Saturday, July 24, 2010

Menjunjung Martabat Guru

Cabul: Kementerian jamin ambil tindakan terhadap guru

ARAU 22 Julai - Kementerian Pelajaran memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang didapati bersalah melakukan jenayah seksual termasuk kes membabitkan seorang murid tahun satu sebuah sekolah rendah di sini, kelmarin.

Timbalan menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap guru berkenaan jika didapati bersalah kerana tindakannya itu jelas melanggar etika perguruan sekali gus mencemar imej warga pendidik.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua guru besar dan pengetua agar tidak melindungi sebarang kes jenayah sekolah kepada mana-mana pihak termasuk media.

Malah, beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak bertindak melampaui batas dengan mengeluarkan kenyataan yang berunsur jenayah termasuk mengugut mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.

"Kita tidak akan biarkan perkara ini berlarutan kerana kita tidak mahu kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ke-21 Sekolah Menengah Vokasional Arau di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, seorang guru di sebuah sekolah rendah di Jelempok di sini didakwa mencabul seorang murid tahun satu, kelmarin.

Murid perempuan itu dikatakan mengalami trauma untuk ke sekolah setelah dicabul oleh seorang guru lelaki sekolah yang berusia lingkungan 50-an.

Mangsa mendakwa guru berkenaan telah mencium pipi kirinya di belakang pintu dalam bengkel kemahiran hidup ketika waktu rehat pagi kelmarin.

Malah, berikutan kejadian itu, keluarga mangsa mendakwa telah diugut oleh pihak-pihak tertentu yang marah berikutan tindakan mereka melaporkan kejadian itu kepada pihak media.

No comments:

Post a Comment