Monday, April 16, 2012

Memori Seorang Tua






Cerpen Memori Seorang Tua
(Zahari Affandi)

Sinopsis
Pak Itam digambarkan seorang sebagai pejuang yang cekal. Dia telah beberapa kali keluar masuk penjara kerana penentangannya terhadap Inggeris. Beliau berhasrat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85. Beliau turut bercadang untuk menjemput wartawan, mahasiswa universiti serta para penduduk Langat ke majlis berkenan  bagi berkongsi kisah perjuangannya. Ketika Pak Itam membaca majalah Mastika lama, beliau tersentuh akan paparan Siti Nurhidayah yang menuntut fasakh ketika beliau ditahan di penjara Singapura. Itulah kali terakhir beliau menatap wajah dua orang anaknya, Izwan dan Nuryani Iman. 
            Tuk Mat merupakan orang yang banyak membantu Pak Itam menguruskan segala persiapan untuk majlis itu dan turut dibantu beberapa orang pemuda kampung seperti Isa, Latif dan Jali. Pada hari yng ditetapkan, Pak Itam lengkap berbaju Melayu menyambut tetamu. Orang kampung memenuhi tempat berlangsungnya majlis tersebut, namun Pak Itam kecewa kerana tetamu dari jauh masih belum sampai. Tambah mengecewakan Pak Itam kerana wartawan akhbar dan televisyen tidak muncul.Pak Itam merasakan segala pengorbanannya selama ini telah dilupakan.
            Apabila tiba waktu Zuhur, Pak Itam masuk untuk menunaikan solat. Kaih yang cemas cuba memberitahu perkara yang berlaku kepada Pak Itam. Apabila Tuk Mat mendekati Pak Itam yang terbaring di sejadah, beliau dilihat sudah meninggal dunia. Tetamu yang hadir membacakan surah Yasin untuk jenazah. Pada ketika itu, datang seorang perempuan tua mendekati jenazah membawa sejambak ros. Tatkala orang ramai tercengang memikirkan identiti perempuan tersebut, Tuk Mat menyapu air matanya dan menganggap hajat Pak Itam untuk bertemu isterinya, Siti Nurhidayah telah tercapai.


Tema
Semangat patriotik, iaitu tentang keinginan seorang tokoh yang ingin berkongsi memori lampaunya dengan masyarakat.
 Pak Itam ingin berkongsi perjuangan yang telah dilaluinya dengan anak cucunya dalam usaha beliau membebaskan negara ini daripada penjajahan.

Persoalan

1.     Persoalan kesediaan menghadapi cabaran.
Pak Itam terpaksa menempuh halangan dalam perjuangannya, iaitu terpaksa keluar masuk penjara kerana perjuangannya bertentangan dengan dasar pemerintahan  pada masa itu.

2.      Persoalan rasa tanggungjawab terhadap nasib yang akan dialami oleh anak bangsa.
Atas dasar tanggungjawab, Pak Itam berjuang untuk bangsa Melayu kerana dia ingin melihat bangsanya mendapat pendidikan yang tinggi serta tidak menjadi hamba di negara sendiri.

3.      Persoalan jati diri yang teguh.
       Pak Itam mempunyai jati diri dan pendirian yang teguh dari usia muda sehingga usianya mencecah 85 tahun.


Plot  
Binaan Plot 

(i)            Permulaan
Mengisahkan kehidupan zaman muda Pak Itam yang sering keluar masuk penjara kerana menentang penjajah. Perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu amat menebal dalam jiwa Pak Itam.

(ii)          Perkembangan
Pak Itam melahirkan hasrat beliau untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85 tahun. Sambutan yang julung kali diadakan ini turut bertujuan untuk berkongsi pengalamannya sebagai seorang pejuang. Pak Itam juga turut menyatakan harapannya untuk melihat anak bangsanya hidup dengan sempurna dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan. Tetamu yang hadir pada sambutan majlis hari jadinya agak kurang dan ini menjadikan Pak Itam berasa sedih dan beranggapan bahawa pengorbanannya selama ini kian dilupakan.

(iii)         Klimaks
Pak Itam menghembuskan nafas terakhirnya di atas sejadah. Orang ramai yang hadir membaca surah Yasin untuknya.

(iv)         Peleraian
Kehadiran seorang wanita yang sudah berumur pada hari kematiannya membawa sejambak ros merah menjadikan  penduduk kampung tertanya-tanya. Hanya Tuk Mat mengerti dan berfikir dalam hatinya, hajat Pak Itam kesampaian juga.


Teknik Penceritaan
1.    Pemerian
Pak Itam toleh kiri kanan. Pokok pisang, pokok lengkuas, serai, betik dan rumput-
rampai sekitar rumahnya mengangguk perlahan ditiup angin pagi. Nyaman benar hidup 
di perkampungan, tetapi…

2.    Dialog
“Dah kaujemput budak-budak suratkhabar?” tanya Pak Itam.
“Sudah!” jawab Tuk Mat.

3.    Imbas Kembali
Tiba-tiba hatinya dipintali kesayuan. Di mana Siti Nurhidayah? Di mana Izwan dimana Nuryani Iman? Sudah berpuluh tahun berpisah.

4.    Monolog dalaman
Pak Itam sudah berfikir-fikir, budak-budak surat khabar sudah tentu akan mengerumuninya, menghulur berbelas, mungkin berpuluh kaset perakam suara mahu menemuramahnya.

Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Pak Itam
1.    Berasal dari Kuala Semantan, Pahang.
2.    Berumur 85 tahun.
3.    Mempunyai isteri  iaitu, Siti Nurhidayah dan dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman yang terpisah sejak isterinya meminta fasakh ketika dia di penjara.
4.    Mempunyai seorang anak angkat bernama Sidah.

5.    Suka membaca. -, Pak Itam suka membaca akhbar dan majalah di kerusi malas di kaki lima rumahnya.
6.  Seorang nasionalis tulen. -  Pak Itam berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk bangsanya.
7.  Seorang yang taat akan perintah agama.- Pak Itam sentiasa beribadat dan menggunakan waktu malam untuk mendekatkan diri kepada tuhan.
8.  Baik hati  - Pak Itam bersedia melayan tetamu yang datang untuk bertemu dengannya di rumah.

Watak Sampingan

Tuk Mat

1.    Bekas anggota polis.
2.    Jiran Pak Itam.
3.    Bertubuh sasa, kulit dan batang lengannya masih pejal dan kemas.
4.  Rajin. - beliau banyak membantu Pak Itam dalam usaha mengadakan sambutan hari lahirnya.
5. Boleh diharapkan dan berdisiplin -, hal ini diakui oleh Pak Itam apabila membandingkan sifat anak-anak muda seperti Isa dan Latif dengan watak Tuk Mat.

Siti Nurhidayah

1.    Bekas isteri Pak Itam yang menuntut fasakh ketika Pak Itam berada di dalam penjara.
2.    Sempat hadir pada hari kematian Pak Itam.
3.    Mempunyai dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman.


Latar
Latar Masa
1.    Sehari sebelum hari lahir Pak Itam yang ke-85 tahun- Tuk Mat dan penduduk kampung sibuk menguruskan persiapan untuk majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam.
2.    Sebelum Zuhur - Pak Itam masih menanti. Dia amat kecewa.  Tuk Mat menyuruhnya berehat.
3.    Selepas Zuhur - Kiah menjerit memberitahu Tuk Mat bahawa Pak Itam sakit. Pak Itam meninggal dunia dan bacaan Yasin diadakan.

             
Latar Tempat
 1.    Kediaman Pak Itam dan halaman rumahnya- tempat majlis kenduri sempena hari jadi 
      Pak Itam dan pameran diadakan .
2.    Di kaki lima rumah Pak Itam -  tempat Pak Itam duduk sambil membaca akhbar dan 
     majalah seharian di atas kerusi malas.
3.  Kampung Pak Itam di Hulu Langat- perkampungan yang nyaman tetapi mula tercemar 
     apabila dua buah kilang dari Korea dan Jepun mula beroperasi.
4. Penjara di Singapura - Siti Nurhidayah, isteri Pak Itam datang bersama dua orang   
    anaknya membawa surat kadi meminta fasakh ketika Pak Itam meringkuk di situ.

Latar Masyarakat

1.    Masyarakat pejuang yang mencintai bangsa dan negara.
Pak Itam sanggup keluar masuk penjara kerana menentang Inggeris demi sayang akan bangsa dan negara.

2.    Masyarakat penulis dan wartawan.
 Pak Itam mewakili golongan masyarakat yang menentang penjajah menggunakan mata pena.

3.    Masyarakat kampung yang masih mengamalkan amalan gotong royong serta bekerjasama.
Tuk Mat dan beberapa orang pemuda kampung yang membantu Pak Itam mengadakan majlis sambutan hari jadi Pak Itam secara besar-besaran.
  .
Gaya Bahasa
1.    Simile - …kian mengecil seperti sebiji debu
2.    Peribahasa  - seperti enau di belukar
3.    Metafora  -tangisan ketakwaan
4.    Penggunaan Bahasa Inggeris  - vision, Happy Birthday To You
5.    Personifikasi  - Pungguk di belakang rumah terus merintih, merindu bulan…

Nilai
1.    Nilai pengorbanan.
Pak Itam sanggup menolak jawatan sebagai majistret demi cinta akan bangsa dan negara.
2.    Nilai cinta akan negara.
Pak Itam berjuang untuk membebaskan anak bangsanya daripada dibelenggu kemiskinan dan mahu melihat anak bangsanya mendapat pendidikan tinggi.
3.    Nilai bekerjasama.
Semua penduduk kampung tidak kira muda atau tua berganding bahu menjayakan persiapan majlis sambutan hari jadi Pak Itam.


Pengajaran

1.    Kita  hendaklah cinta akan bangsa dan negara agar tidak dijajah oleh bangsa lain.
2.    Kita wajarlah saling membantu dalam setiap usaha agar pekerjaan menjadi mudah.
3.    Kita hendaklah sentiasa mentaati perintah tuhan dengan meningkatkan amal ibadah agar mendapat kesenangan di kemudian hari.
4.    Kita haruslah mengenang jasa tokoh yang banyak berkorban  untuk bangsa dan negara walaupun masa berubah.









Cerpen Ibu dan Ceper
(Shahnon Ahmad)
               
Sinopsis
Kisah ibu tua yang disamakan dengan kisah sebuah sungai iaitu Sungai Ceper. Sungai Ceper ialah sungai yang jernih dan mempunyai sumber ikan dan udang, panjang dan berliku-liku, samalah seperti ibu yang sentiasa aktif melakukan aktiviti bersawah. Pada waktu malam, Sungai Ceper masih cergas tetapi ibu tidak. Pada sebelah malam, ibu berehat dan esoknya kembali cergas.
Pada suatu hari, Sungai Ceper melimpah kerana hujan turun di hulu. Airnya likat dan melimpah menyebabkan sawah padi musnah. Pada tahun itu, semua penduduk kampung makan ubi gadung kerana padi musnah. Selepas Ceper melimpahkan air, tiba pula musim kemarau. Sungai Ceper menjadi cetek, ikan mati, air sungai busuk dan sawah kering sehingga menyebabkan  ibu menggunakan telaga sebagai sumber. Keadaan ini ialah keadaan 40 tahun yang lalu, iaitu semasa aku masih anak teruna dan ibu masih muda.
Kini, ibu dan ayah tiada lagi. Aku pula sudah bercucu. Sungai Ceper masih wujud  tetapi sudah mula berubah sejak ibu terjatuh, lalu lumpuh kerana terpijak tunggul lama iaitu sepuluh tahun sebelum ibu meninggal. Pada masa itulah, keluarga aku menderita dan aku berkahwin dengan gadis di kampung itu. Bapa pula sudah tidak gila burung lagi  sebaliknya dia hanya menjaga cucu dan menjaga ibu.
Ceper kini berbau busuk kerana menjadi tempat pembuangan sampah. Airnya mengalir lesu bersama-sama sampah sarap yang tidak sepatutnya dibuang ke dalam sungai itu. Aku dan isteri telah tua dan kini duduk di rumah menjaga cucu. Pada masa ini, Ceper telah mati dan tidak berfungsi lagi walaupun masih wujud, tidak seperti ibu yang telah tiada di dunia ini.

Tema
Kegigihan seorang ibu dalam mengharungi kehidupan  

Ibu gigih mencari rezeki dan banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman.

Persoalan

1.    Persoalan kepentingan air dalam kehidupan.  
Air Sungai Ceper yang deras dan jernih digunakan oleh ibu untuk mengairi sawahnya.
2.    Persoalan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah sedangkan sungai ini semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya
3.    Persoalan kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam.
Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di kampungnya. 

Plot  

Binaan Plot 
(i)            Permulaan
Aku menerangkan perasaan sayang dan cinta akan Sungai Ceper dan ibu yang banyak berjasa kepadanya.Aku terkenang akan sungai ini yang jernih ,tenteram, deras dan menjadi lubuk ikan. Ibu juga seperti Ceper yang aktif bersawah dan bekerja. Namun, ibu berehat pada waktu malam manakala Ceper sama sahaja pada siang atau malam.

(ii)           Perkembangan
Kemarahan ibu kepada Sungai Ceper yang melimpah akibat hujan lebat sehingga memusnahkan tanaman . Ibu juga memarahi sikap suaminya yang sambalewa terhadap tanggungjawab keluarga dan asyik dengan ketitir. Kemarahan ibu semakin memuncak apabila Sungai Ceper semakin cetek akibat kemarau. Hal ini menyebabkan sawah-sawahnya kering , sumber makanan dan minuman terjejas sehingga  memaksa ibu menggunakan telaga sebagai sumber air. Setelah 40 tahun berlalu,Sungai Ceper semakin tercemar akibat pengabaian masyarakat. Ibu dan ayah sudah meninggal dunia dan aku telah pun berkeluarga dan mempunyai cucu.

(iii)          Klimaks
Ibu meninggal dunia dan Sungai Ceper semakin sakit. Sungai ini semakin cetek, alirannya lambat dan banyak sampah daripada pelbagai bahan buangan berada di perutnya. Airnya busuk kerana bangkai binatang , kain-kain buru , plastik, dan sisa-sisa makanan dibuang ke dalamnya. Bapa juga telah meninggal dunia.

(iv)         Peleraian
Sungai Ceper masih mengalir tetapi amat lambat. Keadaannya semakin parah. Aku dan isteri telah tua dan anak-anak pula menggantikan kami. Ceper dikatakan sudah mati kerana airnya sudah tidak bergerak dan timbunan sampah tindih-menindih. Ibu benar-benar telah mati tetapi Ceper walaupun masih wujud tetapi sudah tidak berfungsi lagi.

Teknik Penceritaan

1.    1. Pemerian
Ceper pun serupa. .Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas dari busurnya.Dan pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama-sama ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak  dan bapa-bapa udang, bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu.


2.    Dialog

“Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”

3.    Imbas Kembali

Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga.Dia marah sangat kepada Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Ibu
1.    Cekap bekerja.
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas Subuh sehingga hampir Maghrib, malah ibu melakukan hampir semua jenis kerja.
2.    Rajin  .
Ibu rajin membuat pelbagai kerja menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung.
3.    Bermasyarakat.
Walaupun ibu sibuk bekerja, dia tidak lupa untuk menghadiri kenduri-kendara di kampungnya dan menziarahi orang yang meninggal dunia.
4.    Kuat semangat.
Walaupun Sungai Ceper telah memusnahkan padinya akibat banjir namun ibu tidak berputus asa untuk mengusahakan sawahnya semula.




Watak Sampingan

Aku
1.    Anak tunggal dalam keluarga.
2.    Mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah.
3.    Sudah berumah tangga .
4.    Penyayang.
Aku merupakan seorang anak yang penyayang kerana masih mengingati pengorbanan ibunya walaupun telah 40 tahun berlalu.
5.    Bertanggungjawab.
Aku bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan ayahnya yang tua.

Sungai Ceper
1.    Panjang, berliku-liku, jernih, pasir-pasir berbiji halus dan kelikirnya berkilat.
2.    Sumber air bagi kehidupan di sekelilingnya.
3.    Tercemar kerana menjadi tempat pembuangan sampah sarap.

Latar

Latar Masa

            1.    Masa kini - Aku telah tua, ada anak yang telah besar dan telah bercucu.
2.    10 tahun yang lalu  setelah ibu jatuh, lumpuh dan meninggal dunia-ibu sudah tidak 
       dapat bergerak lagi dan kerja-kerja di sawah diteruskan oleh aku dan isteri.
            3.    40 tahun yang lalu - Ketika ibu masih muda dan aku masih teruna.
            4.    Siang - sewaktu ibu turun mengerjakan sawah padinya.
            5.    Malam - gambaran tentang Sungai Ceper yang tetap cergas.


Latar Tempat

1.     Di sebuah desa - tempat tinggal ibu, aku dan ayah.
2.    Kawasan sawah padi - tempat ibu dan orang kampung bekerja.
3.    Sebatang sungai - tempat anak-anak kampung merangau ikan.
4.    Telaga - tempat ibu mengambil air ketika kemarau.
5.    Rimba belantara - tempat bapa berdenak ketitir.
6.    Sungai Ceper  -  tempat penduduk kampung termasuk ibu mendapat sumber air.


Latar Masyarakat

1.    Masyarakat petani
Mereka  mengusahakan tanaman padi secara tradisional. Keluarga aku mewakili sebahagian daripada anggota masyarakat yang mengusahakan tanaman padi secara tradisional seperti menajak dan menyisir selut.


2.    Masyarakat yang menghadapi kepayahan hidup.
Penduduk di desa aku mengalami kesempitan hidup apabila Sungai Ceper melimpah kerana banjir dan airnya kering sehingga tidak dapat mengairi sawah ketika musim kemarau.

3.    Masyarakat yang  tidak bertanggungjawab.
Bapa sanggup menghabiskan masa mendenak burung ketitir di rimba sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarganya.



Gaya Bahasa
1.    Kata ganda  -  kehijauan-hijauan
2.    Simpulan bahasa   - naik angin
3.    Simile - Ibu tidak lagi cergas waktu malam kerana ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang
4.    Personifikasi  - ….kudengar ngauman Ceper
5.    Hiperbola - …Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing

Nilai

1.    Nilai bertanggungjawab.
Sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri yang ditunjukkan oleh ibu yang mengusahakan sawah padi bagi menampung kehidupan keluarganya.

2.    Nilai kegigihan.
Walaupun terpaksa menggunakan tulang empat kerat, ibu tetap gigih bekerja menyara keluarga.

3.    Nilai kesabaran.
Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarga.


Pengajaran

1.    Kita hendaklah bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga agar mereka tidak hidup dalam kesusahan.
2.    Kita hendaklah menjaga kerukunan rumah tangga agar tidak berlaku perselisihan faham antara suami dengan isteri.
3.    Kita mestilah menyayangi ibu bapa yang telah tua agar kebajikan mereka terpelihara.
4.    Kita janganlah mencemarkan alam sekitar kerana perbuatan itu akan membawa keburukan kepada masyarakat.