Sunday, April 12, 2015

Latihan Kemahiran Berbahasa


Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]

Jawab semua soalan.
(a)  Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i)                 mentah-mentah

(ii)               hidup-hidup

(iii)             diam-diam

(iv)             siang-siang

(v)               senyap-senyap

(vi)             jauh-jauh

[ 6 markah ]

(b) Tukar  ayat cakap ajuk di bawah kepada ayat cakap pindah tanpa mengubah maksud asalnya.

(i)                 “Tuanku, janganlah berasa khuatir kerana patik akan pastikan lanun-lanun itu ditangkap dan  dihukum,” kata Laksamana Hang Tuah kepada sultan.

(ii)               “Mengapakah kamu lewat? Sudah hampir satu jam aku menunggu di sini,” kata Amira kepada Ellina.

(iii)             “Kamu salah seorang pelajar cemerlang. Tentu rugi jika kamu tidak mahu menyambung pelajaran,” kata Cikgu Ali kepada Faizal.

[ 6 markah ]

(c)      Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan   penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.
      NGO alam sekitar telah membantah usaha sebuah syarikat pembalakan yang melakukan kerja-kerja pembalakan yang mendekati dengan kawasan menadah hujan. Bantahan mereka telah dimaklumi kepada Perdana Menteri menerusi mesin faksimili. Mereka telah mengadakan demotrasi secara aman di hadapan ibu pejabat syarikat berkenaan. Isu ini telah mendapat liputan daripada media masa di dalam dan di luar negara.

                                                                                                                  [ 6 markah ]

(d)    Dalam setiap ayat di bawah  terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

 (i)                 Semua penduduk yang mempunyai pendapatan hendaklah menghantar Borang Tafsiran Cukai masing-masing di Lembaga Hasil Dalam Negeri pada setiap tahun.

(ii)               Beberapa orang pegawai DBKL ditugaskan untuk menyemak keadaan di tempat yang sering berlaku banjir kilat di Kuala Lumpur dari masa ke semasa.

(iii)             Hadiah yang mereka beli itu akan diagihkan kepada Puan Nora ketika mereka melawatnya di hospital nanti.

[6 markah]

(e)      Baca ayat-ayat  di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan  peribahasa  yang
          sesuai dengan  situasi dalam ayat-ayat yang berikut.

(i)                  Musliha berasa kesal menceritakan masalah rumah tangganya kepada Soleha. Dia berharap agar Soleha tidak menceritakan masalahnya itu kepada orang lain. Malangnya, Soleha tidak menepati janjinya. Kini hampir sernua rakan sepejabat tahu akan masalah rumah tangganya.
(ii)                Dolah, Hakim, dan Lokman bersusah payah melukis mural di dinding sekolah. Ketua kumpulan mereka, Zahid, hanya membantu sedikit dan selalu menghilangkan diri semasa bertugas. Namun dalam perhimpunan sekolah, pengetua asyik memuji Zahid. Hal ini menyebabkan Dolah, Hakim, dan Lokman berasa tidak puas hati kerana mereka yang bersungguh-sungguh tetapi orang lain pula yang mendapat pujian.

(iii)             Setelah lima tahun bekerja di Amerika Syarikat, Jefri mengambil keputusan untuk balik ke Malaysia. Walaupun pendapatannya di sana besar, tetapi dia berasa kurang seronok tinggal di rantau orang. Dia ingin tinggal dan bekerja di negara sendiri.

 (Sila PM saya jika ingin mendapatkan skema jawapan)

1 comment: