Monday, June 18, 2012

Catatan Israk dan Mikra


Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON

DI SEBALIK kemeriahan EURO 2012 yang semakin hampir ke penghujungnya, umat Islam di seru tidak terleka menghayati tarikh mulia 27 Rejab sempena peristiwa Isra' dan Mikraj Baginda Nabi Muhammad SAW. Ini kerana detik bersejarah perjalanan Nabi Muhamad SAW daripada Mekah ke Baitulmaqdis kemudian ke petala langit ke tujuh dan bertemu Allah SWT adalah peristiwa agung yang sangat menakjubkan.

Malah perjalanan tersebut turut diwarnai dengan pelbagai pengajaran dan peristiwa aneh yang boleh dijadikan iktibar untuk semua Muslimin.

Ini kerana perjalanan pada waktu malam bermula dari Mekah melalui ruang udara Madinah, kemudian transit di Palestin sebelum dibawa Buraq hingga naik melepasi langit ke tujuh bertemu Allah SWT adalah sesuatu yang di luar jangkauan logik akal manusia.

Perkara ini boleh diperhatikan kepada firman-Nya yang bermaksud; "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". ( Surah al-Isra':1)

Selain daripada itu, Allah SWT turut menunjukkan bukti-bukti kebesaran-Nya melalui peristiwa-peristiwa aneh yang menakjubkan. Antaranya diperlihatkan akan sekelompok manusia yang perut mereka besar seumpama sebuah rumah yang dipenuhi dengan cacing dan boleh dilihat dari luar perut. Lalu Malaikat Jibril yang menemaninya sepanjang perjalanan mengatakan itulah balasan kepada pemakan riba yang diharamkan.

Baginda juga dipertontonkan dengan segolongan manusia yang menanam tanaman dan menuai hasilnya pada hari yang sama. Dikatakan kepadanya itu adalah balasan baik bagi orang yang berjihad di jalan Allah SWT. Terdapat pula gelagat manusia yang dengan sendirinya menghantukkan kepala ke dinding lalu pecah dan bercantum semula kemudian dihantuknya lagi sehingga pecah dan bercantum semula sebagai azab Allah SWT terhadap orang yang malas dan meninggalkan fardu sembahyang.

Oleh itu sempena memperingati peristiwa agung ini umat Islam sewajarnya tidak terlalu leka dan terkesima dengan pelbagai hiburan dan berjenaka sepanjang masa sehingga lalai melaksanakan ibadah yang difardukan. Sebagai contohnya kewajipan solat yang difardukan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW ketika bertemu Allah SWT pada malam Isra' dan Mikraj. Ini berbeza dengan ibadat lain seperti zakat dan haji yang diwahyukan menerusi perantaraan Malaikat Jibril.

Hal ini sekali gus menunjukkan betapa solat ibadah paling penting  dan sama sekali tidak patut diabaikan. Malah ia merupakan ibadat yang pertama sekali akan dipersoalkan semasa di dalam kubur. Keengganan sesetengah masyarakat Islam untuk melaksanakan solat pada masa kini dikhuatiri bakal menyumbang kepada gejala sosial dan moral yang semakin meruncing kerana tiada benteng penampan yang dapat mengawal mereka daripada melakukan perkara-perkara tersebut.

Selain itu,  penglibatan umat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba juga adalah wajib dihindari. Ini kerana ia diharamkan sama seperti meminum minuman keras dan memakan babi. Malah dengan situasi masa kini yang mana di negara kita telah terdapat pelbagai produk pembiayaan dan kewangan yang patuh syariah, hukum darurat bermuamalah dengan perbankan konvensional sepatutnya tidak lagi terpakai.

Begitu juga keterlibatan segelintir umat Islam yang kurang ilmu agama sehingga sanggup memperolok-olokkan produk-produk perbankan Islam yang bebas riba juga dilihat tidak selari dengan ketentuan syariat. Adalah lebih molek jika idea-idea yang bernas disalurkan kepada pihak berwajib sehingga urusan penambahbaikan dapat dilakukan demi manfaat bersama.

Selari dengan itu juga penghayatan terhadap peristiwa Isra' dan Mikraj perlu diterjemahkan dengan hanya memilih produk pembiayaan dan pelaburan yang patuh syariah dan bukan memburuk-burukkan sistem Islam sendiri.

Bagi menghayati peristiwa Isra' dan Mikraj ini juga jihad dalam skop yang lebih luas boleh diterapkan kepada jihad melawan hawa nafsu dan jihad daripada belenggu kemiskinan. Hal ini kerana hampir setiap hari ada sahaja berita berkaitan jenayah pembunuhan, penindasan terhadap kanak-kanak dan warga emas, jenayah rogol, merompak, bersekedudukan dan berzina dibicarakan di sana sini. Ia seolah-olah seperti  lahar dalam gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletuskannya keluar dek kerana kroniknya masalah sosial dan moral yang berlaku.

Justeru umat Islam diseru mengambil iktibar daripada peritiwa Isra' dan Mikraj yang disambut setiap tahun bukan hanya dengan menghabiskan cuti berehat bersama keluarga mahupun ke majlis ceramah agama dan pulang begitu sahaja. Ia perlu dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk ummah yang berkualiti dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

Ini kerana peristiwa Isra' dan Mikraj jelas membuktikan betapa kehebatan dan keagungan Allah SWT sama sekali tidak mampu ditandingi. Justeru setiap hamba harus tunduk dan taat mengabdikan diri kepada-Nya. Malah Allah SWT sentiasa memantau setiap gerak-geri  manusia dan kemudiannya mampu pula mengenakan azab dan siksa atas setiap inci kesalahan yang dilakukan semasa di dunia.

Sedarlah juga betapa kehidupan di dunia hanya sementara. Oleh itu usahlah dihabiskan dengan hanya berseronok dan bersuka ria tanpa memikirkan apa yang telah dipersiapkan untuk bertemu hari pembalasan.

Lebih daripada itu sambutan hari kebesaran Islam yang silih berganti diraikan sepanjang tahun ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan seharian agar ia benar-benar mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Saturday, June 16, 2012

Nilai Kemanusiaan Dalam Novel Konserto Terakhir



Nilai kemanusiaan dalam karya sastera berdasarkan novel yang anda baca



Apabila selesai membaca sesebuah novel mahupun menonton sesebuah drama, seseorang itu mula berfikir tentang unsur-unsur istimewa yang terbit daripada cerita tersebut. Selain terpikat akan episod dan aksi watak yang hebat, unsur nilai dan pengajaran sudah pasti akan menyerap secara perlahan-lahan ke dalam benak dan minda pembaca. Tidak dinafikan bahawa nilai kemanusiaan adalah antara sumber yang menjadi kekuatan kepada binaan sesebuah karya sastera. Hal tersebut dapat saya bincangkan berdasarkan novel Konserto Terakhir yang dikarya oleh Abdullah Hussain yang amat padat dengan unsur nilai kemanusiaannya.

Isi 1 : 
Nilai kasih sayang – suatu nilai yang luasnya ibarat lautan yang tidak bertepi – kasih sayang terhadap darah daging sendiri, kasih sayang demi sahabat yang sejati, dan jiwa yang musnah akibat terpisah daripada kasih sayang – kasih sayang dapat membina keluarga dan masyarakat yang bahagia – perlu dipupuk – Pak Long Karim memelihara Hilmi dengan penuh kasih sayang walaupun Himi bukan anak kandungnya – Datuk Johari dan Datin Salmah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak mereka, Hayati – Encik Bakar dan isteri memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak mereka, Azizah – Hayati telah berubah sebagai akibat kehilangan orang yang disayanginya iaitu Hilmi.

Isi 2 : 
Nilai keikhlasan – perlu mempunyai rasa ikhlas dalam setiap pekerjaan supaya segala yang dilakukan diberkati dan diredai Tuhan – melakukan sesuatu pekerjaan dan membantu orang lain kerana ikhlas dan bukannya mengharapkan balasan – Pak Long Karim mengahwini janda Datuk Johari kerana hendak menyelamatkan hubungan kekeluargaan antara bapa Datuk Johari dengan bekas mentua Datuk Johari dan membesarkan Hilmi tanpa mengharapkan balasan – Encik bakar ikhlas mengajarkan muzik kepada Hilmi tanpa mengharapkan ganjaran – menganggap ilmu yang dimilikinya tidak boleh dibawa ke kubur – keikhlasan merupakan senjata penting untuk menjadikan seseorang itu tenang dalam kehidupan di dunia dan di akhirat

Isi 3 : 

Nilai simpati – bersimpati kepada orang lain yang menghadapi masalah – Mak Minah bersimpati dengan Hilmi kerana sering dimarahi oleh Datin Salmah dan pernah tidak diberi makan apabila Himi pulang malam – Mamat bersimpati dengan Hilmi dan memperkenalkan Hilmi kepada Encik Bakar supaya Hilmi dapat belajar muzik daripadanya – Hayati bersimpati dengan Ketua Pengarah RTM ketika Pertunjukan Orkes Perdana diadakan dengan menjadi pengganti Hilmi yang tidak muncul pada malam pertunjukan itu kerana Hilmi dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur – dapat meringankan tekanan yang dihadapi oleh pihak lain dan tidak bersikap individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing

Isi 4 : 

Nilai bertanggungjawab – wajib melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna – Himi menjalankan tanggungjawabnya sebagai tukang kebun Datuk Johari dengan baik dan sempurna – menjaga tanaman bunga di pekarangan rumah seperti menjaga dirinya sendiri – mendapat pujian daripada Dr. Nathan – Hilmi menunjukkan sikap bertanggungjawab kepada majikannya, iaitu tauke stesen minyak Shell – Hilmi juga bertungkus-lumus siang dan malam selama dua bulan untuk membuat latihan dan persiapan bagi memimpin Pertunjukan Orkes Perdana

Isi 5: 
Nilai kesabaran dan kegigihan dalam menempuhi segala kemelut dan pancaroba kehidupan – akhirnya mencapai kejayaan – sabar menerima cacian dan cemuhan Datin Salmah yang memandang rendah kepadanya kerana bersekolah setakat darjah empat sekolah Melayu – tidak pernah melawan kata-kata Datin Salmah – sabar menghadapi masalah rumah tangganya – Azizah mengajar anaknya, Hakim memanggilnya dengan gelaran ‘bapa jahat’ – tidak menghalangnya untuk menjadi seniman terkenal

Nilai kemanusiaan ialah aset yang boleh dijadikan sumber didaktik yang disemaikan secara halus dan tersirat. Oleh hal yang demikian, sebagai pembaca yang bijaksana, unsur-unsur nilai hendaklah dijadikan panduan dan pedoman untuk membuat koreksi diri. Moga-moga apa-apa yang ditelusuri lewat karya yang dibaca mampu mengimpakkan natijah yang sangat berharga.

Salam Menyambung Bicara

Salam buat semua rakan ;
Agak lama saya mendiamkan diri dalam penulisan di blog ini. Ada beberapa sebab dan kekangan yang menghalang pertemuan kita di alam maya ini.;
1. Kesibukkan menanda kertas PPT dan mengisi markah dalam SAPS.
2. Menjadi tetamu ALLAH - menunaikan UMRAH.

Insya Allah, semuanya sudah selesai. Saya akan kembali aktif bagi menyampaikan info terkini berkaitan  dengan dunia pendidikan. Kalau pelajar ingin mendapatkan soalam SPMU, boleh layari FB saya. Saya dah masukkan. Mungkin soalan ini dapat menjana pemikiran kita apabila kita cuba menjawabnya.

Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru


Lagu Tema Hari Guru 2012 - 





Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
Lagu: En. Rosman bin Adam
Lirik: En. Zainal Ariffin bin Yusof
(IPGM Kampus Ilmu Khas)


Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Bangun, beranikan terima seruan
Mendidik, memimpin penuh berwawasan
Menciptakan kreativiti
Melahirkan Guru Inovatif

c/o
Sahutlah cabaran, perubahan
Daulatkan Bidang Pendidikan,
Guru Inovatif Melonjakkan
Transformasi Pendidikan Negara
Malaysia Ku tercinta

Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Tiada pernah jemu tiada putus asa
Sedia menimba ilmu di mana saja
Binakanlah keyakinan
Merentasi segala halangan

ulang c/o x2

Friday, May 11, 2012

Prosa Tradisi - Merah Silu


Sinopsis
                  Kisah bermula apabila Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Pada awalnya Merah Gajah tidak mengetahui isterinya mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala sehingga beliau terpandang isterinya menyikat rambut. Merah Gajah mahu mencabut rambut tersebut tetapi dihalang oleh isterinya. Sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut rambut tersebut menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga menyebabkan kematiannya.
                   Berita kematian Puteri Betong telah menimbulkan kemarahan ayahandanya Raja Muhammad dan mengambil tindakan membunuh Merah Gajah. Ayahanda Merah Gajah iaitu Raja Ahmad telah bertindak balas menyerang Raja Muhammad sehingga berlaku peperangan sengit menyebabkan kedua-duanya terbunuh termasuk sebilangan besar rakyat. Hanya yang tinggal Merah Silu dan Merah Hasum serta beberapa rakyat yang masih hidup dan mengaku taat setia kepada kedua-duanya untuk terus tinggal di negeri Semerlanga itu.
                   Merah Silu dan adiknya Merah Hasum berhasrat meninggalkan negeri itu kerana tidak ada sesiapa lagi kaum kerabatnya yang tinggal. Mereka berdua keluar meninggalkan negeri Semerlanga menuju ke sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan di tepi sungai. Suatu hari ketika di sungai, Merah Silu terlihat banyak ikan dan dia pergi ke hulu sungai menahan bubu. Beberapa kali bubu yang ditahannya dipenuhi dengan cacing gelang-gelang. Akhirnya dia mengambil keputusan membawa balik cacing gelang-gelang itu dan merebusnya di dalam kawah. Cacing itu telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
                      Merah Hasum hanya diam apabila mendengar berita Merah Silu menjadi kaya. Pada suatu hari , Merah Silu menangkap kerbau liar tetapi tindakannya itu tidak disenangi oleh Merah Hasum kerana pada pendapatnya kerja itu tidak berfaedah dan hanya memalukan dirinya sebagai saudara kepada Merah Silu. Merah Hasum telah meminta Merah Silu menghentikan perbuatan tersebut dan menyuruh Merah Silu keluar dari negeri itu jika tidak mahu mendengar katanya. Akhirnya Merah Silu mencari petempatan baru dengan membawa segala harta dan kerbaunya. Merah Silu tiba di hulu Karang dan menetap di situ tetapi kehadirannya tidak disenangai oleh penduduk kampung kerana kerbau-kerbau itu memakan tanaman mereka.
                      Merah Silu berpindah lagi ke sebuah negeri bernama Buluh Telang. Di sini beliau bertemu dengan Megat Iskandar dan menyatakan hasratnya untuk tinggal di negeri tersebut dan menganggap Megat Iskandar sebagai bapanya. Megat Iskandar bersetuju membenarkan Merah Silu tinggal di situ dan boleh memelihara kerbau kerana ada ladang yang luas. Merah Silu suka menyabung ayam dan selalu memberi kerbau sebagai hadiah kepada sesiapa yang menyabung ayam dan yang menontonnya. Megat Iskandar dengan persetujuan pembesar dan rakyat telah melantik Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun. Sultan Maliku’l- Nasar tidak bersetuju dan menyerang Merah Silu. Beberapa siri peperangan berlaku antara Merah Silu dengan Sultan Maliku”l- Nasar dan akhirnya sultan tewas dan Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun.


Tema

Ketabahan seorang anak raja dalam menghadapi cabaran hidup.
Merah Silu menjadi yatim piatu  setelah kematian kedua-dua ibu bapa dan terpaksa merantau dengan adiknya Merah Hasum meninggalkan Semerlanga dan membuka petempatan baru di Beruana. Merah Silu terpaksa berpindah lagi kerana  sikapnya tidak disenangi oleh adiknya. Dia berpindah ke Hulu Karang tetapi tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbaunya telah merosakkan tanaman mereka. Merah Silu menetap pula di Buluh Telang apabila dipelawa oleh Megat Iskandar. Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.

Persoalan

1.    Persoalan perselisihan antara adik-beradik
    Perselisihan faham antara Merah Silu dengan Merah Hasum kerana tindakan Merah Silu yang menangkap kerbau liar tidak disukai oleh Merah Hasum dan dianggap memalukannya.

2.    Persoalan perkara di luar logik akalKeistimewaan seseorang keturunan raja digambarkan dengan peristiwa aneh misalnyanya cacing gelang-gelang yang direbus oleh Merah Silu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.

     Persoalan keberanian anak raja
   Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.
   
     Persoalan sikap pemurah dalam kalangan masyarakatMerah Silu yang suka menyabung ayam memberi hadiah  seekor kerbau kepada  orang yang terlibat menyabung ayam dan juga kepada yang hanya datang melihat sahaja malah dia juga memberi semula wang pertaruhan kepada mereka yang kalah.

5.     Persoalan kegemaran berjudi dalam kalangan masyarakat 
      Merah Silu suka menyabung ayam dan mengunakan wang pertaruhan .


Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Merah Silu
·                  Anak sulung Merah Gajah dengan Puteri Betong
·                  Mempunyai saudara bernama Merah Hasum
·                  Menjadi yatim piatu sejak kecil setelah kematian ibu dan ayahnya
·       Kaya -  Cacing gelang-gelang yang direbusnya bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
·              Suka menyabung ayam – Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
·     Seorang yang tidak berputus-asa- Merah Silu berulang kali menahan bubu walaupun hasilnya hanya cacing gelang-gelang.
·               Seorang yang berani-  Merah Silu terlibat dalam beberapa siri peperangan.
·              Seorang yang pemurah- Merah Silu suka memberi hadiah kerbau kepada sesiapa yang terlibat dalam sabung ayam.

Watak Sampingan

1.          Merah Hasum
·                  Adik kepada Merah Silu
·                  Menghormati saudara- Dia bersetuju dengan pandangan Merah Silu untuk berpindah dari negeri Semerlanga.
·                  Tidak suka perkara sia-sia- Dia marahkan Merah Silu kerana menangkap kerbau liar.
·                  Bersikap tegas – Dia menyuruh Merah Silu meninggalkan  Beruana jika tidak mahu menghentikan perbuatan menangkap kerbau liar.

2.          Megat Iskandar
·                  Saudara kepada Megat Kedah dan Sultan Maliku”l-Nasar.
·                  Tinggal di Buluh Telang.
·                  Mempunyai ladang yang luas.
·                  Bapa angkat kepada Merah Silu.
·                  Tetap pendirian - Dia berperang di Kumat dengan saudaranya Sultan Maliku’l-Nasar yang tidak bersetuju Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun
·                  Seorang yang menghormati tetamu - Dia menjamu Merah Silu semasa kedatangan Merah Silu ke Buluh Telang.

3.          Sultan Maliku”l- Nasar
·                  Adik kepada Megat Iskandar dan Megat Kedah
·                  Tegas- Dia tidak bersetuju dengan tindakan Megat Iskandar untuk melantik Merah Silu di Rimba Jerun.
·                     Mempertahankan haknya sebagai raja di Rimba Jerun
·                     Berani – Dia berperang dengan Megat Iskandar di Kumat.

Latar
Latar Tempat
1.    Negeri Semerlanga
·         Peperangan antara Raja Ahmad dengan Raja Muhammad menyebabkan kedua-duanya terbunuh Tempat asal Merah Silu dan Merah Hasum sebelum keluar merantau.
2.     Beruana
·         Perkampungan baru yang dibuka oleh Merah Silu dan Merah Hasum.
·         Cacing gelang-gelang yang memenuhi bubu Merah Silu yang ditahannya di hulu sungai telah direbus dan bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak  menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
3.    Kerbau Kampung
·         Tempat Merah Silu menangkap kerbau liar.
4.    Hulu Karang
·         Merah Silu tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbau Merah Silu merosakkan tanaman padi dan pisang mereka.
5.    Negeri Buluh Telang
·         Menetap di situ setelah dipelawa oleh Megat Iskandar.
·         Tempat Merah Silu mengamalkan hobinya menyabung ayam.
6.     Rimba Jerun
·         Peperangan antara Sultan Maliku”l-Nasar dengan Merah Silu.
·         Merah Silu menjadi raja di sini setelah Sultan Maliku’l-Nasar ditewaskan oleh Megat Iskandar di Kumat.
Latar Masa
1.    Bermula dari kelahiran Merah Silu hingga dilantik menjadi raja di Rimba Jerun.
2.    Waktu malam – semasa Puteri Betong tidur dan Merah Gajah mencabut sehelai rambut Puteri betong yang berwarna keemasan menyebabkan kematiannya.
3.    Waktu siang -  Merah Silu pergi ke tepi sungai dan ternampak banyak ikan.
Latar Masyarakat
1.    Golongan bangsawan – Merah Silu, Merah Hasum, Puteri Betong, Merah Gajah, Raja Ahmad, Raja Muhammad, Megat Iskandar,Megat Kedah, Sultan Maliku’l-Nasar
2.    Masyarakat yang suka menyabung ayam  -  Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
3.    Golongan bawahan – orang yang diupah untuk mengorek lubang besar (anderak) bagi menangkap kerbau liar
·         Golongan askar – golongan yang terlibat dalam beberapa siri peperangan.
·         Masyarakat yang suka membantu - Megat Iskandar  mempelawa Merah Silu menetap di situ.

Gaya Bahasa
1.    Bahasa Klasik – anderak, dibantunnya), senawat
2.    Bahasa istana  - baginda, adinda, kakanda , anakanda
3.    Bahasa Arab – berkat , Allah Taala
4.    Personifikasi – matahari mati
5.    Metafora – kerbau jalang
6.    Hiperbola
 -  Bukit yang dilalui Merah Silu menjadi lekuk bekas kerbau itu berjalan .
Besarnya anderak itu sekadar muat kerbau dua tiga ratus.

Nilai
1.    Nilai Taat Setia –  rakyat mematuhi perintah raja untuk berperang sehingga  melibatkan banyak kehilangan nyawa.
2.    Nilai Murah Hati - Merah Silu menghadiahkan seekor kerbau kepada setiap orang yang hadir ke gelanggang sabung ayam.
3.    Nilai Keberanian - - Merah Silu berani berperang menentang Sultan Maliku’l-Nasar untuk menjadi raja di Rimba Jerun.
4.    Nilai Berdikari – Merah Silu keluar mencari petempatan baru sendirian setelah dihalau oleh Merah Hasum.
Pengajaran
·         Kita hendaklah menyelesaikan masalah yang timbul melalui rundingan bukannya peperangan.
·         Kita hendaklah berani mempertahankan maruah supaya hak kita tidak diganggu- gugat.
·         Kita hendaklah menghormati tetamu.
·         Kita janganlah menganiayai binatang.
·         Kita hendaklah menyelidik dahulu sesuatu perkhabaran sebelum mengambil sebarang tindakan.
Latihan
1.    Terangkan tiga latar tempat yang terdapat dalam cerita Merah Silu.
2.    Jelaskan  empat nilai murni yang terdapat dalam cerita Merah Silu.
Jawapan:
1.     Latar Tempat
       Negeri Semerlanga
·         Merah Gajah telah mencabut sehelai rambut berwarna keemasan Puteri Betong yang menyebabkan kematiannya. Merah Gajah dibunuh oleh Raja Muhammad.
·         Peperangan antara Raja Ahmad dengan Raja Muhammad menyebabkan kedua-duanya terbunuh.
·         Tempat asal Merah Silu dan Merah Hasum sebelum keluar merantau.
 Beruana
·         Perkampungan baru yang dibuka oleh Merah Silu dan Merah Hasum.
·         Cacing gelang-gelang yang memenuhi bubu Merah Silu yang ditahannya di hulu sungai telah direbus dan bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak  menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
            Rimba Jerun
·         Di perintah oleh Sultan Maliku”l-Nasar.
·         Megat Iskandar mahu merajakan Merah Silu di situ.
·         Peperangan antara Sultan Maliku”l-Nasar dengan Merah Silu.
·         Merah Silu menjadi raja di sini setelah Sultan Maliku’l-Nasar ditewaskan oleh Megat Iskandar di Kumat.

2.    Nilai
Nilai taat setia
Contoh: Rakyat mematuhi perintah raja untuk berperang sehingga  melibatkan banyak kehilangan nyawa.

·         Nilai murah hati
Contoh: Merah Silu menghadiahkan seekor kerbau kepada setiap orang yang hadir ke gelanggang sabung ayam.
      Megat Iskandar menjamu Merah Silu dan mempelawa Merah Silu menetap di negerinya.
·         Nilai keberanian
Contoh:  Merah Silu berani keluar merantau dari Beruana setelah di halau oleh adiknya , Merah Hasum
Contoh: Merah Silu berani berperang menentang Sultan Maliku’l-Nasar untuk menjadi raja di Rimba Jerun.
·         Nilai berdikari
Contoh: Merah Silu keluar mencari petempatan baru sendirian setelah dihalau oleh Merah Hasum.