Wednesday, May 11, 2011

Latihan Kendiri : Kesalahan Ejaan dan Imbuhan


(LATIHAN EJAAN)

LATIHAN 1: MENGESAN KESALAHAN KATA ATAU FRASA DALAM AYAT

1. Kereta yang baru di beli oleh kami itu sangat mahal sekali harganya kerana ianya diimport daripada Jepun.

2. Aiman mendapat keputusan cemerlang dalam matapelajaran Bahasa Melayu dan dia telah dilantik sebagai ahli jawatan kuasa Persatuan Bahasa Melayu disekolahnya.

3. Terdapat banyak usaha-usaha yang mereka lakukan untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan penduduk dinegara ini sejak malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 OGOS 1957.

4. Mesyuarat agong P.I.B.G kali ke 31 akan dijalankan serentak dengan majlis perasmian SUKMA kali ke-X yang berlangsung dinegeri Terengganu Darul Iman.

5. Calun-calun peperiksaan yang datang dari seluruh pelusuk negara ini dikehendaki datang lebih awal untuk mengenalpasti kedudukan mejanya didalam dewan peperiksaan.

6. Bila cuti sekolah bermula kebanyakkan pelajar telah membuat perancangan untuk melancung keluar negeri.

7. Pertandingan Bolasepak Bawah 15 Tahun kali ke XIV itu telah dihadiri kedua pemimpin negara itu.

8. Penolong Pegawai Pendidikan-Penolong Pegawai Pendidikan seluruh tanahair itu telah menyampaikan taklimatnya.

9. Injin motosikal yang diubah suai oleh juru teknik syarikat itu telah diistiharkan sebagai pemenang tempat ke-2.

10. Semua buku-buku latihan yang telah dicop oleh kami telah dihantar kepada sebilangan pelajar-pelajar di dalam kelas hari ini.

11. Peserta daripada Malaysia telah dipilih menyertai pertandingan rekacipta peringkat antara bangsa melalui e-mail yang dikirim pagi semalam.

12. Di akhir pengajaran dan pembelajaran ini, semua pelajar dapat menjawab 8 daripada 10 soalan yang di kemukakan dengan tepat berdasarkan.

Selamat Maju Jaya.

Dipetik dari blog cikgu Ramli Yahya

Kata Majmuk Yang Mantap



Rakan-rakan pengguna bahasa Melayu,
Di sini saya sertakan senarai kata majmuk yang telah mantap dan dieja secara bercantun:
1. antarabangsa
2. beritahu
3. bumiputera
4. jawatankuasa
5. kakitangan
6. olahraga
7. matahari
8. setiausaha
9. sukarela
10. suruhajaya
11. tandatangan
12. tanggungawab
13. warganeara
14. pesuruhjaya
15. kerjasama

Semua kata majmuk di atas merupakan kata nama majmuk kecuali perkataan beritahu yang merupakan kata kerja majmuk.

Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah perkataan yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang lazimnya dieja bercantum:

Kata nama:
peribadi, peribahasa, hulubalang, dinihari, perikemanusaan

Kata adjektif:
sukacita, dukacta

Kata sendi nama:
kepada, daripada

Kata hubung
apabila, manakala, padahal, apakala, walhal, darihal, barangkali, kadangkala

kata tanya:
bagaimana

Sunday, May 8, 2011

Teks Hari Guru



Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia Tn Hj Abdul Talib bin Hamid
Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Langat.
( lagu dimainkan PA System )

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari istana diraja,
Pemanis kata selamat datang,
Sembah salam pembuka bicara.

1.ALU-ALUAN

Yang Berbahagia
Tuan Haji Abdul Talib bin Hamid
Pegawai Pelajaran daerah Kuala Langat.

Yang Berusaha
Tn Hj Zulkepli bin Mat Taib
YDP PIBG SMK Sijangkang Jaya

Yang Berusaha
Pn Hajjah Nor Hayati bt Sarbini
Pengetua SMK Sijangkang Jaya

Yang Dihormati Barisan Kepimpinan Guru-Guru Penolong Kanan,
Guru-guru Kanan Mata pelajaran, Guru Cemerlang, Guru-Guru, dan seterusnya hadirin sekalian. Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Selamat datang ke Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat SMK Sijangkang Jaya 2011.

Majlis mengalu-alukan kehadiran Yang BerbahagiaTuan Haji Abdul Rahim bin Kamaruddin dan hadirin, ke majlis gilang-gemilang pada pagi ini.

Selaras dengan sambutan Hari Guru ini , sama-samalah kita memanjatkan setinggi rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita sama-sama berhimpun di sini dengan penuh kedamaian dan keamanan bagi memberi pengiktirafan guru-guru

2. DOA
Kelip-kelip kusangka api,
Kuala Selangor sumpah keramat,
Mohon restu mmajlis diberkati,
Agar majlis mendapat rahmat.

Untuk memberkati majlis, dengan sukacitanya dijemput Saudara Mohd. Wasfi b untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan

DOA

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Saudara Mohd. Wasfi b.

3. UCAPAN WAKIL MURID

Sebagai pembuka acara, majlis dengan hormatnya menjemput Saudari Amira Khalisa bt , Ketua Pengawas SMK Hillcrest selaku wakil murid untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas ucapan sebentar tadi.

4. UCAPAN PENGETUA

Hadirin sekalian yang dihormati,
Pepatah-petitih Adat Melayu
Warisan amalan sejak dahulu
Pohon keizinan barang sewaktu
Ucapan Pengetua amat dialu

Majlis dengan segala hormatnya menjemput Yang Berusaha, Pn Nik Maryam Idris , Pengetua SMK Hillcrest untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas ucapan sebentar tadi.

5. UCAPAN YDP PIBG

Tuah tersenyum pada Si Teja,
Duduk bersimpuh sambil bersila,
Kain ditenun bersama reja,
YDP PIBG hormat dipersila,

Seterusanya, majlis dengan segala hormatnya menjemput Tuan Haji Mohamad Isa bin Hamzah
Yang Dipertua PIBG SMK Hillcrest untuk menyampaikan ucapan beliau. Dengan segala hormatnya dipersilakan

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas ucapan sebentar tadi.

6. UCAPAN PERUTUSAN KETUA PENGARAH PELAJARAN

Dengan ini, majlis menjemput Encik Mohd. Roslan b Hussain untuk membaca perutusan Yang Berbahagia Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia . Dengan segala hormatnya dipersilakan.

UCAPAN PERUTUSAN

Pihak majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Mohd. Roslan b Hussain atas ucapan itu tadi.

7. UCAPAN PERUTUSAN MENTERI PELAJARAN

Dengan ini, majlis menjemput Encik Bakeman b Chek untuk membaca perutusan Yang Berhormat Menteri Pelajaran Malaysia . Dengan segala hormatnya dipersilakan.

UCAPAN PERUTUSAN

Pihak majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Bakeman b Chek atas ucapan itu tadi.

7. IKRAR GURU

Majlis diteruskan dengan upacara Lafaz Ikrar Guru .

Majlis mohon berdiri.

LAFAZ IKRAR GURU

Para hadirin dipersilakan duduk.

Tegak tugu kerana sendi,
Runtuh sendi tugu binasa,
Mulia guru kerana budi,
Generasi cemerlang tersohor bangsa.

Majlis diteruskan dengan Bacaan Yaasiin dan Tahlil di bawah pimpinan Ustaz Wan Sabri b

Seterusnya,saya menyerahkan majlis kepada……untuk aktiviti berikutnya.

14. PENUTUP

Bagi pihak sekolah , majlis juga merakamkan ucapan terima kasih kepada
Tetamu jemputan dan semua hadirin yang turut sama meluangkan masa untuk hadir pada majlis ini . Terima kasih kalungan budi juga diberikan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi memastikan majlis ini dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Tenang-tenang air di kali
Tempat mandian putra puteri
Sempurna sudah majlis dirai
Salah dan silap harap dimaafi

Hinggap tempua di hujung dahan
Kenari berbalah berebut taman
Sajian tersedia jemputlah makan
Awal bismillah menjamah hidangan

Majlis dengan hormatnya mempersilakan Yang BerbahagiaTuan Haji Abdul Rahim bin Kamaruddin dan hadirin sekalian untuk menikmati jamuan. Dengan hormatnya dipersilakan.

Para tetamu jemputan dipersilakan menikmati hidangan.
Dan sambil menjamu selera, bersama-samalah kita saksikan persembahan

Bagi pihak majlis, kami hanya mampu mengungkapkan ;
‘Kalau ada silap sepatah, jangan simpan di dalam hati.’

Kita akhiri majlis dengan nyanyian ‘Lagu Negaraku’. Majlis mohon berdiri.

Sekian . Wabilahitaufiq walhidayah wassalamualaikum wbt.


KESIHATAN gigi ditentukan oleh gaya hidup, tabiat pemakanan dan cara seseorang individu menjaga giginya. Sikap suka bertangguh melakukan pemeriksaan berkala dan hanya berjumpa doktor ketika gigi sudah bermasalah hanya memberi kesan terhadap kesihatan badan secara keseluruhan.

Bagaimanapun, jangan pula menyangka kerap memberus gigi mengikut cara yang betul sudah memadai. Kebanyakan masyarakat juga mengatakan masalah gigi adalah masalah ringan dan ia tidak akan mengakibatkan pelbagai penyakit kronik lain. Kerana itu, rata-rata mengambil langkah mudah serta acuh tidak acuh menjaga kebersihan gigi dan mulut.


Hakikatnya, kesihatan mulut yang menjadi pintu masuk makanan dan pintu keluar pertuturan sangat penting kerana ia boleh menjadi petanda kepada pelbagai penyakit lain. Jika tidak diberi penjagaan teliti, ribuan bakteria yang hidup dalam mulut boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit periodontal atau gusi.


Penyelidik juga berpendapat bahawa periodontitis (keradangan gusi) mempunyai kaitan dengan penyakit sistemik seperti penyakit kardiovaskular, strok, diabetes dan pneumonia.


Menurut Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Datuk Doktor How Kim Chuan, kebanyakan penyakit kronik dan berbahaya boleh berpunca daripada masalah kuman yang membiak di dalam mulut.


“Banyak penyakit boleh disebabkan bakteria yang berada di dalam mulut. Ramai tidak menyedari hakikat ini kerana kekurangan pendedahan terhadap kepentingan kesihatan mulut dan gigi.



“Melihat kepada kaitan antara periodontitis dan penyakit sistemik, pencegahan boleh menjadi langkah yang penting dalam usaha mengekalkan kesihatan badan secara keseluruhan.


“Bunyinya remeh tetapi ia benar-benar berlaku. Beberapa pesakit yang tidak menjaga kesihatan gigi dan mulut terpaksa menjalani pembedahan akibat dijangkiti kuman di paru-paru, limpa dan sebagainya.


“Justeru, masalah kesihatan mulut tidak boleh dipandang ringan,” katanya pada pelancaran ubat kumur Listerine Total Care.


Menurut Dr How, gusi yang sihat sepatutnya memiliki ciri berikut: berwarna pucat, tekstur pejal dan sepatutnya berada dalam kedudukan yang rapat dengan gigi.


“Seandainya gusi anda tidak menunjukkan ciri sedemikian, ia mungkin tanda keradangan gusi tetapi usah bimbang kerana keadaan ini boleh diatasi dengan mengambil langkah penjagaan gigi yang baik. “Kita perlu memberus gigi dua kali sehari dan diikuti penggunaan ubat kumur antiseptik yang berkesan menembusi plak bakteria. Bagaimanapun ia hanya membantu membersihkan sebanyak 50 peratus daripada keseluruhannya. “Jika terdapat kotoran kekal seperti tar dan karang gigi, ia tidak boleh dicuci dengan hanya memberus gigi. Kotoran kekal itu perlu dibuang tetapi ia hanya boleh dilakukan oleh doktor gigi. “Ramai juga tidak tahu bahawa mulut atau lidah manusia turut mempunyai pelbagai kuman tersembunyi. Inilah sebabnya kebanyakan orang hanya memberus gigi tanpa membersihkan lidah. Jadi, untuk mendapatkan mulut yang sihat, kita seharusnya menggunakan ubat kumur antiseptik di mana sedikit sebanyak ia turut mencuci keseluruhan mulut” katanya.


Kebanyakan kajian turut mendapati bakteria di mulut boleh masuk ke dalam badan dan mengurangkan daya yang menyebabkan seseorang mudah mendapat penyakit. Malah mereka yang mempunyai penyakit diabetes juga sering mengalami masalah sama. Sempena sambutan Bulan Kesihatan Mulut sepanjang April ini, eloklah kita mula memberikan lebih tumpuan kepada kesihatan mulut yang secara tidak langsung turut mempengaruhi kesihatan badan secara keseluruhan. Untuk itu, ada enam perkara yang perlu diberi perhatian iaitu: Memastikan gigi bersih daripada plak dan sisa makanan.
l Gigi bebas daripada kesan tartar (yang biasanya disebabkan nikotin dalam asap rokok)
l Gusi sihat dan lembut.
l Gigi bebas daripada kaviti (lubang)
l Mulut mempunyai nafas yang segar
l Gigi yang sihat secara semula jadi.
Enam perkara tadi boleh dikecapi dengan mudah menerusi empat langkah:
l Memberus gigi dua kali sehari.
l Bersihkan sisa makanan di celah gigi dengan benang flos
l Berkumur menggunakan ubat antiseptik.
l Jalani pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua tahun sekali.
Penggunaan cecair kumur dapat membantu:
l Membasmi kuman yang menjadi punca masalah mulut.
l Menguatkan enamel gigi dengan fluorida.
l Mengekalkan gusi yang sihat.
l Mengurangkan plak gigi.
l Menyegarkan nafas.
l Membuatkan gigi nampak lebih bersih dan putih.

Masalah Remaja Yang Semakin Membimbangkan



MASALAH sosial di kalangan remaja serta pelajar sekolah yang melanda masyarakat di negara ini semakin membimbangkan apabila mereka bukan saja berani ponteng sekolah, membuli pelajar lain, peras ugut dan mencuri, malah turut melakukan jenayah lebih besar seperti merompak, penyalahgunaan dadah, merogol, mencederakan orang dan membunuh.

Biarpun statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan penurunan kes juvana yang diterima iaitu 3,484 kes pada 2010 berbanding 3,862 kes pada 2009, namun tindakan lebih berani remaja yang terbabit dalam kes jenayah sungguh membimbangkan.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jenayah seperti merompak, bergaduh, kongsi gelap atau keganasan hingga mendatangkan kecederaan atau kematian dulu lazimnya dikaitkan dengan kumpulan orang dewasa, tetapi kini turut terkenal dilakukan remaja sekolah.

“Kita melihat kebarangkalian remaja sekolah melakukan jenayah lebih berat ini sangat tinggi dan membimbangkan.

“Mereka sanggup mencederakan mangsa tanpa memikirkan kesan perbuatan itu yang mungkin boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Menurutnya, antara punca remaja pada masa kini berani melakukan keganasan dan jenayah berat ialah faktor keganasan yang ‘dipopularkan’ dalam industri hiburan, khususnya perfileman.

“Kita melihat dan menilai bahawa populariti keganasan yang ditonjolkan dalam filem atau drama antara faktor utama remaja melihatnya sebagai perkara hebat.

“Dalam kartun atau animasi juga sering memaparkan keganasan seperti pergaduhan dan apabila sejak kecil dipertontonkan dengan unsur ganas ini, pasti mereka terikut-ikut sebagai cara menyelesaikan masalah atau rasa tidak puas hati,” katanya.

Lee berkata, pihak berwajib termasuk kerajaan perlu lebih tegas dan peka dalam menangani masalah ini, selain perlu lebih konsisten dalam melakukan tapisan, terutama dalam tayangan filem mahupun drama.

“Bukan kita kata filem berkenaan tidak boleh, tetapi adegan di dalamnya perlu diberi perhatian dan ditapis.

“Bila drama atau filem ini memaparkan keganasan dilakukan oleh sesuatu watak khususnya seperti watak seorang hero, tidak mustahil remaja dan kanak-kanak melihatnya sebagai sesuatu yang hebat dan diagung-agungkan, sekali gus mencuba atau meniru watak berkenaan tanpa mengetahui kesan sebenar perbuatan mereka,” katanya.

Selain itu, menurut Lee, masalah dilakukan pelajar itu tidak dirujuk dengan mana-mana pihak, menyebabkan mereka (pelajar) berpendapat perbuatan mereka bukan isu atau masalah besar.

“Ini juga antara faktor mengapa remaja kini semakin berani. Apabila melakukan kesalahan, mereka hanya diberi amaran, dan jika membabitkan pergaduhan, ia dianggap kes terpencil dan disorokkan.

“Apabila ini berlaku dan tidak dirujuk kepada agensi berkaitan, kita khuatir pelajar ini akan menganggap perbuatan mereka sebagai kes ringan dan mengulanginya semula tanpa mengetahui ia boleh menimbulkan bahaya kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani masalah salah laku pelajar daripada ‘merebak’ menjadi jenayah lebih berat, satu program khusus yang memantau pelajar berkenaan perlu diwujudkan.

Katanya, program itu perlu berkisar kepada program pemulihan, bimbingan dan kaunseling yang mendidik mereka supaya tidak menjalar kepada salah laku lebih berat.

“Kebanyakan program yang ada masa kini lebih kepada program pemulihan apabila seseorang pelajar itu benar-benar melakukan kesalahan atau jenayah berat.

“Sedangkan salah laku mereka sepatutnya disekat apabila mereka memulakan kesalahan kecil. Bila ini dilakukan, kita percaya indeks jenayah juvana membabitkan kes lebih besar dan berat akan menurun,” katanya.

Menurut Lee, bagi menjamin kes juvana berkurangan, ibu bapa, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat perlu memainkan peranan.

“Pada masa kini, kita melihat sukar mendapat kerjasama semua pihak bagi menangani masalah ini. Kebanyakan hanya menyerahkan tanggungjawab berkenaan pada sesuatu pihak seperti pihak berkuasa, sedangkan kes dilakukan pesalah juvana berlaku di depan mata masyarakat.

“Oleh itu, kita berharap apabila terlihat perbuatan salah laku pelajar itu di depan mata, ambil tindakan dengan menegur mereka, dan jika khuatirkan keselamatan, ambil gambar salah laku mereka dan laporkan pada pihak berkuasa.

“Ini sedikit sebanyak mampu menimbulkan perasaan takut di kalangan remaja untuk melakukan jenayah,” katanya

Monday, May 2, 2011

Kesihatan anak-anak ; Siapa yang harus bertanggungjawab?

Kekangan masa jadikan makanan segera sajian utama di rumah

SEORANG menteri Kabinet pernah mengadu mengenai kerenah anaknya yang ‘mengada-ngada’, mengeluh apabila pendingin hawa kereta rosak dalam perjalanan balik dari sekolah, bersama pemandunya. Menteri terbabit pada mulanya rasa cemas apabila mendapati banyak panggilan telefon anaknya tetapi gagal dijawab kerana telefon bimbit dimatikan ketika sedang menghadiri mesyuarat di pejabat.
“Saya terpaksa keluar dari bilik mesyuarat untuk membuat panggilan dan terkejut, alasan anak saya membuat panggilan ‘kecemasan’ ialah kerana kepanasan dalam kereta, sedangkan pemandu saya dah beritahu akan menghantar kereta ke bengkel selepas menghantar anak saya ke rumah,” katanya.
Itulah hakikatnya dan itulah juga senario zaman sekarang kerana anak-anak sudah berasa selesa hidup dalam keadaan kemewahan, bukan seperti zaman ayah atau datuk, nenek mereka dulu.

Malah, kesibukan ibu bapa terutama apabila kedua-duanya bekerja juga menyebabkan anak ‘dididik’ untuk makan di luar termasuk membeli nasi bungkus dan nasi lemak. Burger dan hotdog juga menjadi kegemaran selain nuget dan minuman dalam tin, turut disediakan di dalam peti sejuk untuk makanan anak, takut kelaparan bila balik dari sekolah.

Pada hujung minggu, dibawa pula anak ke restoran makanan segera seperti KFC dan McDonalds’, untuk memenuhi kehendak anak semata-mata selain kegemaran menjamah nasi lemak yang bagaikan satu kewajipan terutama bagi orang Melayu.

Apakah benar kata orang, didikan manja dari segi makanan di rumah inilah menjadi puncanya murid lebih cenderung untuk mengambil makanan yang tidak sihat di kantin sekolah? Apakah benar kata orang, jika murid tidak suka makan sayur dan buah-buahan di sekolah, maknanya dia tidak diasuh untuk makan makanan berkhasiat seperti itu di rumah?

Peningkatan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar dengan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti. Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah.

Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar.

Berikutan itu, makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan 'tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan depan. Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.

Begitu pun, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung menu makanan berkhasiat yang sesuai dijual di kantin sekolah termasuk nasi lemak secara bergilir kerana belum ada perbincangan dengan semua pihak berkaitan setakat ini. Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan tidak akan membuat keputusan mendadak sehingga menyusahkan banyak pihak termasuk pengusaha kantin, sebaliknya mengambil kira pelbagai aspek dan akan memberi masa berpatutan kepada pengusaha mengubah suai menu mereka.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama 15 badan bukan kerajaan (NGO) pula mahu Kementerian Kesihatan menarik semula keputusan menetapkan jualan nasi lemak dua kali seminggu mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Sebenarnya, peranan untuk mengelakkan kegemukan pelajar sekolah tidak harus terbatas kepada kantin atau pengurusan sekolah semata-mata. Sebaliknya, ia perlu dipikul bersama termasuk pakar pemakanan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi nasihat kepada pelajar serta keluarga mengenai menu seimbang.

Sekolah cuma sebahagian masa mereka di situ kerana banyak masa diluangkan di luar sekolah dan menjadi tanggungjawab keluarga membimbing anak mereka supaya tidak mengambil makanan terlalu berlemak dan kandungan zat kurang.

Apabila meneliti maklum balas daripada pelayar versi online akhbar ini mengenai jualan nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu di kantin sekolah, mereka bagaikan berbelah-bahagi. Misalnya, bagi jawapan ‘Wajar kerana pelajar akan memakannya setiap hari’ dipersetujui sekitar 25.3 peratus atau 1,626 pelayar manakala jawapan ‘Tidak wajar kerana bukan setiap hari pelajar memakannya’ menerima respons 31.28 peratus atau 2,005 pelayar. Jawapan ‘Wajar kerana ia punca obesiti’ dipersetujui 13.25 peratus (849 pelayar) dan jawapan ‘Tidak wajar kerana ia bukan punca obesiti’ dipersetujui 30 peratus (1,929), sehingga tengah hari semalam.

Ini bermakna, majoriti tidak bersetuju dan mereka berpendapat adalah tidak wajar 70 jenis makanan termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya di kantin sekolah.

Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata obesiti sebenarnya disebabkan pelbagai punca makanan, namun peraturan baru itu permulaan baik dalam memastikan pelajar mendapat makanan sihat dan seimbang di sekolah sebelum ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memastikan amalan baik diteruskan.

Pelajar adalah ibarat kain putih yang boleh diwarnai. Mereka akan makan apa saja yang kena dengan selera tanpa mengira sama ada makanan berkenaan berkhasiat atau tidak. Di sinilah peranan guru untuk mendidik dengan teori amalan makanan sihat dan di rumah pula, ibu bapa mengamalkannya untuk hidangan anak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rasuah : Kenikmatan dan Kesengsaraan?

Penjawat awam digesa tingkat jati diri banteras gejala negatif


RASUAH adalah jenayah yang perlu ditangani secara terus dan bersepadu oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira pegangan politik, agama, bangsa dan latar belakang kehidupan. Sekiranya tiada usaha memeranginya pada peringkat awal, gejala rasuah ini akan semakin berleluasa dan menular.


Ini akan memberi kesan negatif kepada institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara selain menjejaskan kestabilan ekonomi.
Bersempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini, satu pembaharuan jati diri penjawat awam diperlukan khususnya berkaitan isu rasuah dan secara dasarnya mereka semakin memahami jenayah membabitkan rasuah bukan saja tidak menguntungkan, tetapi boleh memakan diri sendiri, sekali gus memecahbelahkan keluarga dan masyarakat.
Bagi memperoleh gambaran jelas mengenai jenayah itu, Pensyarah dan Kaunselor Berdaftar bidang Bimbingan & Kaunseling di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din menyifatkan kesalahan rasuah itu berupaya merosakkan minda dan akhlak masyarakat sekiranya tidak dibasmi dari akar umbi.


Mohamed Fadzil berkata, disebabkan rasuah adalah penyakit sosial, selain bersifat anti kepada kehidupan harian, masyarakat perlu berganding bahu bagi menghentikan aktiviti rasuah, selain memahami konteks perbuatan rasuah secara jelas.


“Sebagai kelompok masyarakat tidak kira ahli politik, berlainan latar belakang, bangsa dan agama, kita seharusnya faham bahaya rasuah terhadap perkembangan sosial negara. Rasuah adalah aktiviti tidak bermoral yang boleh menjatuhkan jati diri dan martabat negara dan pendidikan awal mengenai rasuah harus diajar kepada anak kecil sejak di rumah lagi,” katanya.


Beliau berkata, aktiviti SPRM yang semakin menampakkan keberkesanan dalam memerangi rasuah perlu dipuji dan disokong. Bagaimanapun, katanya, tidak wajar jika SPRM dipolitikkan sesetengah parti politik yang mahu menumpang kemasyhuran.
“Penjawat awam khususnya, perlu berani dan mengaku jika mereka bersalah dan usah menggunakan taktik helah bela diri hanya kerana tidak mahu aibnya dibuka,” katanya.


Berdasarkan statistik penangkapan SPRM pada 2010, 414 pemberi rasuah dilaporkan berbanding 2009, iaitu hanya 91 kes membabitkan pemberi rasuah dilaporkan. Oleh itu, bilangan pemberi rasuah ditahan meningkat 355 peratus dan ia menunjukkan SPRM bekerja kuat bagi memerangi rasuah dalam negara ini.


Yang Dipertua Pertubuhan Pendidikan Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Shahrul Nizam Yunus turut berkongsi pendapat isu pembasmian rasuah oleh kerajaan dan padanya ia langkah terbaik dekad ini yang mana usaha kerajaan itu membuahkan hasil.


Beliau berkata, akibat usaha berterusan oleh SPRM khususnya, kebanyakan masyarakat di negara ini mula berbicara berhubung rasuah, malah ia dijadikan topik perbualan ketika waktu makan tengah hari atau sembang petang.


Shahrul berkata, perbualan mengenai masalah rasuah oleh masyarakat awam membuktikan tahap kesedaran berhubung bahaya rasuah timbul dalam diri masing-masing dan tambahan pula, perbuatan rasuah sememangnya bertentangan dengan agama Islam.


“Dalam usaha membantu kerajaan, masyarakat perlu menjadi telinga dan mata SPRM, iaitu melaporkan sebarang perbuatan rasuah yang mereka lihat dan dengar dengan segera. Dengan bantuan seperti ini, saya rasa gejala rasuah bukan saja akan berkurangan, tetapi boleh dihapuskan,” katanya.


Secara amnya, rasuah adalah perbuatan yang memerlukan persetujuan dua pihak, iaitu pemberi dan penerima dan jika salah seorang daripada mereka memungkiri janji, maka sesuatu transaksi rasuah tidak akan berjaya.


Panel Perunding dan Pencegahan Rasuah, Syed Akbar Ali pula berkata, lazimnya masyarakat umum menghadapi tekanan rasuah apabila mereka berurusan dengan jabatan kerajaan atau badan kerajaan yang diswastakan.


Tambah beliau gejala buruk rasuah memberi kesan yang mendalam dan beracun, malah rasuah akan menjadikan generasi masa depan lebih miskin.


Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Othman pula berkata, penjawat awam harus lebih berwaspada dengan mereka yang sering memperdayakan mereka, terutama yang berkaitan isu penguat kuasa dengan segelintir masyarakat sentiasa cuba merasuah penjawat awam demi kepentingan diri.


“Masyarakat tidak perlu memandang negatif dan meletakkan 100 peratus jenayah rasuah terhadap penjawat awam berikutan tidak semua melakukan kesalahan itu. Kadang-kadang perbuatan rasuah berlaku akibat segelintir individu yang gemar memperalatkan penjawat awam untuk memenuhi kehendak mereka,” katanya.


Beliau berkata, laporan media berhubung isu penangkapan penjawat awam akibat kesalahan rasuah harus dijadikan pengajaran kepada kakitangan awam lain dan seelok-eloknya amalkan gaya kerja sihat dan jangan mudah menjatuhkan martabat perkhidmatan awam hanya kerana sogokan.


Sumber : http : //www.bharian.com/