Monday, April 16, 2012

Memori Seorang Tua






Cerpen Memori Seorang Tua
(Zahari Affandi)

Sinopsis
Pak Itam digambarkan seorang sebagai pejuang yang cekal. Dia telah beberapa kali keluar masuk penjara kerana penentangannya terhadap Inggeris. Beliau berhasrat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85. Beliau turut bercadang untuk menjemput wartawan, mahasiswa universiti serta para penduduk Langat ke majlis berkenan  bagi berkongsi kisah perjuangannya. Ketika Pak Itam membaca majalah Mastika lama, beliau tersentuh akan paparan Siti Nurhidayah yang menuntut fasakh ketika beliau ditahan di penjara Singapura. Itulah kali terakhir beliau menatap wajah dua orang anaknya, Izwan dan Nuryani Iman. 
            Tuk Mat merupakan orang yang banyak membantu Pak Itam menguruskan segala persiapan untuk majlis itu dan turut dibantu beberapa orang pemuda kampung seperti Isa, Latif dan Jali. Pada hari yng ditetapkan, Pak Itam lengkap berbaju Melayu menyambut tetamu. Orang kampung memenuhi tempat berlangsungnya majlis tersebut, namun Pak Itam kecewa kerana tetamu dari jauh masih belum sampai. Tambah mengecewakan Pak Itam kerana wartawan akhbar dan televisyen tidak muncul.Pak Itam merasakan segala pengorbanannya selama ini telah dilupakan.
            Apabila tiba waktu Zuhur, Pak Itam masuk untuk menunaikan solat. Kaih yang cemas cuba memberitahu perkara yang berlaku kepada Pak Itam. Apabila Tuk Mat mendekati Pak Itam yang terbaring di sejadah, beliau dilihat sudah meninggal dunia. Tetamu yang hadir membacakan surah Yasin untuk jenazah. Pada ketika itu, datang seorang perempuan tua mendekati jenazah membawa sejambak ros. Tatkala orang ramai tercengang memikirkan identiti perempuan tersebut, Tuk Mat menyapu air matanya dan menganggap hajat Pak Itam untuk bertemu isterinya, Siti Nurhidayah telah tercapai.


Tema
Semangat patriotik, iaitu tentang keinginan seorang tokoh yang ingin berkongsi memori lampaunya dengan masyarakat.
 Pak Itam ingin berkongsi perjuangan yang telah dilaluinya dengan anak cucunya dalam usaha beliau membebaskan negara ini daripada penjajahan.

Persoalan

1.     Persoalan kesediaan menghadapi cabaran.
Pak Itam terpaksa menempuh halangan dalam perjuangannya, iaitu terpaksa keluar masuk penjara kerana perjuangannya bertentangan dengan dasar pemerintahan  pada masa itu.

2.      Persoalan rasa tanggungjawab terhadap nasib yang akan dialami oleh anak bangsa.
Atas dasar tanggungjawab, Pak Itam berjuang untuk bangsa Melayu kerana dia ingin melihat bangsanya mendapat pendidikan yang tinggi serta tidak menjadi hamba di negara sendiri.

3.      Persoalan jati diri yang teguh.
       Pak Itam mempunyai jati diri dan pendirian yang teguh dari usia muda sehingga usianya mencecah 85 tahun.


Plot  
Binaan Plot 

(i)            Permulaan
Mengisahkan kehidupan zaman muda Pak Itam yang sering keluar masuk penjara kerana menentang penjajah. Perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu amat menebal dalam jiwa Pak Itam.

(ii)          Perkembangan
Pak Itam melahirkan hasrat beliau untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85 tahun. Sambutan yang julung kali diadakan ini turut bertujuan untuk berkongsi pengalamannya sebagai seorang pejuang. Pak Itam juga turut menyatakan harapannya untuk melihat anak bangsanya hidup dengan sempurna dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan. Tetamu yang hadir pada sambutan majlis hari jadinya agak kurang dan ini menjadikan Pak Itam berasa sedih dan beranggapan bahawa pengorbanannya selama ini kian dilupakan.

(iii)         Klimaks
Pak Itam menghembuskan nafas terakhirnya di atas sejadah. Orang ramai yang hadir membaca surah Yasin untuknya.

(iv)         Peleraian
Kehadiran seorang wanita yang sudah berumur pada hari kematiannya membawa sejambak ros merah menjadikan  penduduk kampung tertanya-tanya. Hanya Tuk Mat mengerti dan berfikir dalam hatinya, hajat Pak Itam kesampaian juga.


Teknik Penceritaan
1.    Pemerian
Pak Itam toleh kiri kanan. Pokok pisang, pokok lengkuas, serai, betik dan rumput-
rampai sekitar rumahnya mengangguk perlahan ditiup angin pagi. Nyaman benar hidup 
di perkampungan, tetapi…

2.    Dialog
“Dah kaujemput budak-budak suratkhabar?” tanya Pak Itam.
“Sudah!” jawab Tuk Mat.

3.    Imbas Kembali
Tiba-tiba hatinya dipintali kesayuan. Di mana Siti Nurhidayah? Di mana Izwan dimana Nuryani Iman? Sudah berpuluh tahun berpisah.

4.    Monolog dalaman
Pak Itam sudah berfikir-fikir, budak-budak surat khabar sudah tentu akan mengerumuninya, menghulur berbelas, mungkin berpuluh kaset perakam suara mahu menemuramahnya.

Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Pak Itam
1.    Berasal dari Kuala Semantan, Pahang.
2.    Berumur 85 tahun.
3.    Mempunyai isteri  iaitu, Siti Nurhidayah dan dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman yang terpisah sejak isterinya meminta fasakh ketika dia di penjara.
4.    Mempunyai seorang anak angkat bernama Sidah.

5.    Suka membaca. -, Pak Itam suka membaca akhbar dan majalah di kerusi malas di kaki lima rumahnya.
6.  Seorang nasionalis tulen. -  Pak Itam berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk bangsanya.
7.  Seorang yang taat akan perintah agama.- Pak Itam sentiasa beribadat dan menggunakan waktu malam untuk mendekatkan diri kepada tuhan.
8.  Baik hati  - Pak Itam bersedia melayan tetamu yang datang untuk bertemu dengannya di rumah.

Watak Sampingan

Tuk Mat

1.    Bekas anggota polis.
2.    Jiran Pak Itam.
3.    Bertubuh sasa, kulit dan batang lengannya masih pejal dan kemas.
4.  Rajin. - beliau banyak membantu Pak Itam dalam usaha mengadakan sambutan hari lahirnya.
5. Boleh diharapkan dan berdisiplin -, hal ini diakui oleh Pak Itam apabila membandingkan sifat anak-anak muda seperti Isa dan Latif dengan watak Tuk Mat.

Siti Nurhidayah

1.    Bekas isteri Pak Itam yang menuntut fasakh ketika Pak Itam berada di dalam penjara.
2.    Sempat hadir pada hari kematian Pak Itam.
3.    Mempunyai dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman.


Latar
Latar Masa
1.    Sehari sebelum hari lahir Pak Itam yang ke-85 tahun- Tuk Mat dan penduduk kampung sibuk menguruskan persiapan untuk majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam.
2.    Sebelum Zuhur - Pak Itam masih menanti. Dia amat kecewa.  Tuk Mat menyuruhnya berehat.
3.    Selepas Zuhur - Kiah menjerit memberitahu Tuk Mat bahawa Pak Itam sakit. Pak Itam meninggal dunia dan bacaan Yasin diadakan.

             
Latar Tempat
 1.    Kediaman Pak Itam dan halaman rumahnya- tempat majlis kenduri sempena hari jadi 
      Pak Itam dan pameran diadakan .
2.    Di kaki lima rumah Pak Itam -  tempat Pak Itam duduk sambil membaca akhbar dan 
     majalah seharian di atas kerusi malas.
3.  Kampung Pak Itam di Hulu Langat- perkampungan yang nyaman tetapi mula tercemar 
     apabila dua buah kilang dari Korea dan Jepun mula beroperasi.
4. Penjara di Singapura - Siti Nurhidayah, isteri Pak Itam datang bersama dua orang   
    anaknya membawa surat kadi meminta fasakh ketika Pak Itam meringkuk di situ.

Latar Masyarakat

1.    Masyarakat pejuang yang mencintai bangsa dan negara.
Pak Itam sanggup keluar masuk penjara kerana menentang Inggeris demi sayang akan bangsa dan negara.

2.    Masyarakat penulis dan wartawan.
 Pak Itam mewakili golongan masyarakat yang menentang penjajah menggunakan mata pena.

3.    Masyarakat kampung yang masih mengamalkan amalan gotong royong serta bekerjasama.
Tuk Mat dan beberapa orang pemuda kampung yang membantu Pak Itam mengadakan majlis sambutan hari jadi Pak Itam secara besar-besaran.
  .
Gaya Bahasa
1.    Simile - …kian mengecil seperti sebiji debu
2.    Peribahasa  - seperti enau di belukar
3.    Metafora  -tangisan ketakwaan
4.    Penggunaan Bahasa Inggeris  - vision, Happy Birthday To You
5.    Personifikasi  - Pungguk di belakang rumah terus merintih, merindu bulan…

Nilai
1.    Nilai pengorbanan.
Pak Itam sanggup menolak jawatan sebagai majistret demi cinta akan bangsa dan negara.
2.    Nilai cinta akan negara.
Pak Itam berjuang untuk membebaskan anak bangsanya daripada dibelenggu kemiskinan dan mahu melihat anak bangsanya mendapat pendidikan tinggi.
3.    Nilai bekerjasama.
Semua penduduk kampung tidak kira muda atau tua berganding bahu menjayakan persiapan majlis sambutan hari jadi Pak Itam.


Pengajaran

1.    Kita  hendaklah cinta akan bangsa dan negara agar tidak dijajah oleh bangsa lain.
2.    Kita wajarlah saling membantu dalam setiap usaha agar pekerjaan menjadi mudah.
3.    Kita hendaklah sentiasa mentaati perintah tuhan dengan meningkatkan amal ibadah agar mendapat kesenangan di kemudian hari.
4.    Kita haruslah mengenang jasa tokoh yang banyak berkorban  untuk bangsa dan negara walaupun masa berubah.









Cerpen Ibu dan Ceper
(Shahnon Ahmad)
               
Sinopsis
Kisah ibu tua yang disamakan dengan kisah sebuah sungai iaitu Sungai Ceper. Sungai Ceper ialah sungai yang jernih dan mempunyai sumber ikan dan udang, panjang dan berliku-liku, samalah seperti ibu yang sentiasa aktif melakukan aktiviti bersawah. Pada waktu malam, Sungai Ceper masih cergas tetapi ibu tidak. Pada sebelah malam, ibu berehat dan esoknya kembali cergas.
Pada suatu hari, Sungai Ceper melimpah kerana hujan turun di hulu. Airnya likat dan melimpah menyebabkan sawah padi musnah. Pada tahun itu, semua penduduk kampung makan ubi gadung kerana padi musnah. Selepas Ceper melimpahkan air, tiba pula musim kemarau. Sungai Ceper menjadi cetek, ikan mati, air sungai busuk dan sawah kering sehingga menyebabkan  ibu menggunakan telaga sebagai sumber. Keadaan ini ialah keadaan 40 tahun yang lalu, iaitu semasa aku masih anak teruna dan ibu masih muda.
Kini, ibu dan ayah tiada lagi. Aku pula sudah bercucu. Sungai Ceper masih wujud  tetapi sudah mula berubah sejak ibu terjatuh, lalu lumpuh kerana terpijak tunggul lama iaitu sepuluh tahun sebelum ibu meninggal. Pada masa itulah, keluarga aku menderita dan aku berkahwin dengan gadis di kampung itu. Bapa pula sudah tidak gila burung lagi  sebaliknya dia hanya menjaga cucu dan menjaga ibu.
Ceper kini berbau busuk kerana menjadi tempat pembuangan sampah. Airnya mengalir lesu bersama-sama sampah sarap yang tidak sepatutnya dibuang ke dalam sungai itu. Aku dan isteri telah tua dan kini duduk di rumah menjaga cucu. Pada masa ini, Ceper telah mati dan tidak berfungsi lagi walaupun masih wujud, tidak seperti ibu yang telah tiada di dunia ini.

Tema
Kegigihan seorang ibu dalam mengharungi kehidupan  

Ibu gigih mencari rezeki dan banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman.

Persoalan

1.    Persoalan kepentingan air dalam kehidupan.  
Air Sungai Ceper yang deras dan jernih digunakan oleh ibu untuk mengairi sawahnya.
2.    Persoalan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah sedangkan sungai ini semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya
3.    Persoalan kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam.
Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di kampungnya. 

Plot  

Binaan Plot 
(i)            Permulaan
Aku menerangkan perasaan sayang dan cinta akan Sungai Ceper dan ibu yang banyak berjasa kepadanya.Aku terkenang akan sungai ini yang jernih ,tenteram, deras dan menjadi lubuk ikan. Ibu juga seperti Ceper yang aktif bersawah dan bekerja. Namun, ibu berehat pada waktu malam manakala Ceper sama sahaja pada siang atau malam.

(ii)           Perkembangan
Kemarahan ibu kepada Sungai Ceper yang melimpah akibat hujan lebat sehingga memusnahkan tanaman . Ibu juga memarahi sikap suaminya yang sambalewa terhadap tanggungjawab keluarga dan asyik dengan ketitir. Kemarahan ibu semakin memuncak apabila Sungai Ceper semakin cetek akibat kemarau. Hal ini menyebabkan sawah-sawahnya kering , sumber makanan dan minuman terjejas sehingga  memaksa ibu menggunakan telaga sebagai sumber air. Setelah 40 tahun berlalu,Sungai Ceper semakin tercemar akibat pengabaian masyarakat. Ibu dan ayah sudah meninggal dunia dan aku telah pun berkeluarga dan mempunyai cucu.

(iii)          Klimaks
Ibu meninggal dunia dan Sungai Ceper semakin sakit. Sungai ini semakin cetek, alirannya lambat dan banyak sampah daripada pelbagai bahan buangan berada di perutnya. Airnya busuk kerana bangkai binatang , kain-kain buru , plastik, dan sisa-sisa makanan dibuang ke dalamnya. Bapa juga telah meninggal dunia.

(iv)         Peleraian
Sungai Ceper masih mengalir tetapi amat lambat. Keadaannya semakin parah. Aku dan isteri telah tua dan anak-anak pula menggantikan kami. Ceper dikatakan sudah mati kerana airnya sudah tidak bergerak dan timbunan sampah tindih-menindih. Ibu benar-benar telah mati tetapi Ceper walaupun masih wujud tetapi sudah tidak berfungsi lagi.

Teknik Penceritaan

1.    1. Pemerian
Ceper pun serupa. .Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas dari busurnya.Dan pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama-sama ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak  dan bapa-bapa udang, bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu.


2.    Dialog

“Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”

3.    Imbas Kembali

Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga.Dia marah sangat kepada Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Ibu
1.    Cekap bekerja.
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas Subuh sehingga hampir Maghrib, malah ibu melakukan hampir semua jenis kerja.
2.    Rajin  .
Ibu rajin membuat pelbagai kerja menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung.
3.    Bermasyarakat.
Walaupun ibu sibuk bekerja, dia tidak lupa untuk menghadiri kenduri-kendara di kampungnya dan menziarahi orang yang meninggal dunia.
4.    Kuat semangat.
Walaupun Sungai Ceper telah memusnahkan padinya akibat banjir namun ibu tidak berputus asa untuk mengusahakan sawahnya semula.




Watak Sampingan

Aku
1.    Anak tunggal dalam keluarga.
2.    Mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah.
3.    Sudah berumah tangga .
4.    Penyayang.
Aku merupakan seorang anak yang penyayang kerana masih mengingati pengorbanan ibunya walaupun telah 40 tahun berlalu.
5.    Bertanggungjawab.
Aku bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan ayahnya yang tua.

Sungai Ceper
1.    Panjang, berliku-liku, jernih, pasir-pasir berbiji halus dan kelikirnya berkilat.
2.    Sumber air bagi kehidupan di sekelilingnya.
3.    Tercemar kerana menjadi tempat pembuangan sampah sarap.

Latar

Latar Masa

            1.    Masa kini - Aku telah tua, ada anak yang telah besar dan telah bercucu.
2.    10 tahun yang lalu  setelah ibu jatuh, lumpuh dan meninggal dunia-ibu sudah tidak 
       dapat bergerak lagi dan kerja-kerja di sawah diteruskan oleh aku dan isteri.
            3.    40 tahun yang lalu - Ketika ibu masih muda dan aku masih teruna.
            4.    Siang - sewaktu ibu turun mengerjakan sawah padinya.
            5.    Malam - gambaran tentang Sungai Ceper yang tetap cergas.


Latar Tempat

1.     Di sebuah desa - tempat tinggal ibu, aku dan ayah.
2.    Kawasan sawah padi - tempat ibu dan orang kampung bekerja.
3.    Sebatang sungai - tempat anak-anak kampung merangau ikan.
4.    Telaga - tempat ibu mengambil air ketika kemarau.
5.    Rimba belantara - tempat bapa berdenak ketitir.
6.    Sungai Ceper  -  tempat penduduk kampung termasuk ibu mendapat sumber air.


Latar Masyarakat

1.    Masyarakat petani
Mereka  mengusahakan tanaman padi secara tradisional. Keluarga aku mewakili sebahagian daripada anggota masyarakat yang mengusahakan tanaman padi secara tradisional seperti menajak dan menyisir selut.


2.    Masyarakat yang menghadapi kepayahan hidup.
Penduduk di desa aku mengalami kesempitan hidup apabila Sungai Ceper melimpah kerana banjir dan airnya kering sehingga tidak dapat mengairi sawah ketika musim kemarau.

3.    Masyarakat yang  tidak bertanggungjawab.
Bapa sanggup menghabiskan masa mendenak burung ketitir di rimba sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarganya.



Gaya Bahasa
1.    Kata ganda  -  kehijauan-hijauan
2.    Simpulan bahasa   - naik angin
3.    Simile - Ibu tidak lagi cergas waktu malam kerana ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang
4.    Personifikasi  - ….kudengar ngauman Ceper
5.    Hiperbola - …Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing

Nilai

1.    Nilai bertanggungjawab.
Sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri yang ditunjukkan oleh ibu yang mengusahakan sawah padi bagi menampung kehidupan keluarganya.

2.    Nilai kegigihan.
Walaupun terpaksa menggunakan tulang empat kerat, ibu tetap gigih bekerja menyara keluarga.

3.    Nilai kesabaran.
Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarga.


Pengajaran

1.    Kita hendaklah bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga agar mereka tidak hidup dalam kesusahan.
2.    Kita hendaklah menjaga kerukunan rumah tangga agar tidak berlaku perselisihan faham antara suami dengan isteri.
3.    Kita mestilah menyayangi ibu bapa yang telah tua agar kebajikan mereka terpelihara.
4.    Kita janganlah mencemarkan alam sekitar kerana perbuatan itu akan membawa keburukan kepada masyarakat.

Kerja Sekolah Sewaktu Saya Berkursus




Ketua Kelas ;
Dapatkan buku kupasan atas meja saya di bilik guru, salin nota dalam buku nota KOMSAS mengikut topik di bawah di papan putih. Ketua Kelas dibenarkan untuk membawa balik buku kupasan tersebut ke rumah untuk menyalin semula nota tersebut. Pastikan semua pelajar menyalin nota tersebut.

Kerja Sekolah Yang Perlu Disiapkan :

Selasa :17 April 2012

5 Sains 1               : KOMSAS (Sajak Kecek -  Maksud, Tema , persoalan, Gaya Bahasa, Pengajaran)
5 MPV                   : KOMSAS (Sajak Dirgahayu Bahasaku – Tema, Persoalan, Gaya Bahasa, Nilai,
  Pengajaran)
4 PA2                     : KOMSAS (Cerpen Memori Seorang Tua – Latar, Gaya Bahasa, Nilai,
  Pengajaran)
4TI 1                       : KOMSAS ( Sajak Harga Remaja – Tema, Persoalan, Gaya Bahasa, Nilai)


Rabu :18 April 2012

5 Sains 1               : KOMSAS (Prosa Tradisi – Hikayat Langlang Buana -   Tema , persoalan, Nilai,
                                  Pengajaran)
5 MPV                   : KOMSAS (Sajak Kecek – Tema, Persoalan, Gaya Bahasa, Nilai,
  Pengajaran)
4 PA2                     : KOMSAS (Sajak – Harga Remaja – Maksud, tema, Persoalan, Gaya Bahasa)
4TI 1                       : KOMSAS ( Sajak Di Perpustakaan – Tema, Persoalan, Gaya Bahasa, Nilai)

Khamis :19 April 2012.

5 Sains 1               : KOMSAS (Prosa Tradisi – Pelayaran Yang penuh Peristiwa -, Tema , persoalan, Gaya
                               Bahasa, Pengajaran).

* Kerja sekolah ini perlu disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

Sunday, April 15, 2012

Sajak Dirgahayu Bahasaku

Maksud Rangkap :

Rangkap 1:
Bahasa Melayu tetap bersemadi di sanubari orang-orang Melayu. Bangsa Melayu sememangnya terkenal sebagai bangsa yang berbudi bahasa, setia dan amanah.

Rangkap 2:
Bahasa dilihat sebagai simbol maruah bangsa yang perlu dipertahankan agar terus kukuh dan menjadi keutamaan dalam banyak hal. Bahasa hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin terutama dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim.

Rangkap 3:
Para cendiakawan dan penggiat bahasa terus berjuang demi mendaulatkan bahasa. Sebenarnya setiap orang perlu memainkan peranan ini tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada.

Rangkap 4 :
Suatu ketika dahulu, bangsa Melayu pernah mencatat sejarah sebagai pelayar hebat. Mereka begitu berani menjelajah dari sebuah pulau ke sebuah pulau dan dari sebuah benua ke benua yang lain. Dari situ bahasa Melayu mula tersebar.

Rangkap 5 :
Bahasa Melayu tetap di hati. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu mula diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Bangsa Melayu turut dikenali. Kini bangsa Melayu menempa kejayaan demi kejayaan.

Tema Sajak :
Semangat cinta akan bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya mampu bersaing dengan bahasa-bahasa yang lain. Peranan ini perlu dimainkan oleh semua pihak.

Persoalan Sajak :
1. Persoalan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu.Bahasa Melayu perlu dimartabatkan di negara ini.

2. Persoalan perjuangan memartabatkan bahasa. Perjuangan memartabatkan bangsa dipertanggungjawabkan kepada semua orang Melayu.

3. Persoalan sejarah kegemilangan Bahasa Melayu.Bahasa Melayu mempunyai sejarah kegemilangannya yang tersendiri.

4. Persoalan kepentingan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi. Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi yang penting.

Bentuk Sajak :
1. Bebas
2. Terdapat 5 rangkap
3. Rima akhir baris-baris ayat
• Rangkap 1 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd.
• Rangkap 2 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnyanya aabab
• Rangkap 3 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abbcc
• Rangkap 4 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya aaabb
• Rangkap 5 terdapat 7 baris ayat. Rima akhirnya abaccaa
4.Nada Sajak ini berbentuk Patriotik

Gaya Bahasa :
1. Ayatnya pendek-pendek Contohnya :setia dan amanah
2. Diksi – mudah difahami dan puitis Contohnya; warga yang berbudi
3. Aliterasi – perulangan konsonan’m’ Contohnya : hak bangsaku memilikimu
4. Asonansi – perulangan vokal ’a’ Contohnya : Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan 
5. Sinkope . Contohnya: mu, ku, tak
6. Metafora Contohnya : lautan bijaksana, mutiara silam, lagu bahasamu
7. Perlambangan Contohnya ; pejuangku, pelautku, pulau
8. Personifikasi Contohnya : bahasaku mencengkam, suaramu tumbuh.
9. anafora Contohnya ; hak bangsaku memilikimu hak bangsaku mendaulatkanmu
10. Epifora Contohnya ; hak bangsaku memilikimu hak bangsaku mendaulatkanmu

Nilai :
1. Nilai bersopan santun. Penggunaan bahasa yang betul membolehkan nilai budi bahasa dapat dilahirkan dalam komunikasi.
2. Nilai setia pada bangsa. Apabila memartabatkan bahasa maka nilai setia dapat ditunjukkan.
3. Nilai amanah dalam meneruskan warisan bangsa.Warisan bangsa perlu dipertahankan.
4. Nilai mencintai bahasa bangsa sendiri. Sesuatu bangsa bertanggungjawab mencintai bahasanya sendiri.
5. Nilai bersatu padu semasa menggunakan bahasa yang sama Penggunaan bahasa yang sama dapat memupuk nilai bersatupadu..
6. Nilai kegigihan dalam memastikan bahasa Melayu terus digunakan.Sifat ini penting agar penggunaan bahasa Melayu dapat diteruskan.

Pengajaran :
1. Kita hendaklah mencintai bahasa Melayu hendaklah sepenuh jiwa.
2. Kita hendaklah bertanggungjawab mempertahan dan memartabatkan bahasa Melayu .
3. Kita perlu berusaha gigih untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
4. Kita mestilah memartabatkan bahasa Melayu supaya berkembang dan mendapat perhatian masyarakat dunia.



Saturday, April 14, 2012

Hikayat Langlang Buana

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah sampai ke taman itu, maka Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi berseru-seru, “Adakah nenekku di rumah?” Maka seru peri itu, “Tikar dan bantal seperti ada orang tidur.” Maka kata segala dayang-dayang itu, “Benarlah kata tuan puteri baharu pula rumah nenekku itu ada tempat ketiduran laki-laki rupanya.” Maka kata peri itu, “Adapun tempat tidur siang hari ini tempat hamba tidur pada malam hari.” Maka ia pun tertawa serta bergurau dan bersenda. Maka tuan puteri pun berbedak dan berlangirlah. Maka ramailah bergosok-gosok. Maka barang lakunya tuan puteri itu habis dilihat oleh Raja Indera Bumaya itu. Maka baginda pun berahilah dalam hatinya. Sungguhlah seperti kata peri itu. Maka tuan puteri pun pergilah mandi keluar di dalam cindai itu serta diiringkan oleh segala dayang-dayang dan inang pengasuh sekalian. Setelah sudah maka Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi pun turun mandi. Maka Raja Indera Bumaya pun turun berjalan di tepi kolam itu, seorang pun tiada melihat dia. Maka Raja Indera Bumaya pun berlindung pada pohon kemunting. Maka baginda pun menjadikan dirinya seekor burung bayan terlalu indah-indah rupanya. Syahadan, adapun matanya itu daripada intan dan bulunya itu daripada pusparagam dan kakinya daripada emas. Maka bayan itu pun hinggap pada pohon kemunting itu seraya berbunyilah terlalu merdunya suaranya.

( Dipetik daripada ‘ Hikayat Langlang Buana ‘ dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010, hal 37 )

 i. Apakah maksud barang lakunya ?

 ii. Nyatakan dua keistimewaan burung bayan yang digambarkan dalam petikan.

 iii. Pada pendapat anda, mengapakah watak Raja Indera Bumaya digambarkan memiliki kuasa sakti ? Kemukakan empat alasan anda.




Akhlak Muslim

Lima nilai utama corak keperibadian, akhlak Muslim

KALI ini saya ingin memulakan perkongsian dengan memetik firman Allah SWT bermaksud: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman. Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. "Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang yang beriman (dengan orang kafir) supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang yang zalim.” (Surah Ali-Imran, ayat 139-140). Ayat ini berkait rapat dengan tip menghadapi tekanan, cabaran dan mengubahnya menjadi kejayaan yang dibahaskan dalam ruangan ini minggu lalu. Keseluruhan ayat ini walaupun berkaitan Perang Uhud, namun peringatan Allah itu bermanfaat dalam membina ketahanan diri serta kekuatan dalam aspek kehidupan.

Imam Syed Qutb dalam tafsirnya fi zilal al-Quran mengatakan, hikmah cabaran, dugaan dan tekanan yang dilalui dengan ketahanan diri merangsang kekuatan dalaman yang terpendam. Ia mampu membuka rahsia hati tidak diketahui orang beriman kecuali melaluinya. Ini menunjukkan dalam kesusahan itu ada ketahanan diri. Lima nilai utama yang boleh dihayati serta perlu dijadikan pedoman daripada ayat itu ialah supaya kita menguatkan ketahanan diri dengan tidak berputus asa, bersedih hati (sehingga melemahkan diri), menjaga anugerah darjat kemuliaan diri, menerima peredaran suka dan duka dengan tabah dan tidak berlaku zalim sesama manusia. Kelima-limanya adalah tip berhadapan cabaran atau ancaman sekali gus memperkasakan ketahanan dalaman diri.

Dalam kepesatan dunia berkembang serta berubah pantas, usaha memperkasakan ketahanan diri satu keperluan. Daya ketahanan diri adalah keupayaan dan ketabahan bertindak dengan baik dan betul dalam kepelbagaian situasi atau keadaan mencabar. Sifat dan kekuatan ini tidak datang tiba-tiba dan tidak mudah dimiliki tanpa kesedaran, keinginan dan iltizam. Seperti juga ketahanan fizikal, ketahanan spiritual berbeza mengikut watak dan karakter tersendiri. Namun karakter itu boleh dipengaruhi faktor antaranya penerapan sistem nilai, sistem sosiobudaya berteraskan iman, akhlak dan ilmu pengetahuan sejak kecil lagi. Semakin baik dan tinggi diterapkan dalam kehidupan semakin tinggilah daya tahan diri seseorang. Menurut Profesor Dr Yusof Al-Qardhawi, jika senaman boleh menguatkan tubuh badan, ibadat boleh menguatkan roh dan ilmu pengetahuan menguatkan akal fikiran. Pembinaan ketahanan diri berasaskan ilmu, akhlak, iman dan amal ditekankan Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah sebagai kunci pembinaan tamadun bangsa.

Dalam Islam, pembinaan ketahanan diri melalui nilai iman dilatih menerusi ibadat seperti berpuasa pada Ramadan. Ia memperkasakan ketahanan diri dengan menahan lapar dan dahaga serta perkara membatalkan puasa semata-mata keimanan kepada Allah SWT. Manakala pembinaan melalui nilai akhlak dilatih seperti bersabar apabila berhadapan cabaran pergaulan dan menghadapi kematian. Sabda Rasulullah SAW: “Seorang Muslim apabila bergaul dengan manusia dan bersabar dengan keburukan (cabaran) mereka adalah lebih baik daripada Muslim yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar dengan keburukan (cabaran) mereka.” (Hadis riwayat Imam At-Tarmidzi) Model ketahanan diri Rasulullah SAW dan sahabat wajar menjadi perangsang dan contoh teladan dalam meraih kejayaan antaranya, disebut Baginda SAW: “Sesungguhnya aku mengalami kesusahan dan penderitaan selama berdakwah di jalan Allah yang tidak dialami siapapun selain aku. Aku juga mengalami ketakutan selama berdakwah di jalan Allah yang tidak dialami oleh siapapun selain aku. Pernah (ada masanya di mana) selama sebulan penuh secara terus menerus aku dan Bilal tidak memperoleh makanan bernyawa kecuali (hanya sedikit) yang di kepit di bawah ketiak Bilal.” (Hadis riwayat Ahmad) Gambaran ketahanan diri sahabat seperti Abdur Rahman bin Auf yang diberi pelbagai bantuan oleh puak Ansar, ketahanan Bilal bin Rabah diseksa tuannya Umaiyyah bin Khalaf, ketahanan diri Saidina Abu Bakr al-Siddiq berdepan golongan enggan membayar zakat, ketahanan diri Saidatina Khadijah binti Khuwailid berdepan keadaan Rasulullah SAW yang pertama kali mendapat wahyu.

Dalam dunia pekerjaan, jika memperkasakan ketahanan diri, ia bukan saja menjadikan kita sabar dan tabah tetapi dapat merealisasikan kerja secara berkualiti, menepati pelbagai dasar, peraturan dan panduan dalam
perkhidmatan. Ketahanan diri juga dapat menghindarkan daripada terjebak dalam penipuan. Pendek kata, ketahanan diri akan menentukan kualiti insan, menyumbang kepada tinggi atau rendahnya komitmen terhadap tugasan mencabar diberikan. Sekali gus mampu mengawal keadaan dan memikirkan pelbagai alternatif dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Justeru, ingat kejayaan, ingatlah rahsianya ialah ketahanan diri.

 Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)