Wednesday, September 21, 2011

Detik Itu...Ku Tunggu.



Sajak ini ditujukan khas buat semua calon SPM 2011
terutama pelajar tingkatan 5 SMK Sijangkang Jaya



Kelmarin berlalu
Semalam jugak telah berlalu
Ku lalui hari ini
Terasa resah, terasa gelisah
Esok..tidak pasti...

Cabaran itu kian menjelma..menghampiriku
Tiap detik dihitung
Tertusuk pertanyaan di dada
Sudahkah aku bersedia atau masih alpa
Yang pasti..aku tidak mahu hampa

SPM...penentu perjalanan ku
apakah ada sinar di hadapan
untukku bina harapan

atau tersandung langkah perjalanan
terpaksa berundur untuk seketika
sebelum ku bina langkah bermakna
ku tinggalkan rasa derita

Aku tidak rela berputih mata
melihat rakan taulan ketawa
mereka riang ria...
sedangkan
aku berduka lara

Mulai detik ini
Akan ku redah lautan sukar
Akan ku daki punca jaya
Akan ku gapai hasrat mulia
Demi untuk sebuah kejayaan...

SPM - akan ku pastikan
Tertera tinta-tinta indah
Terpapar bait kata bermadah
Tercalit bicara megah
Tanda bermaknanya helaian putih salju itu

SPM - ingin ku lihat
Biar bangga ibu bapaku
Biar tersenyum manja guru-guruku
Biar ku dijulang teman-temanku
Biar meniti namaku dibibir tetangga
Dek kerana..sebuah kejayaanku.

Yang pasti...
Jika sijil itu bermakna
Menara gading akan ku jejak

Nukilan Rasa ;
saharuddin abdullah
(Teratak Desa)

Bantuan Untuk Membantu Negara Yang Dilanda Bencana




Bencana alam yang berlaku di dunia ini banyak mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda.

Nyatakan pendapat anda tentang bantuan yang dapat diberikan untuk membantu negara-negara yang dilanda bencana ini.


Format: Tiada


Pendahuluan:

Banyak negara di dunia dilanda bencana alam – bencana alam sering melanda dan menunjukkan belang – satu fenomena yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau - banjir, gempa bumi, letupan guunung berapi – bencana alam menyebabkan pelbagai kesulitan yang dihadapi – sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan, kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban – bantuan segera perlu diberikan kepada negara-negara yang terlibat


Isi-isi:

(a) Memberikan sumbangan kewangan – kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma – derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini – tidak hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan - setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini - pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia - meringankan beban – berat mata memandang, berat lagi bahu memikul – kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita

(b) Sumbangan dalam bentuk tenaga dan kepakaran – mencari mangsa-mangsa yang tertimbus atau hilang – pasukan sukarela atau badan-badan bukan kerajaan turut memberikan bantuan – pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa – membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini – sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.


(c) Memberikan rawatan kesihatan dan kecemasan – pelbagai jenis penyakit akan merebak selepas bencana akam – bekalan air bersih akan terjejas – keadaan persekitaran akan kotor dan tercemar - doktor-doktor pakar dihantar untuk memberi rawatan terbaik kepada mangsa-mangsa bencana dan mendirikan pusar rawatan atau hospital sementara - memastikan lebih banyak nyawa mampu diselamatkan


(d) Bantuan psikologi – bimbingan dan kaunseling kepada mangsa bencana alam – mereka menjadi trauma – memberikan semangat baru untuk meneruskan kehidupan – Sokongan yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.


(e) Bantuan membina prasarana dan infrastruktur yang rosak semula – sekolah, hospital, klinik, jalan raya – membantu menggerakkan sektor ekonomi yang lumpuh semula - Kerajaan menghantar pegawai-pegawai perancang ekonomi bersama-sama ahli perniagaan tempatan untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi yang sudah lumpuh di kawasan bencana itu. Hubungan ekonomi ini memastikan masa depan penduduk terbabit bertambah baik.


Penutup:

Semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing – peka dengan permasalahan yang dihadapi oleh negara jiran – walau di mana-mana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna – amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali - Semua pihak haruslah bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih – perasaan muhibah dapat dipupuk – melahirkan dunia aman dan sejahtera

Membentuk Keluarga Impianku




"Rumahku, syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga impian saya ialah keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri yang harus ada pada sesebuah keluarga bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipannya untuk mewujudkan keluarga bahagia.

Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata pepatah ,”bagaimana acuan, begitulah kuihnya”.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk membezakan “yang mana intan, yang mana kaca”. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti “menatang minyak yang penuh” . Didikan agama dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti “kapal tanpa nakhoda”.

Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan bahawa anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim.

Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa. Anak-anak harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya. Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa dan janganlah bersikap seperti “kacang lupakan kulit”. Anak-anak janganlah lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka. Kalau bukan ibu bapa, siapakah kita?

Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga saling menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga akan saling membantu dan bekerjasama, bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia banyak memerlukan unsur juga. Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya. “Rumahku, syurgaku.” Keluarga bahagia ialah keluarga impian saya.

(Dipetik dari Blog Cikgu Anelyza )

Usaha Membendung Kenaikan Harga Barangan Keperluan




USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

Peranan Ibu Bapa Untuk Kecemerlangan Akademik Anak-anak.



PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN DORNGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK

Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003

Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.

Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.

Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.

Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.

Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.

(Dipetik dari Blog Cikgu Anelyza)

Kesan Buruk Merokok



Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjayakan kempen anti merokok, namun kesannya sangat mendukacitakan.
Nyatakan kesan buruk tabiat merokok kepada kesihatan.

Pendahuluan:
Gejala merokok semakin membimbangkan – selain orang dewasa ianya turut melibatkan kanak-kanak serta berlakunya peningkatan perokok tegar dalam kalangan wanita – merokok memberi kesan negatif kepada individu dan masyarakat sekeliling - pelbagai usaha telah dan sedang dibuat untuk menyedarkan orang ramai - namun usaha tersebut 'bagaikan mencurah air di daun keladi' - di manakah silapnya ? apakah sudah tiada jalan lain ? Ayuh, kita kupaskan kesan buruk merokok untuk dijadikan sempadan.

Isi-isi (kesan buruk tabiat merokok)
1. Menjejaskan kesihatan - mendatangkan pelbagai penyakit seperti barah otak, barah paru-paru, sesak nafas dan sebagainya - telah terbukti melalui kajian saintifik oleh pakar - perokok yang mengalami masalah ini, hanya menunggu maut.
2. Menjejaskan ekonomi keluarga– memerlukan perbelanjaan yang besar akibat kenaikan harga – sepatutnya wang disalurkan untuk perbelanjaan keluarga atau simpanan hari tua - simpanan berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit.
3. Mencemarkan alam sekitar – asap rokok bukan sahaja membahayakan kesihatan tetapi mencemarkan udara sekeliling – meninggalkan kesan negatif kepada individu yang menghidu bau rokok - menjadikan rakan tidak selesa apabila terhidu bau asap rokok.
4. Menjejaskan keterampilan diri – kesan asap rokok menyebabkan gigi kuning, nafas berbau – penampilan diri akan terjejas – pandangan negatif daripada masyarakat yang menghargai kesihatan diri.
5. Meningkatkan kadar kematian – rokok mengandungi pelbagai bahan kimia yang mengancam kesihatan – terdapat tar, nakotin dan beberapa bahan kimia lian - kajian membuktikan ramai manusia mendapat pelbagai penyakit yang membawa kematian akibat merokok.
6. Meningkatkan perbelanjaan negara – kerajaan terpaksa menggunakan perbelanjaan yang banyak untuk mengubati penyakit orang yang ketagihan merokok – sepatutnya perbelanjaan itu digunakan untuk pembangunan negara.


Penutup :
Masyarakat harus menyedari bahaya merokok - merokok mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada penghisapnya – pihak yang bertanggungjawab harus meningkatkan usaha untuk mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan masyarakat.

Kepentingan Ilmu dan Kesan Buruk jika Kita Tidak Berilmu




Ilmu sangat penting dalam hidup kita. Ilmu boleh menjamin masa depan kita.
Nyatakan kepentingan ilmu dalam hidup manusia dan apakah kesan buruk jika kita tidak berilmu.

Pendahuluan:
“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad” – pepatah itu membuktikan kepentingan ilmu dalam diri manusia – ilmu perlu dipelajari dan dituntut – ilmu yang diperolehi perlu dimanfaatkan untuk kepentingan diri, masyarakat, agama dan negara – ilmu tanpa amal ibarat pohon rendang yang tidak berbuah.

Isi-isi (Kepentingan Ilmu).
1. Ilmu memberi peluang kerjaya – dapat kerja yang lebih baik untuk menyara kehidupan – memperoleh pendapatan bulanan yang tinggi dan tetap - kehidupan lebih selesa dan terjamin.
2. Dihormati dan dipandang mulia oleh masyarakat – orang yang berilmu menjadi rujukan dalam bidang kepakaran masing-masing – doktor, peguam, hakim, arkitek dan guru -masyarakat akan menyanjung tinggi dan menghormati – dapat membantu masyarakat dalam kerja-kerja amal.
3. Taraf hidup dapat ditingkatkan – memperbaiki kehidupan sendiri atau keluarga – impian akan menjadi kenyataan seperti untuk memilik rumah, kereta dan kemewahan hidup – dapat memperolehi kesenangan dalam hidup.
4. Mengelakkan diri daripada ditipu atau ditindas – mampu berfikir dan membezakan antara perkara baik atau buruk, betul atau salah – menjadikan kita lebih berwawasan untuk menjamin masa depan.

Impak negatif Jika Tidak Berilmu.
1. Kehidupan terumbang ambing dan tidak menentu – peluang untuk mendapat pekerjaan bagi menyara kehidupan menjadi tipis –
2. Peningkatan masalah sosial dalam kalangan masyarakat – taraf kehidupan rendah, berlakunya masalah kemiskinan, kehidupan tidak menentu.
3. Daya saing tenaga kerja menjadi rendah – peluang untuk menjawat jawatan yang lebih baik tidak mampu menjadi kenyataan- hanya bekerja diperingkat bawahan.
4. Dipandang rendah oleh masyarakat – masyarakat tidak dapat menaruh harapan yang tinggi untuk membantu mereka – menganggap kehadiran mereka tidak penting.

Penutup :
Pepatah ada menyatakan “ yang bulat tidak datang menggolek , yang pipih tidak datang melayang” – membuktikan bahawa ilmu perlu ditimba dan dicedok – ilmu tidak datang sendiri. Orang yang tidak berusaha mendalami ilmu akan ketinggalan dalam zaman globalisasi yang sangat mencabar ini.

(Perkongsian ilmu - perluaskan isi untuk menjadikan karangan anda lebih baik)