Saturday, August 7, 2010

6 langkah Untuk Kita Berjaya

Oleh KAMARUDDIN HASSAN
APAKAH sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah tinggi? Mengapa mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan, sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda masalah?

Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah.

Penulis menemui jawapan ini dalam buku Tough Times Never Last, But Tough People Do oleh Dr. Robert H. Schuller. Justeru, penulis ingin berkongsi dengan pembaca akhbar Utusan Malaysia petua untuk menuju kejayaan. Keenam-enam petua ini adalah dipetik daripada buku tersebut.

1. SETIAP INSAN YANG HIDUP MEMPUNYAI MASALAH

Apakah masalah yang anda hadapi sekarang? Adakah ia disebabkan anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan, semua masalah akan lenyap. Umum tahu bahawa mereka yang mempunyai pekerjaan juga mempunyai banyak masalah.

Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun awal pagi untuk pergi ke tempat kerja pada setiap hari bekerja. Terdapat juga ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.

Sesetengah orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai pula ketua yang menghadapi masalah, sama ada dari segi perhubungan antara kakitangan atau pun pengurusan kakitangan.

Jadi, bagaimanakah keadaan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, malah ia melahirkan satu masalah yang baru pula. Kita haruslah terima keadaan ini sebagai satu hakikat hidup seharian di dunia ini.

2. JANGKA MASA TERHAD

Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.

Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh ke belakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kemanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju ke mercu kejayaan secara perlahan-lahan.

3. SETIAP MASALAH HARUS MEMPUNYAI PENGARUH POSITIF

Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun untuk orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal bisnes yang menguntungkan orang lain.

Sebagai contoh, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang penasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai seorang muflis.

Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain pula.

4. SETIAP MASALAH BOLEH MENGUBAH SIKAP ANDA

Sebagai contoh, kita kadangkala bersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi apabila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.

Sebenarnya, dia dahulu bekerja sebagai seorang guru. Tetapi bagi dia, kerjaya guru menjemukan sehinggakan telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya dan akhirnya diberhentikan kerja.

Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, dia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa dia juga boleh berjaya dalam hidup.

Kini, dia bersyukur kerana peristiwa dibuang kerja telah membuatkan dia berasa sangat marah sehingga dia bertekad untuk terus berusaha sehingga berjaya.

5. PILIHAN MENGAWAL MASALAH

Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, ini bermakna anda telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri.

Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri anda sendiri untuk menentukannya.

6. SETIAP MASALAH MEMPUNYAI TINDAK BALAS

Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang menyulitkan. Ini kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukanlah satu perkara yang mudah.

Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini, apakah tindakan positif yang harus diambil? Melarikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum arak sehingga mabuk atau sebagainya?

Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.

Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang.

Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil adalah secara undang-undang dan terhormat, iaitu menerima perintah diisytiharkan sebagai seorang muflis oleh mahkamah.

Ringkasnya, sekiranya anda tidak dapat menyelesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya.

PENULIS adalah seorang bekas pengurus di sebuah syarikat GLC

Sumber : http : //www.utusan.com.m

Peperiksaan - Tujuan dan Kepentingan




Oleh Dr Zaini Ujang


Kerangka ujian perlu dibentuk selaras dengan keperluan sistem pendidikan moden

SELAIN menentukan pencapaian seseorang pelajar, peperiksaan perlu dirangka supaya menjadi sebahagian kaedah menggalakkan pembelajaran, penyuburan budaya ilmu dan pemantapan budaya inovasi. Banyak kajian merumuskan bahawa peperiksaan untuk tujuan penanda aras pencapaian semata-mata tidak dapat mendorong minda dan minat pelajar untuk bersifat kreatif dan inovatif.

Sehubungan itu, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menganjurkan bengkel pengurusan skenario selama dua hari bermula 3 Ogos lalu untuk mendapatkan pandangan pakar dan pihak berkepentingan. Ini selari dengan inisiatif Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula kaedah pelaksanaan sistem penilaian pendidikan, terutama pada peringkat sekolah.

Memang dimaklumi bahawa peperiksaan masih diperlukan. Namun peperiksaan tidak lagi boleh dilaksanakan secara konvensional dan berorientasi kertas soalan semata-mata. Dalam konteks pendidikan, banyak kaedah penilaian pencapaian pelajar boleh digunakan seperti pengujian secara anjal termasuk penilaian berasaskan aktiviti di sekolah dengan penekanan lebih terhadap aspek praktikal.

Peperiksaan juga perlu dirangka agar menjadi pendorong supaya pelajar sentiasa ingin belajar dan meningkatkan kefahaman ilmu secara berterusan, tidak hanya terikat kepada musim peperiksaan untuk menjawab kertas soalan. Di samping boleh memahami sesuatu kandungan dalam sesuatu disiplin ilmu, peperiksaan juga perlu dirangka bagi meningkatkan integriti. Bukankah salah satu etika dalam peperiksaan ialah menjawab secara jelas berasaskan kefahaman, tidak meniru apatah lagi menipu.

Jika difahami dengan setepatnya dan dirangka sebaiknya, peperiksaan dapat menyuburkan minda kreatif dan inovatif. Menerusi kaedah penilaian berterusan sepanjang tahun sebagai contoh, maka seluruh aktiviti pelajar dalam dan luar bilik darjah boleh diolah supaya proses pembelajaran dapat dijalankan secara lebih bersahaja, holistik dan menyeronokkan.

Kita perlu adil terhadap semua pelajar kerana setiap individu mempunyai keupayaan dan keistimewaan tersendiri. Kadangkala bakat besar dalam sesuatu bidang hanya menyerlah jika bakat itu disuburkan menerusi aktiviti pembelajaran berterusan, bukan di atas kertas peperiksaan yang perlu dijawab dalam tempuh dua atau tiga jam. Itulah rasionalnya maka seluruh aktiviti pembelajaran perlu dirangka supaya penilaian dapat dilaksanakan secara lebih holistik, adil dan seimbang.

Di sinilah perlunya kita memahami sifat dan tabii manusia dalam konteks penilaian proses pembelajaran. Selain perlu disesuaikan dengan pelbagai tuntutan zaman seperti permintaan pasaran kerja, kemahiran baru dan trend semasa dari segi penggunaan teknologi, kita juga perlu kembali kepada hakikat keinsanan manusia adalah sebaik-baik kejadian oleh Allah Yang Maha Pencipta.

Justeru, fakulti keinsanan meliputi fizikal, intelektual, emosi, spiritual dan bermasyarakat perlu digabungkan secara sepadu dalam semua aspek kehidupan, apatah lagi proses pembelajaran untuk menyerlahkan komponen sebaik-baik kejadian itu. Tidak tepat jika proses pembelajaran, termasuk penilaian dalam pendidikan formal hanya tertumpu kepada aspek intelektual. Besar kemungkinan hasilnya ialah manusia tidak seimbang yang mengabaikan tuntutan beretika, berintegriti dan beramal salih.

Islam mengajar kita bahawa keistimewaan dan kemuliaan insan sebagai khalifah di bumi hanya boleh direalisasikan dengan ilmu pengetahuan. Justeru sejak Nabi Adam di alam syurga, baginda diajarkan nama ciptaan Allah. Dengan ilmu itulah Nabi Adam mengajar malaikat. Kemudian Allah mengarahkan malaikat sujud kepada Nabi Adam tanda kemuliaan insan dengan ilmu dan takwa. Al-Quran merakamkan peristiwa ini secara naratif (Al-Baqarah: 30-35).

Dengan ilmu maka bercambahlah hikmah, iaitu tahap lebih tinggi daripada sekadar mengetahui. Dari sudut bahasa, hikmah mempunyai sembilan pengertian iaitu keadilan, menahan marah, kenabian, lawan kepada kejahilan, kebenaran, meletakkan sesuatu pada tempatnya, perkataan yang betul, mencegah kerosakan dan mengetahui sebaik-baik perkara dengan sebaik-baik ilmu. Sebagai contoh, pengertian hikmah mengenai mengetahui sebaik-baik perkara dijelaskan dalam doa Nabi Ibrahim: “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang yang salih” (As-Syuara’: 83).

Dalam konteks semasa, kreativiti dan inovasi boleh disuburkan menerusi konsep dan aplikasi hikmah. Dalam bidang perundangan misalnya, kreativiti dan inovasi diserlahkan dalam bentuk perumusan fatwa baru. Dalam bidang sains fundamental pula, kreativiti dan inovasi membabitkan paradigma, teori, formula dan klon baru. Sementara dalam bidang sains gunaan, kejuruteraan dan perubatan pula, kreativiti dan inovasi membabitkan kaedah, prosedur, sistem, produk dan jenama baru.

Menerusi kefahaman jelas mengenai tabii keinsanan maka mudahlah kita merangka sistem penilaian bagi proses pendidikan pada pelbagai peringkat. Pada prinsipnya, ilmu dalam pelbagai perlu digarap sebaiknya, kemudian dinilai secara berterusan, holistik dan adil bagi memungkinkan seluruh dimensi pembelajaran dan fakulti keinsanan disuburkan sebaiknya sehingga terhasil hikmah dan bercambah budaya inovasi.

Demikian pertalian antara peperiksaan, proses pembelajaran, ilmu dan hikmah dalam konteks budaya inovasi. Secara konstruktif, budaya inovasi merujuk kepada kesediaan berubah, mencuba perkara baru dan cara baru dalam seluruh aspek kehidupan untuk kemakmuran, kedamaian, kesenangan, kesejahteraan dan kelestarian menerusi penyelesaian kreatif. Hasilnya ialah masyarakat yang kukuh dengan nilai ilmu dan hikmah yang memungkinkan bukan saja terbina sistem ekonomi berasaskan inovasi, malah negara maju dan tamadun besar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my

Wednesday, August 4, 2010

FOKUS SPM 2010 - Tajuk Utama

TEMA PANAS
1. Pelancongan
2. Pendidikan
3. Pemuliharaan warisan
4. Tabungan /pelaburan
5. Kelestarian hutan
6. Telekomunikasi/ Jalur Lebar
7. Pembangunan Modal Insan
8. Ibu Mithali
9. Pengangkutan awam
10. Semangat patriotisme
11. Rasuah
12. Perpaduan nasional
13. Program TV Realiti
14. Jenayah Samun dan Siber
15. Industri Kraftangan

Sekadar untuk panduan....Kuasai semua tajuk dengan sebaik mungkin.

Tuesday, August 3, 2010

Remajaku - Mana Hala Tujumu

Hari ini remajuku tanpa cita
Hari ini remajaku tanpa rasa
Hari ini remajaku dimamah usia

Remajaku,
Masa terus berlalu pergi
Semalam kita tinggalkan tanpa nesan
Tanpa rasa kerugian
Biarpun kita sedari
Kita telah jauh ditinggalkan

Pemimpin bangsaku kian lemah
Pewaris bangsaku kian lemas
generasi bangsaku kian hanyut
tanpa arah, tanpa pedoman
menuju hari-hari mendatang

Ilmu yang dikendong tanpa amal
Jiwa bercelaru
Hati keluh kesah
Perasaan bergelodak
Tanpa usaha membendung rasa
Hanyut dibuai mimpi ngeri

Lihatlah,
Disiplin terus dinoda
Arak diteguk tanpa rasa hina
dadah terus bermaharajalela
Perut wanita terus membesar
tanpa nasab yang nyata
Maruah dilonggok tanpa harga
Mat rempit dijalan-jalan raya
Semuanya...adalah remaja

Dimana ibu bapa
Dimana jiran tetangga
Dimana guru pembimbing bangsa
Dimana pemimpin yang berkuasa
Dimana juara yang sering berkata-kata
Untuk membela pewaris bangsa
yang terus dijajah minda

Bangunlah remajaku
jangan diikut rasa hati
jangan diturut naluri diri
jangan disia-siakan maruah terperi
kita masih mampu berdiri
untuk
membina bangsa beridentiti.

PPSMI Merugikan Bangsa - Siapa Yang Harus Dipersalahkan.

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.

Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA pagi ini.

Alasan-alasan itu, antaranya:


Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.


Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".


Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan.

Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya. [Baca teks penuh di sini]

Buang gelaran rasmi

Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".

"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata A Samad.


Sementara Muhammad (foto kiri) pula berkata: "Kalau diperlukan saya akan sampai ke sini juga, ditempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya."

"Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya.

"Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?" soalnya.

"Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."

Surat kepada PM

Muhammad juga menafikan dakwaan beliau lambat tampil memperjuangkan pemansuhan PPSMI, berbeza dengan A Samad sebelum ini yang lebih ke depan.

"Pertamanya, kalau tidak di depan televisyen atau suratkhabar, saya ini tidak berapa terpilih. Tetapi hal ini telah kita kerjakan dari awal lagi.

"Saya pernah siapkan surat kepada (bekas perdana menteri) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), kejar beliau di Putrajaya, beri surat itu.

"Tidak ada apa-apa (tindakan). Sewaktu saya di Tokyo, (saya) faks dari Tokyo. Lepas itu, macam-macam (tindakan) yang dikerjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menurut jejak A Samad untuk berkempen di pentas politik dan pada pilihanraya kecil demi memperjuangkan pemansuhan PPSMI, Muhammad berkata:

"Boleh kempen, tetapi saya bukan orang politik. Intelektual juga ada tempatnya. Biarlah kita profesional. Yang pandai berpolitik itu, silakan," katanya, seorang penulis terkenal dengan esei budaya.

Tiga lagi sasterawan negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.

Akan terus lawan


A Samad (foto kanan) menambah, kesemua sasterawan negara "akan terus berlawan" memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.

"Kita tidak boleh harap semua sasterawan negara membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain.

"Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan," kata pengarang itu yang terkenal dengan novel Salina.

Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, A Samad memberi amaran supaya ahli politik harus bersedia menghadapi "perlawanan" yang lebih hebat "jika tidak bersedia tunduk" pada desakan membatalkan PPSMI.

"Dan kalau ada yang bertanya saya, apakah akan dilakukan kalau kuasawan (ahli politik) ini tidak bersedia untuk untuk tunduk, (maka) perlawanan ini akan diteruskan dari belbagai sudut.

"Ertinya kuasawan harus bersedia menghadapi itu. Kita akan merakyatkan betul-betul (isu PPSMI), bahawa mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri."

Muhammad pula berkata, ruang perbincangan dengan menteri terbabit masih terbuka. Bagaimanapun keputusan yang dibuat hendaklah melibatkan kehendak rakyat terbanyak.

Pertikai meja bulat


Muhyiddin semalam berkata kajian badan bebas mendapat hasil berlainan dengan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya kerana pesertanya tidak bercakap berdasarkan fakta dan bukti.

Mengulas kenyataan menteri itu, Muhammad mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh kementerian tidak sama dengan butiran perbincangan meja bulat.

"Waktu saya menghadirinya, hampir 80 peratus tak bersetuju menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Tetapi akhirnya disimpulkan bahawa orang bersetuju.

"Saya masih ingat, yang bersetuju (ketika) itu hanyalah pegawai bank yang tidak tahu bercakap bahasa kebangsaan dan seorang lagi ibu kepada anak yang sedang bersekolah.

"Yang lain semua tidak bersetuju. (Wakil masyarakat) India dan Cina pun semua tidak bersetuju. Jadi, macam mana kesimpulan (boleh) jadi begini?" katanya.

Kejutkan dunia sastera


Awal Mac lalu, A Samad mengejutkan dunia sastera tanah air dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.

Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, terbaru Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S Othman Kelantan pada 2003.

Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai sasterawan negara ke-10.

Empat yang telah meninggal dunia: Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Datuk Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Syed Othman.

Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Noordin yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.

Sastera Warisan Melayu - Mengapa Terus Tersisih

TERLALU banyak persoalan dan kesan yang terbit daripada pertanyaan di atas, disabitkan dengan sistem pendidikan di negara ini; perkembangan ilmu pengetahuan; peminggiran sastera di sebalik pemerkasaan bidang sains dan teknologi; perkembangan industri buku; pemartabatan pengarang dan sasterawan; kepentingan harta intelek yang tidak menjamin kehidupan sasterawan; Hari Seniman, dan akhir sekali sikap kita dalam pembinaan tamadun negara bangsa Malaysia yang diselaputi pelbagai gejala yang penuh paradoks.

Semua persoalan ini berada pada pertanyaan yang dijadikan tajuk wacana ini. Sesungguhnya, kita sedang dikepung oleh ironi dalam pelbagai dimensi!

Ada orang yakin sangat dengan pepatah Melayu, 'melentur buluh biarlah semasa rebung'. Ini mungkin sebuah mitos belaka. Tetapi hal itu juga berkaitan dengan faktor psikologi. Ertinya ada kebenaran jika ditelusuri dengan sebaik-baik mungkin, kesan pada jangka panjang pertumbuhan biologi seseorang insan, sejak dia didedahkan dengan sesuatu perkara atau disuburi oleh persekitaran yang dialaminya sehinggalah dia dewasa, dan dapat berfikir sendiri.

Secara lebih praktis, kita tentu sahaja dapat menerima pemahaman 'melentur' itu sebenarnya adalah salah satu proses pendidikan secara alami. Kalau dia tidak diasuh dengan betul, ada kemungkinan besar nanti, dia tidak boleh menjadi manusia yang sempurna - hilang sifat-sifat manusiawinya.

Nah, kalau begitu, bermakna kerja-kerja mengasuh, mendidik dan membesarkan manusia itu seharusnya dianggap satu tanggungjawab penting. Kalau dalam Islam, mendidik adalah satu fardu kifayah, justeru Islam tentu saja tidak mahu umatnya menjadi bahlul.

Ertinya dalam Islam, Tuhan menghendaki hamba-Nya terdiri daripada orang yang soleh, orang yang berakal dan berilmu untuk berada di sisi-Nya.

Jika demikian, mudahlah kita mengambil iktibar, bahawa sekiranya kita mahu maju dan menjadi umat yang berkembang ilmu pengetahuan, akal budi dan agamanya, tentulah seseorang itu harus dididik dan diasuh sejak masa kecilnya lagi. Tidak mungkin dia terus menjadi baik apabila besar, tanpa melalui proses sosial atau proses pembentukan akhlaknya terlebih dahulu.

Bertolak daripada proses pendidikan itu, bagaimana caranya dapat kita 'melentur rebung' itu agar bidang dan ilmu sastera tidak bersifat marginal, tetapi menepati sasaran dan pembentukan akhlak warganegara yang cemerlang dan berhemah tinggi.

Marginalisasi pelajaran sastera sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, dan tinggi di negara ini, tidak harus dibiarkan tanpa kesudahan, kerana manfaat sastera itu banyak dan menguntungkan banyak pihak.

Malaysia sudah mempunyai beberapa buah sekolah seni, tetapi pendidikan sastera terus diabaikan. Di sekolah menengah, Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) diperkenalkan 10 tahun lalu, tetapi sayangnya dunia sastera yang diajar itu (isitilah lain 'menempel') dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Ini sudah tentu tidak menepati aspirasi pendidikan ilmu sastera itu sendiri. Paling ironi, di IPTA, di mana subjek sastera semakin disisihkan, baik pelajar mahupun oleh penguasa universiti yang sudah diselaputi virus kemaruk ketaksuban pada sains dan matematik, serta kebesaran pada bahasa Inggeris.

Sebelum ini, ada naib canselor yang mengarahkan kuliah bagi semua kursus (kecuali bahasa Melayu dan sastera Melayu) diajar dalam bahasa Inggeris? Fenomena songsang yang berlaku pada penguasa di menara gading itu juga harus dicantas dan digantikan dengan tokoh pendidik dan intelektual Melayu yang bervisi jauh, supaya mereka tidak terus rabun budaya dan bahasanya sendiri!

Kita tidak mahu tokoh yang menerajui bahtera bangsa itu terdiri daripada orang yang buta dan tuli budaya, bahasa dan bangsanya.

Ini adalah antara cabaran dan tantangan kepada Menteri Pelajaran dan Menteri Pengajian Tinggi. Janganlah ada orang yang akan mendidik rakyat negara ini daripada kalangan insan yang umpama 'kacang lupakan kulit' - mereka yang telah hilang teras nasionalisme dan patriotisme apabila amat ghairah hendak melakukan sesuatu yang baharu, tetapi sanggup menggadai maruah bahasa dan bangsanya.

Kerana proses pendidikan ini memakan masa panjang, dan membawa kesan yang berkekalan dalam diri manusia (rakyat) sepanjang hayat. Dengan ini apakah para penguasa dan mereka yang diamanahkan itu berasa tenang dan sentiasa berada di zon selesa walaupun memasuki pintu mahkamah di akhirat kelak?

Penulis ialah ahli Pena iaitu kerabat Gapena.
Sumber : http ://www.utusan.com.my/

Thursday, July 29, 2010

Guru Berpolitik - Bijak, Matang dan Proffesional

BERPOLITIK bagi golongan guru bukanlah baru. Sejarah pejuang bangsa untuk memerdekakan tanah air ini dahulu pun terdiri daripada kalangan pendidik, malah mereka dipandang tinggi dalam masyarakat.
Kelibat guru dalam politik berkurangan apabila larangan ke atas kumpulan pengurusan dan pegawai kerajaan kumpulan A termasuk guru berijazah dibuat pada tahun 1990-an.

Kini, bermula 1 Ogos depan, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan membabitkan diri dalam politik. Berita baik ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Terdahulu hanya guru yang berada pada kategori bukan siswazah iaitu DGA29 hingga DGA38 dibenar menyertai politik.

Pembabitan semula kumpulan guru ini dalam bidang politik dilihat mampu melahirkan idea baru, tambahan pula mereka dekat dan dihormati masyarakat setempat.

Tiada salah guru kembali aktif berpolitik asal mereka mempunyai minat dan bersikap profesional.

Soal kebimbangan guru mungkin mengabaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa apabila terlibat dalam politik sebenarnya tidak timbul kerana kita yakin mereka boleh menguruskan masa dengan baik.

Kita tidak nafikan pada masa sekarang pun, ada guru secara senyap-senyap terbabit dalam politik. Daripada mereka melakukannya secara rahsia, lebih baik kerajaan memberikan kebenaran.

Kepada guru yang ingin bergiat aktif dalam politik, mereka dinasihatkan sentiasa bertanggungjawab kepada kerjaya dan politik.

Guru bebas untuk menyertai mana-mana parti politik, tetapi mereka perlu bersikap adil dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Sekiranya ada guru yang taksub kepada mana-mana parti politik, janganlah mereka bawa sentimen atau emosi ke dalam kelas dan kawasan sekolah.

Jika hal-ehwal perjuangan parti politik dibawa ke sekolah, dibimbangi perpecahan dalam masyarakat negara ini bertambah buruk.

Sebaliknya, golongan guru diharap menggunakan kepakaran mereka untuk memimpin semula anak muda memahami perjuangan agama, bangsa dan negara, selain memberi nafas baru dengan cetusan idea yang bernas untuk dimanfaatkan semua pihak.

Apa pun pemansuhan larangan guru siswazah berpolitik perlu disertai kawalan bagi memastikan kelonggaran itu tidak disalah guna. Syarat-syarat ketat perlu guru patuhi supaya tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan pembabitan mereka dalam politik.

Pun begitu, kita sokong kebenaran berpolitik itu membabitkan guru gred DG41 hingga DG48 iaitu guru siswazah biasa. Jika ia membabitkan guru yang berada pada gred lebih tinggi dikhuatiri beban tugas mungkin terjejas dengan aktiviti tambahan di luar sekolah.

Dengan kebenaran ini juga kita mengharapkan guru terbabit mampu memberi sumbangan dalam menjalankan dua tanggungjawab serentak. Kepada guru yang bercadang menyertai parti politik, bijaklah mengurus masa dan tenaga supaya tidak wujud sebarang konflik yang akhirnya menjejaskan tumpuan hingga mengabaikan tugas hakiki yang sepatutnya diberi keutamaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/