Monday, June 13, 2011

Sajak Perpustaakan (tINGKATAN 4)




ANALISIS SAJAK "DI PERPUSTAKAAN" (LIBRARY IN THE EYE OF A MALAY POET)

Sajak kedua dalam antologi "Harga Remaja", teks komsas tingkatan 4, begitu jelas dan ringkas tajuknya iaitu "Di Perpustakaan". Namun, di tangan Shafie Abu Bakar, mantan profesor persuratan Melayu UKM, dan kini seorang ahli politik, pemilihan kata (diksi) yang begitu puitis menyebabkan lontaran idea dalam sajak tidak sejelas dan seringkas tajuknya. Unsur perlambangan, walaupun tidak menjadi fokus kajian komsas, menjadi teras kekuatan sajak ini.

Perhatikan rangkap pertama:

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Penyajak cuba menggambarkan perbezaan yang ketara sebaik sahaja seseorang melangkah ke dalam ruang perpustakaan, iaitu daripada "kehangatan merata" kepada "kedinginan yang menerpa". Penyajak melanjutkan gambaran suasana perpustakaan yang "terlalu hening". Ringkasnya, suasana hiruk-pikuk di luar berubah kepada suasana tenang tenteram di perpustakaan.

Bait "Gua pendeta bersemadi" pada baris ke-6 boleh dianggap sebagai definisi atau takrifan perpustakaan dalam bentuk yang paling konservatif. Gua melambangkan satu lingkungan atau ruang yang eksklusif, pendeta ialah bijak pandai, manakala bersemadi melambangkan pengekalan sesuatu idea atau kebijaksanaan. Maka, perpustakaan merupakan tempat himpunan pemikiran bijak pandai dipelihara.

Dalam keadaan perpustakaan yang senyap sunyi (di puncak sepi) memberi peluang kepada pengunjung memberi tumpuan terhadap pembacaan (kepala-kepala runduk meneliti). Maka, apa-apa yang dibaca dapat diproses oleh otak (Mata dan fikir bersebati).

Jika rangkap pertama ialah gambaran penyajak tentang suasana perpustakaan, rangkap kedua pula memasukkan "aku" (penyajak sendiri) sebagai pengguna buku di perpustakaan.

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Setiap satu daripada 15 baris rangkap kedua walaupun amat ringkas, tetapi begitu sarat makna. "Aku" yang maju ke ruang buku berasa begitu kerdil justeru "terapung di laut ilmu". Buku yang diibaratkan sebagai khazanah ilmu yang melaut luasnya menyedarkan "aku" bahawa dirinya tidaklah sehebat mana!

"Aku" seterusnya berasa bahawa walau sekuat manapun dia berusaha, (betapapun kulayari) tidak mungkin baginya menguasai semua ilmu yang termuat dalam buku-buku di perpustakaan yang menghimpunkan kebijaksanaan zaman-berzaman. "Aku" menyatakan dia hanya mampu mencatat sedikit sahaja ilmu (Hanya setitik dari tinta) dan memperoleh sedikit sahaja kebijaksanaan (Hanya sebiji dari mutiara). Perpustakaan juga disifatkan sebagai warisan peradaban manusia sejak sekian lama.

Rangkap ketiga merumuskan kedudukan "aku" di perpustakaan sebagai seorang "pelayar yang dahaga". Penyajak mengungkapkan:

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tidak pernah langsai

Kali ini gambaran khazanah ilmu di perpustakaan lebih luas daripada laut, iaitu Di dada samudera, Tak berpantai. "Aku" sebagai pencinta ilmu kini berada di tengah-tengah lautan ilmu (samudera) yang tidak bertepi. Meneguk air laut (masin) pastinya tidak menghilangkan dahaga, bahkan sebaliknya. Maknanya, proses pencarian ilmu tidak pernah menemui noktah..


Tugasan

Soalan petikan:

a) Berikan maksud Satu pertukaran yang kontras (rangkap 1, baris 2) (2 markah)

b) Mengapakah penyajak menyifatkan dirinya kerdil apabila berada di perpustakaan? (3 markah)


Soalan komsas:

c) Jelaskan dua persoalan dalam sajak. (4 markah)

d) Nyatakan empat nilai murni yang dipaparkan oleh penyajak. (4 markah)


Soalan KBKK

e) Huraikan dua cara bagi menarik perhatian orang ramai mengunjungi perpustakaan awam.
(4 markah)

f) "Kempen membaca hanya akan berkesan jika terdapat kemudahan perpustakaan yang
mencukupi."
Terangkan dua alasan anda untuk menyokong atau menolak pernyataan di atas. (4 markah)

1 comment: