Thursday, July 8, 2010

Bahas : Penggunaan Internet Lebih Banyak Mendatangkan Kebaikan daripada Keburukan

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, yang saya hormati para panel hakim, para pencadang sekalian, dan para hadirin yang saya muliakan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Pada hari ini, kita akan memahami tajuk perbahasan kali ini iaitu ‘Penggunaan Internet Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan’. Saya sebagai pembangkang amat tidak bersetuju dengan penyataan tajuk tersebut. Bagi saya ia lebih membawa keburukan daripada kebaikan.

Para hadirin sekalian,

Sebelum saya meneruskan hujah saya, izinkan saya menerangkan apakah yang kita faham dengan Internet. Internet boleh kita fahami sebagai satu sistem maklumat global melalui telekomunikasi yang semakin canggih kini. Segala bentuk maklumat dapat kita perolehi daripada penggunaan Internet ini. Tetapi ternyata ia membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

Yang pertama sekali ialah ia menyemai sikap buruk individu. Maklumat tanpa sekatan di dalam Internet ini memberi peluang kepada pelajar Internet dan sesiapa sahaja untuk mengetahui apa yang berlaku dan terkandung di dalam Internet. Lebih malang lagi apabila bahan yang diperolehi mampu merosakkan akhlak. Contohnya, melalui Internet ini, orang ramai suka mengetahui sesuatu yang dilarang seperti melayari laman web tentang seks dan cara hidup orang asing yang tidak sesuai dengan budaya kita. Malah mereka cuba meniru aksi dan tingkah laku tidak baik sebegini. Hal ini memberi kesan yang tidak baik dan boleh merosakkan cara hidup kita yang bersopan-santun dan bertatasusila.

Hujah saya yang kedua ialah bagi kanak-kanak sekolah, Internet membolehkan mereka bermain permainan yang terkini. Selain membuang masa, mereka juga membazirkan wang. Mereka lupa pada pelajaran akibat terlalu leka dengan permainan yang menjadi minat mereka. Masa mereka banyak dihabiskan di depan komputer dan hal ini boleh menyebabkan hubungan mereka dengan ibu bapa dan keluarga menjadi renggang. Hal ini bukan sahaja berlaku pada kanak-kanak sekolah tetapi bagi pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi. Keseronokan dan tumpuan pada aktiviti Internet Relay Chatting (IRC) yang berlebihan menyebabkan mereka leka pada Internet dan tidak memberikan tumpuan yang sebaiknya pada pelajaran. Ada antara mereka berbual kosong atau sekadar memulakan perkenalan yang akhirnya tidak mendatangkan faedah tetapi menyebabkan mereka menanggung bil penggunaan Internet yang tinggi.

Hujah saya yang ketiga, ialah hubungan sosial di dalam masyarakat yang semakin rapuh akibat terlalu memberi tumpuan kepada penggunaan Internet. Pada mereka yang dapat melayari Internet di rumah, mereka akan jarang keluar bergaul dengan orang lain dan masyarakat kerana terlalu asyik melayari Internet sehingga kegiatan masyarakat pun tidak diambil perhatian. Malah, di pusat-pusat Internet, kegiatan tidak baik boleh wujud akibat penggunaan Internet. Contohnya, kewujudan kegiatan perjudian melalui Internet. Hal ini tidak dinafikan apabila terdapat aktiviti penjudian yang meliputi banyak tempat dan kemungkinan juga berlaku pengaduhan apabila aktiviti berjudi dan bertaruh dijalankan.

Keadaan kesihatan juga kurang diambil perhatian. Selalunya pengguna Internet meluangkan masa yang lama untuk melayari Internet. Adakalanya sampai lewat malam dan tidak kurang pula hingga awal pagi. Hal ini menyebabkan mereka kurang tidur dan rehat. Akibatnya, kesihatan mereka tidak terjejas malah penggunaan Internet yang berterusan tanpa rehat juga boleh menyebabkan mata menjadi letih dan memberi kesan sampingan.

Antara keburukan lain akibat penggunaan Internet ialah kemungkinan berlaku penyebaran maklumat-maklumat palsu tentang sesebuah negara yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan. Keselamatan sebuah negara boleh menjadi porak-peranda apabila ada antara masyarakat dunia yang mungkin mempercayai maklumat-maklumat palsu yang mereka perolehi melalui Internet dan yang paling ditakuti sekali ialah penyalahgunaan Internet untuk mengelirukan orang ramai di dalam bidang agama. Terdapat berbagai-bagai maklumat tentang agama yang dapat kita perolehi melalui Internet. Ada yang diiktiraf oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama dan tidak kurang pula didatangi oleh individu atau kumpulan yang menyebarkan maklumat palsu tentang agama kepada orang lain.

Akhirnya sebelum saya mengundur diri, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa Internet lebih banyak membawa keburukan kepada orang ramai. Penggunaannya perlu dipantau sentiasa. Bak kata pepatah ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya’.

Sekian sahaja, terima kasih

3 comments: