Kadangkala terfikir dibenakku, adakah aku antara guru paling garang di sekolah? Mungkinkah pelajar membenciku? Mungkinkah pelajar meluat denganku? Telah beberapa kali persoalan itu timbul dan meracau difikiranku. Jawapannya belum pasti tapi daripada gerak geri dan tindak balas pelajar aku bukanlah antara yang dibenci.
Apa yang paling membimbangkan aku ialah, ketidakhadiran aku ke sekolah disambut dengan sorakkan oleh pelajar manakala kehadiran aku bagikan satu beban dan masalah kepada mereka. Bak kata pepatah, datang tidak berjemput, balik tidak dihantar. Jika itu yang berlaku, aku rasa diriku bukanlah guru yang baik.
Dalam hal ini, semua guru perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Penjelasan perlu diberikan kepada pelajar-pelajar setiap kali mereka dimarah atau diambil tindakan. Rasionalkan mereka. Kadang-kadang mereka membuat konklusi yang salah dan kurang tepat setiap kali mereka dimarahi atau diambil tindakan. Dalam proses menimba ilmu dan mendidik, DIMARAH adalah proses yang perlu.
Marah seorang guru adalah tanda dia sayang. Tiada seorang guru yang memarahi pelajarnya dengan membabi buta. Berdasarkan situasi dan bukti, jika pelajar memang bersalah, tindakan perlu diambil sebagai pengajaran dan teladan. Jika dibiarkan begitu sahaja, pelajar pasti tidak menyedari kesilapan mereka dan perkara yang sama akan berulang pada masa hadapan. Jika ini berlaku, guru yang tidak menegur telah mengabaikan tanggungjawab mereka.
Hari ini, aku memarahi dan menegur sekumpulan pengawas sekolah yang bertugas mengendalikan perhimpunan. Sudah lama, aku tengok mereka seperti tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Hari ini berlaku suasana yang sangat tidak menyenangkan. Ketika nyanyian lagu negaraku, lagu negeri dan lagu sekolah, hanya seorang pengawas sahaja yang bertugas manakala pengawas lain buat tidak endah. Bukan tidak nampak tapi buat-buat tidak nampak. Kesannya, teguran dibuat oleh pihak pentadbir.
Sebagai salah seorang guru yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan badan pengawas,aku memanggil sekumpulan mereka yang terlibat ke bilik disiplin selepas perhimpunan. Aku memarahi mereka dengan kata-kata yang agak kasar. Memang darahku tengah membara ketika itu. Kesannya, ada yang menangis. Aku harap sangat, teguran yang aku berikan pada hari ini diterima dengan baik oleh mereka dan mereka boleh berubah dengan menjalankan tugas lebih sempurna selepas ini.
No comments:
Post a Comment