Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Amalan Gaya Hidup Sihat
Amalan gaya hidup sihat adalah cara
hidup yang boleh mengurangkan pelbagai risiko penyakit kronik pada masa hadapan. Namun
demikian, pelbagai masalah telah menimpa ribuan rakyat Malaysia kerana mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif
dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara
hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang
mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan.
Oleh itu, untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti
sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia
perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Pepatah Melayu ada menyatakan mencegah lebih baik daripada mengubati. Ini menggambar, pelbagai usaha harus dilakukan untuk mengelakkan kita daripada menghadapi pelbagai gejala penyakit. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah
semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga
mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Sudah terang
lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup
sihat dalam kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan
gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan
anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang
bermaksud pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar
yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta
serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrien
kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah
kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang
makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam
dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka
apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman
berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa
kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah
diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu
bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk
amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti
bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Aktiviti ini bukan sahaja akan
menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi
lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana
peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama
toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi
terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan
sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara
aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang
serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman
ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa
pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat
meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah,
badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti
senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat
dipupuk.
Di samping
itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan
kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu
bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan
sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan
kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di
peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden
kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu
bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu
menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati
anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa
dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang
dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi
nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya,
pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya
hidup sihat.
Ibu bapa
juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan
kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar
daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi,
berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan
hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga
perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan
seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik
agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang
bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan
aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus
dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya
hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa
yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa
juga seyogia mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga
kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu
dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit.
Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah
setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga.
Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman
perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran
mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan
agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu
bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar.
Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri
anak-anak mereka sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada
pelbagai penyakit.
Gaya hidup
yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka
yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain
didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka
bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan
masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan
efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama
anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya
dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh
gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi
berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta
mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi
yang positif.
Pada masa
yang sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting untuk
menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif
menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda
kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh
cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu
persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak
menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada
pakar motivasi ataupun rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana
tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif
seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan.
Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya
hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak.
Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah
positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak
sehingga mereka dewasa.
Tambahan
pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa
perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada
saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi
bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang
sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana
acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan
sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan
yang mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung
kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi
kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung.
Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa
simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan
bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan
bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan
dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa
berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi
orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup
yang sihat.
Akhir sekali,
bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar
anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan
anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas
semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia
remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur
dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur
selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya,
mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan,
pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam
peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu
bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan
mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup
sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Jika
mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang
bersangkut isu peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak.
Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara
ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas
perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak
kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia
haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis,
obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam
jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala kelemahan perlu
ditangani sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar
helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita
laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata
pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
No comments:
Post a Comment