Thursday, July 15, 2010

Memupuk Budaya Membaca

Budaya dan amalan membaca boleh dipupuk dalam kalangan masyarakat. Peranan pelbagai pihak diperlukan dalam usaha ke arah itu, memandangkan budaya membaca belum dihayati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Maka dicadangkan perkara-perkara berikut untuk meningkatkan amalan membaca:

* Peranan ibu bapa - membelikan bahan bacaan bermutu di rumah. Ibu bapa perlu wujudkan ruang pembacaan untuk anak-anak. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak ke kedai buku dan memberi kebebasan kepada anak-anak untuk memilih bahan bacaan. Mereka juga perlu memberi contoh dan teladan, iaitu mereka sendiri perlu mempunyai budaya membaca. Sekurang-kurangnya ada akhbar harian, atau majalah seperti Dewan Siswa atau Dewan Pelajar supaya anak-anak dapat membaca. Sediakan sedikit peruntukan untuk membeli bahan bacaan setiap bulan.

* Peranan sekolah - Sekolah perlu adakan kempen membaca. program NILAM perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan guru-guru kena pastikan pelajar menjayakannya. Panatia dan guru mata pelajaran perlu galakkan pelajar membaca. Pusat Sumber perlu bergerak lebih ke depan dalam menarik pelajar ke perpustakaan. Di SMK SIJANGKANG JAYA, semua guru bahasa sama ada Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris, berusaha gigih ke arah itu. Pelajar diwajibkan mengunjungi pusat sumber untuk membaca apa-apa bahan yang boleh memberi manfaat kepada mereka. Selain itu, pameran buku boleh diadakan di sekolah. Pembelian bahan bacaan yang bermutu perlu ditingkatkan di sekolah. Program Akhbar Dalam Darjah perlu diperluas. Petikan rencana yang berinformasi perlu diletakkan di papan kenyataan sekolah supaya pelajar boleh membaca.

* Peranan kerajaan – Kerajaan perlu menambah peruntukan ke sekolah untuk membeli bahan bacaan tambahan di pusat sumber sekolah . Kerajaan perlu mengadakan kempen membaca, sama ada di tempat awam atau menggunakan media kerajaan seperti radio dan televisyen. Pelepasan cukai untuk pembelian buku perlu ditambah. Setiap pejabat kerajaan dan agensinya perlu ada sudut bacaan.

* Peranan pihak swasta – Mereka perlu menyokong kempen membaca pihak kerajaan. Pekerja mereka perlu digalakkan membaca. Mereka perlu memberi sumbangan untuk program/kempen membaca anjuran pelbagai pihak. Sudut bacaan juga perlu diwujudkan oleh pihak swasta, misalnya di klinik, hospital, restoran dan kompleks membeli-belah. Harga bahan bacaan yang mereka terbitkan perlu diturunkan. Adakan promosi dan kempen membaca.

* Peranan pelajar. Pelajar perlu menghayati matlamat kempen membaca yang diadakan.Mereka perlu ada kesedaran dalaman untuk membaca dan bukan kerana tujuan peperiksaan semata-mata. Jangan lupakan buku apabila peperiksaan berakhir atau apabila meninggalkan bangku sekolah.

* Peranan penulis buku dan majalah- Mereka perlu menghasilkan bahan bacaan yang menarik dan dalam masa yang sama terapkan budaya membaca dalam karya mereka. Mereka perlu mempelbagaikan isi kandungan karya mereka untuk menarik hati pembaca. Wujudkan jaringan/link dengan pembaca agar pembaca kekal membaca pada masa depan. Sertai program galakan membaca di sekolah, anjuran kerajaan dan swasta.

Kejayaan usaha memupuk budaya membaca bergantung kepada kerjasama semua pihak. Pembabitan semua pihak itu dapat menjadi pemangkin budaya membaca dalam masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment