Tuesday, January 29, 2013

Novel Papa : Latar Masyarakat






LATAR MASYARAKAT .

 Antara latar masyarakat yang terkandung dalam novel ini termasuklah masyarakat yang memiliki kesantunan dan budi bahasa yang tinggi dengan sesiapa sahaja. Gambaran masyarakat yang berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja dapat dilihat daripada perwatakan Hilmi yang lemah lembut apabila berhadapan dengan Datuk Johari dan Datin Salmah. Hilmi menghormati mereka dengan bersalaman dengan mereka apabila bertemu. Hilmi kemudian menyampaikan salam yang dikirimkan oleh keluarganya di kampung kepada Datuk Johari dan Datin Salmah.

            Selain itu, latar masyarakat yang senantiasa beribadat kepada Tuhan juga terkandung dalam novel ini. Latar masyarakat ini dapat dilihat apabila Hilmi tidak pernah meninggalkan sembahyang dan sentiasa beribadat kepada Allah apabila tiba masanya. Walaupun terlalu sibuk, Hilmi masih mendirikan sembahyang. Ketika bekerja di rumah Datuk Johari, Hilmi senantiasa menunaikan sembahyang. Buktinya ialah Hilmi berhenti melakukan kerja perkebunan di belakang rumah Datuk Johari apabila hari sudah lewat petang untuk menunaikan sembahyang Asar.

            Di samping itu, terdapat juga latar masyarakat yang mengamalkan budaya ‘morning coffee’. Latar masyarakat ini dapat dilihat pada watak Datin Salmah dan rakan-rakannya seperti Datin Faridah, Datin Mariam dan lain-lain. Buktinya, Datin Salmah pergi ke rumah Datin Faridah kerana ‘morning coffee’ di sana apabila Hilmi mula tiba di rumah mereka. Dalam pertemuan secara tidak rasmi ini, isteri orang-orang besar ini membincangkan pelbagai hal, sama ada hal-ehwal semasa atau tentang diri dan keluarga masing-masing. Misalnya, Datin Mariam yang gemuk seperti tong dan suka mengunyah sirih selalu menceritakan hal-hal dukun.

Latar Masyarakat Papa:
  1. Masyarakat pelajar - Intan Julia belajar di tingkatan empat dan lima di Sekolah Seri Gading iaitu tempat ibunya mengajar - Rasylan dan Intan Julia telah menyambung pelajaran dan menjadi seorang siswa dan siswi di pusat Matrikulasi UIA
  2. Masyarakat yang penyayang – Intan Julia anak amat sayang akan ibunya, Intan Maliana serta bapanya, Jeffri. Jeffri juga amat sayang kepada isterinya Maliana. Jeffri juga amat sayang kepada anaknya Intan Julia, tambahan lagi Intan Julian merupakan anak tunggalnya. Dia mengambil berat tentang pelajaran Intan Julia. Malah, pada saat dia ingin ke majlis akad nikahnya, Jeffri sanggup membatalkan pernikahan itu jika Intan Julia tidak membenarkannya.
  3. Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap keluarga - Jeffri memberikan sokongan moral kepada isterinya semasa isterinya mengandung dan saat melahirkan anak. Semasa isterinya koma, dia sentiasa pergi ke hospital untuk melawat isterinya. Malah, dia telah membawa isterinya pulang ke rumah supaya dia dapat selalu menjaga dan memerhatikan isterinya. Selama isterinya koma, dia menjalankan tanggungjawab untuk menghantar dan mengambil anaknya Intan Julia dari sekolah selain daripada mengambil tahu perkembangan pelajaran Intan Julia sehinggalah Intan Julia belajar di UIA.


Novel Konserto Terakhir ; Nilai dan Pengajaran





PENGAJARAN


Terdapat banyak pengajaran yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian pembaca.  Antara pengajaran awal yang dapat dikesan dalam novel ialah kita mestilah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita yang diinginkan. Pengajaran ini dapat diperhatikan melalui watak Hilmi yang gigih mempelajari muzik sehingga berjaya menjadi pemuzik dan pencipta lagu yang terkenal. Dia juga gigih mencipta lagu walaupun menghadapi konflik dengan isterinya Azizah.

Selain dairpada itu, kita juga mestilah sentiasa mengamalkan kerjasama untuk menjayakan sesuatu rancangan. Contohnya Hayati menggantikan tempat Hilmi semasa beliau dibawa ke hospital. Kerjasama daripada hayati membolehkan konsert perdana tersebut dapat diteruskan dengan jayanya dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Kita juga mestilah menyayangi antara satu sama lain walaupun mereka tidak setaraf dengan kita. Pengajaran ini dapat ditunjukkan melalui kasih sayang yang ditunjukkan oleh  Hayati dan Azizah kepada Hilmi. Kasih sayang itu pada bermula daripada rasa simpati terhadap Hilmi. Hayati dan Azizah bersimpati dengan nasib Hilmi.

Kita harus kembali kepada ajaran agama untuk mendapat ketenangan hidup. Contoh yang paling baik ialah perubahan yang berlaku pada diri dan sikap Hayati. Pada mulanya dia seorang gadis yang hidup dengan kebebasan tetapi
telah berubah dan berasa tenang setelah mula mendekati agama dan melakukan ibadah solat. Dia juga telah membaca buku – buku agama seperti Hidup Sesudah Mati.

Kita mestilah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan baik. Contohnya Hilmi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai tukang kebun  dengan penuh dedikasi dan kreatif sehingga taman rumah Datuk Johari menjadi sangat cantik. Demikian juga dengan Encik Bakar yang telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik mengajar Hilmi sehingga Hilmi mahir dalam bidang seni muzik.

Pengajaran lain ialah kita hendaklah saling memaafkan dan tidak menyimpan dendam antara satu sama lain. Contohnya Hilmi tidak pernah memburukkan Datin Salmah dan Datuk Johari walaupun mereka telah memberikan layanan buruk kepadanya. Sebaliknya Hilmi memuji mereka dan memberitahu bapanya bahawa merekalah yang membiayainya belajar bermain piano.

Kita mestilah membantu orang yang memerlukan bantuan dengan ikhlas. Pengajaran ini dapat diperhatikan melalui watak Encuk Bakar. Encik Bakar mengajar muzik kepada Hilmi tanpa sebarang bayaran kerana ingin membantu Hilmi menjadi pemuzik terkenal.



NILAI

Terdapat banyak nilai yang dapat dipetik oleh pembaca dalam novel ini. Antaranya ialah nilai kerajinnan. Hilmi rajin mengusahakan taman di rumah Datuk Johari sehingga taman itu menjadi cantik serta mendapat pujian daripada rakan-rakan Datin Salmah. Dia juga rajin mengusahakan kebun di rumah itu sehingga sayur-sayurannya berbuah lebat. Datin Salmah dapat bahagikan sayur itu kepada rakan-rakannya.

Pembaca juga dalam mengesan nilai kegigihan dan ketabahan. Hilmi tabah menghadapi cabaran hidup dalam usahanya untuk berjaya. Dia tabah menghadapi penghinaan daripada Datin Salmah yang tidak menyukainya. Kegigihan Hilmi juga dapat dilihat melalui usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari muzik daripada Encik Bakar sehingga berjaya menjadi seorang pemuzik terkenal.

Watak Hilmi juga menggambarkan nilai bercita-cita tinggi. Bermula daripada minat terhadap alat muzik iaitu piano, Helmi telah memasang cita-cita untuk menjadi seorang pemuzik yang berjaya. Hasil daripada dorongan dan galakan daripada Encik Bakar, Hilmi berusaha mengejar impiannya dan akhirnya dia berjaya dalam bidang muzik.

Nilai penyayang pula dapat diperhatikan melalui watak Hayati. Hayati amat menyayangi Hilmi selepas berasa simpati terhadap nasib Hilmi. Beliau juga amat sedih apabila Hilmi keluar dari rumah Datuk Johari sehingga menyebabkan beliau berubah sikap. Perubahan sikapnya membuatkan Datin Salmah menjadi resah.

Hayati juga menggambarkan nilai kepatuhan kepada arahan ibunya. Hayati sanggup berkahwin dengan Mohsin walaupun beliau tidak mencintai Mohsin demi menjaga hati ibunya, Datin Salmah. Hal ini dijelaskannya kepada Hilmi semasa mereka bertemu sebelum berangkat ke London.

Datuk Johari dan Encik Bakar dalam novel ini menggambarkan nilaibaik hati. Datuk Johari sanggup membenarkan Hilmi tinggal di rumahnya. Pada masa yang sama, beliau turut member pekerjaan kepada Hilmi sebagai tukang kebun di rumahnya. Encil Bakar pula memberikan pertolongan dnegan mengajar muzik kepada Hilmi tanpa bayaran.

Selain daripada itu, nilai keinsafan juga diselitkan oleh pengarang pada bahagian akhir novel ini. Datin Salmah dan Azizah menyesal kerana telah memberikan layanan yang buruk kepada Hilmi. Datin Salmah berjanji untuk menebus kesalahnya terhadap Hilmi namun tidak kesampaian kerana Hilmi telah meninggal dunia.

Novel Konserto Terakhir ; Teknik Plot




TEKNIK PLOT.

Pengarang menggunakan beberapa teknik dalam novel ini untuk menyampaikan cerita dan plotnya. Antara teknik utama dalam novel ini ialah teknik pemerian. Teknik ini digunakan dengan meluas termasuklah untuk menggambarkan perwatakan Hilmi. Kerja-kerja Hilmi ri rumah Datuk Johari juga banyak menggunakan teknik pemerian. Demikian juga dengan peristiwa Hilmi belajar muzik di rumah Encik Bakar banyak menggunakan pemerian daripada pengarang. Perasaan Hilmi terhadap perbuatan Datin Salmah juga diceritakan oleh pengarang secara lansung.

Selain daripada teknik pemerian, teknik dialog juga ketara digunakan digunakan oleh pengarang. Contoh dialog atau perbualan antara Hilmi dan Hayati. Hayati telah meluah perasaannya kepada Hilmi ketika mereka berjumpa. Dialog Hilmi dengan Encik Bakar juga penting kepada Hilmi. Melalui dialog, Encik Bakar telah memberikan dorongan kepada Hilmi untuk terus belajar dan akan berjaya menjadi seorang pemuzik terkenal. Dialog-dialog Datin Salmah juga menggambarkan sikap dan pandangan serongnya kepada Hilmi.

Teknik imbas kembali juga terdapat dalam novel ini.  Contoh teknik ini ialah apabila Datuk Johari teringat kembali apa yang telah berlaku ketika beliau berada di ampungnya. Datuk Johari imbas kembali peristiwa dia meninggalkan ibu Hilmi setelah berkahwin dan tidak mempedulikan mereka lagi. Peristiwa itu berlaku tujuh belas tahun yang lalu. Dia hanya pulang pada hari bapanya meninggal dunia selama  beberapa jam saja dan kemudian setelah mayat bapanya dikuburkan, dia pun pulang ke Kuala Lumpur.

Sedikit teknik monolog digunakan oleh pengarang dalam novel ini. Contohnya monolog Hilmi ketika hatinya sedih dan berhadapan dengan pokok-pokok bunga di taman. "Kalian saja yang akan menghiburkan aku nanti, wahai bunga-bungaku " katanya dalam hati. Teknik monolog dalaman digunakan untuk menceritakan emosi sesuatu watak. Selain daripada itu, monolog juga terdapat dalam diri Azizah  tentang layanan mesra yang diberikannya kepada Hilmi.

Teknik saspens terdapat juga dalam novel ini. Terdapat dua peristiwa yang mewujudkan suasana suspens. Peristiwa pertama ialah peristiwa yang berlaku di Dewan Tunku Canselor. Suasana suspens dirasa apabila Hilmi telah dimasukkan ke hospital sedangkan pertunjukkan perlu diteruskan. Siapa yang akan memimpin orkestra itu telah menjadi tanda Tanya kepada pembaca dan pengelola. Manakala suasana suspens juga berlaku di hospital. Hayati, Datuk Johari, Datin Salmah dan juga Ketua Pengarah RTM tertanya-tanya tentang keadaan Hilmi.

Manakala teknik terakhir ialah teknik kejutan.  Kemunculan Hayati secara mengejut dari London pada malam Pertunjukan Orkes Perdana pula menunjukkan pengarang telah berjaya dalam menggunakan teknik kejutan. Hayati malah mengambil tempat Hilmi untuk memimpin orkestra pada malam itu. Datuk Johari juga telah menerima panggilan yang mengejutkan. Dia dimaklumkan tentang kematian Hilmi sehingga dia juga terkejut, jatuh dan meninggal dunia.

Novel Konserto Terakhir ; Latar Tempat dan Masyarakat






LATAR


A) LATAR TEMPAT

Peristiwa penting dalam novel ini berlaku di beberapa tempat utama di sekitar negeri Kuala Lumpur. Banyak peristiwa yang berlaku berpusat di rumah Datuk Johari. Banyak peristiwa yang berlaku di rumah ini. Antaranya termasuklah Hilmi bekerja sebagai tukang kebun. Dia telah menjadikan halaman rumah lebih cantik. Helmi juga dimarahi oleh Datin Salmah kerana menyebabkan piano rosak. Dia hampir dihalau keluar dari rumah itu. Di rumah itu juga Hilmi semakin rapat dengan Hayati sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati Datin Salmah. Hilmi dimarahi sekali lagi oleh Datin Salmah kerana meninggalkan rumah. Akhirnya Hilmi meninggalkan rumah tersebut. Di rumah itu juga Datuk Johari menerima panggilan telefon yang memberitahu Hilmi meninggal dan dia juga jatuh dan meninggal.

Beberapa peristiwa berlaku di Rumah Encik Bakar. Antara peristiwa penting ialah kedatangan Hilmi untuk  belajar muzik semasa diamasih tinggal ri rumah Datuk Johari. Dia dimarahi kerana meninggalkan rumah. Selepas keluar dari rumah Datuk Johari, Hilmi meneruskan pelajaran muzik di rumah ini sehingga berjaya menjadi pemuzik terkenal. Di rumah ini juga Hilmi pernah digoda oleh Azizah. Azizah kecewa apabila mengetahui Hilmi hanya bekerja sebagai tukang kebun.

Satu lagi tempat penting dalam novel ini ialah Dewan Tunku Canselor. Ia menjadi tempat diadakan  Konsert Perdana yang dipimpin oleh  Hilmi.  Hilmi  telah dimasukkan ke hospital dan dalam keadaan kritikal. Keadaan kecoh terjadi. Namun Hayati telah menyelamatkan keadaan. Dia yang pulang dari London untuk menyaksikan persembahan itu telah menggantikan tempat Hilmi. Persembahan itu berjaya diteruskan dengan jayanta.

Selain itu, peristiwa penting juga berlaku di hospital. Hilmi telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaannya kritikal. Hayati, Datuk Johari, Datin Salmah dan Ketua Pengarah RTM datang selepas persembahan di Dewan Tunku Canselor. Di situ juga Datuk Johari diberitahu oleh saudara sepupunya bahawa Hilmi merupakan anak kandungnya.




B) LATAR MASYARAKAT


Secara umumnya pengarang novel ini menggambarkan kehidupanmasyarakat Melayu melalui keluarga Datuk Johari selain daripada Hilmi sendiri, Encil Bakar, Mamat dan juga Pak Amat. Selain daripada keluarga Datuk Dolhi, terdapat beberapa watak lain yang terdiri daripada orang India iaitu Dr. Nathan yang merupakan jiran kepada Datuk Johari. Terdapat juga masyarakat Cina iaitu Tony Lim yang mejadi salah seorang daripada ahli Kugiran Dahlia.  

Dari aspek cirri kemasyarakatan,pengarang menggambarkanmasyarakat yang rajin dan tekun. Hilmi rajin mengusahakan taman di rumah Datuk Johari sehingga taman itu menjadi cantik serta mendapat pujian daripada rakan-rakan Datin Salmah. Dia juga rajin mengusahakan kebun di rumah itu sehingga sayur-sayurannya berbuah lebat. Hilmi juga tekun dalam usahanya mempelajari muzik daripada Encik Bakar sehingga berjaya menjadi seorang pemuzik terkenal.

Penulis juga menggambarkan masyarakat yang tidak mengamalkan ajaran agama. Selain mengamalkan budaya hidup secara kebaratan, Datin Salmah juga digambarkan tidak mengerjakan solat. Malah dia terkejut dengan Hayati yang telah mula bersembahyang. Demikian juga dengan Datuk Johari. Dia sudah lama benar meninggalkan solat. Malah dia sering minum minuman keras. Hayati walau bagaimanapun telah berubah dan mula sembahyang setelah mengenali Hilmi.

Watak Datin Salmah dan Azizah menggambarkan masyarakat yang sombong dan mementingkan darjat. Datin Salmah tidak dapat menerima Hilmi kerana Hilmi berasal dari kampung serta berpelajaran hanya setakat darjah empat di sekolah rendah. Beliau sering menghina Hilmi dan kerap mencari jalan agar Hilmi dapat keluar dari rumahnya. Dia juga menghalang Hayati daripada merapati Hilmi. Azizah juga tidak mahu menerima Hilmi pada awalnya kerana Hilmi hanya seorang tukang kebun.

Watak datin Salmah juga menggambarkan masyarakat yangpercaya kepada kepercayaan tahyul. Contohnya dia mempercayai bahawa Hilmi menggunakan ubat guna-guna kepada Hayati apabila Hayati semakin mesra dengan Hilmi. Sekali lagi Datin Salmah percaya kepada ubat guna-guna apabila melihat perubahan sikap Hayati. Hayati telah berubah daripada sikap asalnya serta mula bersembahyang. Datin Salmah sangsi dan terkejut dengan perubahan itu.

Datuk Johari dan Encik Bakar menggambarkan masyarakat yangbaik hati.  Datuk Johari sanggup membenarkan Hilmi tinggal di rumahnya. Pada masa yang sama, beliau turut member pekerjaan kepada Hilmi sebagai tukang kebun di rumahnya. Encik Bakar pula sanggup mengajar Hilmi bermain alat muzik dan  memberi dorongan kepada Hilmi sehingga Hilmi berjaya menjadi seorang pemuzik yang terkenal.

Novel Konserto Terakhir ; Binaan Plot






BINAAN PLOT.


Secara umumnya plot novel Konserto Terakhir merupakan plot yang mudah kerana ia mengikut kronologi. Setiap peristiwa bergerk mengikut urutan masa dari bab ke bab. Perkembangan perintiwa itu memudahkan pembaca mengesan perkembangan plot bermula dari peringkat permulaan hinggalah peringkat peleraian.Peringkat permulaan plot novel ini bermula pada bab pertama. Pengarang memperkenalkan watak utama dalam novel iaitu Hilmi yang telah datang ke rumah Datuk Johari untuk menari kerja diKuala Lumpur. Datin Salmah dan Hayati tidak senang hati dengan kedatangan Hilmi ke rumah mereka. Namun Datuk Johari terpaksa menerimanya kerana Hilmi anak saudaranya. Datuk Johari sukar mendapatkan pekerjaan untuk Hilmi. Akhirnya Datuk Johari menjadikan Hilmi sebagai tukang kebun di rumah mereka.

Plot bergerak ke peringkat perumitan dan perkembangan apabila terdapat konflik antara Hilmi dengan Datin Salmah.  Hilmi telah menyentuh dan bermain piano itu menyebabkan piano itu rosak secara tidak sengaja. Hilmi dimarahi oleh Datin Salmah.  Kemudian, Hilmi telah belajar muzik daripada Encik Bakar.  Datin Salmah memarahi Hilmi kerana meninggalkan rumah dan dilarang makan. Hayati pula semakin rapat dengan Hilmi menyebabkan Datin Salmah menuduh Hilmi menggunakan ubat guna-guna. Datin Salmah mencari jalan untuk mengusir Hilmi dari rumahnya. Akhirnya, Hilmi meninggalkan rumah itu dan mendapat pekerjaan di sebuah kios menjual minyak.

Hilmi terus belajar muzik daripada encik Bakar sehingga menjadi pemuzik terkenal.  Hilmi telah berkahwin dengan Azizah. Rumah tangga mereka goyah kerana tidak sehaluan dan Hilmi tinggal bersendirian. Azizah pula balik ke rumah ibu bapanya bersama-sama anak sulung mereka. Hilmi semakin kecewa dan tertekan. Namun dia tetap mengarang lagu.

Peringkat kemuncak atau klimaks plot pada novel ini bermula apabila Hilmi telah diberi peluang un tuk memimpin pertunjukan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Hilmi terpaksa bekerja keras untuk menjayakan persembahan itu. Malangnya, Hilmi telah jatuh sakit dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Keadaan Hilmi kritikal. Hayati yang baru pulang dari London  untuk menyaksikan pertunjukan itu telah mengambil alih peranan Hilmi untuk memimpin Orkes Perdana. Setelah selesai persembahan,  Hayati, Datuk Johari, Datin Salmah dan  Ketua Pengarah RTM telah berkejar ke hospital untuk melihat Hilmi. Mereka bertemu dengan abang sepupu Datuk Johari, yang mendedahkan rahsia bahawa Hilmi ialah anak kandung Datuk Johari.

Peringkat penyelesaian atau anti klimaks novel ini agak pendek. Ia dapat dikesan apabila Datuk Johari tiba di rumah. Dia dan Datin Salmah berjanji untuk menebus kesilapannya melayan Hilmi dengan buruk. Namun Datuk Johari telah menerima panggilan telefon yang mengatakan bahawa Hilmi meninggal dunia. Setelah menerima berita itu, Datuk Johari terjatuh lalu  meninggal dunia.

Novel Konserto Terakhir ; Watak dan Perwatakan




WATAK DAN PERWATAKAN

   

A)   HELMI

Helmi merupakan seorang pemuda yang berasal dari kampung di negeri Kedah. Dia mempunyai taraf pendidikan yang rendah iaitu  hanya berkelulusan darjah empat sekolah rendah. Tinggal di rumah Datuk Johari setelah berhijrah ke Kuala Lumpur. Suami kepada Azizah dan kawan baik kepada Mamat. Dia jga sebenarnya anak kandung kepada Datuk Johari. Dia berjaya menjadi seorang pemuzik yang terkenal.

Dari segi perwatakan, Helmi digambarkan sebagai seorang yangrajin. Hilmi rajin mengusahakan taman di rumah Datuk Johari sehingga taman itu menjadi cantik serta mendapat pujian daripada rakan-rakan Datin Salmah. Dia juga rajin mengusahakan kebun di rumah itu sehingga sayur-sayurannya berbuah lebat. Datin Salmah dapat bahagikan sayur itu kepada rakan-rakannya.

Hilmi juga seorang yang gigih dan tabah. Hilmi gigih menghadapi cabaran hidup dalam usahanya untuk berjaya. Dia tabah menghadapi penghinaan daripada Datin Salmah yang tidak menyukainya. Kegigihan Hilmi juga dapat dilihat melalui usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari muzik daripada Encik Bakar sehingga berjaya menjadi seorang pemuzik terkenal.

Sesuai dengan sifatnya yang gigih, dia juga digambarkan seorang yang bercita-cita tinggi. Bermula daripada minat terhadap alat muzik iaitu piano, Helmi telah memasang cita-cita untuk menjadi seorang pemuzik yang berjaya. Hasil daripada dorongan dan galakan daripada Encik Bakar, Hilmi berusaha mengejar impiannya dan akhirnya dia berjaya dalam bidang muzik.

Selain daripada itu, penulis menggambarkan Hilmi sebagai seorang yang kuat pegangan agama. Hilmi tidak pernah meninggalkan sembahyang lima waktu walau di mana sekalipun dia berada. Sifat ini telah mempengaruhi Hayati sehingga membuatkan Hayati berubah sikap dan mula bersembahyang.

Hilmi amat berkebolehan dan kreatif dalam bidang muzik. Dia dapat  memainkan piano dan mengenal kod piano walaupun hanya dengan mendengar Hayati memetik pianonya. Selain daripada itu, dia juga boleh bermain banyak alat muzik dan mencipta banyak lagu sendiri termasuk lagu yang dimainkan semasa persembahannya.



B)    HAYATI

Hayati merupakan anak perempuan tunggal kepada Datuk Johari dan Datin Salmah. Sebenarnya dia juga merupakan adik kepada Hilmi. Telah berkahwin dengan Mohsin atas kehendak Datin Salmah.

Dari segi perwatakan, Hayati digambarkan sebagai seorang yangpenyayang.  Hayati amat menyayangi Hilmi selepas berasa simpati terhadap nasib Hilmi. Beliau juga amat sedih apabila Hilmi keluar dari rumah Datuk Johari sehingga menyebabkan beliau berubah sikap. Perubahan sikapnya membuatkan Datin Salmah menjadi resah.

Selain daripada itu, hayati juga digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang patuh kepada arahan ibunya. Hayati sanggup berkahwin dengan Mohsin walaupun beliau tidak mencintai Mohsin demi menjaga hati ibunya, Datin Salmah. Hal ini dijelaskannya kepada Hilmi semasa mereka bertemu sebelum berangkat ke London.

Hayati juga telah berubah daripada hidup kebaratan kepada hidup berasaskan agama. Sebelum bertemu Hilmi, Hayati seorang yang periang dan lincah serta hidup seperti remaja lain. Apabila Hilmi keluar dari rumah Datuk Johari, beliau berubah menjadi seorang yang mula mendekatkan diri kepada Tuhan dan mula bersembahyang.


C)   DATIN SALMAH

Datin Salmah ialah ibu saudara kepada Hilmi. Dia juga merupakan isteri Datuk Johari dan ibu kepada Hayati. Dari segi perwatakan, Datin Salmah digambarkan sebagai seorang yang sombong dan mementingkan darjat. Datin Salmah tidak dapat menerima Hilmi kerana Hilmi berasal dari kampung serta berpelajaran hanya setakat darjah empat di sekolah rendah. Beliau sering menghina Hilmi dan kerap mencari jalan agar Hilmi dapat keluar dari rumahnya. Dia juga menghalang Hayati daripada merapati Hilmi.

Datin Salmah juga digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang mengamalkan budaya hidup secara kebaratan.  Dia digambarkan selalu bertemu rakan yang setaraf di ‘Morning Coffee”. Rakan-rakannya juga mengamalkan gaya hidup yang sama. Ekoran daripada budaya hidup seumpama itu, dia menjadi seorang yang tidak beriman. Dia tidak mengerjakan solat. Malah dia terkejut dengan Hayati yang telah mula bersembahyang.

Pengarang juga menggambarkan Datin Salmah sebagai seorang yang percaya kepada kepercayaan tahyul. Contohnya dia mempercayai bahawa Hilmi menggunakan ubat guna-guna kepada Hayati apabila Hayati semakin mesra dengan Hilmi dan telah berubah daripada sikap asalnya serta mula bersembahyang.

Dalam hubungannya dengan Hayati, Datin Salmah digambarkan sebagai seorang yang suka mengongkong. Contohnya Datin Salmah ingin menentukan kehidupan anaknya Hayati. Dia mahu Hayati belajar di London. Dia juga mahukan Hayati berjahwin  dengan Mohsin sedangkan Hayati tidak mencintai Mohsin.


E)    DATUK JOHARI

Datuk Johari merupakan bapa kepada Hayati dan suami kepada Datin Salmah. Merupakan kakitangan kerajaan berjawatan tinggi. Beliau juga merupakan “bapa saudara” kepada Hilmi. Dia sebenarnya adalah bapa kandung Hilmi. Dari segi perwatakan, Datuk Johari digambarkan sebagai seorang yang baik hati.  Datuk Johari sanggup membenarkan Hilmi tinggal di rumahnya. Pada masa yang sama, beliau turut member pekerjaan kepada Hilmi sebagai tukang kebun di rumahnya.

Selain daripada itu, dia juga seorang yang bijaksana. Dia dapat mengelakkan Hilmi daripada dihalau dari rumah keluar dari rumahnya oleh Datin Salmah setelah merosakkan piano. Datuk Johari mencadangkan supaya Hilmi dipotong gaji sahaja.

Datuk Johari juga seorang yang tiada pegangan agama. Dia hidup seperti masyarakat barat. Sikap ini dapat diperhatikan oleh pembaca kerana di rumahnya terdapat sebuah ‘mini bar’.  Beliau seorang peminum minuman keras. Dia juga sudah terlalu lama meninggalkan sembahyang lima waktu.

Penulis juga menggambarkan Datuk Johari sebagai seorang yangtidak bertanggungjawab. Dia meninggalkan isteri pertama sebaik dikahwininya iaitu ibu Hilmi. Beliau juga tidak pernah mengetahui bahawa Hilmi ialah anaknya sehingga diberitahu oleh pak karim. Datuk Johari telah melupakan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa.



Diedit dan diubahsuai dari Blog Komsas SPM

Novel Konserto Terakhir ; Tema dan Persoalan





TEMA

Tema untuk novel Konserto Terakhir ialah perjuangan hidup seorang anak muda yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara. Dalam meniti kejayaan itu, dia telah menghadapi berbagai dugaan hidup hingga ke akhir hayat.

Helmi yang berasal dari kampung telah datang ke rumah bapa saudaranya untuk mencari pekerjaan. Semasa tinggal di rumah bapa saudaranya Datuk Johari, dia hanya menjadi tukang kebun dan telah menerima penghinaan daripada Datin Salmah. Penghinaan ini berlaku disebabkan beliau hanya seorang pemuda kampung dan berpendidikan rendah. Selain daripada itu dia juga dihalang daripada berhubung dengan Hayati sehingga akhirnya dia terpaksa keluar dari rumah itu.

Walau bagaimanapun dia gigih mempelajari muzik daripada Encik Bakar. Hasilnya, dia berjaya menjadi seorang pemuzik yang terkenal. Dia gigih mencipta lagu pelbagai lagu sehingga lagu yang diciptanya terkenal di seluruh tanah air. Pada masa ini juga dia menghadapi masalah rumah tangganya dengan isterinya Azizah disebabkan sikap Azizah yang mementingkan kekayaan. Dia berasa amat kecewa dan tertekan walaupun dia mendapat pujian daripada peminat seni. Keadaan ini terterusan sehinggalah dia meninggal dunia.



PERSOALAN

Antara persoalan yang diselitkan oleh penulis dalam novel ini ialah persoalan  kegigihan dalam berusaha untuk mengubah kehidupan dan masa depan. Persoalan ini dapat diperhatikan melalui watak utama iaitu Hilmi. Walaupun sering mendapat penghinaan khususnya daripada Datin Salmah,  Hilmi dengan dorongan daripada Pak Amat dan Encik Bakar. Dia berusaha gigih dan akhirnya berjaya mencapai cita – citanya iaitu menjadi seorang pemuzik yang terkenal.

Penulis juga mengungkapkan persoalan cinta dan kasih sayang sesama manusia. Pembaca mendapat gambaran peroslan ini melalui perhubungan atrana Helmi dengan Hayati dan hubungan antara Hilmi dan Azizah. Cinta dan kasih sayang dilihat pada awalnya lebih kepada simpati. Kasih sayang Hayati kepada Helmi bermula daripada perasaan simpati. Setelah berkahwin dengan Kohsin, hayati tetap cinta kepada Helmi.

Pengarang juga menyentuh tentang persoalan pegangan agama dalam masyarakat bandar. Keluarga Datuk Johari tidak solat. Namun sejak kehadiran Helmi, sikap Hayati telah berubah. Dia telah mula solat dan dapat mengembalikan ketenangan hidupnya. Hayati ialah seorang gadis yang penuh dengan kebebasan tetapi telah berubah dan berasa tenang setelah mula mendekati agama melalui ibadah solat dan mendalaminya melalui buku – buku agama.

Persoalan sikap segolongan masyarakat yang terlalu mementingkan pangkat dan darjat juga dapat diperhatikan oleh pembaca melalui novel ini. Contohnya Datin Salmah menghina Hilmi kerana menganggap Hilmi hanya seorang pemuda kampung dan tidak berpendidikan tinggi. Demikian juga dengan Azizah yang berasa tawar hati setelah mengetahui bahawa Helmi seorang tukang kebun di rumah Datuk Johari.

Berdasarkan hubungan antara Datuk Johari dengan Helmi, penulis ingin mengungkapkan persoalan perpecahan keluarga sehingga membawa kepada penyesalan yang tidak berkesudahan. Helmi sebenarnya anak kandung Datuk Johari. Datuk Johari dan Datin Salmah amat menyesal dengan perbuatannya terhadap Helmi sebelum itu sehingga Helmi menderita setelah mengetahui perkara itu. Namun dia tidak sempat menebus kesalahannya kerana Helmi telah meninggal dunia.

Selain daripada itu, novel ini juga memaparkan persoalan gayahidup segolongan masyarakat bandar yang bersifat kebaratan. Contohnya dapat diperhatikan melalui keluarga Datuk Johari sendiri. Datin Salmah sering menghadiri “morning coffee” bersama kawan-kawannya. Manakala di rumah Datuk Johari juga terdapat sebuah “mini bar”. Datin Salmah juga merancang agar Hayati melanjutkan pelajaran di London.

Sikap Datin Salmah juga mencerminkan persoalan kepercayaan karut dan khurafat yang masih terdapat dalam kalangan masyarakat hari ini terutamanya masyarakat bandar. Contohnya Datin Salmah percaya bahawa Hilmi menggunakan ubat guna-guna terhadap Hayati apabila mendapati Hayati semakin rapat dengan Helmi. Datin Salmah juga menuduh Helmi berbuat demikian apabila melihat Hayati berubah sikap dan mula bersembahyang.