SETIAP kali keputusan dibuat mengenai pelajar yang berjaya mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ada saja rungutan tidak puas hati daripada beberapa pihak kononnya ada pelajar yang sepatutnya layak diberi biasiswa, tidak dipilih.
Maka akan wujud pelbagai berita atau rungutan melalui surat yang disiarkan media bagaimana seseorang calon itu menepati segala yang dikehendaki, iaitu mendapat markah terbaik misalnya semua A+ dalam mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aktif dalam pelbagai kegiatan kokurikulum, tetapi masih tidak layak menerima biasiswa JPA.
Walaupun tahun ini pengumuman dibuat yang memberi gambaran bahawa prihatinnya kerajaan melakukan yang terbaik dan adil dalam pemilihan memberikan biasiswa itu, tentunya akan ada di antara beribu-ribu yang ditolak mempunyai kelulusan yang diperlukan, selain daripada menepati beberapa kriteria lain yang menjadi ukuran pegawai yang membuat pilihan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri membuat penjelasan mengenai cara pemilihan dibuat. Beliau yang juga Menteri Pelajaran menerangkan, ada terlalu ramai pelajar yang mendapat markah tinggi dalam SPM tahun lalu.
JPA menyediakan 1,750 biasiswa untuk penajaan Program Ijazah Luar Negara. Ia menerima 18,844 permohonan dan 10,956 daripada pemohon itu melepasi kelayakan minimum yang ditetapkan mengikut bidang pengajian yang dimohon.
Ini bermakna 9,206 di antara mereka yang menepati kelayakan minimum yang ditetapkan itu (bermakna mereka yang mendapat kelulusan terbaik dalam SPM, iaitu 9A ke atas) tidak akan dipilih untuk diberi biasiswa itu dan tentunya akan berasa amat kecewa dengan keputusan itu.
Setiap daripada lebih 9,000 pelajar itu tentunya mempunyai cerita tersendiri mengenai kenapa permohonan mereka tidak harus ditolak. Apa pun, angka ini menunjukkan kerajaan akan hanya dapat menyediakan sekian banyak saja biasiswa untuk pelajar cemerlang dan tidak mungkin menampung mereka semua.
Inilah hasil daripada cara peperiksaan yang sekarang kita kendalikan, iaitu dengan soalan objektif dengan calon dikehendaki untuk memilih jawapan betul daripada empat atau lima jawapan disediakan untuk setiap soalan itu. Kiranya ada calon yang tepat meneka semua soalan tentunya calon itu akan memperoleh markah 100 peratus.
Tetapi ini tidak bermakna calon itu seorang yang bergeliga. Apa yang ditunjukkan hanyalah dia memilih jawapan yang betul bagi semua soalan yang dikemukakan. Ini boleh saja diperoleh bagi seseorang yang menghafal jawapan.
Maka itulah, kini wujud pelbagai pusat tuisyen hanya bertujuan membolehkan pelajar yang mengikuti tuisyen itu memilih jawapan betul daripada soalan yang dimajukan dalam kertas peperiksaan untuk sesuatu mata pelajaran itu.
Maka itulah juga ruangan ini beberapa kali mengesyorkan sistem peperiksaan objektif dimansuhkan saja dan ditukar kepada soalan yang memerlukan pelajar menjawab secara menulis apa yang diperlukan bukan setakat tekaan saja.
Kira inilah caranya peperiksaan SPM misalnya dikendalikan tidak mungkin boleh wujud keputusan sehingga beribu-ribu pelajar boleh mendapat kelulusan A+ bagi semua mata pelajaran yang mereka ambil, hingga berbelas-belas mata pelajaran pun boleh mendapat A+.
Itulah juga apabila seorang daripada pelajar yang gagal itu menulis surat kepada akhbar New Straits Times yang menyiarkan suratnya hari ini, akhbar itu memberikan tajuk seolah-olah ada kegagalan dalam sistem pemilihan itu.
Pelajar itu yang perkenalkan dirinya sebagai RE dari Puchong, Selangor, menerangkan bahawa dia mencapai tahap semua A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), manakala dalam SPM tahun lalu dia pula mendapat semua 11A+.
Dalam pada itu, pelajar ini pula amat aktif dalam kokurikulum di sekolahnya, iaitu bermain bola jaring dan bola tampar serta olahraga pada peringkat sekolah. Selain itu, dia pernah menjadi ketua pengawas ketika di sekolah rendah dan menengah, selain menjadi editor majalah sekolah dan juga pendebat di sekolahnya.
Pelajar itu juga menerima kemasukan bersyarat mengikuti pengajian perubatan di Universiti Kolej London. Kini dia menunggu keputusan peperiksaan A-Level yang akan diumumkan pertengahan bulan depan.
Bagaimanapun dia merungut kenapa belum pun keputusan A-Level itu diumumkan, JPA sudah pun mengeluarkan semua 30 biasiswa untuk pengajian perubatan, tanpa menunggu keputusan A-Level itu, yang tentunya JPA mengetahuinya.
Jika dakwaan itu benar, ini sekali lagi menunjukkan betapa tidak prihatinnya JPA dalam membuat keputusan. Umum mengetahui bagaimana ada sesetengah pegawai JPA yang sememangnya tidak prihatin terhadap pemohon. Kita faham ada beribu-ribu pemohon, tetapi pegawai JPA yang membuat keputusan tidak harus bertindak seperti dia yang menentukan hala tuju masa depan seseorang pemohon.
Ini bermakna pegawai itu hendaknya bertindak dengan perasaan kemanusiaan dan amat prihatin dengan apa yang diputuskan kerana merekalah yang akan menentukan masa depan seseorang pemohon.
Dalam pada itu, pemilihan itu juga harus mengambil kira satu lagi kriteria iaitu perasaan patriotik seseorang pemohon itu untuk negaranya. Kiranya perasaan ini menebal di kalangan mereka, itu tentunya tidak akan berlaku keadaan yang mana sebuah negara lain seperti Singapura begitu mudah sekali menarik beribu-ribu graduan kita khususnya doktor dan jurutera yang dengan mudah mengumpan mereka untuk bekerja di sana.
Penulis ialah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
No comments:
Post a Comment