Monday, July 5, 2010

Persediaan komprehensif sebelum hapus UPSR, PMR

Isnin, 2010 Julai 05
Persediaan komprehensif sebelum hapus UPSR, PMR
Oleh Ibrahim Saad

DARIPADA beberapa kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, akhir-akhir ini ramai percaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Sekolah Rendah (PMR) akan dimansuhkan. Ia disokong dengan kenyataan terakhir beliau bahawa kerajaan akan mengumumkan keputusan sama ada UPSR dan PMR dimansuh atau tidak pada tahun ini juga.

Ini sekali gus memendekkan tempoh perbincangan mengenai isu itu secara formal atau tidak. Bagaimanapun jaminan beliau terdahulu, kerajaan akan meneliti secara mendalam mengenai cadangan itu sebelum dilaksana sangat dialu-alukan. Ia memberi ruang pelbagai pihak menyatakan pandangan. Diharap kesempatan ini diambil mereka yang berminat dan berkepentingan untuk menyalurkan pendapat kepada Kementerian Pelajaran yang tentu akan menubuhkan urus setia khas mengumpul semua syor yang dikemukakan. Pandangan sebernas mana pun jika hanya dibincang sesama sendiri tidak memberi sebarang faedah. Apabila UPSR dan PMR dimansuh, akan berlaku dua transformasi besar kepada sekolah dan ibu bapa. Sekolah merangkumi pihak pengurusan yang diterajui pengetua dan guru besar serta guru tidak lagi tertekan setiap kali keputusan UPSR atau PMR diumumkan. Peningkatan pencapaian keputusan bermakna sekolah mendapat pujian, manakala kemerosotan akan menerima kecaman disusuli pelbagai penjelasan terpaksa diberi sama ada kepada pengurusan pelajaran di atas, ibu bapa dan organisasi serta orang ramai yang berkaitan dengan sekolah.

Keadaan sama dialami guru mata pelajaran pada peringkat sekolah. Keadaan ini menyebabkan sesetengah guru jika diberi pilihan menolak untuk mengajar kelas peperiksaan. Bagi ibu bapa, ramai berasa seperkara yang sangat besar dihadapi apabila anak menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan. Mereka berusaha memastikan anak diberi persediaan maksimum untuk menghadapi UPSR, PMR malah SPM. Sehingga ada menyatakan seolah-olah diri mereka yang mengambil ujian itu.

Keadaan ini berlaku kerana semua pihak terlalu memberi fokus kepada peperiksaan. Pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan terlalu berorientasikan peperiksaan disebabkan penilaian kecemerlangan sekolah atau pelajar berdasarkan keputusan peperiksaan. Pengukuran ini juga diamalkan semua struktur dalam Kementerian Pelajaran dan diguna pelbagai pihak lain apabila membuat penilaian prestasi pelajar dan sekolah.

Oleh kerana menyedari keadaan ini di samping menerima banyak pandangan supaya dikurangkan orientasi kepada peperiksaan, Kementerian Pelajaran sudah merangka kaedah taksiran terhadap pencapaian pelajar secara holistik iaitu dengan menggabungkan markah antara peperiksaan awam dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) pada nisbah lebih berpihak kepada PBS seperti 30:70 yang dijadualkan pelaksanaan secara berperingkat.

Bagaimanapun sebelum dilaksanakan, timbul cadangan lebih drastik iaitu menghapuskan UPSR dan PMR. Pelajar hanya menduduki peperiksaan awam sekali iaitu SPM selepas mengalami sistem persekolahan selama 11 tahun. Ini bermakna pentaksiran pelajar mungkin semata-mata berasaskan PBS. Tetapi seperti jaminan Muhyiddin, cadangan itu akan dilaksanakan selepas mendapat maklum balas terperinci semua pihak berkaitan.

Dari segi pelaksanaan, langkah menghapuskan peperiksaan lebih mudah daripada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) disebabkan tidak membabitkan pelbagai persediaan prasarana dan guru di samping dijangka tidak membabitkan kos berbanding permulaan melaksanakan PPSMI. Namun, ternyata usaha yang dilaksanakan secara terburu-buru itu membazir begitu saja apabila ia dimansuhkan.

Dengan menjadikan pelaksanaan PPSMI sebagai iktibar, diharap kajian dan persediaan yang komprehensif perlu dilaksanakan sebelum keputusan menghapuskan UPSR dan PMR dilaksanakan.

Sistem pendidikan kita akan dipersoal kredibiliti dan integriti jika selepas dihapuskan beberapa tahun, kedua-dua ujian itu terpaksa diadakan semula walaupun diberi jenama baru apabila didapati penaksiran serta penarafan baru lebih lemah daripada diamalkan sebelumnya.

Cadangan Muhyiddin supaya perbincangan meja bulat diadakan sangat dialu-alukan. Bagaimanapun persidangan itu mesti dirancang teliti terutama kewibawaan penyertaan.

Pertama, hendaklah dipastikan setiap pihak berkaitan dibabitkan. Selain komponen dan jaringan Kementerian Pelajaran, penyertaan perlu membabitkan beberapa organisasi seperti kesatuan guru, majlis pengetua dan guru besar. Organisasi mewakili ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, profesional, media massa dan politik juga perlu dibabitkan termasuk mereka yang menyuarakan penentangan. Begitu juga dengan mereka yang berkaitan dengan SRK Cina dan Tamil.

Kedua, perbincangan itu wajar diadakan dalam tempoh beberapa hari dan beberapa siri, bukan setengah hari seperti perbincangan Memartabatkan Bahasa Melayu anjuran Kementerian Pelajaran di Putrajaya tidak lama dulu bagi membolehkan lebih banyak pihak hadir menyampaikan pendapat.

Ketiga, pihak yang hadir barangkali perlu menyediakan memorandum atau kertas kerja menyatakan pandangan organisasi yang diwakili sebagai teras perbincangan dan diserahkan kepada urus setia jika tidak sempat disampaikan semuanya pada perbincangan meja bulat.

Selain itu, Kementerian Pelajaran perlu menentukan beberapa kaedah mendapat pandangan berhubung isu ini seperti tinjauan pendapat dan pengumpulan maklumat melalui media massa.

Dalam melaksanakan tinjauan dan kajian, kementerian tidak boleh mengehadkan kepada apa yang dilakukan tetapi membabitkan pihak lain seperti dilakukan pihak universiti dan melantik pihak perunding bebas. Hasil daripada pelbagai pihak lebih menyeluruh dan lebih diperakui.

Kementerian Pelajaran juga tentu akan membuat tinjauan lebih terperinci mengenai sistem penilaian atau peperiksaan yang dilaksanakan di beberapa negara untuk dijadikan perbandingan. Ini termasuklah negara seperti Britain yang kita masih mempunyai hubungan peperiksaan seperti SPM dan STPM. Tinjauan juga harus dilakukan di negara seperti Korea dan Jepun di samping beberapa negara Asean.

Fokus kedua, persediaan mengenai sistem pentaksiran yang dilaksanakan sekolah (PBS) mengganti peperiksaan awam dimansuhkan. Jika PBS menjadi pengganti, kaedah dan pelaksanaannya perlu dimaklumkan kepada umum. Justeru, tidak timbul tanda tanya orang ramai khususnya ibu bapa mengenai pelaksanaannya. Malah mereka boleh memberi cadangan bagi memantapkan sistem baru itu.

Perkara yang sangat penting dalam memastikan keseragaman penilaian berasaskan sekolah ialah keupayaan guru menggubal soalan yang standard, terutama berbentuk objektif. Tinjauan rambang mendapati bukan semua guru pakar membina soalan, malah banyak soalan peperiksaan dalaman di sekolah tidak mematuhi standard pembinaan soalan yang sempurna.

Oleh itu, setiap guru sepatutnya mendapat latihan dan kemahiran membina soalan yang standard. Selagi perkara ini tidak dilakukan, pelaksanaan PBS akan pincang. Guru mesti diberi latihan cukup di samping logistik pelaksanaan yang teratur. Oleh kerana pentaksiran untuk sesuatu tahun dilakukan sepanjang tahun, kesediaan guru hendaklah pada tahun sebelumnya bukan pada tahun pentaksiran dilakukan. Oleh itu, setiap laporan pencapaian pelajar yang disediakan guru diuji secara adil, mencabar mencapai matlamat menggilap potensi pelajar sepenuhnya.

Apapun perkara dasar yang perlu diperhatikan ialah jangan sampai sistem baru PBS itu pula mengganti UPSR dan PMR. Iaitu pengajaran dan pembelajaran tetap memfokus kepada peperiksaan, cuma yang berbeza UPSR/PMR diurus Lembaga Peperiksaan Malaysia, manakala melalui PBS peranan lembaga itu diambil alih institusi peperiksaan baru iaitu Lembaga Peperiksaan Sekolah masing-masing.

Matlamat pemansuhan UPSR dan PMR juga akan tersasar jika dibenarkan bentuk peperiksaan berpusat lain seperti ujian pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh, MRSM, Sekolah Menengah Teknik dan sekolah jurusan agama sama ada dikelolakan kementerian atau penganjur lain. Demikian juga dengan menentukan aliran di Tingkatan Empat. Kaedah lebih baik daripada PMR mesti diadakan tetapi bukan dalam bentuk peperiksaan atau yang menyamainya.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment