Monday, December 30, 2013

Sesi Persekolahan 2014

Alhamdulillah, sesi persekolahan 2013 hampir ke penghujungnya dalam masa beberapa jam lagi. Tentunya telah tercatat pelbagai memori sama ada suka, duka, pahit dan manis dalam tempoh setahun yang dilalui. Citra warna memori itu akan terus terpahat dalam ingatan dan sewajarnya kita jadikan pedoman, teladan mahupun tauladan. Semoga memori itu juga mampu mendewasakan kita untuk terus menyelusuri kehidupan mendatang dengan lebih matang, sistematik dan terancang. Yang penting, kita berusaha untuk menjadikan hari esok lebih baik daripada hari hari sebelumnya.

Buat anak anak didik yang akan melangkah ke tingkatan lebih tinggi, marilah kita berazam untuk meninggalkan kerja sia sia yang menjadi rutin kita pada tahun lepas. Bangkitlah dari mimpi lena, sedarilah matahari kian meninggi ; jom kita bina kehidupan dengan lebih sempurna agar kita dapat bersaing secara sihat dengan semua pelajar lain. Kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar lain asalkan kita ada kemahuan dan keinginan. Hanya kita yang boleh mengubah kehidupan kita, hanya kita yang mampu menentukan arah tuju hidup kita. Yakinlah, dan mohonlah pertolongan Allah. Sesungguhnya kita tidak ada daya upaya, semua atas pertolongan Allah.