Sunday, November 4, 2012

Ulangkaji Bahagian Novel SPM 2012


Novel yang saya pelajari ialah novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Terdapat beberapa kritikan sosial yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam novel  tersebut.

            Antara kritikan sosial termasuklah sikap masyarakat yang memandang rendah atas keupayaan orang lain atas sebab-sebab tertentu. Sikap ini dapat ditunjukkan melalui watak Datuk Johari. Contohnya, Datuk Johari tidak mahu menghargai kebolehan Hilmi yang sudah berjaya menjadi seniman agung. Walaupun dia diberikan tiket untuk menonton Pertunjukan Orkes Perdana tetapi dia memulangkan tiket itu kepada orang yang memberinya kerana dia menganggap kebolehan dan bakat Hilmi tidak ke mana-mana. Hal ini disebabkan  Hilmi hanya lulus setakat darjah empat sekolah Melayu. Bukan itu sahaja, dia tidak mahu menyebut nama Hilmi apabila Datin Salmah mengajaknya untuk menonton pertunjukan itu.
            Kritikan sosial yang seterusnya yang ingin diterangkan oleh Abdullah Hussain ialah sikap masyarakat yang mementingkan status dan kedudukan sosial. Sikap ini telah jelas dipaparkan oleh watak Datin Salmah. Datin Salmah yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga kaya berasa amat bangga, sombong, dan mementingkan kedudukan. Misalnya, Datin Salmah mahu orang menghormatinya, malah dia suka orang menyebutnya ‘Datin’ ketika menyapa dan berbual dengannya. Oleh itu, apabila Hilmi memanggilnya dengan panggilan Mak Cik Salmah, dia rasa tersinggung. Di samping itu, apabila Mak Cik Minah melayani Hilmi dengan baik dan menyapanya dengan menggunakan perkataan ‘Encik’, Datin Salmah memarahi Mak Minah sehingga Mak Minah melongo apabila mendengar kata-kata Datin Salmah. Oleh itu, didapati Datin Salmah bukan sahaja tidak mahu melayani Hilmi dengan baik, malah juga melarang pembantu rumahnya memberi layanan yang baik dan berencik-encik kepada Hilmi.


KRITIKAN SOSIAL NOVEL PAPA

1.   Mengingkari perintah Tuhan dan melakukan dosa – Encik Muaz al-Khalibi telah menodai pengemas biliknya sehingga mengandung, namun enggan bertanggungjawab. Sebagai akibatnya, pengemas rumah warga Indonesia itu meninggalkan Rasylan yang baru dilahirkan di tepi sebuah longkang besar.
2.      Iri hati dan mempengaruhi orang untuk membenci seseorang – Murni menghasut rakan sekelas yang lain agar memusuhi Intan Julia.
3.   Dendam yang berpanjangan - Datuk Mustakim melanggar ibu bapa Jeffri ketika pulang dari solat tarawih. Bapanya meninggal dunia manakala ibunya lumpuh. Jeffri berasa marah kerana Datuk Mustakim tidak berhenti selepas kemalangan itu walaupun dia menanggung kos rawatan ibunya hinggalah ibunya meninggal dunia. Rasylan mencadangkan agar papa Julia, Jeffri bertemu dengan Datuk Mustakim tetapi papa Julia enggan.


i) Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelakari, bincangkan tiga kritikan penulis terhadap kepincangan yang berlaku dalam masyarakat.

            Novel yang teleh saya kaji ialah Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Pengarang telah mengkritik beberapa kepincangan yang berlaku dalam masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut.

            Antara kritikan penulis ialah penulis mengkritik masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, Datuk Johari telah meninggalkan kampungnya bersama surat perceraian untuk isterinya pada malam pengantin dan terus berhijrah ke Kuala Lumpur. Kesan kepada peristiwa ini ialah bapa Datuk Johari telah bergaduh besar dengan bapa bekas isteri yang ditinggalkan oleh Datuk Johari. Hubungan antara dua keluarga tersebut hampir pincang. Peristiwa ini selesai apabila sepupu Datuk Johari, Karim menawarkan diri untuk mengahwini bekas isteri Datuk Johari. Peristiwa ini menunjukkan sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab yang boleh membawa menjejaskan hubungan kekeluargaan.

            Selain itu, penulis mengkritik masyarakat yang mementingkan status diri. Tamsilnya, Datin Salmah sering mengejek Hilmi kerana dia hanya mempunyai pendidikan setakat darjah empat sekolah Melayu. Dia tidak menyenangi kehadiran Hilmi yang datang dari kampung di rumahnya walaupun Hilmi merupakan anak saudara suaminya. Datin Salmah tergamam apabila Hilmi tidak membahasakan dirinya sebagai ‘datin’ sebaliknya memanggilnya ‘mak cik’. Datin Salmah juga sentiasa mencari peluang untuk mengusir Hilmi dari rumahnya selepas termakan dengan hasutan kakaknya, Datin Laila demi menjaga maruahnya. Hal ini menunjukkan sikap sesetengah masyarakat yang lebih mementingkan status daripada hubungan persaudaraan.

            Di samping itu, penulis juga mengkritik masyarakat yang menghasut. Misalnya, apabila Mohsin yang sedang mengisi minyak motokar ternampak Hilmi yang sedang bekerja di stesen minyak, dia memberitahu tauke stesen minyak itu bahawa Hilmi pernah menjadi tukang kebun di rumah Datuk Johari, tetapi lari dari situ. Dia meminta tauke stesen minyak itu supaya memecat Hilmi dan jika tidak, dia tidak akan pergi mengisi minyak di situ lagi. Peristiwa ini memaparkan bahawa masih terdapat lagi sikap masyarakat yang suka menghasut dan menabur fitnah kepada orang lain demi kepentingan diri yang akan menjejaskan kehidupan orang lain.

Rangka Novel Papa

1. Masyarakat yang percaya akan perkara yang karut
- Mak Cik Noraini kurang senang dengan tindakan papa menyediakan kelengkapan kelahiran bayi lebih awal, iaitu ketika kandungan mama baru berusia lima bulan kerana menurut kata orang tua-tua, perkara itu tidak baik.
2. Masyarakat yang bersikap cemburu
- Rasylan berasa cemburu apabila melihat Julia ditegur oleh pelajar yang lebih senior
3. Masyarakat yang mudah memandang serong terhadap seseorang
- Papa tidak suka Julia berkawan rapat dengan Rasylan setelah mendapat tahu latar belakang ibu bapa Rasylan yang tidak diketahui asal usulnya.


Berdasarkan novel yang anda pelajari, wajarkah pengarang menjudulkan novel itu dengan judul tersebut? Berikan alasan anda. (7 markah)

            Berdasarkan novel yang telah saya kaji, iaitu novel Papa...(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof, saya berpendapat bahawa pengarang wajar menjudulkan novel itu dengan judul tersebut.

            Antara sebab saya bersetuju dengan judul tersebut ialah papa Julia, Jeffri akhirnya menangis juga selepas mama menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan papa. Selama ini, papa seorang yang tabah menerima segala dugaan yang menimpa keluarganya. Dia reda menerima ketentuan Ilahi. Walaupun anak kembar Siam papa meninggal dunia, papa tidak mengeluarkan air matanya. Namun begitu, air mata papa tewas apabila insan yang paling disayanginya, mama pergi buat selama-lamanya. Buktinya, Julia melihat kelopak mata papa berair dan jatuh ke pipinya buat kali pertamanya.

            Selain itu, papa juga tewas dalam membuktikan kesetiaannya kepada mama. Papa telah berjanji akan setia kepada mama. Namun begitu, papa telah memungkiri janjinya dengan berkahwin buat kali kedua dengan Aisyah lantaran kesunyian hidup. Hidup papa sunyi kerana mama koma selepas melahirkan anak kembar Siamnya. Tindakan papa yang tidak mengotakan janjinya kepada mama telah mengecewakan mama dan akhirnya, mama meninggal dunia selepas papa memperkenalkan isteri baharunya kepada mama.

        Demikianlah alasan-alasan yang membuktikan kewajaran penulis menjudulkan novel itu dengan judul yang telah diberikan.


KESESUAIAN JUDUL KONSERTO TERAKHIR
  1.  Watak utama, Hilmi telah banyak menganjurkan konsert sebelum ini di merata-rata tempat, termasuk di Kota Bharu, Kelantan sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan D.Y.M.M. Sultan Kelantan. Konsert yang dianjurkan oleh Hilmi medapat sambutan daripada peminatnya. Atas kejayaan Hilmi memenangi pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM selama tiga tahun berturut-turut, maka Hilmi diberi penghormatan untuk memimpin orkesnya dengan gabungan orkes RTM dalam satu Pertunjukan Orkes Perdana yang dihadiri oleh D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, dan pembesar-pembesar negeri. Pertunjukan itu ialah pertunjukan terakhir yang dijayakan oleh Hilmi walaupun dia tidak dapat memimpinnya pada malam itu kerana dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia. Jadi, pengarang menamakan novel itu Konserto Terakhir
  2. Peminat Hilmi tidak dapat lagi menonton konsertnya selepas Pertunjukan Orkes Perdana, iaitu konsert terakhir yang sepatutnya dipimpin oleh Hilmi kerana Hilmi meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur menjelang subuh selepas Pertunjukan Orkes Perdana. Oleh itu, peminat tanah air tidak lagi berpeluang untuk menyaksikan konsert yang dipimpin oleh Hilmi, tetapi hanya dapat menghayati lagu-lagu ciptaannya melalui lagu-lagu yang telah dirakamkan.
(i) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, jelaskan satu teknik plot yang digunakan berserta contoh dalam setiap novel.   

            Dua buah novel yang telah saya kaji ialah Papa, karya Deana Yusof dan Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain. Beberapa teknik plot telah digunakan oleh pengarang masing-masing untuk menghasilkan novel yang lebih menarik.

            Dalam novel Papa, teknik plot saspens telah digunakan oleh pengarang. Saspens bermaksud seseorang pembaca itu berada dalam keadaan tertanya-tanya atau ingin tahu akan lanjutan peristiwa berkenaan. Contohnya, pembaca tertanya-tanya dalam novel Papa akan nasib yang akan menimpa Intan Maliana setelah doktor memaklumkan bahawa dia perlu menjalani satu pembedahan kerana ada komplikasi terhadap kandungannya.

            Dalam novel Konserto Terakhir pula terdapat teknik plot imbas kembali. Imbas sekali ialah lintasan-lintasan dan bayangan atau ingatan watak-watak terhadap sesuatu yang telah terjadi atau yang telah dialami. Contohnya, semasa Datuk Johari menemui Hilmi di bilik yang diberikan kepadanya, Datuk Johari telah bertanya tentang masa Hilmi bertolak dari kampung. Hilmi menceritakannya dan pada masa yang sama Datuk Johari teringat kisahnya dahulu yang pernah berlaku di kampung tersebut iaitu melarikan diri selepas perkahwinannya dengan seorang gadis kampung.

Teknik Plot Novel Papa
  1. Dialog – pertuturan / perbualan antara watak dalam novel. Contoh: perbualan Jeffri dengan Rasylan tentang latar belakang Rasylan. Rasylan memberitahu Jeffri bahawa dia merupakan anak angkat Datuk Mustakim yang diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  2. Monolog – tutur kata atau pengucapan oleh watak secara sendirian. Contoh: Jeffri berkata kepada isterinya, Intan Maliana yang sedang koma bahawa Intan Julia telah mendapat keputusan SPM yang baik dan dia hendak memohon kemasukan ke matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa.

ii) Unsur saspens digunakan dalam novel untuk menarik perhatian pembaca. Jelaskan unsur saspens yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.

            Novel  yang saya kaji ialah novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Saspens bermaksud seseorang pembaca itu berada dalam keadaan tertanya-tanya atau ingin tahu akan lanjutan peristiwa berkenaan. Penulis, iaitu Encik Abdullah Hussain telah berjaya memasukkan beberapa unsur saspens ke dalam cerita Konserto Terakhir dan menjadikan jalan cerita lebih menarik.

            Antara peristiwa yang mengandungi unsur saspens termasuklah rancangan Hilmi setelah meninggalkan rumah Datuk Johari. Apabila Hilmi sudah tidak tahan dengan kerenah Datin Salmah, maka Hilmi menaiki bas untuk pulang ke kampung. Dalam konteks tersebut, pembaca teringin-ingin tahu apakah pekerjaan yang akan dilakukan Hilmi apabila tiba di kampung. Sebaliknya, semasa di Tanjung Malim, Hilmi menaiki teksi ke Kuala Lumpur. Pembaca teringin-ingin sekali lagi mengenai liku-liku hidup yang akan dilalui oleh Hilmi apabila dia tiba di Kuala Lumpur.

            Selain itu, unsur saspens juga boleh didapati ketika Encik Bakar dipanggil oleh Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar telah melanggar arahan Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional kerana menggunakan khidmat Hilmi untuk mengadakan persembahan di Hotel Titiwangsa. Pembaca tertanya-tanya sama ada Encik Bakar akan dikenakan hukuman yang berat oleh tatatertib apabila dia dipanggil oleh jawatankuasa persatuan itu kerana melanggar arahan mereka.

            Di samping itu, perjumpaan antara Hayati dengan Hilmi telah menyebabkan pembaca ingin mengetahui perkembangan lanjut tentang cerita Konserto Terakhir. Sebelum Hayati berangkat ke London dengan Mohsin yang sudah menjadi suaminya, Mamat telah mengatur perjumpaan Hayati dengan Hilmi di kebun bunga. Perkara utama yang pembaca ingin tahu ialah sebab-sebab Hayati ingin menemui Hilmi dan perkara yang hendak disampaikan oleh Hayati kepada Hilmi.


SASPENS DALAM NOVEL PAPA

1.      Pembaca tertanya-tanya tentang keadaan Maliana yang mengandung itu. Maliana masih meneruskan kebajikan itu walaupun menyedari bahawa risikonya amat tinggi terutama selepas mengalami masalah ketika melahirkan Julia dulu.
2.      Saspens ketika Intan Maliana berada di dalam bilik pembedahan di HUKM untuk melahirkan anak keduanya – pembaca tertanya-tanya tentang keselamatan Intan Maliana dan bayi yang bakal dilahirkannya – pembaca ingin tahu sama ada Intan Maliana akan menghadapi komplikasi yang sama ketika melahirkan Intan Julia atau sebaliknya
3.      Pembaca tertanya-tanya tentang kesudahan hubungan papa dan Aisyah. Julia menentang hubungan itu dan melihat hubungan mereka itu sebagai tidak elok atau curang kerana mama masih hidup.
4.      Pembaca tertanya-tanya nasib Marliana yang dalam keadaan koma itu. Sebaik sahaja melahirkan anak kembarnya, Marliana tidak sedar diri lalu pembaca ingin tahu sama ada Marliana akan pulih atau tidak

(iii) Penulis sesebuah novel mengembangkan sesuatu peristiwa dengan pelbagai teknik plot seperti pemerian. Jelaskan kepentingan teknik pemerian berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji.
           
            Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu Konserto Terakhir hasil nukilan Abdullah Hussain, teknik pemerian banyak digunakan dalam novel ini. Teknik pemerian memberikan penjelasan tentang seseorang watak secara langsung oleh pengarang dalam sesebuah novel.

            Teknik pemerian dapat menggambarkan keadaan fizikal watak kepada para pembaca. Teknik ini memberikan gambaran jelas keadaan Hilmi ketika mula sampai di rumah Datuk Johari. Buktinya ialah Hilmi mempunyai rambut sedikit ikal, anak matanya agak liar dan ketinggiannya ialah lima kaki lima inci. Pakaiannya agak miskin terbuat daripada bahan kain yang murah, seluarnya berkeredut dan bajunya sudah hilang warna asalnya.

            Selain itu, teknik pemerian juga dapat memberitahu pembaca tentang perasan yang dialami oleh seseorang watak. Misalnya, teknik ini menggambarkan kesedihan Datuk Johari apabila Pak Long Karim memberitahunya bahawa Hilmi merupakan anak Datuk Johari dan bukan anaknya. Hal ini dapat dibuktikan ketika Datuk Johari memikirkan kekejamannya yang telah menyeksa isteri pertamanya dan Hilmi serta hal ini telah menyedihkannya. Air mata Datuk Johari kemudiannya berlinang di matanya.

            Di samping itu, teknik pemerian dapat memberikan penjelasan tentang reaksi watak terhadap sesuatu peristiwa kepada pembaca. Contohnya adalah apabila Datuk Johari menerima panggilan daripada pihak hospital yang memberitahunya bahawa Hilmi telah meninggal dunia. Hanya sepatah perkataan yang dapat keluar daripada mulut Datuk Johari dan beliau jatuh terjatuh dengan gagang telefon tergenggam erat di dalam tangannya. Datin Salmah yang terpekik dan menerpa kepada suaminya cuba untuk mengangkat Datuk Johari dengan pertolongan Mak Minah tetapi Datuk Johari telah pun meninggal dunia.
Sumbangan Blog Cikgu Anelyza

No comments:

Post a Comment