuktikan betapa isu pemanasan global ini telah mengubah sistem iklim dunia. Masyarakat sudah mula sedar akan impak negatif yang bakal dibawa oleh perubahan cuaca yang agak drastik ini kepada kehidupan harian mereka kelak. Oleh itu, pelbagai tindakan bersama boleh dilakukan oleh masyarakat dunia untuk sama-sama mengurangkan impak pemanasan global ini.

Tindakan kerjasama awal yang boleh dilakukan oleh masyarakat antarabangsa ialah kajian-kajian saintifik boleh diusahakan untuk memperoleh data yang tepat tentang pemanasan global ini. Kewujudan data yang tepat seperti kadar pencairan ais di kutub dan sebagainya ini membolehkan masyarakat dunia membuat tindakan susulan untuk mengatasi perubahan iklim yang dikatakan berlaku itu. Perkongsian data kajian ini juga boleh memberikan gambaran sebenar tentang impak yang bakal dialami oleh dunia dengan lebih jelas. Maka, kerjasama melaksanakan kajian-kajian saintifik merupakan tindakan awal yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat antarabangsa.

Selain itu, masyarakat antarabangsa boleh melaksanakan kempen kesedaran tentang isu pemanasan global ini untuk memberikan pemahaman sebenar kepada masyarakat dunia. Kempen kesedaran ini pasti lebih efektif kerana dilakukan di seluruh dunia lalu membawa perubahan yang serupa kepada penduduk dunia dengan lebih pantas. Perubahan yang berlaku itulah mampu dijelmakan dalam tindakan bersepandu masyarakat dunia untuk sama-sama mengatasi fenomena yang mula mengancam perubahan cuaca dunia ini. Sesungguhnya, kempen kesedaran yang bersepandu di seluruh dunia akan membawa perubahan yang lebih nyata terhadap semua tindakan yang dilaksanakan secara bersama-sama itu kelak.

Malah, masyarakat dunia terutama negara-negara maju perlulah menandatangani Perjanjian Kyoto yang berkaitan dengan pengawalan kesan rumah hijau. Semua negara sedar bahawa salah satu punca pemanasan global ialah kadar perlepasan pelbagai gas akibat kemajuan manusia seperti kereta, bas, kilang dan sebagainya tetapi masih banyak negara maju yang enggan mengawal kadar perlepasan gas sebegini sebab bimbang kadar pertumbuha ekonomi mereka akan terjejas pula jika bertindak sedemikian. Semua negara perlu sedar bahawa jika perlepasan gas ini tidak dikawal dunia akan musnah termasuklah negara mereka sendiri. Jelaslah, semua negara perlu menandatangani perjanjian yang mengawal perlepasan gas yang mampu memusnahkan dunia itu dengan segera supaya proses pemanasan global tidak menjadi begitu pantas lagi.

Masyarakat dunia juga boleh mewujudkan satu dana khas untuk membiayai semua projek sains yang membuat penyelidikan untuk mencari jalan mengatasi masalah pemanasan global ini. Dana ini hendaklah disumbangkan oleh semua negara tanpa banyak alasan lagi kerana semakin cepat wang ini dikumpulkan semakin cepat pula projek penyelidikan dijalankan untuk mencari jalan penyelesaiannya. Semua projek penyelidikan itu hendaklah meliputi semua kemungkinan yang dijangka akan berlaku dan disertai oleh ahli-ahli saintis seluruh dunia untuk mendapatkan keputusan yang tepat. Sesungguhnya, usaha mengumpul dana sebegini mampu memupuk semangat kerjasama yang tinggi selain mampu mewujudkan pelbagai projek penyelidikan yang berkualiti dalam tempoh yang singkat.

Konklusinya, semua tindakan itu harus dilaksanakan oleh masyarakat dunia tanpa perlu berlengah masa lagi. Kita tidak harus menimbulkan pelbagai alasan atau sebab yang mampu melambatkan proses mencari jalan penyelesaian kepada kemelut yang bakal menentukan keseinambungan peradaban manusia ini. Kegagalan kita untuk bertindak dengan rasional boleh menyaksikan pupusnya peradaban manusia dalam masa terdekat nanti. Kita perlu sedar bahawa dunia ini bukannya hak kita tetapi warisan yang harus dinikmati oleh generasi akan datang.

(Diubahsuai daripada blog ekarangan)

Sunday, November 13, 2011

Komsas - Novel



Beberapa Aspek Kajian Dalam Novel Papa dan Interlok :
Berikan contoh bagi setiap aspek yang dinyatakan di bawah.

a. Peristiwa yang menggambarkan nilai murni dalam novel.
* Nilai bertanggungjawab
* Nilai kasih sayang
* Taat setia
* Keprihatinan
* Kerajinan
* Ketabahan
* Berdikari

b. Latar masyarakat dalam novel.
Novel Papa :
* Masyarakat yang berpendidikan.
* Masyarakat penyayang.
* Masyarakat yang prihatin.
* Masyarakat yang terjebak dalam aktiviti tidak sihat.
* Masyarakat yang bertanggungjawab.

Novel Interlok.
* Masyarakat yang rajin.
* Masyarakat yang tidak berpendidikan.
* Masyarakat yang suka membuat fitnah.
* Masyarakat yang masih mempercayai kepercayaan kepada bomoh.
* Masyarakat yang berdikari.
* Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
* Masyarakat yang sanggup berhijrah.
* Masayarakat yang bersatu padu.
* Masyarakat yang masih mempercayai kepada bomoh.
* Masyarakat yang mengamalkan ajaran Islam.
* Masyarakat yang bekerjasama

c. Persoalan dalam novel.
Novel Interlok:
* Sikap manusia yang sanggup menindas orang lain.
* Kesediaan berhijrah untuk mencari rezeki.
* Tolong menolong tanpa mengira kaum.
* Perjuangan untuk membebaskan negara daripada penjajah.

Novel Papa :
* Pengorbaban seorang isteri kepada suami.
* Kesediaan anak tidak sah taraf meneruskan kehidupan.
* Masalah dalam hidup berpoligami.
* Kegigihan dalam menuntut ilmu.
* Pengorbanan suami yang tiada batasannya.

d. Nyatakan Teknik Plot :
* Pemerian.
* Dialog
* Monolog
* Imbas Kembali
* Imbas Muka
* Saspens.
* Kejutan

e. Nyatak 2 perwatakan watak utama yang boleh dijadikan teladan dalam 2 novel yang dikaji.

Novel Papa:
Watak Utama ialah Intan Julia - seorang pelajar perempuan yang gigih menuntut ilmu. Beliau sangat menyayangi kedua ibu bapanya. Tidak mementingkan status dalam persahabatan - Hidup berdikari.

Teladan : Sebagai seorang pelajar kita patut menjadikan Ju sebagai suri teladan untuk menuntut ilmu sehingga berjaya ke menara gading.

Novel Interlok:
Watak Utama dalam bab 1 ialah Seman. Beliau merupakan anak yang sangat menyayangi kedua Ibu dan bapanya. Beliau tidak mempunyai pelajaran dan tidak tahu membaca dan menulis. Beliau seorang yang rajin bekerja untuk membantu keluarganya.

Teladan : Kita wajib mematuhi perintah ibu bapa seupaya kehidupan kita lebih diberkati oleh Allah. Kita juga wajib menghargai jasa ibu bapa kita.

Saturday, November 12, 2011

Soalan Tumpuan 2011 - Karangan



Pelajar yang dihormati ; berikut cikgu paparkan beberapa soalan yang sepatutnya diberikan tumpuan untuk SPM 2011. Soalan-soalan ini cikgu ambil daripada beberapa buah blog. Jadikan sebagai bahan ulangkaji anda. Didoakan semoga berjaya dengan cemerlang.

01 Isu Diri
(a)Persediaan ke alam kerjaya
#meguasai bahasa kedua/ pelbagai bahasa
#kemahiran ICT
#kemahiran berfikir
#kemahiran berkomunikasi
#kemahiran bekerja dalam pasukan

(b) Cara menghargai jasa guru

02 Isu Keluarga
Peranan Ibu bapa:
(a) Mendidik anak menjadi pengguna bijak/ memupuk amalan berjimat cermat/ menangani kemelesetan ekonomi
(b) Menangani masalah gejala sosial / masalah disiplin

03 Isu masyarakat/ negara
Tanggungjawab masyarakat / negara :
(a) memupuk keharmonian pelbagai kaum / melahirkan masyarakat bertatasusila
(b) memajukan industri pelancongan
(c) memelihara/ menghargai sumber air / sungai

04 Isu Antarabangsa
Peranan Negara Serantau / Masyarakat Antarabangsa:
(a) membantu negara yang ditimpa bencana alam
(b) mewujudkan keamanan sejagat

05 Isu Komsas
Peranan Karya Kesusasteraan:
(a) memperkenalkan budaya masyarakat pelbagai kaum
(b) melahirkan generasi bersemangat patriotik
(c) menerapkan nilai-nilai murni/ nilai kemanusiaan dalam masyarakat

Penekanan harus diberikan terhadap:

1) peranan Ibu bapa dalam melahirkan keluarga yang
2) peranan anak dalam menjaga Ibu bapa mereka
3) kepentingan keluarga dalam pembangunan
4) peranan Ibu bapa dalam mendidik anak menjadi insan yang berguna


BIL TEMA ARAH SOALAN
1 GEJALA BULI Punca / langkah
2 RANCANGAN REALITI Langkah / Kesan
3 SEMANGAT KEJIRANAN Langkah / Kesan
4 TELEFON BIMBIT Kesan kepada pelajar
5 ISU PEKERJA ASING Langkah
6 ISU LUMBA HARAM Langkah
7 BANGUNAN BERSEJARAH Kepentingan
8 PELANCONGAN Kepentingan / Langkah
9 KOMSAS Ulasan drama
10 PERPADUAN Langkah / Kesan
11 AMALAN MEMBACA Langkah
12 ALAM KERJAYA Persediaan pelajar