Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, guru-guru, dan pelajar sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah ini kerana sudi menjemput saya bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk “Teknik Belajar yang Berkesan”.
Pelajar yang saya hormati,
Seseorang itu berjaya mendapat keputusan yang cemerlang kerana usahanya yang bersungguh-sungguh. Sebaliknya seseorang yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang adalah kerana dia tidak belajar dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu kejayaan seseorang pelajar itu bergantung kepada sejauh mana kesungguhannya dalam mengulang kaji dan mentelaah buku-buku pelajaran.
Saya ingin menerangkan di sini tentang teknik belajar berkesan yang dapat membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Maklumat ini saya perolehi melalui kajian-kajian oleh pakar motivasi tentang cara belajar yang betul kerana mereka telah membuat kajian di kalangan para pelajar di sekolah. Bahan inilah yang boleh menjadi bukti bagi digunakan oleh pelajar-pelajar lain.
Antara faktor utama ialah semangat ingin berjaya dalam peperiksaan. Apabila seseorang menanamkan semangat yang tinggi untuk memperoleh kejayaan justeru dia akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Dalam hatinya dia ingin memperoleh keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang dihadapinya. Dengan adanya semangat ini dia terus berusaha dengan gigih tanpa berasa jemu. Dia juga akan sentiasa mengulang kaji pelajaran yang telah dipelajari mahupun yang akan dipelajari. Dia juga sering membuat latihan-latihan yang diberikan oleh guru.
Sebaliknya pula berlaku apabila seseorang pelajar yang langsung tidak berminat untuk mencapai kejayaan. Dia tidak akan berminat untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Setiap kali menghadapi pelajaran, pelajar ini akan berasa cepat jemu malah tidak berminat langsung untuk belajar. Setiap latihan yang diberikan oleh guru tidak disiapkannya walaupun dimarahi oleh guru.
Pelajar sekalian,
Selain itu, kejayaan akan dapat dicapai dalam peperiksaan apabila seseorang itu rajin membaca buku. Hal ini kerana apabila pelajar itu begitu rajin membaca buku dia akan dapat menambahkan pengetahuannya. Pelbagai ilmu pelajaran seperti Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Fizik dan sebagainya akan mudah dijawab. Hal ini kerana melalui pembacaan pelajar itu akan memperoleh satu ilmu yang baru. Ilmu-ilmu ini boleh digunakan dalam menjawab soalan-soalan tentang pengetahuan am.
Hadirin sekalian,
Sesungguhnya masa merupakan emas bagi seseorang pelajar. Hal ini kerana masa memberikan kita peluang untuk belajar. Seharusnya seseorang pelajar itu barns bijak membahagikan masa belajar, masa berehat, masa ke sekolah, dan masa untuk tidur. Setiap masa itu amat penting kepada mereka. Seorang pelajar tidak boleh melebihkan masa mereka bermain. Umpamanya, seseorang pelajar itu sangat digalakkan membuat jadual hariannya. Dalam jadual ini terdapat masa untuk belajar, mengulang kaji pelajaran, berehat, menonton televisyen, dan bermain. Seharusnya masa untuk belajar melebihi masa untuk berehat. Sekurang-kurangnya 3 jam diperlukan untuk belajar setiap hari dan selebihnya adalah masa senggang. Harus diingat bahawa masa yang saya cadangkan ini tidak termasuk masa ketika kita belajar di sekolah. Oleh itu semua pelajar seharusnya bijak membahagikan masa ini.
Hadirin yang dihormati,
Kita seharusnya menghormati guru. Hal ini kerana apabila kita menghormati guru justeru pembelajaran yang kita hadapi akan lebih bermakna dan kita juga akan disukai oleh guru. Oleh itu pelajar yang menghormati guru akan mendapat berkat dalam pelajarannya dan seterusnya berjaya dalam peperiksaan.
Selain daripada menghormati guru kita juga harus menghormati ibu bapa. Setiap pelajar harus memperoleh restu daripada ibu bapa. Apabila pelajar menghormati ibu bapa pasti ibu bapa akan mendoakan kejayaan untuk mereka. Anak perlu menghormati dan mentaati ibu bapa kerana merekalah yang telah membesarkan kita semua. Tanpa mereka berdua sudah tentu kita tidak akan lahir ke dunia ini. Namun begitu terdapat juga pelajar yang tidak menghormati kedua-dua orang tua mereka. Apabila ini berlaku ibu bapa akan berasa kecil hati dan tidak mendoakan kejayaan anaknya itu. Saya amat berharap agar semua pelajar yang berada di dalam dewan ini supaya menghormati ibu bapa mereka.
Pelajar sekalian,
Seseorang yang ingin berjaya seharusnya mempunyai cita-citanya sendiri. Dia boleh menanamkan cita-citanya untuk memperoleh pekerjaan yang diingininya. Umpamanya dia ingin menjadi seorang doktor, peguam, pensyarah, mahupun jurutera. Apabila keinginannya ditanam di dalam hatinya, awal- awallagi dia akan menanamkan cita-citanya di dalam hatinya. Malah dia akan belajar dengan tekun untuk mencapai cita-cita yang dihajatinya. Dengan ini setiap apa yang dicitakan akan tercapai jika dia berusaha dengan gigih.
Sesetengah pelajar yang cemerlang dalam SPM telah melalui suasana pembelajaran secara berkumpulan dan perbincangan. Hal ini kerana apabila pembelajaran dilakukan secara perbincangan lebih mudah difahami. Banyak tajuk yang dapat dibincangkan dalam masa yang singkat. Hal ini memudahkan pelajar untuk mengingati sesuatu pelajaran yang telah diajar oleh guru. Mereka yang belajar secara perbincangan juga akan memperoleh pengetahuan yang barn. Kumpulan ini saling bekerjasama dan masing-masing berusaha untuk memahami sesuatu topik yang dibincangkan. Apabila semua tajuk telah dibincangkan pelajar ini sudah bersiap sedia menghadapi peperiksaan. Sudah tentu mereka boleh menjawab soalan yang diajukan dengan lebih mudah sewaktu peperiksaan berlangsung.
Oleh itu, diharap pembentangan teknik belajar dengan berkesan ini dapat diguna pakai oleh semua pelajar. Hal ini kerana teknik ini telah banyak digunakan oleh para pelajar yang berjaya sebelum ini. Semoga para pelajar akan mencontohi semua teknik ini untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti. Sekian, terima kasih.
Terima kasih! Topik ceramah ini memang sanggup keluar dari peperiksaan dan contoh karangan ini akan menjadi ribuan bantuan untuk saya.
ReplyDelete